Jumaat, 31 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : Perjuangan fitrah merdeka tiada akhir



Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Suasana hari raya masih terasa. Selepas seminggu beraya di kampung, kini kehangatannya mula dirasai pula di bandar. Majlis rumah terbuka memeriahkan lagi suasana. Kunjung-mengunjung yang menjadi tradisi masyarakat Islam di Malaysia, tatkala Syawal terus disuburkan dengan perkumpulan ahli keluarga dan rakan taulan.

Siri perkumpulan ini dimeriahkan lagi dengan cuti hujung minggu yang panjang bagi meraikan hari kebangsaan dan Hari Malaysia. Aidilfitri secara harfiahnya boleh difahami sebagai hari meraikan fitrah. Fitrah yang dimaksudkan ialah fitrah keinsanan yang sudah disucikan daripada pencemaran selepas tewasnya hawa nafsu selama sebulan akibat daripada kekangan kelaparan. Hawa nafsu yang keterlaluan perlu ditewaskan jika kita inginkan pengembalian potensi kemanusiaan dalam diri kita.

Fitrah adalah satu perkataan yang mempunyai kaitan dengan perubahan. Malik Ben Nabi dalam mengemukakan teori ketamadunannya, menggelarkan kelompok yang berupaya menggerakkan sebuah kebangkitan semula sejarah sesuatu bangsa dengan gelaran Rajul al-Fitrah. Rajul al-Fitrah dicirikan dengan daya ubah yang tinggi selain semangat berdikari yang kental.

Generasi ini tidak mudah berpuas hati dengan keadaan dimiliki hari ini. Mereka sentiasa berusaha memperbaiki diri, baik dari sudut ilmu dan kemahiran. Mereka lebih bersikap reseptif dalam mempelajari sesuatu, mahupun menerima idea perubahan. Generasi ini juga amat dekat dengan persekitaran. Menggunakan segala manfaat yang boleh diambil daripada persekitarannya dan mampu menggunakan kreativiti bagi menghasil produk baru.

Generasi Rajul al-Hadarah

Lawan kepada generasi ini digelar oleh Malik Ben Nabi sebagai Rajul al-Hadarah. Generasi ini adalah generasi yang selesa dan senang dengan kenikmatan hidup hari ini. Generasi ini dicirikan dengan kemalasan untuk berusaha dalam memperbaiki diri. Malah untuk keselamatan dirinya pun diletakkan kepada pihak berkuasa atau pun pihak lain yang dirasakan patut bertanggungjawab.

Generasi ini tidak mahu bersusah payah mempelajari ilmu dan kemahiran baru dan menolak segala bentuk idea baru yang dirasakan boleh menggugat keselesaan kehidupan seharian mereka.

Golongan inilah yang akhirnya akan menjerumuskan sesebuah tamadun ke dalam fasa kemerosotan yang dicirikan dengan kematian idea. Generasi ini juga mempunyai sifat materialistik yang keterlaluan terhasil akibat kegagalan memahami situasi atau keadaan yang melampaui batasan fizikal.

Inilah maksud yang lebih mendalam apabila dilihat dalam konteks ketamadunan manusia daripada kalimah fitrah itu sendiri. Fitrah mestilah berupaya menghasilkan perubahan diri ke arah kebaikan. mampu melahirkan manusia tulus mengakui kelemahan dirinya dan terlindung daripada pencemaran keangkuhan. Fitrah juga mestilah mampu menyucikan segala bentuk kemalasan dan mampu menghijrahkan diri ke martabat lebih tinggi lagi.

Gandingan fitrah dan huriyyah

Apabila gandingan perayaan antara fitrah dan huriyyah (kemerdekaan), ia menjadi lebih besar maknanya. Ia sepatutnya menjadi suatu perayaan yang mengangkat karamah insaniah (kemuliaan insan) ke tahap sepatutnya.

Manusia yang kembali kepada fitrahnya adalah manusia yang berjaya memerdekakan dirinya daripada sebarang kekangan yang boleh merendahkan martabat keinsanannya. Justeru, hari kemerdekaan yang bakal menjelma ini wajar kita jadikan satu hari untuk melakukan muhasabah. Merenung masa depan sebuah negara dan tamadun.

Jika kita ingin menjadi generasi pencetus kebangkitan sebuah tamadun, kita perlu menghilangkan rasa selesa dengan keadaan hari ini dan bangun bergerak ke arah lebih baik. Generasi muda mesti keluar daripada zon selesa dan mula mengubah diri dengan potensi fitrah yang terbina sepanjang Ramadan lalu.

Peringatan kepada kita

Jangan kita alpa dan lalai kerana masa tidak pernah menunggu kita. Rasa selesa dengan keadaan hari ini secara keterlaluan akan membuatkan kita lambat untuk berubah. Guna suasana selesa ini untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik. Bukankah semangat Ramadan menuntut kita agar terus menambah dan memperbanyakkan amalan apabila menuju ke penghujungnya?

Jangan kita leka dengan kemerdekaan negara yang kita peroleh hari ini. Kita hanya merdeka dari segi pemerintahan dan pentadbiran tetapi kita masih terjajah dari sudut ekonomi apabila kita hanya sebagai penumpang bukan pemain global dari sudut ekonomi dunia. Kita juga masih perlu membina pelbagai kemahiran dan kepakaran jika kita benar-benar ingin bebas dari sebarang penguasaan asing.

Begitu juga dengan penjajahan pemikiran yang secara keseluruhannya menguasai dunia Islam hari ini. Inilah perjuangan kemerdekaan generasi muda hari ini. Lengkapkan diri kita dengan ciri Rajul al-Fitrah jika kita benar-benar cinta akan sebuah kemerdekaan.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Merdekakah umat Islam hari ini?



WARTAWAN SINAR HARIAN

MERDEKA, merdeka, merdeka tiga kali dilaungkan, ungkapan itu benar-benar menaikkan semangat masyarakat majmuk negara ini. 31 Ogos 1957, tarikh  keramat pembebasan Malaysia setelah 153 tahun dijajah kuasa Barat. Sering kali dibincangkan mengenai pengisian kemerdekaan bagi membangunkan warga negara yang merdeka.

Ketua (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersilan) Pusat iLearn, Bahagian Hal Ehwal Akademik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Dr Mohd Nor Mamat menyifatkan kedua-duanya adalah elemen yang wajib untuk diakui bahawa kita, warga dan negara yang benar-benar merdeka. Andai negara merdeka, tetapi warganya tidak merdeka ataupun sebaliknya, masih membuktikan kita tidak merdeka sepenuhnya.

Kemerdekaan holistik

“Saya melihat erti kemerdekaan dari dua sudut pandangan; kemerdekaan fizikal ataupun kuasa menerajui negara dan kemerdekaan mental ataupun jiwa dan minda. Boleh kita fahami bahawa negara sememangnya sudah merdeka. Pada sudut perundangan dan dokumentasi, negara kita bukan lagi dijajah oleh kuasa luar.

“Pada sudut kedua pula, kemerdekaan dinilai pada individu warga negara, sama ada memiliki jiwa dan minda yang merdeka ataupun tidak. Jiwa dan minda kita masih terjajah dengan pengaruh luar yang bukannya identiti jati diri sebenar, umpamanya jati diri Melayu, jati diri Islam dan sebagainya. Kalau memperkatakan tentang kemerdekaan yang sebenar secara holistik, ia perlulah merdeka pada kedua-dua sudut berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dengan mendapat kemerdekaan negara semata-mata, tetapi sekiranya warganya belum merdeka jiwa dan minda daripada penjajahan bererti masih belum merdeka sepenuhnya. Malah inilah kesan yang sememangnya dirancang oleh penjajah agar tanah jajahan mereka yang diberi kemerdekaan tidak menjejaskan kuasa jajahan sepenuhnya.

Inilah yang disedari oleh seorang pemikir dan ilmuwan Islam yang terkemuka di bumi India tatkala India mendapat kemerdekaan dan berlaku perpecahan negara kepada India dan Pakistan, Abu A`la al-Maududi, beliau menyatakan:

“Telah pergi orang Inggeris yang berkulit merah (putih) namun mereka meninggalkan Inggeris berkulit sawo matang”.

Maksudnya meskipun penjajah telah pergi, namun bakal yang menggantikan mereka masih berfikiran seperti penjajah dalam menguruskan negara. Justeru, kiblat dan panduan masih ke Barat. Lantaran itu, laungan merdeka tidak wajar hanya menjadi retorik kosong. Ia perlu dilaungkan dengan semangat, jiwa dan minda yang merdeka daripada sebarang idea dan cara hidup penjajah.

Usah terleka dengan arus dunia

Tahun ini genap 55 tahun Malaysia merdeka. Sepanjat kesyukuran kepada Pencipta atas keizinan-Nya membebaskan kita daripada belenggu penjajahan. Namun, sayang seribu kali sayang umat Islam kini hanyut ditelan arus kemodenan sehingga mengabaikan akidah, syariat, ekonomi, dan sahsiah yang bertunjangkan Islam.

Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Taufik Ismail berpendapat, saban tahun kita mengucapkan ungkapan merdeka, sana sini terhias indah Jalur Gemilang. Gah bukan!. Tetapi jika diteliti ke dasarnya makna pembebasan langsung tidak dihayati.

“Masyarakat kita semakin leka, isu akidah dan kegamaan dipandang sebelah mata. Lihatlah sahaja ajaran sesat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Itu yang dipaparkan media. Yang kita tidak tahu berapa banyak. Sungguh menyedihkan.

“Syariat juga jangan dilupakan. Undang-undang Islam yang digubal ini perlu dituruti dalam mana-mana hal sekalipun. Kita perlu beralih daripada ideologi yang tidak betul kepada ideologi berlandaskan agama ALLAH SWT,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, usah singkatkan maksud kemerdekaan, merdeka mempunyai banyak maksud antaranya kita membebaskan belenggu kehidupan daripada gaya hidup yang langsung tidak bersesuaian dengan landasan agama kepada cara hidup tenteram dengan pengamalan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Menyentuh mengenai bidang ekonomi pula, umat Islam pasti bangga apabila banyaknya bank yang telah menukarkan sistem perbankan secara konvensional kepada perbankan Islam dan keadaan itu benar-benar mendatangkan kesan baik.

Remaja kini semakin liar?

Betapa runtuh hati ini melihat ‘meriahnya’ gejala sosial dalam kalangan remaja hari ini. Sikap mereka yang menyambut hari kemerdekaan dengan berpesta dan berzina sehingga melahirkan anak tidak sah taraf seolah-olah langsung tidak takutkan ALLAH SWT.

“Teruja benar cara sambutan mereka. Perasaan untuk membuat perkara tidak senonoh membuak-buak bagai air sedang mendidih. Inikah dia pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara?. Sedih!. Inilah gambaran merdeka daripada kaca mata remaja kita.

“Apa guna sambut merdeka kalau ada remaja yang berseronok melakukan maksiat, si lelaki berusaha mengajak si perempuan keluar, yang perempuan pula berhias dengan berpakaian menjolok mata. Daripada situasi itu, bagaimanakah caranya untuk elak zina?,” tegasnya lagi.

Usah berpesta sakan, sepatutnya menjelang hari pembebasan, kita hendaklah mengucapkan kata syukur dengan mengadakan solat hajat beramai dan melakukan perkara-perkara baik. Hari yang baik perlu diisi dengan pengisian yang mahmudah.

“Sorotilah makna merdeka sepenuhnya, hiasilah tarikh itu dengan perbuatan maaruf nahi munkar,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Khamis, 30 Ogos 2012

HUJAN MERDEKA


Di langit Ogos
awan gembira mengkhabarkan
hujan merdeka turun lagi
untuk kesekian kalinya
membasahi bumi keramat ini
dinginnya merangkul perasaan nusa
syahdunya menyelimuti hati pembela
damainya bertakhta di tiap jiwa anak-anak bangsa.

Telah kutemui mutiara yang tersembunyi
dalam denai-denai usia yang menjanjikan kebahagiaan
kukecapi aroma pembangunan
kukucupi wangian pembebasan
dan telah kuwarnai kanvas jati diri
mengikut lakaran budaya dan potret bangsaku.

Hujan merdeka turun lagi
titisnya menjelajahi hati srikandi
pertiwi tersenyum menerimamu
memeluk janji yang termetarai
harapan yang terkota
teguh mengepung cinta.

Terima kasih, hujan merdeka
walau langit Ogos berlalu
titisnya membasahi sepanjang musim.

ZULKIFLI MOHD TOP
Universiti Malaya

PERUTUSAN PERDANA MENTERI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEMERDEKAAN KE-55



Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia

1.   Alhamdulillah, segala rasa syukur dipanjatkan kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, lantaran dengan rahmatnya jua, kita rakyat Malaysia berpeluang meraikan ulangtahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-55.

Saudara dan saudari,

2.  Sudah lebih lima puluh tahun, dengan berpayungkan piagam asas nasional, yakni Perlembagaan Persekutuan serta berpandukan ideologi kebangsaan Rukun Negara, Malaysia dan rakyatnya telah bertatih dan bertapak membangunkan sebuah negara bangsa.

3.   Maka, berteraskan  muafakat dan kerjasama daripada semua pihak, hari ini, saya boleh melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa, kemerdekaan yang telah dicapai lebih lima dekad yang lalu, hasil perjuangan bapa-bapa pengasas negara kita yang datang daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan latarbelakang ini, akan terus utuh.

4.    Begitulah, perpaduan nasional yang bertunjangkan  kepelbagaian akan kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional. Dari sudut kemakmuran nasional pula, ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik dijalankan kerajaan  bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh semua.

5.   Ternyata, kejayaan yang diimpikan Malaysia bukan hanya kejayaan bersifat material tetapi kejayaan yang bersifat holistik. Oleh kerana itu, di bawah payung Dasar Transformasi Nasional, prakarsa transformasi bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui GTP dan ekonomi melalui ETP tetapi juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar.  

6.  Sesungguhnya, langkah berani pihak kerajaan melaksanakan Program Transformasi Politik bagi mengimbangkan kebebasan individu dan keselamatan negara telah membugar dan mengakarkan lagi demokrasi di Malaysia, sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan nasional.

Saudara dan saudari,

7.   Malaysia merupakan bukti dan manifestasi janji ditepati dan harapan yang dipenuhi. Bagi memahami kebenaran dari kenyataan  di atas, setiap seorang daripada kita perlu kembali kepada susurgalur sejarah. Hakikatnya pun, kita mencapai kemerdekaan di tengah-tengah pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dalam suasana di mana survival kita sebagai sebuah negara berbilang bukan sahaja daripada segi kaum, bahkan juga agama dan bahasa, pernah disangsikan oleh masyarakat dunia.

8.  Terakam dalam kamar peristiwa, selama lima puluh lima tahun kita berjaya melangkau jangkaan serta telahan yang dibuat pelbagai pihak termasuk di kalangan warganegara sendiri. Terbukti, ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambahbaik, adalah meleset sama sekali.

9.   Jelasnya, dari satu titik ke satu titik, kita telah berjaya membawa kebebasan dan keamanan kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan terancam. Kita juga telah berjaya mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, dengan bergantung kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan  ekonomi bersifat pelbagai. Malah, dewasa ini, berkembang pula sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kelak. Insya-Allah.

Saudara dan saudari,

10.  Sepanjang detik yang berlari, kita telah menggantikan kebimbangan dengan harapan, kita telah mencipta sebuah negara di mana yang penting adalah kemahuan dan kesanggupan untuk bekerja keras. Juga, di mana, anak seorang petani, pekebun kecil, buruh dan nelayan berjaya menjadi usahawan serta profesional. Pucuk pangkalnya, kita telah mencipta sebuah negara sehingga anak-anak Malaysia boleh mendambakan masa depan yang lebih baik.

11.  Semuanya ini, merupakan nikmat daripada perancangan penuh teliti dan pelaksanaan amat berkesan oleh pihak Kerajaan yang telah diberi mandat mentadbir semenjak kemerdekaan diperoleh. Walau apapun, kejayaan yang dikecapi bukan sepatutnya menjadi alasan untuk kita berpeluk tubuh, sebaliknya, ia harus menjadi mangkin menuju sinar yang lebih terang benderang pada hari muka.

12.   Oleh itu, dua tahun yang lalu, kita melancarkan fasa pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Pelan Transformasi Kerajaan dengan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara. Tujuh NKRA bagi fasa pertama tersebut, akan tamat menjelang akhir tahun ini.

13. Sehubungan dengan itu, kerajaan akan melangkah ke hadapan dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa ke-2 atau GTP 2 yang bakal melonjakkan lagi kemakmuran negara ke peringkat lebih tinggi.

14.   GTP 2 juga akan menyaksikan penglibatan masyarakat yang lebih meluas sekaligus pembabitan yang lebih bermakna daripada pertubuhan bukan kerajaan yakni NGO dan sektor korporat.

15.   Namun, segala usaha dan prakarsa yang dilakukan akan hanya tinggal sia-sia jika tidak didakap dan dimanfaatkan oleh semua segmen masyarakat.

16.   Kesimpulannya, sekarang, kita berada pada satu kala masa yang amat monumental bagi Malaysia. Di sana-sini, rakyat boleh melihat perubahan ketara bukan sahaja di peringkat individu hatta di peringkat keluarga dan komuniti.

17.   Justeru, marilah kita menjulang citra Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki demi seluruh warganya. Dari itu, saya ingin sama-sama berpesan, bahawa, janganlah kita sampai mempunah binasa apa yang telah bersusah payah dipupuk dan dicipta. Janganlah sesekali pula, diporak-peranda harmoninya watan yang telah sekian lama terbina. Moga-moga Tuhan memberi perlindungan dan melimpahkan rahmat-Nya.

Selamat Menyambut Ulang tahun Kemerdekaan Ke-55.
Dirgahayu Malaysiaku. Dirgahayu Malaysiaku.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ISU KENEGARAAN : Bukan sekadar Jalur Gemilang


Oleh : ABD JALIL ALI

Di lorong tempat saya tinggal, hanya saya mengibarkan Jalur Gemilang, lebih 100 rumah lain tidak berjalur. Seluruh kawasan ada lebih 500 rumah, tidak sampai 10 yang menggantung bendera negara setakat tinjauan saya pagi semalam.

Tidak perlu berkecil hati, jauh sekali untuk marah-marah, dan tentu sekali saya tidak boleh menuduh sebagai tidak patriotik kepada mereka yang tidak mengibarkan bendera sempena Hari Kemerdekaan ke-55.

Sekiranya bendera dijadikan kayu ukur atau penanda aras patriotisme, nampak sangat orang kita – tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik – tidak patriotik. Kita ada 28 juta penduduk, yang mengibarkan bendera mungkin tidak sampai 10 peratus.

Selain di kawasan perumahan, perhatikan di sekeliling kita berapa banyak bangunan, pejabat, kedai dan premis mengibarkan bendera, pasti tidak sampai 10 peratus. Malah, di sesetengah kawasan bendera parti, tidak kira warna, lebih menyerlah berbanding Jalur Gemilang.

DBKL mengedarkan 45,000 Jalur Gemilang bagi meraikan merdeka. Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib, berharap warga kota khasnya para peniaga dapat menyertai program ini dan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing. Tetapi tidak banyak bendera percuma itu dikibarkan. Boleh jadi sesetengahnya digunakan sebagai selimut, mungkin juga dibuat sarung bantal.

Menurut perangkaan PDRM, setakat akhir 2011, ada 21,311,630 kenderaan, termasuk motosikal, berdaftar dengan JPJ. Kita boleh lihat hanya satu dua yang mengibarkan bendera, itu pun mungkin bendera yang dapat percuma @ ihsan pertubuhan dan agensi tertentu.

Sebenarnya lebih baik tidak melekatkan bendera sebesar tapak tangan itu pada kenderaan. Beberapa tahun lalu terlalu banyak bendera diagihkan percuma kepada pemandu dan dilekatkan di hadapan atau pada bumbung kenderaan.

Malang sekali gamnya tidak kuat – almaklumlah dapat percuma! – mengakibatkan bendera tercabut dan bersepah di sepanjang jalan dan lebuh raya. Maka Jalur Gemilang kemegahan negara berdaulat itu bukan sahaja dilenyek kenderaan, malah dikencing anjing.

Bagi saya bendera bukan satu-satunya lambang patriotisme. Walaupun setiap tahun membeli Jalur Gemilang – tahun ini harganya RM10.50, beli di sebuah kedai serbaneka 24 jam – saya percaya banyak lagi benda-benda lain boleh menjadi ukuran kecintaan kepada negara.

Bahasa Melayu pun ukuran patriotisme. Mereka yang tidak menghormati bahasa rasmi itu tentulah jauh lebih teruk berbanding yang tidak mengibarkan bendera. Mereka yang mengutamakan bahasa Inggeris lebih besar kesalahan berbanding tidak memasang bendera pada kenderaan.

Betapa halnya sesetengah menteri kita – termasuk menteri Melayu sendiri – yang lebih megah bercakap bahasa Inggeris walaupun dalam siaran Melayu di radio dan TV. Kalau cakap Melayu mesti dicampur Inggeris, sebab mereka yakin Inggeris lebih berkesan.

Di pusat pentadbiran Persekutuan Putrajaya, beberapa istilah penting Melayu telah dibuang untuk digantikan dengan istilah asing. Perkataan ‘jalan’ ditukar menjadi ‘precinct’, ‘dataran’ menjadi ‘boulevard’, ‘lorong’ menjadi ‘parcel’. Siapa agaknya cerdik pandai dan perancang asal yang dengan mudah membuang perkataan Melayu itu? Ini juga satu contoh tidak patriotik.

Lebih dari sekadar bahasa, kemerdekaan sebenarnya bukan setakat membebaskan kita dari penjajah. Tentu sekali saya berterima kasih kepada para pejuang kemerdekaan yang telah berkorban untuk membebaskan kita dari penjajah Inggeris.

Tetapi kita belum merdeka sepenuhnya sebab masih teruk dibelenggu rasuah, penyelewengan, ketidakadilan, putar belit pemain politik dan lain-lain musibat. Untuk kepentingan politik, Melayu sama Melayu, Islam sama Islam bertelagah hanya atas perkara-perkara remeh.

Indeks jenayah kita dikatakan turun mendadak, tetapi orang ramai hidup dalam ketakutan. Hari-hari rumah dipecah masuk, pejalan kaki diragut. Sana-sini orang kena rompak, rogol, bunuh.

Semakin kerap mesin ATM dirompak, malah dibom. Ada pihak kata jenayah hanya persepsi, tetapi kerap kali persepsi menjadi realiti.

Betapa halnya berjuta-juta pendatang asing, termasuk tanpa izin, yang saban hari memperbodohkan – menerusi rasuah – pihak berkuasa kita, dan hari demi hari menguasai kawasan kita dengan rakus dan biadab. Ingat, mereka menjajah kita secara senyap!

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Cabaran beri tempat ikut minat


MUKADIMAH :

SESI akademik 2012 / 2013 yang akan bermula September ini menyaksikan seramai 85,247 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) / setaraf memulakan sesi pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Jumlah itu menunjukkan pertambahan lebih baik berbanding tahun lalu terutama membabitkan kemasukan ke aliran Sains iaitu sebanyak 57 peratus berbanding 55 peratus pada tahun lalu, iaitu menghampiri sasaran 60:40 antara aliran Sains dan Sastera.

Wartawan Utusan Malaysia, SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM menemu bual Menteri Pengajian Tinggi, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN mengenai kemasukan pelajar baru ke IPTA dan isu-isu berkaitan dunia pengajian tinggi di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

UTUSAN : Boleh Datuk Seri jelaskan mengenai jumlah kemasukan sesi akademik 2012 / 2013 tahun ini?

MOHAMED KHALED : Sesi akademik 2012 / 2013 yang akan bermula September ini menyaksikan seramai 85,247 pelajar lepasan SPM, STPM / setaraf memulakan sesi pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA). Jumlah itu melibatkan 46,698 (SPM/setaraf) dan 38,549 (STPM/setaraf) calon berjaya ditawarkan tempat pengajian berbanding jumlah permohonan yang diterima masing-masing sebanyak 218, 931 dan 101,864 pemohon.

Boleh dikatakan pertambahan lebih baik dari tahun lalu, pertama dari segi memberi tempat kepada pelajar jurusan Sains berbanding Sastera. Jika dulu Sains tidak sampai 55 peratus tetapi kali ini kita capai keseluruhan 57 peratus, iaitu menghampiri sasaran 60:40. Begitu juga pertambahan pelajar lelaki, tetapi tidak bermakna mengurangkan tempat perempuan. Ia bagi menentukan lelaki juga adalah modal insan untuk negara, perkara ini akan diteruskan.

Begitu juga pelajar luar bandar, seramai 13,484 pelajar dari kawasan tersebut berjaya ditawarkan tempat pengajian dan ia membuktikan usaha kita untuk memastikan tidak ada pelajar dari kawasan pedalaman tidak mendapat peluang.

UTUSAN : Bagaimana pula jumlah kemasukan ke program teknikal?

MOHAMED KHALED : Jumlah pelajar yang memohon dan ditawarkan kemasukan ke program teknikal dan teknologi menunjukkan peningkatan memberangsangkan iaitu seramai 1,555 pelajar berjaya ditempatkan mengikuti program itu berbanding 950 pelajar pada sesi akademik lalu.

Indikator yang kita ukur selain gender, Sains dan Sastera, teknikal dan kemahiran juga diambil kira kerana untuk mencapai negara maju adalah dengan membuat pengimbangan baik antara pelajar teknikal bukan semata-mata akademik.

Ia sekali gus membuktikan usaha kementerian untuk mengarus perdana program kemahiran apabila pelajar-pelajar yang mendapat keputusan baik juga memohon program ini sebagai pilihan utama, ini satu perkembangan baik.

UTUSAN : Bagaimana pula langkah kementerian untuk memastikan semua pelajar yang memperolehi Purata Nilai Gred Keseluruhan ( PNGK ) 4.0 mendapat program pengajian mengikut pilihan pertama mereka?

MOHAMED KHALED : Bermula tahun ini, seramai 600 pelajar cemerlang menjadi kumpulan pertama yang akan ditempatkan di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi mengikuti program pengajian perubatan, pergigian dan farmasi. Langkah itu dibuat berikutan tiada kekosongan di IPTA sekali gus memenuhi impian pelajar yang memperolehi PNGK 4.0 untuk mengikuti program berkenaan memandangkan ia merupakan pilihan pertama mereka. Penempatan mereka di IPTS itu akan dibiayai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Apa yang penting seramai 3,536 pelajar yang memperolehi PNGK 4.0 sebahagian besarnya mendapat program pengajian mengikut pilihan pertama mereka. Kita mahu pelajar ini mempunyai kesungguhan, keghairahan dan komitmen untuk belajar sebab ia merupakan pilihan pertama mereka. Buat pertama kali juga kita turut memberi tempat kepada semua pelajar lepasan matrikulasi dan pusat asasi yang mendapat PNGK 2.8 ke atas, dengan syarat tidak memilih.

UTUSAN : Pengambilan pelajar bagi peringkat Ijazah Pertama berkurangan berbanding tahun lalu, kenapa ia berlaku?

MOHAMED KHALED : Ia berlaku berikutan tiada unjuran khusus untuk program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) oleh Kementerian Pelajaran selain penyelarasan unjuran Universiti Penyelidikan meningkatkan pelajar pasca siswazah. Bagaimanapun, kementerian merancang untuk menampung kekurangan tempat di Universiti Penyelidikan bagi peringkat Ijazah Pertama untuk ditempatkan di IPTA lain yang melibatkan perancangan, peruntukan dan kesediaan infrastruktur serta tenaga pengajar.

Ketiadaan unjuran daripada Kementerian Pelajaran menyebabkan pelajar yang mengikuti program pendidikan di IPTA tiada jaminan pekerjaan apabila keluar kelak. Oleh itu, kita mengambil pelajar setakat 2,304 di sembilan IPTA berbanding 3,002 di 11 IPTA sesi sebelumnya.

UTUSAN : Apakah sistem meritokrasi masih menjadi amalan dalam pengambilan pelajar kali ini?

MOHAMED KHALED : Sistem meritokrasi ini kita akan kekalkan. Kita perlu terima hakikat bahawa pelajar luar bandar ada di kalangan mereka tidak mendapat keputusan yang begitu baik. Oleh itu, kalau sistem meritokrasi tidak diberi perhatian mungkin mereka akan tercicir, jadi kita mahu fikir bagaimana nak bantu golongan seperti ini.

Setakat hari ini kita tidak berhadapan cabaran besar, kita berupaya untuk memberi tempat kepada pelajar mengikut bidang dan universiti yang mereka pilih. Cabaran kita adalah tidak cukup tempat terutama bidang kritikal. Bagaimanapun, masalah itu tidak boleh diatasi sewenang-wenangnya kerana ia tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditentukan oleh badan profesional masing-masing seperti bidang perubatan, farmasi, pergigian atau kejururawatan. Atas sebab itulah cabaran kita bukan semata-mata kepada asas yang kita gunakan iaitu meritokrasi.

UTUSAN : Apakah nasihat Datuk Seri kepada pelajar setelah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bakal dilaksanakan pada sesi akademik kali ini dan pilihan raya kampus yang akan diadakan September ini?

MOHAMED KHALED : Pindaan AUKU membolehkan pelajar menyertai kegiatan politik kepartian di luar kampus dalam masa sama mereka perlu tahu universiti adalah tempat di mana proses pendidikan berjaya dilaksanakan. Universiti perlu bebas daripada politik kepartian.

Pelajar perlu mematuhi akta itu supaya universiti tidak dijadikan gelanggang politik. Ia bagi membolehkan proses pendidikan dilaksanakan secara sempurna dalam universiti, oleh itu mereka perlu menghormati segala perkara yang ditetapkan pihak universiti.

Begitu juga dengan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) melalui pilihan raya kampus September ini, saya percaya pelajar akan memilih yang boleh menjaga kedudukan dan kebajikan mereka, bukan ada hubung kait dengan perkara luar. Saya percaya MPP merupakan gerakan bebas dan bermaruah dan tidak membenarkan mana-mana pihak memperalat mereka.

UTUSAN : Bagaimana akses pengajian tinggi di masa hadapan? Apakah IPT yang sedia ada mampu menampung permintaan?

MOHAMED KHALED : Kita bernasib baik kerajaan melihat sektor pengajian tinggi sebagai satu pelaburan dan memberi fokus soal pembangunan modal insan dan meletakkan golongan muda sebagai sasaran fokus itu. Kerajaan juga berusaha untuk memberi peluang kepada pelajar kita dalam meneruskan pengajian di peringkat tinggi.

Ini bermakna soal akses itu menjadi satu perkara berterusan kerajaan sediakan. Dalam usaha ke arah itu kerajaan akan meningkatkan kedudukan IPTA sedia ada selain memberi peluang pihak swasta melengkapkan peranan kerajaan bagi membolehkan mereka mewujudkan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

Selain itu, beberapa cawangan IPTA akan dibuka dan mewujudkan hab pendidikan di Pagoh, Johor serta menyiapkan beberapa politeknik baru. Kerajaan juga memberi jaminan kadar yuran pengajian di IPTA tidak akan dinaikkan termasuk mengekalkan subsidi 90 peratus untuk menanggung kos yuran pengajian itu dan mengekalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai sebuah badan yang akan memberi pinjaman kepada pelajar bagi menampung kos yuran dan sara hidup pelajar.

UTUSAN : Mengenai isu Unisel, ada sesetengah pihak berpendapat agar kementerian dapat mengambil alih pengurusan supaya masalah dapat diselesaikan, apa pendapat Datuk Seri?

MOHAMED KHALED : IPTS diwujudkan berasaskan kepada kemampuan dan keupayaan pihak yang mewujudkannya, ini kerajaan negeri yang mewujudkan Unisel. Saya tidak lihat penyelesaian kepada semua itu adalah Kerajaan Pusat ambil alih. Jika begitu, kita tidak akan membangunkan kesungguhan dan keupayaan mencari penyelesaian masalah dan cabaran akhirnya longgok kepada Kerajaan Pusat.

Kerajaan Selangor perlu ada kesungguhan dan komitmen untuk menentukan Unisel berdaya tahan dan berdaya saing agar terus kekal maju sebagai penyumbang kepada sektor pengajian tinggi negara. Kerajaan setakat ini akan membuat keputusan memindahkan pelajar ke IPTS lain jika keadaan memerlukan supaya mereka tidak teraniaya dan bukannya Kerajaan Pusat ambil alih sebab kita dah cukup dengan 20 IPTA.

Sepatutnya isu ini tidak timbul apatah lagi ia dimiliki oleh kerajaan negeri dan sudah tentu dapat menyediakan kemudahan lebih baik. Saya percaya pelajar membuat bayaran mencukupi, jadi saya tidak nampak perkara ini tidak diurus dengan baik oleh kerajaan negeri.

UTUSAN : Apa nasihat Datuk Seri terutama kepada pelajar baru yang bakal memasuki alam baru pengajian?

MOHAMED KHALED : Saya berharap agar sepanjang mereka berada di IPT, mereka dapat mencapai apa matlamat mereka berada di universiti, apabila mereka keluar kelak dapat menjadi seorang yang sempurna, berguna kepada bangsa, agama dan negara.

Saya berharap supaya mereka yakin dari segi segala kemudahan yang kerajaan sediakan dan peluang pembelajaran yang ada untuk mereka kerana mereka menjadi sebahagian daripada misi nasional iaitu modal insan yang berguna kepada negara sehingga membolehkan negara bersaing di peringkat dunia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Fahami, hayati sepenuhnya kemerdekaan


Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE


DALAM kita menyambut dan memperingati Hari Kemerdekaan yang ke-55 esok, adalah amat wajar bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memberi tumpuan dan perhatian terhadap pengukuhan patriotisme dan perpaduan.

Patriotisme dan perpaduan paling penting dalam proses pembinaan negara selain daripada isu ekonomi dan pembangunan sosial. Setiap tahun dalam meraikan Hari Kemerdekaan, rakyat Malaysia dapat menyemarakkan semula semangat patriotik melalui pelbagai cara dan pendekatan.

Menyemai kebanggaan pada bendera Jalur Gemilang merupakan satu ciri penting dalam pembinaan negara. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan Jalur Gemilang kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara.

Salah satu cara menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera. Menganjurkan kempen 'Cintai Bendera Kita' di sekolah-sekolah, di kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan.

Bagi generasi warga emas, hari kemerdekaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang dan menghapuskan cengkaman pihak penjajah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bebas dan berdaulat. Bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya mereka yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dulu menunjukkan walaupun kebanyakan anak muda kita mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.

Bagi mereka hari kemerdekaan hanya merupakan satu lagi cuti am - di mana mereka berpeluang bersantai dan beriadah. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar memahami maksud hari kemerdekaan ini. Oleh itu, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar hari kemerdekaan.

Memastikan anak-anak kita menghormati dan mencintai bendera negara adalah penting demi untuk membina generasi rakyat Malaysia akan datang yang berteraskan semangat utuh patriotik dan kebanggaan nasional. Pada masa sama, saya juga perlu menegaskan mengibarkan Jalur Gemilang bukanlah hanya cara untuk meluahkan semangat patriotik seseorang. Patriotisme datang dalam pelbagai bentuk. Apabila kita bersuara demi mempertahankan negara di dalam konteks kepentingan negara, ia adalah satu tindakan yang patriotik. Apabila kita tidak melakukan perbuatan vandalisme ke atas harta benda awam atau membuang sampah di merata tempat ia boleh dilihat sebagai tindakan patriotik.

Rakyat Malaysia boleh mempamerkan semangat patriotik melalui kata-kata, pemikiran dan tindakan demi kepentingan dan pembangunan negara. Menjadi Patriotik juga bermakna menyumbang pandangan dalam bidang-bidang yang boleh membawa kebaikan kepada negara.

Walaupun hubungan antara kaum di negara ini memuaskan secara umumnya, kita tidak seharusnya mengambil mudah soal hubungan antara kaum dan keharmonian beragama. Perpaduan merupakan anugerah yang tidak ternilai dan simbol kepada kemanusiaan sejagat. Ia adalah asas kepada suatu perhubungan, kekeluargaan, masyarakat dan bangsa. Ia juga adalah ikatan yang erat dalam jati diri rakyat Malaysia.

Perpaduan seharusnya bermula dari pemikiran, emosi dan kelakuan seorang individu dan ini akan diterjemahkan melalui layanan dan khidmat yang diberikan kepada orang lain.

Kebanyakan orang mengambil mudah soal perpaduan. Perkembangan ini tidak sihat untuk sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Usaha berterusan harus digalas oleh seluruh rakyat demi memperkukuhkan perpaduan.

Marilah kita seluruh rakyat Malaysia melibatkan diri dalam membina perpaduan nasional. Kita harus bercakap dalam satu suara yang mewakili suara setiap kaum di Malaysia. Kita semua menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran ekonomi  negara ini.

Penulis ialah Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Erti merdeka kepada yang faham


Oleh : Profesor Dr Sidek Baba

KEMERDEKAAN adalah sesuatu yang amat bermakna. Ia membebaskan diri insan daripada belenggu dan memberi ruang untuk warga sesuatu negara membangunkan negaranya berasaskan acuan sendiri.

Pengorbanan Masyarakat Pribumi

MALAYSIA mencapai kemerdekaan dengan kompromi yang sangat tinggi. Memberikan kerakyatan kepada pihak imigran untuk tinggal di Tanah Melayu dan sekarang ini Malaysia dengan jumlah yang besar adalah suatu pengorbanan luar biasa daripada orang Melayu. Secara timbal-baliknya pendukung kemerdekaan terdiri daripada pemimpin pelbagai kaum memahami bahawa hak-hak fundamental orang Melayu seperti bahasa, agama dan hak istimewa perlu dihormati dan menjadi asas penting dalam Perlembagaan.

Ia bermaksud supaya asas perpaduan wujud dan asas keseimbangan orang Melayu dengan kaum-kaum lain dapat dirapatkan. Sekiranya orang Melayu terasa dirinya ketinggalan dalam pencapaian ekonomi, pendidikan dan sosial, ia memberi kesan terhadap kesejahteraan dan keselamatan negara.

Justeru ia menuntut kesabaran dan pengorbanan yang tinggi di kalangan setiap warganegara Malaysia supaya kedudukan orang Melayu dapat ditingkatkan dan dalam masa sama masyarakat bukan Melayu mempunyai kebebasan untuk hidup dan menikmati peluang ekonomi yang meningkat. Setelah lebih setengah abad kemerdekaan dicapai, ekuiti atau pegangan orang Melayu di paras 20 peratus (%) dan selebihnya dimiliki oleh orang bukan Melayu.

Dalam zaman globalisasi yang penuh dengan cabaran ini orang Melayu dan pribumi tidak harus rasa selesa dan hilang daya saing untuk maju dan terus mengukuh mentaliti subsidi kerana ia boleh menyebabkan keciciran yang lebih parah terjadi. Ketirisan yang berlaku dalam pelaksanaan dasar kerajaan mesti diperbaiki supaya masa depan Malaysia memberi titik keseimbangan yang lebih baik untuk generasi hari depan.

Kemerdekaan Lebih Separuh Abad

KEMERDEKAAN lebih separuh abad ini kalau diibaratkan seorang manusia, tentunya sudah banyak jasa kepada diri, keluarga dan masyarakat serta menempuh tempoh matang dengan memiliki banyak pengalaman yang berguna.

Dalam konteks sebuah negara seperti Malaysia terdapat jurang antara generasi dulu dengan generasi penerus terutama dalam pemahaman terhadap perjalanan sejarah dan budaya. Generasi dulu dan kini sepatutnya seperti mata rantai yang sifatnya sambung menyambung.

Perjuangan kemerdekaan ialah perjuangan mengisi makna kemerdekaan. Ia tidak saja berlegar sekitar isu-isu pembangunan fizikal dan prasarana, sains dan teknologi supaya perubahan kelihatan semasa tetapi ia menuntut keteguhan peribadi dan kekuatan sahsiah kerana tanpa acuan sendiri dalam pembangunan dan perubahan kita hanya menjadi penciplak kepada kekuatan Barat dan orang lain.

Tidak salah mengambil manfaat yang memberi dukungan terhadap pembangunan dan perubahan yang sihat daripada Barat dan Timur tetapi saripati tamadun yang dimiliki oleh bangsa-bangsa di Malaysia harus dapat diolah dengan bijaksana supaya ia menyumbang ke arah masyarakat yang lebih sejahtera.

Jati Diri Yang Utuh

RUKUNEGARA yang terasas selepas Peristiwa 13 Mei harus dijadikan rujukan falsafah bagi setiap warga Malaysia sekiranya keamanan dan kesejahteraan ingin dicapai. Memang perbezaan dari sudut budaya dan pemikiran terdapat dalam proses bina negara. Tetapi ada asas yang fundamental seperti yang terkandung dalam Rukunegara yang sepatutnya menjadi rujukan asasi warga Malaysia.

Asas-asas ini sewajarnya menjadikan setiap warga Malaysia memiliki jati diri yang asasi supaya falsafah dari Rukunegara itu dapat menjadi landasan saling memahami dan menghormati dan dijadikan tunjang untuk memajukan Malaysia dalam acuan kita sendiri.

Penulis sewaktu belajar di Amerika Syarikat sekitar hujung tahun 1980-an berada dalam gelombang ‘Desert Storm’ iaitu peperangan kuasa besar Amerika Syarikat dengan Iraq dan sekutunya. Walaupun dukungan terhadap Parti Demokrat dan Republikan di kalangan warga Amerika mempunyai perbezaan tetapi dalam soal maruah dan keselamatan Amerika menjadikan mereka memiliki rasa patriotisme yang tinggi.

Tetapi bagi Malaysia ada semacam kenipisan bagi warganya bila asas-asas fundamental yang menyentuh jati diri ini berbangkit. Sudah kedapatan di kalangan sesetengah pihak tidak merasa bangga dan bersyukur menjadi warga Malaysia.

Elemen perpecahan dan peminggiran kerap terjadi dan menyebabkan jati diri terhakis dan menghasilkan warga Malaysia yang cenderung memikirkan kepentingan kelompok dan tidak mendukung agenda muafakat yang menjadi syarat penting kepada persefahaman dan pengertian terhadap titik persamaan yang terlalu banyak dan titik perbezaan yang menuntut kesabaran tinggi.

Ramai dalam kalangan kita yang menjadi kaya dan senang, berharta dan menambah harta sehingga menjadikan kelompok kelas menengah semakin meningkat jumlahnya. Namun terdapat golongan yang tidak bersyukur, sebaliknya mengutuk negara sendiri di tempat orang atau meninggalkan Malaysia dan membawa kekayaan ilmu dan harta ke tempat orang lain.

Mereka melihat Malaysia dalam keadaan serba cela dan tidak nampak langsung kebaikan sedangkan kekayaan yang mereka kecapi dan ilmu yang mereka terima asasnya bermula di negara ini.

Sebahagian mereka berfikir cara orang Barat atau orang Amerika. Mereka lupa sejarah Malaysia baru melepasi setengah abad dan sejarah kemerdekaan dan kemajuan Amerika dan kuasa-kuasa Barat sudah terjadi ratusan tahun.

Mengimbangi Idealisme dan Realiti

MUTAKHIR ini timbul dua kecenderungan yang saling meresahkan. Satu, menukar sistem di Malaysia atas nama negara Islam yang didekati secara simplistik dan retorik yang penuh emosional. Ia dijadikan pancing untuk mendapat pengaruh dan dukungan politik sempit.

Islam dalam Perlembagaan adalah agama Persekutuan. Daripadanya Islam diperkasa dalam pendidikan, ekonomi, pembaikan bidang syariah, pengukuhan asas-asas pembangunan sosial dan pentadbiran negara. Realiti Malaysia memerlukan pendekatan bijaksana dengan memahami maqasid syariah secara mendalam dan strategik supaya aplikasi syariah dalam sistem terjadi.

Pendekatan ke arah ketamadunan ini perlu supaya dengan tenaga modal insan yang cukup terlatih dengan ilmu-ilmu diniah (agama) terhubung dengan kepakaran yang pelbagai, ia mampu memberi pendekatan baru terhadap ilmu turath atau tradisional supaya wujud penyegaran yang seiring dengan zaman.

Kecenderungan kedua ialah terdapat pihak yang satu ketika dulu memperjuangkan cita-cita Islam cuba membawa fahaman liberal dan pluralisme Barat sehingga rupa dan warna hak asasi Barat hendak dijadikan celupan baru dalam wajah Islam di Malaysia. Ia jauh lebih bahaya kerana pendekatan ini boleh mengelirukan umat Islam dan menjadikan perpecahan di kalangan fikrah umat lebih ketara lagi.

Di mana Bumi Dipijak Di situ Langit Dijunjung

BAGI sesetengah kumpulan pendesak yang berhajat merungkai asas-asas fundamental dalam Perlembagaan seperti Islam, bahasa Melayu, hak istimewa dan sebagainya harus berfikir banyak kali kerana asas-asas fundamental itu bermaksud baik bagi kestabilan Malaysia.

Kemerdekaan yang dinikmati sejak 55 tahun lalu seharusnya memberi kita keyakinan ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’. Malaysia adalah rumah kita. Di sinilah tempat kita berlindung, mencari rezeki dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi.

Setiap warganya harus berfikir secara muafakat dan tolak ansur kerana tidak mudah untuk mengurus sebuah masyarakat majmuk. Harus ada pengorbanan dan kecenderungan untuk mencari titik persamaan lebih dari titik perbezaan supaya kelebihan yang dinikmati dan kekurangan yang dirasai dikongsi bersama dengan keinsafan dan tekad untuk terus menyumbang ke arah kebaikan dan kemajuan Malaysia.

PENULIS ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 29 Ogos 2012

ISU BAHASA : Perihal nama pelik dan glamor


Oleh : SRI DIAH

Semalam saya bertemu dengan Man Buncit. Dia masih seperti dulu. Tak perlulah saya terangkan lebih lanjut siapakah beliau dan bagaimana bentuk tubuhnya. Nama panggilannya sahaja sudah menjelaskan siapa dia dan seperti manakah perilaku orangnya.

Minggu lalu, saya berjumpa dengan  Tipah Lenggang. Iya, Latifah kawan sekampung yang masih solo walaupun usia sudah menjangkau 50an. Latifah masih lagi berlenggang - ke kedai, ke surau… tetap melenggang-lenggang apabila berjalan.

Sepanjang bercuti Aidilfitri, berziarah ke rumah rakan-rakan di ibu kota kita mendengar ada banyak nama pelik digelar pada seseorang. Semasa balik kampung, lagilah banyak nama gelaran yang kita dengar. Tersenyum simpul kita dibuatnya.

Suasana desa lain, tak sama dengan di bandar. Jika di desa, panggilan-panggilan yang begitu adalah lumrah dan orang kampung berkenaan tidak akan marah jika kita memanggil mereka dengan gelaran pelik. Namun itu tidak di bandar, kita mungkin akan dikejar dengan parang!

Bayangkan kalau kita panggil rakan kita, terjerit-jerit memanggilnya Zin Badak! Hah… siaplah. Memang si polan akan marah, naik angin dan silap-silap dia akan mengamuk berapi-api, marah macam badak mengamuk…!

Nama mempunyai suatu pengaruh yang signifikan dalam kehidupan kita. Daripada nama kita dapat mengetahui ras seseorang serta status agamanya. Orang-orang tua masih percaya nama akan mempengaruhi sifat dan sikap seseorang.

Sebab itulah, kadang-kadang kita mendengar cerita orang-orang dahulu nama mereka ditukar daripada nama asal diberikan semasa kecil, mungkin kerana tidak sesuai atau ada sesuatu yang tidak kena.

Kita percaya panggilan atau gelaran itu jika disebut banyak kali akan jadi satu doa. Tak dapat dijangka apakah panggilan kita pada seseorang itu satu doa atau hanya satu pengenalan sahaja.

Jika dia penjual gaharu kita akan panggil dia Lan Gaharu. Samalah juga jika dia penjual nasi lemak, kita akan panggil Mak Jah Nasi Lemak. Kita tidak ada niat buruk, melainkan untuk menjelaskan siapa kita maksudkan.

Zaman sekarang nama seseorang lebih bersifat populariti terutamanya dalam kalangan belia dan remaja. Mereka mungkin segan atau malu jika rakan-rakan memanggil dengan nama asal seperti Fatimah, Zulkarnain atau Fadhilah. Bahkan mereka mungkin meminta rakan-rakan memanggil dengan nama lebih glamor seperti Fetty, Zack ataupun Dyla.

Ramai juga yang memanggil rakan dengan sebahagian sahaja daripada nama mereka seperti Kamarul (Raul), Bazli (Bazz), Firdaus (Fir) dan lain-lain. Ada juga yang ‘menukar’ nama kepada ala-ala orang putih seperti Burn (Bakar), Kathy (Khatijah), Remy (Rahimi) dan lain-lain.

Bagaimana pula jika namanya dipanggil seperti mana tubuh badannya seperti Man Buncit tadi? Jika kebetulan Maria itu jongang, kita akan panggil Maria Jongang. Jikalau Remlee itu tonggek maka kita akan memanggil dia Ramlee Tonggek. Sekiranya Abu Bakar itu telinganya agak besar dan kembang kita akan panggil Bakar Capang. Atau jika Zainal itu botak, kita akan panggil dia Zai Bo (dia kawan saya!).

Gelaran-gelaran berkenaan sepatutnya tidak disebut apabila berbicara kerana ia akan menimbulkan kemarahan dan kebencian, seterusnya boleh membawa kepada berdendam serta bermusuhan.

“Wahai orang-orang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olok), dan janganlah pula perempuan-perempuan (mengolok-olok) perempuan lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada perempuan (yang memgolok-olok).

Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) sesudah beriman. Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (al-Hujurat: 11).

Semasa berziarah hari raya, saya berkata pada tuan rumah pertama yang saya mahu ke rumah Cikgu Ismail. Tuan rumah bertanya, “Cikgu Mail Panjang ya?”. Saya angguk, memang Cikgu Ismail itu orangnya tinggi (panjang?). “Oh… rumah dia sebelah rumah Pak Tam Bongkok. Sebelah belakang, rumah Mak Ngah Nyanyuk…”

Saya dan keluarga tersipu-sipu mendengarnya. Dalam hati saya berkata, agaknya diri saya ini apalah panggilan yang dia beri? Mungkinkah Sri Cantik, Sri Buruk atau Sri Gemuk? Aduhai…

Jangan ambil mudah, seorang Mak Hajjah amat kecewa apabila dia sudah berhabis wang beribu ringgit menunaikan haji cara pakej tapi orang tak panggil dia gelaran Hajjah.

Seorang Datin juga amat marah sekiranya gelaran Datinnya tidak disebut. Seorang Tan Sri juga begitu. Siap dia sebut namanya Tan Sri apabila dia berjabat tangan.

Tapi saya… tak apalah kalau tak sebut Puan Sri Diah sebab gelaran puan sri saya itu hanyalah nama samaran sahaja…

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Senang sangat rompak mesin ATM


Oleh : Akhbar Satar
 
Institusi kewangan kena tingkat kawalan

Kegiatan merompak mesin ATM semakin berleluasa, terutama di sekitar Lembah Klang. Mesin ATM menjadi sasaran pilihan penjenayah untuk mendapatkan wang dengan cepat, mudah dan lumayan. Biasanya kegiatan merompak mesin ATM dilakukan antara jam 2 pagi dan 5 pagi ketika suasana sunyi dan tiada orang ramai. Antaranya kes rompakan mesin ATM di Lembah Klang ialah di Universiti Malaya; Universiti Kebangsaan Malaysia; Giant Taman Melawati; Stesen KTM Subang Jaya; Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam; Balakong; Stesen LRT Universiti, Bangsar; Carrefour Wangsa Maju dan Taman Tun Dr Ismail yang membabitkan jumlah wang sebanyak RM3 juta. Nilai wang paling banyak dilarikan pencuri membabitkan rompakan empat mesin di Carrefour Wangsa Maju, iaitu RM1.17 juta.

Ada bermacam-macam taktik penjenayah merompak mesin ATM. Modus operandi jenayah ini biasanya secara berkumpulan dengan mengheret mesin menggunakan kabel atau tali lebar lalu memasukkan ke dalam kenderaan pacuan empat roda. Sebelum ini, mereka juga menggunakan jengkaut untuk melarikan mesin ATM. Penjenayah juga menggunakan alat pemotong besi dan gerudi untuk menebuk mesin berkenaan. Mereka memikirkan cara yang lebih agresif dan berusaha mencipta teknik baru untuk mengatasi kekebalan sistem keselamatan.

Alat kimpalan digunakan untuk menebuk mesin ATM di Giant Taman Melawati manakala bahan kimia pencair besi digunakan di Carrefour Wangsa Maju. Penjenayah memasuki bangunan menerusi laluan bawah tanah dibuat sendiri. Untuk mengelak wajah mereka dirakam, penjenayah terbabit menutup kamera litar tertutup (CCTV) pada dua skrin mesin ATM dengan kertas dan sejadah. Di stesen LRT Universiti pula, penjenayah terbabit menebuk dinding konkrit dengan menggerudi dari bilik bersebelahan tanpa dikesan sistem penggera. Kejadian paling berbahaya berlaku di Alor Gajah dan Alor Setar yang mana mesin ATM diletupkan dengan bom buatan sendiri.

Rompakan terbaru membabitkan mesin ATM ke-10 sejak Mac lalu berlaku pada 1 Syawal lalu pada jam 2.30 pagi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Mesin ATM itu diletakkan berhampiran sebuah restoran yang beroperasi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Tetapi penjenayah membuat perancang rapi dan teliti kerana mengetahui restoran itu ditutup pada malam Aidilfitri. Mereka menggunakan alat pemotong besi jenis ‘portable ocytelene’ dan melarikan RM220,000.

Persoalannya, bagaimana sebuah bank boleh meletakkan mesin ATM di tempat sunyi di mana semua kedai ditutup pada jam 5.00 petang kecuali restoran terbabit. Suasana sunyi dan terlindung di kawasan itu membolehkan penjenayah merompak mesin ATM dengan mudah.

Bilangan mesin ATM yang kini berjumlah 9,200 buah, tidak termasuk di luar premis bank, juga antara sebab meningkatnya jenayah itu. Perompak mempunyai banyak pilihan dan sudah tentu mencari lokasi paling kurang risiko. Tambahan pula, kesalahan cuba merompak mesin ATM biasanya disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali sedangkan jika melakukan rompakan di bank dengan senjata, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Penulis percaya kegiatan mencuri mesin ATM kini banyak dilakukan penjenayah terancang dan profesional. Kelemahan sistem kawalan dan keselamatan di lokasi mesin ATM dipercayai antara punca jenayah ini berleluasa. Perlumbaan antara bank untuk meletakkan mesin ATM di merata tempat tanpa mengambil kira faktor keselamatan juga mendorong dan membuka peluang kepada penjenayah.

Ada penjenayah menggunakan orang dalam membantu merompak mesin ATM. Pengawal keselamatan, penyelenggara mesin ATM atau kakitangan bank kesempitan wang, suka berjudi atau kaki perempuan mudah diajak menjadi rakan subahat. Mereka ini memberi maklumat kepada penjenayah atau sama-sama terbabit dalam rompakan.

Justeru, bank perlu mengkaji tahap keselamatan sesuatu kawasan sebelum menepatkan ATM di kawasan berkenaan. Bank juga harus mengkaji balik prosedur penghantaran wang ke ATM serta memastikan kakitangan, termasuk pengawal keselamatan dan penyelenggara mesin mempunyai integriti diri yang tinggi seperti jujur, amanah dan dipercayai.

Sistem keselamatan mesin ATM perlu dipertingkatkan dengan penggunaan Sistem Kedudukan Global (GPS) secara bijak dan sistem CCTV lebih baik serta pengwujudan sistem Pusat Kawalan Utama (CMS). CMS berfungsi sebagai pemantau supaya sebarang cubaan mencuri ATM disalurkan terus kepada syarikat kawalan keselamatan atau polis bagi memudahkan mereka bertindak secepat mungkin. Polis juga perlu meningkatkan usaha kawalan, termasuk menubuhkan pasukan khas bagi menangani kes rompakan mesin ATM.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Malas jadi penghalang kejayaan


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

SEMUA benda nak free tu yang jadi malas sikit. Tiada inisiatif untuk berusaha. Kalau subsidi kerajaan dikurangkan salah itu ini, kebanjiran pekerja asing di Malaysia tanda-tanda awal penduduk negara ini malas bekerja. Hendak gaji besar tapi kerja sikit. Macam mana rupa negara kita kalau jadi negara berkebajikan… Tepuk dada tanya pemikiran anda." Demikian di antara pandangan (Murni Ali) yang diajukan dalam ruangan blog Interaktif facebook.com/utusan_online pada 25 Ogos lalu.

Ada beberapa indikator untuk melihat sejauh mana keselesaan atau kemalasan dalam masyarakat kita. Antaranya adalah melihat tahap kesihatan yang mana bilangan obesiti semakin meningkat menggambarkan kurangnya aktiviti jasmani atau kegiatan gaya hidup sihat. Jika diperhatikan jumlah mereka yang mengunjungi padang atau gelanggang permainan untuk beriadah setiap petang sangat kurang.

Bagi kekal sihat tidak semestinya hanya bersukan tetapi cara lain boleh dilakukan misalnya membiasakan berjalan pantas ke tempat berhampiran tanpa menaiki kenderaan atau mengelakkan diri daripada  menggunakan lif tetapi menggunakan tangga jika menaiki bangunan yang tidak terlalu tinggi.

Walau apa pun untuk menjaga kesihatan sikap malas perlu dihindarkan. Senaman perlu dijadikan rutin harian sama ada di kawasan rekreasi atau di gimnasium tidak kira yang muda atau tua.

Selain itu tingkah laku malas dapat dilihat dengan jelas melalui perbuatan melepak yang kebiasaannya di pasar raya, tempat hiburan atau kawasan awam. Melepak sering dikaitkan dengan perbuatan membuang masa, tidak mempunyai tujuan khusus atau tidak bijak menggunakan masa. Lebih malang perbuatan melepak ini dilakukan oleh muda-mudi dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan atau mendakwa diri masih menganggur.

Sekiranya ditinjau keadaan sekeliling ternyata negara kita antara yang paling bertuah dianugerahkan dengan tanah subur, di kelilingi air yang memiliki khazanah laut dan pelbagai aktiviti ekonomi yang berkembang pesat.

Melalui kestabilan politik, suasana aman dan asas infrastruktur yang lengkap sesiapa pun boleh berjaya asalkan sanggup berusaha keras untuk mencapainya.

Malangnya, kerja yang sepatutnya dilakukan oleh anak tempatan diisi dan dipenuhi oleh warga asing.

Sikap malas menjadi penghalang utama untuk mencapai kejayaan. Perkara ini telah diingatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak kecil. Kemudiannya di sekolah guru terus mengingatkan pelajar supaya menghindari sikap malas jika ingin maju dalam pelajaran dan kehidupan. Guru sentiasa menekankan agar pelajar bersikap positif, rajin, tekun dan bersungguh-sungguh dalam mengejar ilmu pengetahuan.

Pelajar digalakkan membuat persediaan awal dengan membaca perkara yang akan diajar, memberi perhatian serta tumpuan semasa pengajaran guru dan banyak membuat latihan serta rujukan bagi menambah pengetahuan. Kebiasaannya anak murid yang akur dengan nasihat dan panduan guru akan beroleh kejayaan dalam pelajaran dan cemerlang dalam peperiksaan.

Sekiranya kita melayari Internet terdapat blog yang membincangkan sikap malas antaranya www.irfankhairi.com memberikan panduan bagaimana untuk membanteras sikap yang merugikan itu. Menurutnya malas berpunca daripada sikap terlalu selesa atau berada dalam zon selesa.

Untuk keluar daripada zon itu bukanlah suatu yang mudah. Walaupun ada usaha tetapi secara psikologi tarikan kembali ke zon itu lebih kuat. Apa yang perlu dilakukan adalah berusaha sedikit demi sedikit untuk berubah misalnya bagi seorang pelajar cuba tetapkan masa satu jam setiap hari untuk belajar di rumah kemudian berusaha meningkatkannya kepada 30 minit bagi setiap minggu dan akhirnya cuba dapatkan jumlah masa belajar sehingga lima jam setiap hari dan berusaha mengekalkannya. Insya-Allah dengan tekad dan semangat yang kuat perubahan boleh menjadi kenyataan.

Sementara itu, blog www.rahsiaebiz.com memperkatakan kejayaan seseorang mempunyai kaitan yang signifikan dengan sikap. Inilah yang membezakan personaliti yang hebat dengan orang biasa.

Menurutnya, sikap malas adalah penyakit, sekiranya dihinggapi orang itu akan hilang kesungguhan untuk mencapai matlamat tidak kira dalam usaha merebut peluang, bidang kerjaya atau apa sahaja yang mereka impikan.

Sekiranya dikaji latar belakang tokoh tertentu seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Bill Gates, Warren Buffet, Lim Goh Tong atau Syed Mokhtar Albukhari sudah tentu terdapat kualiti tertentu dari segi sikap, kesungguhan, strategi dan perancangan mereka. Sesungguhnya tiada sikap malas dalam kamus hidup mereka kerana malas berkait rapat dengan kegagalan.

Oleh itu, bagi mereka yang ingin berjaya sikap malas hendaklah disingkirkan jauh di luar kotak minda. Sikap positif hendaklah dijadikan amalan seperti rajin, bersungguh- sungguh, sentiasa mencuba, tidak takut gagal, dan tidak mudah berputus asa.

Secara umumnya ada beberapa kategori malas seperti malas membaca, malas berfikir dan malas berusaha. Jika ingin menjadi orang hebat membaca perlu dijadikan rutin harian. Kini untuk memiliki buku amat mudah kerana terdapat banyak kedai buku dan perpustakaan awam di seluruh negara. Demikian juga melalui ICT maklumat dan pengetahuan hanyalah di hujung jari.

Oleh itu, jangan malas membaca apa sahaja bahan kerana mungkin ada antaranya yang memberi manfaat tanpa disedari.

Keduanya, gejala malas berfikir. Ini boleh menjadikan seseorang hilang daya kebijaksanaan. Minda manusia dibekalkan dengan berjuta-juta sel neuron yang boleh digunakan untuk berfikir apa sahaja dan pada bila-bila masa. Menurut pakar perubatan lebih banyak seseorang itu berfikir semakin tajam daya pemikirannya kerana sel neuron akan ‘hidup’ dan aktif bekerja.

Sebaliknya, jika malas berfikir menyebabkan sel neuron ‘mati’ dan tidak aktif. Apa yang dibimbangi sekiranya anak muda malas berfikir mereka akan lebih cenderung kepada perkara yang berbentuk hiburan atau yang menyeronokkan sahaja.

Akhirnya akan merugikan negara kerana golongan yang produktif itu tidak dapat memberi sumbangan seperti yang diharapkan.

Ketiga, malas berusaha tetapi mempunyai keinginan tinggi untuk menjadi orang berjaya atau orang kaya. Natijahnya kerana kurang pengetahuan dan kurang berfikir maka keinginan itu sukar dicapai. Peribahasa menyatakan bahawa usaha adalah tangga kejayaan.’

Oleh itu, setiap orang yang ingin berjaya perlulah berusaha keras untuk mencapainya. Jangan bimbang, semua orang boleh berjaya. Oleh itu hindarkan sikap malas kerana ia boleh menjadi penghalang utama.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 28 Ogos 2012

ISU SOSIAL : Syawal hidupkan amalan ziarah


Oleh : Hibur Rahman
 
Amalan erat silaturahim patut diteruskan tanpa mengira musim

Alhamdulillah, kita semua baru saja merayakan Aidilfitri dalam suasana meriah dan menggembirakan, mudah-mudahan segala amal ibadah di sepanjang Ramadan lalu diterima Allah SWT dan kita mengharapkan untuk berterusan dalam ketaatan serta keredaan Allah SWT. Hari ini genap sepuluh hari kita berada dalam bulan Syawal yang mana masih lagi terasa kehangatan suasana hari raya dengan amalan ziarah menziarahi antara satu sama lain. Oleh itu, rugi jika kita tidak mengamalkan budaya menziarahi yang dekat mahupun jauh.

Amalan ziarah amat dituntut dalam Islam dan seseorang Muslim itu tidak sempurna imannya jika ia tidak menghubungkan silaturahim. Amalan ziarah memberi manfaat yang amat besar dan faedah berguna dalam konteks perpaduan ummah.

Namun, yang mengecewakan serta amat mendukacitakan, masih ada yang mengabaikan amalan ziarah terutama menziarahi saudara terdekat, sahabat handai, jiran tetangga, di luar musim perayaan atau sambutan tertentu.

Ini disebabkan fahaman dan amalan ziarah hanya bersifat bermusim atau menjadi tradisi diamalkan sempena sambutan perayaan seperti Hari Raya Puasa yang sedang kita raikan ataupun Hari Raya Haji semata-mata.

Akibatnya amalan ziarah semakin hari semakin terhakis dan diabaikan masyarakat dengan alasan kesibukan tugas harian.

Islam telah menggariskan pelbagai panduan untuk menghubungkan silaturahim sesama manusia, lebih-lebih lagi saudara seagama, supaya umat Islam menjadi umat kuat, berjaya, tidak hidup bersendirian atau dengan istilah “aku aku”, “engkau engkau”.

Pengertian silaturahim dalam Islam amat luas serta mendalam. Contohnya, apabila seseorang telah mengucap dua kalimah syahadah, maka terjalinlah ikatan persaudaraan Islam atau silaturahim, tidak kira di mana mereka berada. Semua orang Islam adalah bersaudara dalam akidah yang satu.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah, bertakwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Bagi sesetengah manusia yang hidup mereka tidak mematuhi syariat Islam, umpamanya suka mencari kesalahan orang lain, mencaci, membuat fitnah, mencerca, bersifat hasad dengki, khianat, dan melakukan kezaliman, mereka adalah golongan yang memutuskan silaturahim.

Hampir kesemua ibadah dalam Islam dituntut dilakukan dalam bentuk berkumpulan atau berjemaah. Ia tidak lain bagi memberi galakan umat Islam bertegur sapa atau bertukar-tukar pandangan. Begitu juga ibadah haji yang mengajak menghubungkan silaturahim saudara Islam di seluruh pelosok dunia.

Ibadah zakat menghubungkan nilai persaudaraan dalam kalangan umat Islam dengan sifat tolong-menolong, bantu membantu, akhirnya lahirlah nilai kasih sayang antara yang kaya dengan yang miskin.

Justeru, marilah bersama menghidupkan amalan ziarah menziarahi, mempereratkan hubungan silaturahim dan kasih sayang sebagai umat Islam di dunia bahkan sampai ke akhirat, mudah-mudahan Allah memberkati hidup kita.

Firman Allah SWT: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepada-Nya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sempit-sesempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/