Jumaat, 29 Mei 2009

SUBJEK TERAS DIKURANG

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

Calon SPM boleh ambil lebih banyak mata pelajaran elektif ikut pengkhususan

KUALA LUMPUR: Bilangan subjek teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dikurangkan kepada tiga atau empat, berbanding enam sekarang selaras keputusan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran yang boleh diambil calon peperiksaan itu, mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata pengurangan subjek teras itu akan membolehkan calon SPM dalam semua aliran pendidikan, termasuk agama mengambil lebih banyak mata pelajaran elektif mengikut keperluan bidang pengkhususan dan minat masing-masing.

Ketika ini, calon SPM wajib mengambil enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral.

"Apabila jumlah mata pelajaran teras dikurangkan kepada tiga atau empat, setiap calon akan dikehendaki mengambil minimum enam sehingga maksimum 10 subjek dalam peperiksaan itu.

"Ini bermakna calon masih berpeluang mengambil beberapa subjek elektif lain yang diminati tanpa perlu mengorbankan pemilihan mata pelajaran elektif dalam bidang pengkhususan mereka," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau memberi contoh, calon dalam aliran sains dapat mengambil mata pelajaran elektif Biologi, Kimia, Fizik serta Matematik Tambahan dan pada masa sama boleh memilih dua atau tiga subjek lain yang di luar bidang aliran pendidikan mereka seperti Prinsip Perakaunan dan Ekonomi Asas.

Alimuddin berkata, calon dari aliran agama juga mempunyai peluang mengambil subjek yang mencukupi dalam bidang pengkhususan mereka, seperti Tasawwur Islam, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.

Beliau mengulas kebimbangan ibu bapa dan pelajar aliran agama mengenai kekangan untuk mengambil mata pelajaran elektif dalam bidang pengkhususan mereka berikutan keputusan Kementerian Pelajaran mengehadkan pengambilan maksimum 10 subjek dalam SPM yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Kebimbangan sama turut disuarakan ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Samy Vellu dalam kenyataannya semalam, meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula peraturan itu kerana berpendapat ia akan menghalang pelajar keturunan India daripada mengambil kedua-dua kertas Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil dalam peperiksaan itu.

Mengenai subjek teras yang akan dikeluarkan dan dijadikan mata pelajaran elektif, Alimuddin berkata ia masih terbuka kepada sebarang pandangan daripada pihak lain.

"Kementerian dalam peringkat akhir menambah baik keseluruhan cadangan penstrukturan semula SPM, termasuk dari segi penentuan mata pelajaran teras serta sistem penggredan peperiksaan itu, yang dijangka siap dalam satu atau dua minggu lagi.

"Apabila siap, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat profesional kementerian sebelum dibentangkan kepada Menteri Pelajaran untuk kelulusan dan sekiranya diminta Menteri Pelajaran, nota Kabinet akan turut disediakan," katanya.

Mengulas lanjut, Alimuddin menegaskan langkah mengehadkan pengambilan subjek dalam SPM tidak akan menimbulkan masalah besar kerana berdasarkan statistik, tahun lalu tidak sampai 10 peratus atau kira-kira 38,000 daripada 480,000 calon SPM mengambil lebih 10 mata pelajaran.

Beliau menasihatkan calon tidak membuat pemilihan subjek elektif secara 'caca marba' atau 'bertindih', sebaliknya menumpukan pengambilan mata pelajaran mengikut pengkhususan masing-masing berdasarkan keperluan kelulusan untuk memasuki bidang pengajian tertentu di universiti kelak.

Justeru, katanya, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) amat penting bagi menentukan kecenderungan penguasaan bidang ilmu seseorang pelajar untuk membolehkannya mengkhusus dalam aliran pendidikan berkenaan mulai Tingkatan Empat.

"Kementerian berharap ibu bapa dan pelajar memahami langkah ini (mengehadkan bilangan subjek boleh diambil calon SPM). Antara tujuannya ialah untuk mengelakkan calon mengabaikan aktiviti kokurikulum.

"Apabila mengambil terlalu banyak subjek, mereka tiada masa kerana terpaksa mengikuti tuisyen bagi mata pelajaran elektif yang tidak diajar di sekolah.

"Ada banyak aduan bahawa sistem pendidikan negara ketika ini seolah-olah terlalu berorientasikan peperiksaan semata-mata sedangkan konsep sebenar pendidikan ialah gabungan penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran serta nilai murni bagi melahirkan modal insan cemerlang," katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

JANGAN BIARKAN AH LONG BERLELUASA


Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
jenayah@utusan.com.my

KEKEJAMAN yang dilakukan oleh ah long terhadap golongan pemiutang yang gagal membayar pinjaman kini sudah berada pada tahap serius dan perlu ditangani segera.

Sebelum ini agak jarang mendengar berita mengenai kezaliman ah long seperti yang berlaku kepada tiga lelaki yang menjadi mangsa kekejaman penjenayah itu.

Ah long (pada zaman ini) mengambil kesempatan kemerosotan ekonomi yang melanda negara dan seluruh dunia untuk menarik lebih ramai mangsa untuk berhutang.

Walaupun jumlah hutang itu sedikit, mangsa akan diperlakukan seperti zaman jahiliah - dikurung dan dirantai selain ditambah dengan pelbagai penyeksaan lain yang tidak pernah kita dengar sebelum ini.

Di mana silapnya sehingga kekejaman ah long seperti ini boleh terjadi? Sedangkan umum sedia maklum bahawa kewujudan ah long ini bukanlah satu perkara baru.

Kegiatan ah long di Malaysia sudah wujud sejak sekian lama tetapi mereka kini semakin berani bertindak di luar batasan, seperti yang berlaku kepada tiga lelaki yang menjadi mangsa kurungan dan dirantai penjenayah itu.

Serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas sebuah rumah kedai di Bukit Serdang di ibu negara Rabu lalu, menunjukkan golongan ah long kini semakin berani melaksanakan hukuman sendiri, walhal hukuman itu sebenarnya tidak setimpal dengan kesalahan gagal membayar jumlah hutang yang tidak seberapa.

Ah long juga bertindak di luar batas kemanusiaan dengan melakukan jenayah kekerasan terhadap mangsa.

Mereka mewujudkan lokap tahanan sendiri, menghukum mangsa-mangsa itu sesuka hati dengan hukuman tidak sepatutnya dilakukan kepada manusia bertamadun pada zaman ini.

Sikap masyarakat sendiri yang masih percaya dan sanggup meminjam wang dengan ah long menyebabkan gejala ini tidak dapat diatasi sepenuhnya.

Kenapa masih ada masyarakat yang sanggup berurusan dengan ah long, sedangkan mereka tahu kesan dan risiko yang bakal dihadapi bukan sahaja diri sendiri, malah ahli keluarganya jika gagal melunaskan hutang.

Tidak dinafikan mereka yang terdesak dan mengalami masalah kewangan sering hilang pertimbangan untuk berfikir, sehingga ada yang sanggup mempertaruhkan nyawa dan keselamatan mereka.

Jalan paling mudah dan cepat bagi mereka yang bermasalah ialah menghubungi mana-mana nombor syarikat pinjaman ini (yang kononnya berlesen) untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi.

Untuk mencari ah long ini pula bukannya susah, malah mereka kini semakin 'approachable' apabila nombor-nombor ah long begitu mudah diperoleh menerusi poster, kain rentang dan kad edaran di mana-mana jua ketika ini.

Bukannya masyarakat kita tidak tahu kekejaman yang dilakukan oleh ah long selama ini, sekiranya hutang gagal dilunaskan dalam tempoh yang ditetapkan.

Masyarakat sebenarnya tahu tetapi mengambil sikap seolah-olah tidak tahu kesannya dan terus meminjam daripada ah long. Dan inilah silapnya.

Sering kali berita-berita mengenai kesengsaraan yang dihadapi mangsa ah long dipaparkan oleh media-media massa, namun sindrom meminta tolong daripada ah long ini masih berlaku.

Ketepikan soal kaum apa yang sering meminjam wang daripada ah long kerana ia kini bukan lagi masalah yang melibatkan satu kaum tertentu.

Bukan hanya satu jenis kaum sahaja yang meminjam daripada ah long kerana kini juga sudah ada kaum Melayu yang bermasalah dan sanggup meminjam daripada ah long.

Sepatutnya, kita lebih percaya kepada institusi kewangan berlesen yang dibenarkan oleh kerajaan untuk menyelesaikan beban hutang.

Banyak skim pinjaman yang diwujudkan oleh bank-bank tempatan. Namun, semakin banyak skim yang ada, semakin banyak juga rakyat kita yang lebih tertarik kepada ah long.

Hal ini juga perlu diberi perhatian. Kenapa orang lebih suka meminjam dengan ah long dan tidak dengan bank. Adakah begitu banyak prosedur yang perlu dipenuhi jika ingin meminjam daripada bank.

Jika itulah puncanya, pihak institusi kewangan dan kerajaan perlu melihat semula kaedah pemberian pinjaman ini agar ia tidak terlalu ketat dan menyukarkan golongan peminjam untuk berbuat demikian.

Mereka, jika gagal memperoleh pinjaman sudah pasti akan pergi kepada sumber yang paling mudah - jalan singkat ketika bermasalah dan hilang pertimbangan, iaitu meminjam daripada ah long.

Jenayah kekerasan yang dilakukan oleh golongan ah long juga menjadi sesuatu perkara yang tidak diduga. Sebagaimana yang berlaku kepada tiga mangsa di Bukit Serdang yang menggemparkan negara itu, siapa pun tidak menduga bahawa ah long kini bukan setakat sanggup membunuh, malah sanggup menyeksa mangsanya persis zaman dahulu kala.

Kepada pihak PDRM, bertegaslah dengan golongan ini. Heret mereka yang terlibat ini ke muka pengadilan. Jangan biarkan golongan ini berterusan menyeksa golongan pemiutang malah membunuh keluarga mangsa yang tidak berdosa.

PENULIS ialah Ketua Meja Jenayah Utusan Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

KUOK KEKAL PALING KAYA


KUALA LUMPUR: Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien kekal orang paling kaya di Malaysia dengan nilai kekayaan AS$9 bilion, walaupun kemelesetan ekonomi mengurangkan AS$1 bilion nilai kekayaannya yang dicatatkan tahun lalu, menurut Senarai Terkaya Forbes Asia Malaysia 2009.


Antara fakta menarik yang dicatatkan adalah Kuok menduduki senarai berkenaan setiap tahun sejak Forbes Asia memulakan ranking 40 rakyat Malaysia terkaya pada 2006.

Ahli perniagaan, Tan Sri Ananda Krishnan menduduki tempat kedua dengan nilai kekayaan AS$7 bilion, manakala di tempat ketiga dipegang pemilik IOI Corporation Bhd, Tan Sri Lee Shin Cheng dengan nilai kekayaan AS$302 bilion.

Jumlah nilai kekayaan Kuok dan Krishnan mencatatkan 44 peratus daripada kekayaan 40 rakyat Malaysia terkaya.


Antara bilionir yang mencatat nama dalam senarai berkenaan adalah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhari dari Yayasan Albukhary, Tan Sri Azman Hashim dari Amcorp Group dan Datuk Mokhzani Mahathir yang mengelolakan Litar Antarabangsa Sepang.


Selain itu, Datuk Kamarudin Meranun dari AirAsia turut tersenarai sebagai 40 rakyat Malaysia terkaya serta Tan Sri Rozali Ismail dari Puncak Niaga serta Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah, peguam terkemuka yang juga pemegang saham terbesar dalam Gamuda.

Turut sama tersenarai adalah Ahmayuddin Ahmad dari Westport yang juga pemegang saham untuk syarikat pengeluar alat tulis, Pelikan dan Tan Sri Hamdan Mohamad dari Ranhill Berhad.

Tan Sri VincentTan dari Berjaya Corporation Bhd adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang terkeluar daripada ranking serta memiliki kekayaan berbilion dolar dalam tempoh 12 bulan lalu kerana harga saham syarikatnya merosot.


Tiga muka baru yang memasuki kumpulan terkaya itu ialah anggota Lembaga Pengarah IOI, Chan Fong Ann, pemilik kasino dan perniagaan pelancongan, Tan Sri Chen Lip Keong dan eksekutif perisian, Goh Peng Ooi.

Empat nama tersenarai semula selepas terkeluar selama setahun atau lebih antaranya Pengerusi Concorde Hotels & Resorts (Malaysia) Sdn Bhd, Datuk Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir dan Tan Sri Tan Teong Hean yang menjual saham Southern Bank beberapa tahun lalu dan kini membuat pelaburan baru.


Sumber : http://www.hmetro.com.my/


NOTA HUJUNG:


Mungkin ada dalam kalangan anda yang bercita-cita tinggi untuk namanya turut tercatat dalam senarai Jutawan Tersohor suatu hari nanti. Walau bagaimanapun usaha untuk mendapat status tersebut bukan mudah. Nasihat orang terkaya di dunia (Warren Buffet) yang berikut saya kira amat berguna untuk difikirkan jika anda bercita-cita sedemikian:


1) Hindarilah kad kredit , menabunglah untuk diri anda sendiri dan ingat bahawa wang tidak mencipta manusia tetapi manusialah yang mencipta wang.

2) Hiduplah secara sederhana.

3) Jangan lakukan apa yang orang lain katakan, dengari pandangan mereka, namun lakukan apa-apa yang baik menurut fikiran anda.

4) Jangan memaksakan diri untuk memiliki barang-barang berjenama.

5) Jangan memboroskan wang anda untuk hal-hal yang tidak diperlukan; gunakanlah wang anda untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.

6) Jangan biarkan orang lain mengatur hidup anda . Andalah yang sepatutnya mengendalikan hidup anda sendiri.


TIP PENGURUSAN MASA BERKESAN

Pengurusan masa merupakan suatu elemen kehidupan yang sangat penting. Kelemahan seseorang menguruskan masa dengan efektif akan menyebabkannya mudah terjebak ke kancah kegagalan dan kekecewaan. Pengurusannya yang baik pula pastinya membuahkan natijah yang berkesan di samping memberi impak yang besar dalam kehidupan seseorang. Bagi remaja, masa muda adalah sangat kritikal untuk disia-siakan begitu sahaja. Banyak masa diperlukan untuk mengulang kaji pelajaran, waktu bersama keluarga dan rakan-rakan, membuat pembacaan tambahan, riadah dan rehlah dan sebagainya lagi.

Salah satu ciri remaja muslim cemerlang adalah Munazzomun fi syuunihi (terurus dalam urusan hariannya). Apa yang dimaksudkan dengan terancang urusan harian adalah:

"Tersusun dalam urusannya sehingga menjadikan kehidupannya teratur dalam segala hal yang menjadi tanggungjawab dan amanahnya. Dapat menyelesaikan semua masalahnya dengan baik dengan cara yang baik.”

10 TIP PENGURUSAN MASA BERKESAN :
1. Buatlah perencanaan
Anda memerlukan perencanaan kerja harian. Kalau tidak demikian, anda akan mengalokasikan waktu menurut apa sahaja yang kebetulan tiba di meja tulis anda. Awasilah setiap hari dengan membuat jadual umum, dengan penekanan khusus pada dua atau tiga hal yang ingin anda selesaikan. Semakin banyak waktu yang kita lewatkan untuk merencanakan sesebuah projek, semakin sedikit waktu total yang diperlukan untuk menyelesaikannya.
2. Pusatkan perhatian
Golongan yang menghadapi masalah serius dalam hal pengurusan waktu biasanya mencuba melakukan banyak hal sekali gus. Jumlah waktu yang digunakan dalam suatu projek bukanlah hal yang penting. Tetapi yang lebih penting ialah menyediakan jumlah waktu yang tidak terganggu.
3. Ambillah waktu rehat
Bekerja dalam tempoh yang lama tanpa rehat bukanlah penggunaan waktu yang efektif. Tenaga makin menurun, kebosanan makin mempengaruhi serta ketegangan fizikal dan mental makin terkumpul. Oeh itu, anda memerlukan masa rehat yang secukupnya kerana hanya berehat sahaja merupakan cara yang paling baik.
4. Jauhkan suasana berkecamuk
Sesetengah orang selalu membiarkan meja tulisnya dipenuhi kertas yang berselerak. Mereka merasa bahawa dengan cara itu persoalan yang penting akan naik sendiri ke atas timbunan kertas itu. Sebenarnya keadaan berkecamuk seperti ini mengganggu tumpuan serta meningkatkan ketegangan dan prestasi seperti orang yang tertimbus batu.
5. Jangan menjadi ‘perfectionist’
Ada perbezaan yang besar antara berusaha untuk mendapat hasil yang baik dengan bermati-matian mengejar kesempurnaan. Langkah yang pertama , dapat dicapai, memberi kepuasan dan sihat. Sementara langkah yang kedua, selalunya mustahil, mengakibatkan kekecewaan dan gangguan jiwa. Ia juga mengakibatkan pembaziran waktu yang sia-sia.
6. Jangan takut mengatakan tidak
Daripada semua teknik menghemat waktu yang pernah dikembangkan, barang kali yang paling efektif ialah selalu menggunakan perkataan tidak. Belajarlah menolak dengan menggunakan kebijaksanaan tetapi tegas terhadap setiap permintaan yang tidak menunjang pencapaian sasaran anda.
7. Jangan menangguhkan kerja
Penangguhan kerja pada umumnya merupakan kebiasaan yang sudah berakar umbi. Sungguhpun begitu, kita mampu mengubah kebiasaan ini asalkan kita menggunakan sistem yang tepat seperti putuskan untuk berubah segera setelah anda selesai membaca artikel ini, sementara hati anda tergerak oleh motivasinya. Mengambil langkah pertama dengan segera adalah amat penting. Seterusnya jangan mencuba terlalu banyak perkara dalam waktu yang singkat. Apa yang perlu dilakukan ialah memaksa diri melakukan pekerjaan yang sudah tertunda sekarang juga.
8. Lakukanlah bedah siasat radikal
Kegiatan membuang waktu sama seperti kanser. Ia menghabiskan tenaga dan ketumbuhan semakin besar. Satu-satunya cara penyembuhan adalah pembedahan radikal. Jika anda membuang waktu dalam kegiatan yang membuatkan anda bosan, alihkan perhatian daripadanya kerana ia mensia-siakan tenaga anda. Buanglah kegiatan ini, sekali untuk selama-lamanya.
9. Delegasikan pekerjaan
Anda tidak perlu menjadi pemimpin nasional atau esekutif firma gergasi untuk mampu mendelegasikan pekerjaan. Belajarlah mendelegasikan tugas yang penuh cabaran dan memberikan imbalan, bersama dengan kuasa secukupnya untuk membuat keputusan yang perlu. Ini dapat membantu melonggarkan waktu anda.
10. Jangan ketagihan kerja
Hampir semua manusia berjaya mempunyai waktu bekerja yang panjang, tetapi mereka tidak membiarkan pekerjaan mengganggu hal-hal yang penting dalam hidup mereka, seperti bergaul dengan teman-teman dan bersama keluarga. Ini membezakan mereka daripada orang yang ketagihan kerja (workaholic) yang sama tarafnya seperti orang yang ketagihan alkohol.

Sumber : http://krimterengganu.wordpress.com/

TIADA LAGI IKON PELAJAR CEMERLANG SPM

Nur Amalina Che Bakri

TENTU ramai yang masih ingat pencapaian cemerlang pelajar SMK Ulu Tiram, Johor, Nur Amalina Che Bakri, yang berjaya mencatat 17 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004. Kejayaan itu menjadikan Nur Amalina muncul sebagai pelajar yang mencatat 1A paling banyak dalam sejarah SPM, yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pelajar sebelum ini. Sejak kejayaan Nur Amalina itu, ramai pelajar berazam dan mahu menyaingi pencapaiannya, sekali gus mendorong mereka mengambil seberapa banyak mata pelajaran yang termampu di peringkat SPM. Ada calon yang mengambil sehingga 21 mata pelajaran.

Kementerian Pelajaran juga tidak mengehadkan bilangan subjek yang ingin diduduki pelajar ketika itu kerana langkah mereka tidak menampakkan sebarang kesan negatif. Pada tahun-tahun berikutnya menyaksikan beberapa pelajar mencapai kejayaan lebih cemerlang berbanding Nur Amalina. Antara mereka yang cemerlang itu ialah seorang pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan Kedah, Azli Azlan, yang mencatat 20 1A dan 1 2A pada 2007. Pada SPM tahun lalu pula seorang anak nelayan dari Kota Bharu, Kelantan, Nik Nur Madihah Nik Omar, muncul sebagai pelajar cemerlang dengan mencatat 20 A.

Walaupun pencapaian Nik Nur Madihah tidak dapat mengatasi rekod pencapaian Azlan, namun kejayaannya cukup dikagumi kerana dia datang dari keluarga yang miskin dan bapanya hanyalah seorang nelayan, tetapi segala kekurangan hidup tidak menghalang Nik Nur Madihah untuk mencacat keputusan yang luar biasa. Kejayaan cemerlang pelajar-pelajar berkenaan cukup membanggakan kita, apatah lagi mereka adalah anak Melayu yang kemampuan mereka sering diperlekeh dan dikatakan tidak mampu bersaing dengan pelajar kaum lain. Terbukti terdapat anak Melayu yang mampu mengatasi kaum lain dengan kejayaan yang lebih cemerlang dan secara tidak langsung mereka telah menaikkan imej pelajar Melayu. Kejayaan mereka mendapat liputan meluas semua media tempatan, sekali gus menjadikan mereka dikenali dalam sekelip mata, mengatasi populariti penyanyi terkenal. Nama mereka ‘dijual’ ke seluruh negara dan dijadikan ikon golongan pelajar yang harus dicontohi. Mereka menjadi simbol kegigihan pelajar yang bercita-cita besar dan mahu melakukan sesuatu yang luar daripada kebiasaan dalam peperiksaan.

Bagaimanapun tidak semua yang melihat pencapaian membanggakan itu sebagai kejayaan yang sihat. Ada pihak, termasuk pakar motivasi menyifatkan calon yang mengambil terlalu banyak mata pelajaran hanya membebankan diri sendiri dan tidak harus menjadi amalan atau ikutan. Sebaliknya pelajar dinasihatkan memadai dengan mengambil setakat 10 mata pelajaran atau paling banyak 12 mata pelajaran. Perkembangan itu kini bukan saja dikatakan membebankan pelajar, malah mendatangkan masalah kepada Kementerian Pelajaran, terutama dalam membuat tawaran biasiswa kerajaan kepada pelajar yang layak.

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya menetapkan pelajarnya hanya boleh mengambil 10 subjek dan sudah pasti pelajarnya tidak dapat menyaingi pelajar sekolah lain yang memberi kebebasan kepada pelajarnya mengambil seberapa banyak subjek yang mereka mampu. Selain itu, mereka juga tidak mahu pelajar terlalu menumpukan kepada pelajaran semata-mata sehingga tidak mempunyai masa untuk membabitkan diri dalam kegiatan kokurikulum dan menimba kemahiran insaniah yang lain.

Sejajar dengan itu, semalam Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengumumkan mulai tahun depan semua calon SPM hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran. Pengumuman itu adalah susulan daripada kenyataan beliau minggu lalu yang mahu mengehadkan bilangan subjek yang boleh diambil calon dalam SPM. Dengan pengumuman itu, kini sah bahawa selepas ini tidak akan ada lagi pelajar yang mampu mencatat keputusan luar biasa dengan bilangan A melebihi 10 mata pelajaran.

Keputusan itu mungkin akan boleh memudahkan lagi pihak kementerian membuat pemilihan untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar yang layak. Bagaimanapun langkah berkenaan mungkin sukar untuk dilaksanakan di sekolah aliran agama kerana mereka bukan saja mempelajari subjek biasa berdasarkan kurikulum Kementerian Pelajaran, malah mereka juga mengikuti subjek lain termasuk Bahasa Arab serta yang berteraskan keagamaan.

Kita percaya terdapat segelintir pelajar yang kurang bersetuju dengan langkah mengehadkan bilangan subjek kerana keputusan itu dianggap menyekat cita-cita mereka untuk mencatat kejayaan lebih baik berbanding pelajar lain.

Sumber : http://www.bharian.com.my/