Ahad, 30 September 2012

ISU SOSIAL : Nasihat suatu kewajipan


ORANG lain biasanya nampak kekurangan dan kelemahan diri kita yang kita sendiri mungkin tidak menyedarinya. Di sinilah perlunya memiliki sifat berlapang dada. Dengan saling menasihati maka kita akan lebih maju, cemerlang dan terbuka kepada perubahan.

Masalah timbul apabila seseorang itu sukar untuk dinasihati. Ada yang masam mencuka, ada yang marahkan kita semula dan ada yang menyindir dengan kata-kata menyakitkan hati. Akibatnya, ramai yang ambil langkah selamat dan membiarkan sahaja si Luncai terjun dengan labu-labunya. Namun, membiarkan orang itu begitu sahaja bukanlah satu langkah bijak kerana ada ketikanya apa yang dilakukan olehnya itu memberi kesan kepada orang sekeliling. Misalnya, kalau seorang pekerja di sebuah organisasi suka menipu, maka membiarkan dia begitu sahaja akan memburukkan imej organisasi itu sendiri. Oleh itu dia perlu dinasihati. Malah jika dia ingkar, sesuatu tindakan perlu diambil.

Berikut beberapa langkah yang boleh difikirkan apabila kita cuba menasihati orang lain.

Nasihatkan sahaja dan usah risau sama ada ia diterima atau tidak. Apabila menasihati seseorang, kita bukannya mahu menunjukkan yang kita ini lebih baik. Sebaliknya tujuannya hanya satu, iaitu membantu orang itu agar menjadi lebih baik dan cemerlang. Keikhlasan adalah elemen penting apabila menasihati orang. Apabila kita menasihati daripada hati, ia juga akan sampai ke hati. Usah terlalu fikirkan sama ada nasihat kita itu diterima atau tidak sebab yang memberikan hidayah itu Allah. Tugas kita menyampaikan sahaja.

Apabila menasihati, nyatakan sahaja perkara betul yang perlu dilakukan tanpa perlu menyebut apa kesalahan, kekurangan atau keburukan orang itu. Misalnya, apabila seseorang itu sering bercakap bohong maka tidak perlu ulas tentang cakap bohongnya itu. Sebaliknya, jelaskan sahaja padanya yang kita lebih suka jika dia bersifat berterus terang dan berkata benar.

Pilihlah masa yang sesuai apabila memberikan nasihat. Masa yang paling sesuai adalah ketika kesalahan atau kesilapan itu berlaku. Namun, jika ia berkaitan dengan perangai buruk maka pilihlah waktu orang itu dalam keadaan tenang dan bersedia. Jelaskan dahulu bahawa ada sesuatu perkara penting yang kita mahu sampaikan, itu pun jika dia mahu mendengarnya. Kita tidak mahu niat baik disalah tafsir lalu merenggangkan hubungan.

Semak semula cara kita menasihati. Mungkin pemilihan perkataan atau cara penyampaiannya salah. Ada ketikanya seseorang itu tidak boleh menerima nasihat yang diberikan kerana cara penyampaian kita seolah-olah mengaibkan, memburukkan, mencari salah dan menunjukkan kita ini bagus. Mungkin juga intonasi suara yang digunakan kurang sesuai atau pemilihan kata-kata agak kasar atau bersifat menyerang. Sebab itulah penting bagi kita membina hubungan baik (rapport) terlebih dahulu sebelum menasihati. Usah main terjah sahaja.

Betulkan diri kita dahulu sebab orang lebih percaya apabila kita boleh dicontohi dan dipercayai. Kadang kala kita ini bagaikan ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sebelum menasihati orang lain, nasihatlah diri sendiri dahulu. Malah sepanjang proses menasihati seseorang itu juga kita perlu sentiasa cermin diri sendiri. Sebab ketika menasihati itu, mungkin datang idea atau ilham yang boleh kita manfaatkan sama.

Kita juga perlu belajar menerima nasihat, baru dia tahu yang kita ikhlas. Usah jadi orang yang sekadar pandai menasihati tetapi tidak pandai menerima nasihat. Nasihat menasihati adalah proses dua hala. Hari ini kita nasihatkan dia, esok dia pula nasihatkan kita. Sikap saling menasihati dan berlapang dada sebegini akan mewujudkan suasana yang harmoni serta membina semangat kerja berpasukan yang tinggi. Sebab asas kepada kekuatan ummah itu adalah saling mempercayai. Apabila kita menasihati orang lain dan dalam masa yang sama boleh pula menerima nasihat maka ia menyuburkan sikap saling mempercayai dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Rajin tingkatkan ilmu sebab orang suka berkawan dengan orang yang ada ilmu. Mereka akan lebih hormat pada kita dan itu kelebihan yang boleh kita manfaatkan bagi kebaikannya juga. Semua orang sayangkan orang yang mempunyai pengalaman, berilmu dan memiliki kemahiran yang tinggi. Orang seperti ini sentiasa diminta pendapatnya dan dijadikan pakar rujuk dalam sesuatu perkara. Oleh itu, kita perlu tingkatkan kualiti diri dalam aspek ketinggian ilmu agar dengan kuasa ilmu yang ada maka bolehlah kita mempengaruhi dan mendorong orang lain ke arah kebaikan.

Kasihanilah orang itu dan doakannya. Kalau orang itu tahu apa yang kita tahu maka dia tidak akan lakukan apa yang kita tidak lakukan. Tetapi disebabkan kejahilannya, atau kedangkalan fikirannya, maka dia melakukan sesuatu yang merosakkan diri dan masa depannya. Apabila telah dinasihati tetapi dia tidak mahu menuruti maka tiada apa lagi yang boleh kita lakukan kecuali kasihankannya dan doakan agar Allah berikannya petunjuk dan hidayah. Kerana selemah-lemah iman ialah orang yang membenci dalam hati akan satu perbuatan yang keji. Namun, yang dikeji itu adalah perangai atau sikapnya bukanlah orangnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen