Ahad, 3 Jun 2012

ISU SUKAN : Bijak urus masa tonton EURO 2012


KUALA LUMPUR : Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta pekerja yang mengikuti perlawanan bola sepak Eropah UEFA 2012 (EURO 2012) menguruskan masa rehat secukupnya bagi mengelak produktiviti kerja mereka menurun.

Ini berikutan, kejohanan edisi ke-14 yang akan membuka tirainya pada 8 Jun hingga 3 Julai depan dilihat mempunyai pengikut ramai termasuk di kalangan pekerja terutama generasi muda.

Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan, berkata walaupun semua jadual perlawanan EURO 2012 tahun ini berlangsung awal pagi, namun ia bukan alasan pekerja gagal menunjukkan prestasi kerja cemerlang sepanjang acara itu berjalan.

Katanya, pengurusan waktu secara bijak serta sesuai perlu dirancang dan diatur bagi membolehkan mereka tidak dibelenggu keletihan berpanjangan sehingga mengganggu kerjaya diamanahkan.

“Apabila tiba musim bola (EURO 2012), kita akan dengar pelbagai kerenah pekerja seperti keletihan, kurangnya produktiviti kerja dan kekerapan mengambil cuti.

“Sebab itu, pengurusan masa (rehat) amat penting bagi mengelak minat (menonton bola sepak)  menjejaskan mutu kerja. Mungkin apabila bola (perlawanan) mula awal pagi, mereka (pekerja) boleh ambil masa rehat atau tidur lebih awal,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan dalam sebuah portal semalam yang menjangka produktiviti pekerja secara keseluruhan akan menurun dan memberi kesan kepada mereka yang tidak mengikuti kejohanan itu.

Kejohanan EURO 2012 yang berlangsung di Poland–Ukraine dengan membariskan pemain bola sepak terkemuka dunia dari 16 negara gergasi Eropah akan disiarkan awal pagi iaitu sekitar jam 12 tengah malam dan 2.45 pagi.

Sehubungan itu, Khalid berharap pekerja dapat mengutamakan kerjaya mereka, berbanding minat terhadap bola sepak.

Sementara itu, Shamsuddin berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, majikan perlu bersedia berdepan dengan kadar ketidakhadiran tinggi ketika berlangsungnya acara seperti EURO 2012 dan sukan Olimpik sama ada pekerja mengambil cuti sakit atau tidak hadir.

“Jika ramai pekerja mengambil cuti (disebabkan EURO 2012), maka beban kerja tambahan mereka terpaksa diserahkan kepada pekerja lain,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Talian Bantuan Untuk Tangani Masalah Berat Badan


Oleh LIM WEY WEN

PETALING JAYA : Tidak kira sama ada seorang warga emas atau remaja apabila berhadapan dengan isu berat badan, semua akan menerima kesannya.

Ini ditunjukkan oleh maklum balas menerusi talian bantuan untuk pengurusan berat badan yang baru dilancarkan yang melihat pemanggil berusia di bawah 21 tahun sehingga mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Menurut pusat panggilan bantuan itu, lebih separuh daripada pemanggil adalah di bawah 21 tahun dan sekurang-kurangnya 10 orang adalah berusia lebih 60 tahun.

Setakat Jumaat lalu, kira-kira 50 peratus daripada 140 panggilan ke pusat itu merupakan mereka yang mengalami obes manakala 30 peratus lagi mempunyai berat badan berlebihan dan selebihnya dalam berat badan yang normal.

Talian itu diwujudkan oleh Persatuan Farmaseutikal Malaysia bagi membantu menangani peningkatan yang membimbangkan di kalangan bilangan rakyat Malaysia yang obes.

“Kami memantau secara rapi setiap perkembangan program. Kami harap kami dapat melihat sebaik mungkin bagi memberikan perubahan terhadap kelaziman obesity di negara ini,” kata Presidennya, Datuk Nancy Ho.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan pada Disember tahun lalu, kira-kira 15 peratus rakyat Malaysia adalah obes, meningkat 1 peraus sejak 2006 dan hampir separuh daripada orang dewasa rakyat Malaysia mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes.

Ho berkata, program itu memberi bantuan dan kaunseling kepada orang ramai yang mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obes, dengan kombinasi diet, nutrisi, perubahan gaya hidup dan bantuan perubatan sekiranya perlu.

“Kami mempunyai kumpulan yang terdiri daripada ahli farmasi, ahli nutrisi dan pakar diet yang akan membimbing peserta melalui proses secara menyeluruh,” kata beliau, sambil menambah proses itu mengambil masa selama empat bulan.

Beliau berkata, talian itu merupakan pilihan kepada mereka yang mahu untuk tampil ke hadapan bagi mendapat bantuan berhubung isu berat badan.

Talian adalah bebas tol di 1-300-800-373 dan dibuka dari pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang, dari Isnin sehingga Jumaat.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU SUKAN : Demam EURO 2012 bakal jejas produktiviti pekerja


Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my

Kejohanan bola sepak Eropah, sukan Olimpik legakan seketika kehangatan isu pilihan raya

KEJOHANAN bola sepak Eropah atau lebih dikenali sebagai EURO 2012, pertandingan kedua terbesar sukan itu selepas Piala Dunia, akan bermula Sabtu ini. Seperti biasa, Malaysia walaupun sudah lama di tempat tercorot dalam senarai gergasi bola sepak serantau, akan menghadapi ‘demam’ sepanjang tiga minggu kejohanan itu. Dalam kata lain, sebahagian besar rakyat negara ini akan 'tidur bola, makan bola', manakala isteri dan suri rumah yang tidak meminati bola sepak bakal mengeluh kerana terabai untuk sementara waktu. Majikan pula sama ada jabatan awam atau swasta terpaksa menghadapi masalah ponteng kerja, meningkatnya cuti sakit atau pekerja datang lewat.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan kejatuhan produktiviti pekerja sepanjang kejohanan EURO 2012 akan disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen di negara ini. Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan, dilaporkan berkata, berdasarkan pengalaman lalu, majikan perlu bersedia menghadapi masalah ponteng kerja atau cuti sakit pada tempoh kejohanan EURO 2012 dan Sukan Olimpik selepas itu.

“Dua kejohanan itu amat popular di Malaysia dan ramai yang akan menonton siaran secara langsung. Disebabkan perbezaan waktu, kebanyakan siaran langsung itu pada awal pagi dan mereka yang menonton tentunya letih dan mengantuk apabila bekerja selepas itu. Mereka tidak mungkin mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada tugas,” katanya.

Kajian MEF sebelum Piala Dunia 2010 mendapati 120 ahli persatuan itu menjangkakan 14.2 peratus pekerja mereka mengambil cuti sakit, manakala tahap produktiviti jatuh 15.5 peratus.

Dari sudut lain pula, kejohanan EURO 2012 mungkin dapat mengurangkan seketika demam Pilihan Raya Umum Ke-13, yang melanda sejak tahun lalu dan suhunya kian meningkat sekarang. Selepas beberapa ramalan mengenai tarikh Parlimen dibubarkan meleset, beberapa tarikh baru pula diramalkan seperti pada Julai, selepas Aidilfitri atau selepas pembentangan Bajet 2013, yang jatuh pada 28 September.

Pemilihan tarikh pembentangan belanjawan negara lebih awal daripada kebiasaannya itu menimbulkan spekulasi kuat kononnya pilihan raya umum akan diadakan sebelum Ramadan. Jika ini berlaku, bermakna rakyat Malaysia akan menghadapi dua demam serentak iaitu demam pilihan raya umum dan deman EURO 2012 atau Sukan Olimpik yang bermula Julai hingga Ogos.

Secara kebetulan, tiga kejohanan Piala Eropah sebelum ini iaitu pada 1964, 2004 dan 2008 diadakan pada tahun sama Malaysia mengadakan pilihan raya umum.

Sekiranya satu kejohanan sukan itu berlaku serentak dengan tempoh berkempen pilihan raya umum, tumpuan rakyat pastinya terbahagi dua. Walaupun bukan semua rakyat meminati bola sepak atau Olimpik, tidak kurang juga mereka yang sudah bosan dengan politik. Kerana itu, siaran langsung kejohanan EURO 2012 dan Sukan Olimpik nanti mungkin melegakan mereka yang sudah bosan dengan pelbagai berita politik serta kenyataan dan tingkah laku pemainnya.

Pada masa sama, kehadiran kejohanan sukan popular seperti ini ketika demam pilihan raya umum turut mencabar kebijaksanaan orang politik bagaimana mereka boleh mengalih perhatian rakyat kepada kempen masing-masing.

Kerana itu, kita tidak hairan jika di sepanjang kejohanan EURO 2012 nanti ada ceramah atau kegiatan politik diaturkan serentak dengan acara menonton siaran langsung perlawanan bola sepak terutama di kalangan pengundi muda yang menjadi rebutan parti politik.

Sama ada tempoh berkempen pilihan raya umum nanti serentak dengan EURO 2012 atau tidak, yang pasti perhatian rakyat sepanjang bulan ini tidak lagi tertumpu kepada politik semata-mata. Stesen televisyen dan syarikat penaja mengaturkan pelbagai acara bagi menarik penonton dan meningkatkan jualan produk masing-masing. Seperti sepanjang kejohanan Piala Dunia, EURO 2012 menyediakan pelbagai pesta untuk peminat bola sepak.

Walaupun majikan berdepan dengan kejatuhan produktiviti pekerja, kejohanan sukan seperti ini mampu mengalih perhatian rakyat daripada pertelingkahan politik yang bagaikan tidak berkesudahan untuk sementara waktu.

Sekurang-kurangnya keseronokan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan ketika menyokong pasukan masing-masing dalam suasana penuh ceria nanti, menyedarkan kita politik bukan segala-galanya dalam kehidupan ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/