Selasa, 19 April 2011

ISU BAHASA : Menyanggah teori Melayu-Polynesia dari Taiwan

Oleh Siti Madihah Ahmad Mahir

Pensyarah Kanan Universiti Brunei kemuka bukti baru sangkal kajian dua sarjana Barat

TEORI diguna pakai selama ini menyatakan tanah asal etnik dan bahasa Melayu-Polynesia dari Taiwan mula dipertikaikan dengan penemuan beberapa bukti kajian yang menentang pandangan itu.

Pensyarah Kanan Program Bahasa Melayu dan Linguistik dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Dr Abdullah Jumain Abu Samah, menegaskan orang Melayu-Polynesia serta bahasa mereka bukan dari Taiwan tetapi berasal dari Kepulauan Asia Tenggara itu sendiri.

Beliau memberikan bukti kajiannya dalam satu wacana bertajuk: ‘Tanah Asal Etnik dan Bahasa Melayu-Polynesia: Dari Taiwan?’ yang dianjurkan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bulan lalu.

Abdullah berkata selama ini kita mempercayai teori bahasa serta etnik Melayu-Polynesia – yang menjadi nenek moyang orang Melayu, Iban, Kadazan-Dusun, Murut, Bidayuh, Penan, Jawa, Bugis, Minangkabau, Kerinci dan lain-lain penduduk pribumi di rantau ini dan sekitar lautan Pasifik berasal dari Taiwan.

Teori popular ini dikemukakan Robert Blust yang membuat kajian dari sudut linguistik dan disokong kajian Peter Bellwood dalam bidang arkeologi.

Bahasa Melayu-Polynesia antara 10 cabang bahasa Austronesia. Blust merumuskan sembilan cabang bahasa Austronesia yang lain ada di Taiwan, manakala satu cabang lagi tersebar luas di luar kawasan Taiwan.

Jumlah majoriti cabang bahasa di Taiwan ini menyebabkan beliau membuat kenyataan umum bahawa asal-usul bahasa Austronesia, termasuk bahasa Melayu-Polynesia adalah dari Taiwan.

Blust mengandaikan penyebaran bahasa Austronesia ke luar Taiwan adalah disebabkan orang Austronesia yang berasal dari Taiwan berhijrah ke luar termasuk ke Asia Tenggara dan ke kepulauan Polinesia. Malah, teori Blust disokong Bellwood yang menemui artifak neolitik dari Taiwan di Filipina yang dijadikan bukti bahawa berlaku penghijrahan dari Taiwan.

Teori dikemukakan Blust dan Bellwood ini yang disangkal Abdullah Jumain. Beliau menyenaraikan bukti dari sudut linguistik paleontologi, antropologi, sains genetik dan arkeologi yang menentang pandangan Blust dan Bellwood.

Pertamanya, beliau menyebut mengenai perbezaan sistem kekerabatan yang diamalkan etnik dari Taiwan serta etnik Austronesia di Asia Tenggara dan Polinesia.

Sistem kekerabatan di Taiwan berbentuk unilineal, yakni merangkumi sistem patrilineal, matrilineal dan ambilineal, manakala sistem kekerabatan di sekitar Asia Tenggara dan Polinesia berbentuk bilateral.

Meskipun sistem kekeluargaan masyarakat Minangkabau berbentuk matrilineal seperti sesetengah etnik di Taiwan, Abdullah pantas menyatakan bahawa ada bukti kukuh bahawa tiada persamaan dan kaitan antara kedua-duanya.

Beliau juga menyimpulkan bahawa mustahil kumpulan masyarakat Austronesia dari Taiwan yang dikatakan berhijrah keluar itu meninggalkan terus sistem kekeluargaan mereka sebaik saja keluar dari Taiwan. Ini kerana di Filipina, tiada bukti bahawa masyarakat Austronesia di sana mengamalkan sistem kekerabatan yang mirip sistem yang ada di Taiwan.

Beliau berkata, jarak antara Taiwan dan Filipina tidak begitu jauh hingga memungkinkan perubahan boleh berlaku dengan begitu mendadak.

Kata Abdullah: “Manusia tidak akan dapat dipisahkan daripada budayanya. Tidak mungkin dan salah satu dari aspek budaya ialah bahasa. Tidak mungkin orang Taiwan yang menuturkan bahasa Austronesia itu berhijrah ke kepulauan Asia Tenggara dan apabila sampai saja di Filipina, dinyahkan sistem kekerabatan tetapi mengekalkan bahasa.”

Abdullah menegaskan apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya iaitu lelaki Austronesia dari Asia Tenggara yang sebenarnya berhijrah ke Taiwan. Mereka mengahwini wanita di Taiwan dan selepas itu kembali semula ke Asia Tenggara melalui Filipina dan sepanjang masa itu mereka langsung tidak pernah mengubah sistem kekerabatan mereka.

Hipotesis beliau disokong kajian genetik yang menemui bahawa lelaki yang berhijrah keluar dari Taiwan itu memiliki kromosom Y lelaki dari Kepulauan Asia Tenggara, manakala wanitanya pula memiliki Mitochondrial DNA (mtDNA) milik wanita Taiwan.

Dari sudut linguistik pula, beliau menyatakan bahawa dari aspek rumpun, persamaan antara bahasa yang digolongkan dalam rumpun Austronesia di Taiwan dan Asia Tenggara adalah kerana bahasa kedua-dua rantau itu adalah daripada satu punca yang sama, iaitu suatu tempat di bahagian selatan China.

Abdullah bagaimana pun berpesan: “Kertas kerja yang saya bentang ini, tidak semestinya satu kebenaran mutlak. Kita tahu teori bukan hukum. Teori adalah satu bentuk kenyataan umum yang bersifat intelektual berdasarkan kepada pemerhatian kita terhadap fakta."

Sumber : http : //www.bharian.com/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI :UNIK Kenal Pasti Potensi 113 Produk R&D Untuk Dikomersialkan

Oleh NORMALAZWA JAMALUDIN (BERNAMA)

CYBERJAYA: Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Pejabat Perdana Menteri telah mengenal pasti 113 hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) daripada lima universiti dan dua institut penyelidikan awam yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

Naib Presiden Eksekutif UNIK, Mohd Rizatuddin Mohd Ramli berkata, kesemua produk R&D itu dikenal pasti dalam fasa pertama bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Katanya, lima universiti berkenaan ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Manakala dua institut penyelidikan awam tersebut ialah SIRIM dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

"Sebanyak 1,100 projek telah diterima daripada pihak universiti dan selepas analisis dan penyenaraipendekkan dilakukan, didapati hanya 113 produk R&D berpotensi tinggi untuk dikomersilkan," katanya kepada Bernama di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penubuhan UNIK dalam Bajet 2011, bagi tujuan mengkomersilkan hasil R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan tempatan.

UNIK merupakan sebuah pusat setempat untuk merumuskan dasar dan strategi bertujuan mewujudkan ekosistem yang kondusif dalam memacu pertumbuhan inovasi di dalam negara.

Mohd Rizatuddin berkata, antara kriteria bagi R&D yang dilihat berpotensi untuk dikomersilkan ialah dari segi saiz pasarannya dan perlindungan dari segi paten bagi dalam dan luar negara.

"Kita duduk bersama penyelidik, melihat projek mereka dari segi harta intelek (IP), dan dari segi potensinya bagaimana untuk kita mempercepatkan dari segi pengkomersialannya," katanya.

Menurut beliau kebanyakan R&D tersebut adalah dalam bidang sains bahan, sains hayat dan bioteknologi.

USM dan UM telah menjalankan kajian dari segi diagnostik perubatan bagi penyakit tropikal seperti denggi, kolera dan deman kepialu.

Mohd Rizatuddin juga berkata, R&D tersebut telah dibangunkan bagi tempoh antara lima dan lapan tahun dan akan memasuki pasaran tempatan terlebih dahulu pada tahun depan sebelum dipasarkan ke luar negara.

Katanya, sebanyak 10 universiti lagi akan terbabit, masing-masing lima bagi fasa kedua selama empat bulan bermula bulan depan dan fasa ketiga pada penghujung tahun ini.

Sumber : http : //www.bernama.com/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Hargai budaya inovasi tempatan

Zulkifli Haron bersama ciptaan terbarunya, Hoverkraf

Oleh AZNAN BAKAR
aznan.bakar@utusan.com.my

MENONTON siri Howe and Howe Tech di saluran Discovery kita terdedah tentang kreativiti dua beradik kembar Micheal dan Geoffrey Howe berinovasi. Mereka menghasilkan kenderaan ekstrem termasuk bagi kegunaan tentera.

Idea dan inovasi mereka diterjemahkan kepada penghasilan produk unik yang kemudiannya di tempah untuk kegunaan pelbagai pihak terutama tentera Amerika Syarikat. Siri itu secara tidak langsung turut mengajar kita bahawa sesuatu inovasi hanya akan berjaya jika ada sokongan.

Tanpa sokongan sama ada daripada kerajaan mahupun syarikat-syarikat yang ada kemampuan kewangan besar, inovasi akan mati.

Beberapa minggu lalu Utusan Malaysia menyiarkan kejayaan pereka cipta tempatan Zulkifli Haron menghasilkan hoverkraf yang sesuai untuk pelbagai kegunaan.

Hoverkraf itu amat mudah dan praktikal. Ia menggunakan bahan-bahan yang senang diperolehi termasuk enjin kereta biasa berkuasa 1,600 kuasa kuda. Ia juga berfungsi dengan baik setelah diuji. Malah setanding dengan yang dicipta syarikat-syarikat besar dari luar negara.

Sekiranya Zulkifli berada pada kedudukan adik beradik Howe itu, sudah tentu dia telah ditawarkan kontrak bernilai jutaan ringgit. Tetapi, situasi itu jarang berlaku di negara ini. Reka cipta tempatan belum mendapat pengiktirafan setinggi dan sebesar itu.

Selain Zulkifli yang sudah lebih 30 tahun berkreatif dan berinovasi, terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang kreatif sepertinya termasuk di kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Tetapi kebolehan mereka itu sekadar untuk kepuasan sendiri. Idea yang dicurahkan tidak diberi pengiktirafan dan tidak diangkat ke tahap sepatutnya. Lebih teruk lagi, kreativiti dan inovasi mereka itu adakalanya diperlekehkan atau dipandang remeh kerana budaya masyarakat kita yang terlalu mengagung-agungkan ciptaan luar.

Zulkifli misalnya mula berinovasi ketika berusia empat tahun. Produk pertama ciptaannya ialah lori mainan dari kayu. Tetapi dia mula dikenali dan mula terkenal pada tahun 1984. Ia gara-gara kereta serba-serbi automatik yang diciptanya di kampungnya, Kampung Batu 16 Rawang.

Ajaibnya ketika itu, kereta tersebut boleh dihidupkan dari jauh dan digerakkan melalui alat kawalan. Pengelap hujannya pula berfungsi secara automatik apabila cermin terkena air. Tetapi kira-kira 25 tahun lalu siapa yang tahu tentang inovasi? Hasilnya kebolehan Zulkifli itu dikatakan mempunyai kaitan dengan penggunaan jin dan hantu.

Kereta ciptaannya dikatakan digerakkan oleh hantu. Lalu digelarnya kereta hantu. Zulkifli turut digelar Zul Hantu. Disebabkan inovasi bukan budaya kita, mereka tidak boleh mengaitkan ciptaan itu dengan aplikasi elektrik dan elektronik.

Hingga kini selepas lebih 30 tahun berinovasi, Zulkifli telah menghasilkan hampir 1,000 produk. Kebanyakan dicipta dan dibina untuk kepuasan peribadi dan bagi memenuhi keperluan orang tertentu.

Daripada hampir 1,000 ciptaannya itu, tidak ada satupun yang dikeluarkan secara komersial. Juga, tidak ada satupun yang ditawarkan kontrak untuk dibekalkan secara besar-besaran.

“Saya macam inilah... akan teruskan apa yang telah saya lakukan,” itu kata Zulkifli ketika ditanya adakah dia kecewa dengan situasi yang berlaku. Saban bulan dan saban tahun ada saja ciptaan-ciptaan unik yang dihasilkan rakyat Malaysia.

Kebanyakannya sesuai dengan kegunaan harian malah mengagumkan banyak pihak. Tetapi ia tidak dapat dikembangkan kerana sokongan dan pengiktirafan tidak ada.

Banyak juga ciptaan itu yang telah menang pelbagai anugerah dalam dan luar negara. Tetapi semuanya senyap begitu sahaja atau sekadar disimpan untuk pameran. Idea dan reka cipta yang sepatutnya boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan negara terbiar seolah-olah tidak ada nilainya.

Yang menjadi persoalan sekarang kenapa tidak ada pihak yang tampil untuk memberi nilai kepada pelbagai produk inovasi tempatan ini? Kenapa agensi-agensi kerajaan terutamanya agak keberatan untuk menyokong idea-idea yang diketengahkan itu supaya ia bukan sahaja membudayakan inovasi di negara ini, tetapi pada masa sama mampu membantu negara menghasilkan produk yang inovatif.

Sedangkan di Barat, Jepun dan Korea inovasi amat dihargai. Mereka yang bergelar pereka cipta atau inovator pasti menjadi billionaire. Syarikat-syarikat multinasional ternanti-nanti ciptaan golongan itu. Sama ada untuk kegunaan khusus atau bagi tujuan komersial.

Kerajaan pula akan mengutamakan ciptaan-ciptaan tempatan terlebih dahulu untuk digunakan oleh agensi-agensinya. Tetapi, di Malaysia inovasi dan idea kreatif ciptaan tempatan sukar mendapat penghargaan.

Tentu kita masih ingat kejayaan pelajar Sekolah Menengah Teknik Seri Pelindung Kuantan menghasilkan rostrum pintar pada 2008. Keistimewaan rostrum itu mikrofonnya akan naik dan turun secara automatik berdasarkan ketinggian orang yang berucap. Tetapi selepas lebih tiga tahun ia masih di peringkat kajian untuk dikomersialkan.

Banyak lagi ciptaan para pelajar yang sehingga kini terperap begitu sahaja. Jika mahu dikatakan kerajaan tidak menyokong perkembangan inovasi tidak mungkin kerana terdapat Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi.

Sepatutnya agensi-agensi yang berkaitan dengan inovasi di bawah kementerian ini bertindak sebagai penyelaras. Mereka perlu himpun apa juga data mengenai produk inovasi yang dihasilkan supaya boleh dikembangluaskan.

Maklumat yang dikumpulkan itu boleh disalurkan kepada agensi kerajaan lain dan sektor swasta kerana kemungkinan ia boleh diguna pakai atau dikomersialkan mengikut kesesuaian produk yang dihasilkan.

Hoverkraf ciptaan Zulkifli misalnya, yang jauh lebih murah dan cukup mudah diselenggara mungkin sesuai untuk kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat mahupun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini sedang meninjau-ninjau untuk membeli kemudahan seperti itu.

Apa salahnya jika mereka menguji produk yang dihasilkan Zulkifli itu. Jika perlukan apa-apa pengubahsuaian ia boleh dilakukan mengikut kesesuaian dan keperluan.

Jika ia sesuai untuk kegunaan bomba dan angkatan tentera kita kemungkinan ia akan membuka mata negara-negara lain untuk mengimportnya. Tidakkah itu akan membantu membina satu industri baru untuk negara?

Sokongan dan penghargaan seperti itu juga sudah tentu akan mendorong melahirkan lebih ramai pereka cipta negara. Ia merupakan satu keperluan jika Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju.

Jika kita tidak mampu menghargai dan memberi pengiktirafan kepada golongan pencipta ini walaupun kita ada kementerian khusus untuknya, maka impian menjadi sebuah negara maju sukar untuk dicapai.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/