Khamis, 20 Mei 2010

Ganjaran galas amanah didik anak bangsa


Alternatif cadangan bayaran elaun kerja lebih masa, tingkatkan motivasi guru di sekolah

SAMBUTAN Hari Guru tahun ini sangat bermakna terutama dalam kalangan mereka yang berkhidmat di sekolah arus perdana. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin ketika merasmikan Hari Guru peringkat kebangsaan, di Kuantan Ahad lalu, mengumumkan tiga insentif sebagai ganjaran dan penghargaan kepada guru yang komited dalam memikul amanah mendidik anak bangsa dan menjayakan matlamat pendidikan kebangsaan.

Insentif pertama ialah isu beban tugas sampingan yang begitu lama diperjuangkan guru, sejak pertengahan 1970-an implikasi pelaksanaan KBSR dan KBSM di sekolah rendah dan menengah.


Kedua, kenaikan pangkat sekali gus menyediakan laluan kerjaya lebih baik menjadikan kerjaya guru sama kompetitif dengan perkhidmatan awam lain. Ketiga, tawaran baru (new deals) iaitu ganjaran kewangan kepada pengetua, guru besar dan guru yang melonjakkan prestasi sekolah melepasi sasaran skor komposit ditetapkan.


Ternyata apabila diberi keutamaan dan kesungguhan perkara yang sekian lama menjadi duri dalam daging boleh diatasi dalam tempoh singkat. Menteri Pelajaran silih berganti, namun isu tidak dapat diselesaikan.

Hanya pada Mac lalu Jawatankuasa Mengkaji Beban Tugas Guru dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ditubuhkan selepas perbincangan antara Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dengan NUTP.

Bertujuan mengklasifikasikan perbezaan antara tanggungjawab hakiki guru dengan beban tugas lain, terutama perkeranian yang tidak sepatutnya diserahkan kepada guru. Seperti yang dinyatakan Muhyiddin garis panduan terperinci akan diumumkan selepas jawatankuasa itu selesai membuat perakuan. Bermakna perakuannya akan dapat disiapkan dalam tempoh beberapa bulan selepas penubuhannya.

Cadangan mengehadkan murid kepada 25 orang bagi setiap kelas, bukan saja memberi kesan dari segi mengurangkan beban tugas guru, tetapi memberi implikasi positif lain terutama dalam memacu dan melonjakkan prestasi pelajar dan sekolah.

Bagaimanapun cadangan itu sukar dari segi pelaksanaan kerana menghadapi banyak kekangan dan implikasi yang sukar diatasi dalam jangka masa pendek. Keadaannya hampir sama dengan cadangan mewujudkan sekolah satu sesi yang sehingga sekarang tidak menampakkan perkembangan.

Apabila kelas 25 murid diwujudkan kerajaan mesti menyediakan prasarana yang secukupnya, terutama penambahan bilik darjah dan kelengkapan lain serta pengambilan guru barangkali hampir sekali ganda daripada keadaan sekarang.

Sekiranya mahu menantikan kelas 25 murid wujud, baru cadangan lain dilaksanakan, bermakna isu beban tugas guru tidak akan dapat diselesaikan. Jadi biarlah kelas 25 murid ini dijadikan isu berasingan.

Insentif kedua, berhubung kenaikan pangkat sudah tentu akan menyemarakkan komitmen semua guru. Kini guru mempunyai peluang lebih luas, iaitu tidak semata-mata menunggu kenaikan gred perkhidmatan melalui proses mengisi kekosongan jawatan, tetapi kenaikan berdasarkan Time-based. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju mempercepatkan pemprosesan kenaikan pangkat berdasarkan Time-based seperti daripada Gred DG44 kepada DG48.

Melalui kaedah ini seseorang guru tidak perlu menunggu kekosongan seperti jawatan pengetua untuk dilantik ke Gred DG48, tetapi peningkatan gred dilakukan berdasarkan tahun perkhidmatan serta kualiti perkhidmatan. Lantas menjadikan peluang kenaikan gred amat terbuka dan berteraskan profesionalisme.

Ia memberi dua implikasi penting, iaitu menggalakkan guru mengekalkan profesion mereka dan kedua mendorong guru lebih komited dalam menggalas amanah mendidik anak bangsa.

Seperkara yang amat menarik ialah penghargaan dan pengiktirafan kepada guru yang mempunyai ijazah lebih tinggi iaitu pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD). Pada masa ini seseorang guru walaupun mempunyai PhD, tetapi pengiktirafan dalam perkhidmatan adalah didasarkan kepada ijazah pertama. Bermaksud selepas menamatkan ijazah kedoktoran, seseorang itu jika berada di Gred DG44, akan tetap berada di tahap sama.

Sebarang kenaikan gred adalah berlandaskan kekananan dalam gred yang disandang bukan kerana memperoleh ijazah kedoktoran. Keadaan yang sama juga dihadapi oleh penyandang Ijazah Sarjana.

Insentif ketiga adalah anugerah istimewa Hari Guru tahun ini, iaitu pengumuman ganjaran RM900 hingga RM7,500 kepada pengetua, guru besar dan guru sekolah menengah dan rendah yang mencatat prestasi cemerlang mencapai Petunjuk Prestasi utama(KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Ia boleh dianggap sebagai alternatif kepada cadangan membayar elaun kerja lebih masa kepada guru yang dituntut kesatuan tetapi tidak diterima kerajaan. Bagaimanapun insentif ini berbeza sama sekali dengan tuntutan bayaran kerja lebih masa kerana ia didasarkan kepada prestasi dan pencapaian sekolah.

Supaya anugerah ini tidak disalah guna dan dipertikaikan seperti sistem pengukuran prestasi menegak, melintang dan mendatar yang diamalkan terdahulu bagi menentukan penjawat awam diberi ganjaran perkhidmatan cemerlang dengan imbuhan kewangan, Kementerian Pelajaran perlu memastikan mekanisme penarafan dan penilaian yang tidak boleh mencetuskan kontroversi dilaksanakan.

Antara kriteria penting dalam menentukan skor komposit melepasi 92 peratus bagi sekolah menengah 84 peratus bagi sekolah rendah, ialah kebijaksanaan dan keberkesanan pentadbir dan guru untuk menjalankan tanggungjawab di dalam kerangka kerja ditetapkan.

Misalnya untuk mengukur pencapaian dari segi akademik, pengukuran KPI tentulah tidak sama di antara sekolah yang mengerahkan guru mengadakan kelas tambahan siang dan malam termasuk hujung minggu berbanding dengan sekolah lain yang memaksimumkan masa hakiki dengan melaksanakan pengajaran berkualiti dengan barangkali ditambah dengan dua atau tiga kali kelas tambahan dalam seminggu. Katakan kedua-dua sekolah memperoleh keputusan dalam peperiksaan UPSR yang hampir sama, maka keutamaan seharusnya diberi kepada sekolah kedua.

Apapun insentif diumumkan sempena sambutan Hari Guru tahun ini menyerlahkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan profesionalisme guru dan sebagai timbal balas memerlukan komitmen guru dalam memastikan negara mampu dalam melahirkan generasi muda berilmu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/