Memaparkan catatan dengan label Teks Ucapan PM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teks Ucapan PM. Papar semua catatan

Isnin, 16 September 2013

PERUTUSAN PM SEMPENA HARI MALAYSIA KE-50


Selamat Hari Malaysia ke-50

Tahun ini adalah tahun yang amat bersejarah buat semua rakyat Malaysia. Pada tanggal 16 September, negara kita menyambut ulang tahun rasmi penubuhannya yang ke-50.

Pengisytiharan rasmi penubuhan Malaysia telah dibuat oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tarikh bersejarah ini, dalam tahun 1963, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Pengisytiharan yang disaksikan oleh oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 orang rakyat telah memberi sinar harapan kepada semua.

Pada ketika itu, rakyat berbilang kaum dan agama, mengimpikan kemerdekaan, kebebasan dan kemakmuran dalam sebuah negara yang berdaulat.

Satu kompromi telah dicapai bagi melindungi kepentingan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu dalam penubuhan Malaysia. Hak autonomi dan kedudukan kedua-dua buah negeri ini turut dinyatakan dalam Perkara 20, Suruhanjaya Cobbold.

Ingin saya tegaskan bahawa Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam pentadbiran negara.

Sebagai Perdana Menteri, saya sentiasa berusaha bagi memastikan pembangunan yang sama rata untuk semua negeri di Malaysia.

Sejak tahun 2010, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk melaksanakan sejumlah 79 projek pembangunan infrastruktur asas luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Pada tahun 2012 sahaja, sejumlah RM62.3 juta dari jumlah ini telah diperuntukkan kepada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi membiayai beberapa projek, termasuk merekabentuk jalan masuk dan jalan dalam ke Hab Halal Tanjung Manis, bekalan air di Samalaju dan kajian kebolehlaksanaan untuk Taman Sains di Mukah.

RM207 juta juga telah diperuntukkan dalam Koridor Pembangunan Sabah bagi melaksana beberapa projek infrastruktur dan pertanian.

Usaha berterusan bagi membangunkan ekonomi Sabah dan Sarawak sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Malaysia. Kehidupan masyarakat di kedua-dua buah negeri ini telah banyak berubah berbanding 50 tahun yang lalu, selaras dengan pembangunan global.

Walaupun dalam usia yang muda, Malaysia telah berjaya membina sebuah negara yang disegani, sama ada dari aspek politik, ekonomi dan pembangunan sosial. Pengorbanan dan usaha gigih semua pihak dalam membentuk negara, mempertahankan keamanan dan kemakmuran selama ini akan sentiasa dihargai.

Kepada semua rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam membina kemakmuran ekonomi, mempertahankan kedaulatan dan memelihara keharmonian dalam negara.

Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Sabtu, 31 Ogos 2013

Teks Ucapan PM Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-56


SALAM Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang setulusnya, dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T., lantaran di bawah lembayung rahmat dan keredaan-Nya, kita sebagai rakyat Malaysia, berpeluang meraikan ulang tahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-56 dalam keadaan permai sentosa. Tahun ini juga merupakan tahun ke-50 Sabah dan Sarawak bersama-sama menyambutnya sejak 1963.

Sesungguhnya, bersesuaian dengan situasi semasa, Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku, telah dipilih sebagai tema yang tepat untuk Hari Kebangsaan kali ke-56 ini.

Hakikatnya, telah puluhan tahun rakyat Malaysia menempuhi pelbagai perubahan dan transformasi bersama, baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu juga, Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari cengkaman serta belenggu penjajahan asing.

Sesungguhnya, kedaulatan menjadi faktor yang menunjang kita sebagai sebuah negara tidak datang secara bergolek. Telah banyaknya keringat yang mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, hatta bersinambungan sampai sekarang.

Maka yang demikian, memiliki kedaulatan bermaksud, kita berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri hala tuju negara. Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahankan perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islam, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera, seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kita menginsafi, dunia kini sering berdepan dengan pelbagai mehnah dan pancaroba. Justeru, kita terdedah dengan pelbagai ancaman oleh dalang-dalang yang cuba mewujudkan sengketa di serata dunia. Umpamanya, krisis dalaman yang sedang melanda di beberapa buah negara Arab, akhirnya bertukar menjadi kecemperaan politik yang berpanjangan.

Pergolakan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat tidak berdosa sebegini, wajar dijadikan iktibar kepada kita semua. Konflik yang sedang berlarutan, seperti tiada kesudahannya. Cahaya di hujung terowong yang dinantikan oleh rakyat mereka, tampaknya masih samar dan buntu. Demikianlah jika perubahan yang ditagih hanya sekadar perubahan semberono. Natijahnya, kemusnahan ekonomi dan pertumbuhan negara akan terjejas pabila tiadanya kestabilan dan perpaduan.

Merujuk ehwal negara kita, peristiwa hitam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini turut mengorbankan nyawa para perajurit tanah air. Sudah tentu, tragedi berdarah ini akan menjadi satu pengajaran kepada kita bahawa, Malaysia tidak terlepas daripada terdedah kepada ancaman musuh dari luar.

Hakikatnya, tragedi walang itu telah menyentap benak sanubari rakyat Malaysia, tentang peri-mustahak untuk kekal bersatu, demi mempertahankan kedaulatan negara. Lantaran, kita tidak boleh kunjung jemu untuk menyemai benih-benih jati diri dan pucuk-pucuk semangat cintakan negara di kalangan rakyat, khususnya golongan muda yakni generasi pewaris.

Pendek kata, sambutan Kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat. Lebih dari itu, ia perlu disulami dengan penghayatan yang mendalam. Sememangnya lagi, kita tidak mahu kemerdekaan hanya pada nama. Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti, kita telah pun melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya.

Sesungguhnya jua, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan adalah, sejauh manakah kejayaan kita sehingga kini dalam mempersiapkan dan mempersembahkan sebuah Malaysia yang progresif bagi ditinggalkan kepada zuriat hari muka.

Jelasnya, pada hemah saya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan, demi mencelikkan sejarah kepada generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya. Anak-anak muda sebagai bunga-bunga bangsa perlu terus dibimbing dan diasuh, dipersiapkan dengan jati diri dan diperteguhkan semangat patriotisme mereka. Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar, akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar.

Secara tuntas, Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang unik di dunia. Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan aset bagi mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi beberapa tahun lagi.

Pucuk pangkalnya, kini bukanlah masanya untuk kita berpecah belah. Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara ke hadapan untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional. Atas sebab itu, saya yakin dan percaya tiada siapa pun pihak luar yang berhak mengajar kita bagaimana hendak berjalan, kerana kita sudah lama bertatih dan melangkah.

Kesimpulannya, rupa dan wajah Malaysia seperti mana yang kita lihat dewasa ini, telah dibina melalui pelbagai ikhtiar, perancangan teliti, serta strategi yang rapi oleh pihak kerajaan sejak berdekad lalu, mengikut pendekatan serta acuan kita yang tersendiri.

Akhir kalam, saya ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia, hargailah keamanan, peliharalah keharmonian, pupuklah perpaduan dengan mencintai watan. Ayuh, marilah kita berpadu, dengan obor perjuangan yang jitu, demi Malaysia yang satu.

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-56.

Merdeka, Merdeka, Merdeka. Dirgahayu Malaysiaku.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 2 April 2013

TEKS UCAPAN PM SEMPENA PEMBUBARAN PARLIMEN KE-12


BERIKUT ialah teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembubaran Parlimen Malaysia ke-12 pada Rabu.

Bismillahirahmanirahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

1. Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatnya saya, Timbalan Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri dapat bersama-sama secara langsung dengan Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian pada pagi ini.

2. Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi ini saya telah pun menghadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu, 3 April 2013. Sehubungan dengan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

3. Sehubungan dengan itu saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap Ketua-ketua Negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

4. Hari ini, 4 tahun yang lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah pun mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Perdana Menteri negara Malaysia yang tercinta. Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, anggota Jemaah Menteri dan anggota-anggota pentadbiran yang lain telah dengan segala ikhtiar serta upaya mencetus dan melaksanakan perubahan dan pembaharuan berpaksikan kepada Falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.

5. Dalam tempoh empat tahun yang lepas rakyat Malaysia telah dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana fasa perancangan Prakarsa Transformasi Nasional yang melibatkan Program Transformasi Kerajaan, Ekonomi, Politik dan Sosial telah dilaksanakan seterusnya membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran negara.

6. Kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji menepati janji, kami merupakan kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan memeliharanya. Bukan sikap kami menanam tebu di bibir. Sesungguhnya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan “Track record” kami sepanjang empat tahun yang lalu.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

7. Pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses pilihan raya umum bagi kali yang ketiga belas untuk negara semenjak tahun 1959 iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum pertama pasca merdeka.

8. Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.

9. Sejarah telah menunjukkan bahawa kebugaran demokrasi Malaysia telah berjaya menyediakan asas yang subur untuk kestabilan dan kemakmuran nasional yang telah dinikmati warganegara ini selama lebih lima dekad.

10. Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya.

11. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Semua parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.

12. Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita.

13. Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di Malaysia semenjak merdeka lagi proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus. Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi sarwajagat.

14. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia. Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan malah jika ditangani dan diurus secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara.

15. Marilah kita sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yang akan dibuat oleh rakyat. Marilah kita sama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar, aman dan selamat.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

16. Saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya. 17. Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat, bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib. Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi, inilah tekad kita dalam menggerakkan transformasi politik, inilah komitmen kita dalam menghormati suara dan mendahulukan kepentingan rakyat.

18. Kepada semua rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Pantai Timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia, pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

19. Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting, jangan bazirkan ia, janganlah dipertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia. Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan, ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua.

20. Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tetap juga memilih kerajaan yang akan mendukung aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

21. Saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat kerana diberi kepercayaan untuk mengkhidmati tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan akan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.

22. Di sini saya selaku Ketua Kerajaan Barisan Nasional ingin merakamkan rasa penghargaan dan ucapan kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepada kami Kerajaan Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas. Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan BN akan turun dan bertemu rakyat di seluruh pelosok negara bagi meyakinkan warga Malaysia kenapa kami BN perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.

23. Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi, Insyaallah untuk melipatgandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua. Ayuh teruskan perjalanan kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik ia memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang ada.

24. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk menjadikan impian ini sebuah realiti, Malaysia yang maju, makmur dan selamat, penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua. Demi Malaysia, usaha bakti kita curah, kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Selasa, 26 Mac 2013

Teks Ucapan PM Sempena Sambutan Hari Polis Ke-206 : Perjalanan panjang organisasi terbilang


PERTAMA-tamanya, marilah kita bersama-sama mengangkat setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat bersama-sama dalam Upacara Perbarisan dan Perarakan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-206 pada pagi ini.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana sudi menjemput saya dan isteri bagi turut serta dalam upacara yang gilang-gemilang, lagi penuh bermakna ini.

Sesungguhnya negara tercinta Malaysia tidak mungkin berada pada kedudukan hari ini iaitu sebagai sebuah negara yang semakin hari semakin berjaya, sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi tanpa keamanan dan kestabilan yang dimungkinkan oleh pengorbanan mulia para patriot dari PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia. Bermula dari zaman darurat, membawa kepada era konfrantasi, Tragedi 13 Mei, era insurgensi dan terkini perang terhadap keganasan, tuan-tuan dan puan-puan serta pendahulu telah dengan setia dan tanpa ragu-ragu menyambut panggilan pertiwi tercinta.

Kita menyanjung tinggi 10 orang pahlawan negara, di mana lapan orang darinya adalah anggota PDRM yang telah membuat pengorbanan mutlak, atau ‘the ultimate sacrificekepada negara. Jadikanlah pengorbanan mereka sebagai contoh teladan dan inspirasi kepada kita semua.

Sesungguhnya, khidmat bakti tuan-tuan dan puan-puan tidak sia-sia. Walaupun ada pihak-pihak yang cuba memomok dan memperlekehkan PDRM dan ATM, pihak kerajaan dan rakyat teramai terhutang budi dengan perjuangan anda. Kerajaan juga memberi jaminan untuk terus membela maruah PDRM.

Komitmen kerajaan yang ada pada hari ini terhadap kebajikan para pegawai dan anggota PDRM tidak dapat dinafikan. Kerajaan hari ini sentiasa menepati janji.

PENAMBAHBAIKAN SKIM PERKHIDMATAN ANGGOTA POLIS DIRAJA MALAYSIA

Sebagaimana yang diumumkan di dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam atau MAPPA baru-baru ini, berkuatkuasa mulai 1 Januari 2013, kerajaan bersetuju bahawa, pangkat-pangkat dalam perkhidmatan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan atau gred gaji. Perkara ini saya masih ingat lagi, telah diperuntukkan kepada saya sewaktu lawatan saya di Pulapol ini. Perubahan ini mencakupi perubahan skop fungsi tugas, struktur pangkat juga kelayakan bagi skim perkhidmatan PDRM.

Sebagai contoh, bagi jawatan Penolong Pesuruhjaya Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 48, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 52 Perkhidmatan Awam Am manakala bagi Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini diletakkan dengan gred jawatan atau gred gaji 48.

Bagi penyetaraan anggota lain-lain pangkat, sebagai contoh, pertama: Koperal PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam Am. Kedua: Lans Koperal PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 20 Perkhidmatan Awam Am.

Kerajaan juga telah melaksanakan pelarasan kadar elaun-elaun seperti Imbuhan Tetap Perumahan, Imbuhan Tetap Keraian dan Imbuhan Tetap Khidmat Polis bagi anggota PDRM.

Di samping itu, bagi mereka yang berjawatan konstabel hingga koperal, kerajaan telah melaksanakan kaedah kenaikan pangkat berdasarkan ‘time-based’, di mana setiap anggota berjawatan konstabel akan mencecah dan akan mengisi jawatan koperal dalam tempoh masa lapan tahun sahaja, jika tiada masalah.

Ini merupakan satu pakej yang cukup bermakna kepada anggota-anggota PDRM. Kita berharap ia akan merangsang setiap anggota PDRM untuk bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai apa juga yang telah kita tetapkan sebagai objektif yang perlu dilaksanakan.

Hari ini dalam rangka terus mempertingkatkan kebajikan pegawai dan anggota PDRM suka saya mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan pelaksanaan skim insurans berkelompok, yang mana akan memanfaatkan seramai 112,145 pegawai dan anggota polis ketika ini.

NKRA MENGURANGKAN JENAYAH

Kerajaan juga ingin mengucapkan tahniah kepada PDRM kerana telah berjaya mengurangkan kadar jenayah sehingga 27 peratus dalam tempoh tiga tahun pelaksanaan NKRA. Justeru, kerajaan akan memastikan PDRM di tingkat upaya dan di struktur sesuai dengan keperluan memerangi jenayah.

Sesungguhnya, kita tidak boleh berasa selesa, malah perlu terus meningkatkan usaha dan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan kadar jenayah di negara ini dapat dikurangkan kepada tahap yang paling minimum, menjelang tahun 2020.

Untuk ini pasukan polis akan ditransformasi daripada sebuah pasukan keselamatan kepada sebuah perkhidmatan kepolisan yang berorientasikan masyarakat. Ini kerana, perkhidmatan polis tidak akan berjaya tanpa sokongan dan keyakinan rakyat. Era baru ini, menuntut supaya PDRM berganjak dan berubah kepada sebuah ‘community based policing service’ di mana di bawah konsep ini, PDRM akan tampil ke hadapan sebagai sebuah pasukan polis yang berwibawa dalam era moden.

Era ini sungguh mencabar, ia menuntut setiap daripada kita untuk mempertingkatkan kemampuan profesionalisme, kemahiran kita, dan di samping itu mengukuhkan nilai-nilai integriti. Saya amat berharap setiap aspek dalam kerja-kerja dan penugasan PDRM akan diberi perhatian yang cukup. Daripada penyiasatan yang cukup rapi, sehingga bukti-bukti yang dibawa ke mahkamah tidak boleh disangkal, kepada menjaga hak asasi manusia dan juga untuk diingatkan melakukan apa sahaja agar masyarakat kita merasakan mereka hidup dalam sebuah negara yang selamat.

Maka, saya ingin menggesa seluruh rakyat untuk berganding bahu dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang berkenaan kerana keselamatan dan keamanan negara merupakan tanggungjawab bersama.

Kerajaan juga akan sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada PDRM di dalam memastikan kewujudan kedaulatan undang-undang dan pengekalan keamanan serta ketenteraman awam.

PENGISYTIHARAN ZON SELAMAT SABAH TIMUR (ESSZONE)

Sebagai memberi asas perundangan kepada pengisytiharan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan bagi memelihara hak demokratik serta proses demokrasi untuk penduduk Sabah serta mengukuhkan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan di kawasan timur Sabah, saya dengan ini ingin mengumumkan, saya telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang diperuntukkan di bawah Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962, mengisytiharkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur, atau Eastern Sabah Safety Zone(ESSZONE) di Kawasan Timur Sabah yang merangkumi sepuluh daerah, iaitu: Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau berkuat kuasa hari ini.

Pengisytiharan yang hanya melibatkan kawasan yang merangkumi 10 daerah di atas ini akan ditadbir oleh suatu Jawatankuasa yang ditubuhkan menurut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal oleh Menteri Dalam Negeri. Di bawah Jawatankuasa ini, yang akan dikenali sebagai Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah dan dibantu oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif (Chief Executive Officer) serta ahli-ahli yang akan diumumkan sedikit masa lagi. Ketua Pegawai Eksekutif seorang awam akan bertanggungjawab untuk menyelaras dan mengawal selia fungsi dan aktiviti pasukan keselamatan dan juga jabatan serta agensi awam dalam melaksanakan semua prakarsa di ESSZONE. Jawatankuasa ini yang akan beribu pejabat di Lahad Datu, akan bertanggungjawab kepada suatu Jawatankuasa Pemantau yang dipengerusikan sendiri oleh saya, selaku ketua.

Saya suka juga memaklumkan bahawa pada hari ini juga, tiga buah kabin yang akan menjadi asas kepada kewujudan ESSCOMM telahpun sampai di Lahad Datu. Ini bererti ESSCOMM boleh berfungsi dalam masa beberapa hari lagi. Di samping itu, tujuh buah balai polis tambahan akan diwujudkan di kawasan Sabah Timur. Perkara-perkara ini telah disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara, di mana telah saya rundingkan perkara-perkara ini dengan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara. Tujuh balai itu adalah di Lahad Datu iaitu, Tambisan, Tanjung Labian dan Cenderawasih di Felda Sahabat; di Samporna pula ialah Pulau Bum-Bum, Pulau Mabul dan daerah-daerah lain di Pulau Banggi dan Pulau Gaya.

Adalah dijangkakan, kawasan-kawasan tersebut akan menerima kabin-kabin tersebut pada awal April ini. Ini membawa kepada perkara pelaksanaan yang begitu pantas menggunakan kaedah-kaedah yang begitu pragmatik.

Dengan penubuhan Jawatankuasa ESSZONE ini kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan Timur dan seterusnya mencari penyelesaian kepada punca pencerobohan tersebut.

Ingin saya tegaskan bahawa pengisytiharan ini bukannya, bukannya pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Ini perlu saya ulangi, bukan perisytiharan darurat. Kedua, ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik. Oleh itu, rakyat kawasan Sabah timur jangan risau untuk keluar mengundi dan menggunakan hak mereka mengikut undang-undang. Ketiga, Peraturan-peraturan yang diwujudkan di bawah ordinan ini juga tidak memberikan sebarang kuasa tambahan kepada pihak polis. Kuasa polis sedia ada sudah pun mencukupi untuk menangani situasi ini. Keempat, mana-mana orang yang berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah melalui proses perundangan, dan kelima, bahawa kehidupan akan berjalan seperti biasa di kawasan berkenaan tetapi dengan peningkatan kawalan keselamatan bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Sehubungan itu juga saya ingin menjelaskan di sini bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes yang melibatkan pengganas di Sabah ketika ini ialah suatu akta yang melibatkan prosedur semata-mata. Ia tidak digubal sebagai akta yang memberikan kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960. Bagi setiap tangkapan yang dibuat di bawah SOSMA, pertuduhan akan dibuat dengan menggunakan undang-undang biasa dan dibicarakan di mahkamah sebagaimana kes-kes jenayah lain.

Peguam Negara akan mengadakan sidang akhbar pada hari ini untuk menjawab segala persoalan yang berkaitan dengan aspek perundangan.

PENEMPATAN SEMULA

Menyedari bahawa punca utama kejadian pencerobohan pengganas yang berlaku di Lahad Datu dan kawasan timur lain di Sabah adalah disebabkan oleh kewujudan beberapa penempatan yang boleh dianggap sebagai mudah terdedah kepada bahaya penyusupan masuk pendatang asing tanpa izin dan orang yang tidak bernegara, maka saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan akan mengadakan inisiatif penempatan semula penduduk yang tinggal di beberapa lokasi di kawasan Timur Sabah itu bagi maksud pemeliharaan keselamatan awam.

Inisiatif yang dibuat di bawah Bahagian III Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 ini, membolehkan kerajaan menempatkan semula mana-mana orang atau kumpulan orang, khususnya mana-mana orang atau kumpulan orang yang merupakan pendatang tanpa izin atau orang tidak bernegara, ke suatu kawasan yang selamat dan sesuai yang akan ditentukan oleh kerajaan haruslah ditekankan di sini bahawa keputusan untuk menempatkan semula orang atau mana-mana kumpulan orang adalah bagi maksud pemeliharaan keselamatan awam.

Dengan melaksanakan penempatan semula ini, kerajaan akan mengambil pertimbangan bukan sahaja keselamatan dan kesejahteraan orang yang ditempatkan semula ini tetapi juga penduduk sedia ada yang tinggal di kawasan penempatan semula. Selain itu, kerajaan akan mempertimbangkan segala aspek mengenai penempatan semula itu, termasuk mata pencarian orang yang hendak ditempatkan semula di kawasan penempatan semula, dan berunding dengan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri atau Ketua Kampung, mengikut mana-mana yang berkenaan, komuniti sedia ada yang tinggal di kawasan penempatan semula itu. Keperluan untuk berunding Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri atau Ketua Kampung adalah bagi memastikan kepentingan penduduk sedia ada di kawasan penempatan semula terpelihara.

Seperti yang telah saya nyatakan tadi, adalah menjadi matlamat kerajaan bahawa hak asasi rakyat dan kedaulatan undang-undang (rule of law) akan terus dipelihara dan dilindungi, maka kerajaan akan terus memastikan bahawa penempatan semula ini:

(a) tidak akan menghalang mana-mana warganegara di sesuatu kawasan penempatan semula yang terkilan dengan keputusan kerajaan mengenai penempatan semula daripada mencabar keputusan Kerajaan; dan

(b) tidak akan menghalang mana-mana warganegara daripada menjalankan haknya sebagai seorang pemilih dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Menyedari bahawa penempatan semula ini akan melibatkan juga warganegara Malaysia sama ada, sebagai orang yang akan ditempatkan atau sebagai orang yang menetap di tempat penempatan semula, maka kerajaan akan membantu mana-mana warganegara yang haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan telah terjejas secara yang memudaratkan oleh penempatan semula.

Di bawah inisiatif penempatan semula ini juga, kerajaan akan menyediakan tempat tinggal yang sempurna dan memastikan keselamatan bagi orang yang ditempatkan semula. Ini adalah kerana kerajaan sedar bahawa keputusan untuk menempatkan semula memberikan impak yang besar kepada kehidupan masa depan mereka yang terlibat. Penghijrahan ke suatu tempat baharu melibatkan penyesuaian masyarakat terhadap suasana tempat tinggal.

Atas dasar kemanusiaan dan bagi memastikan orang yang terlibat dalam penempatan semula mendapat manfaat daripada inisiatif penempatan semula ini, kerajaan akan memastikan bahawa aspek-aspek seperti kesihatan awam, perkhidmatan perubatan dan sanitasi akan disediakan bagi orang yang tinggal di kawasan penempatan semula, selain peluang pendidikan seperti pendidikan asas dan peluang pekerjaan diperluas kepada orang yang tinggal di kawasan penempatan semula.

Kerajaan juga akan menyediakan latihan dan kelengkapan jika perlu untuk membolehkan orang yang tinggal di kawasan penempatan semula untuk memulakan hidup baru. Bagi maksud ini, kerajaan akan mendapatkan kerjasama, bantuan dan nasihat dan meminta apa-apa bentuk sumbangan daripada mana-mana organisasi atau badan di dalam, mahupun di luar.

Suka saya maklumkan bahawa inisiatif penempatan semula ini, bukan sahaja akan memanfaatkan mereka yang akan ditempatkan di kawasan penempatan semula yang baru, malah ia akan turut memanfaatkan mereka yang tinggal di sekitar kawasan penempatan semula kerana kerajaan akan menjalankan program-program yang perlu bagi kesejahteraan dan kebajikan mereka.

Walaupun inisiatif penempatan semula ini hanya tertumpu kepada kawasan Timur Sabah, tetapi, ia bukan bermakna bahawa kawasan Pantai Barat Sabah dilupakan. Buat masa ini keperluan keselamatan yang lebih mendesak tertumpu ke Kawasan Timur. Inisiatif ini akan diperluaskan ke seluruh Sabah jika diperlukan.

Dalam segala-galanya, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah meragui kesetiaan warganegara Malaysia yang berketurunan Suluk. Mereka warganegara yang mempunyai hak-hak seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara dan kerajaan akan terus melindungi hak mereka dan di samping itu, kerajaan akan terus membela kebajikan mereka.

Saya memuji keberanian dan pengorbanan penduduk Kampung Senalang, Semporna, Sabah pada 3 Mac 2013 yang telah berjaya menundukkan seorang pengganas. Dalam usaha penduduk itu mempertahankan diri dan negara, pengganas tersebut telah terbunuh. Jasa dan keberanian mereka amatlah dihargai.

Sekali lagi, saya ucapkan tahniah kepada pasukan Polis Diraja Malaysia atas sambutan ulang tahun ke-206. Satu perjalanan yang panjang bagi sebuah organisasi terbilang.

Marilah kita bersama-sama melakar masa depan yang lebih baik untuk kita dan anak cucu kita. Saya dan rakyat Malaysia mengimpikan sebuah perkhidmatan kepolisan yang profesional, berkesan dan terbaik. Sebuah perkhidmatan yang mempunyai pegawai dan anggota yang terbaik, peralatan yang mencukupi dan terkini, latihan serta kemahiran yang terbaik di dunia untuk melaksanakan perkhidmatan kepolisan abad ke-21.

Kita impikan sebuah negara maju berpendapatan tinggi di mana jalan raya -jalan raya, taman-taman perumahannya dan kawasan awamnya bebas daripada jenayah agar rakyat Malaysia boleh bersama-sama keluarga di seluruh pelosok Malaysia tanpa rasa bimbang mahupun takut terhadap keselamatan diri dan keluarga mereka. Ayuhlah bersama-sama kita jadikan impian ini sebuah realiti.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 20 Mac 2013

ISU EKONOMI : Transformasi untuk semua

PM menyampaikan Laporan Program Transformasi Negara
 di Auditorium Perdana Angkasapuri, malam tadi. 

PADA malam ini saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan bagi pihak diri saya selaku ketua kerajaan dan bagi pihak rakan-rakan dalam Jemaah Menteri bagi membentangkan hasil perkembangan prakarsa Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP.

Kedua-dua prakarsa bermula masing-masing pada tahun 2010 dan 2011 adalah bersama-sama dengan Program Transformasi Politik atau PTP dan Program Transformasi Sosial atau PTS. Ia membentuk Dasar Transformasi Nasional bagi memacu Malaysia ke arah pencapaian wawasan kebangsaan, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, menjelang tahun 2020.

Alhamdullilah, suka saya melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa dengan berkat kerjasama dan usaha gigih semua pihak sama ada rakyat terbanyak, pihak swasta, penjawat awam mahupun anggota pentadbiran, sebahagian besar matlamat yang telah dirancang berjaya dicapai. Kesannya, taraf dan kualiti hidup rakyat semakin baik, ekonomi negara semakin makmur manakala keadaan kewangan kerajaan terus bugar.

Perancangan dan pelaksanaan ETP dan GTP bukan sahaja membuktikan iltizam kerajaan terhadap falsafah pemandu negara 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, tetapi ia juga merupakan eksperimen paling berani yang pernah dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan di dunia dalam mengamalkan prinsip ketelusan dan kepertanggungjawaban.

Rakyat terbanyak serta semua pihak yang berkepentingan boleh, melalui proses perundingan dibuat menyumbang melalui makmal-makmal yang diadakan dalam proses pembentukan GTP dan ETP. Mereka juga mampu menilai pencapaian kedua-dua prakarsa ini melalui laporan tahunan dan laporan berkala yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana rojak kependekan ini mampu menyentuh kehidupan kita? GTP, ETP, NKRA, NKEA, EPP? Apa hubungkaitnya dengan tuan-tuan dan puan-puan sekelian? Jawapannya ialah, semuanya dirangka serta digubal bagi meningkatkan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia secara terancang.

Sesungguhnya lagi, semua prakarsa ini, tidak lain dan tidak bukan, ialah langkah kerajaan untuk membolehkan setiap rakyat Malaysia mendapat akses kepada yang terbaik dalam kehidupan. Pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal di mana, semakin tinggi kemahiran dan kepakaran yang dimiliki, semakin tinggi pula ganjarannya.

Pendidikan yang bermutu bermula dari prasekolah lagi, untuk mengoptimumkan potensi diri, perkhidmatan kesihatan yang terbaik, prasarana awam yang mencukupi dan pemilikan rumah yang selesa serta berkemampuan untuk berlindung dan membesarkan anak-anak.

Jelasnya, kerajaan ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab. Kerajaan ini ialah kerajaan yang menepati janji. Kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan maslahah serta kesejahteraan rakyat di atas segala-galanya. Sebab itulah sebelum berjanji kepada rakyat, kita telah mengkaji, pertamanya, adakah janji yang diberikan kepada rakyat itu akan mendatangkan faedah dan tidak memudaratkan, sama ada untuk jangka pendek, sederhana atau panjang. Keduanya, adakah janji yang dibuat tersebut mampu untuk kita tunaikan? Bukannya janji sekadar janji.

Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat teramailah yang menentukan parti mana yang dipercayai untuk membentuk sebuah kerajaan. Realitinya, bukan semua kerajaan sama berkemampuan. Ya, betul, jangkaan oleh rakyat kepada setiap kerajaan sama, namun, prestasi setiap kerajaan adalah berbeza. Pastinya, ada kerajaan yang berkesan dan ada kerajaan yang lemah serta gagal menunaikan amanah yang diberi.

Sebab itulah ada negara yang berjaya meningkatkan taraf daripada status mundur, kepada status membangun dan kemudiannya maju. Ada negara pula, tidak berubah statusnya, terus terperangkap sama ada dalam kemunduran atau membangun. Apa yang lebih teruk, ada juga negara bersifat regresif hingga jatuh tarafnya daripada negara membangun menjadi negara mundur.

Kita amat bersyukur bahawa Malaysia hari ini ialah manifestasi sebuah negara yang berjaya. Hasil perancangan teliti dan rapi serta pelaksanaan dasar-dasar pembangunan berkesan, Malaysia telah berubah daripada status negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.

Ternyata, kita ialah bukti dan contoh sebuah negara yang amat progresif. Semenjak kemerdekaan dan pada dekad-dekad awal, kerajaan telah menjadikan agenda membasmi kemiskinan, reformasi tanah, keadilan sosial, meningkatkan akses kepada setiap tahap pendidikan, perkhidmatan kesihatan untuk semua dan penjanaan kekayaan nasional sebagai agenda negara.

Dalam aspek ini, hasil kejayaan negara boleh disaksikan daripada peningkatan Pendapatan Negara Kasar atau PNK per kapita daripada AS$257 pada tahun 1957 kepada AS$9,970 pada tahun 2012. Ini merupakan peningkatan hampir 4,000 peratus (%) dalam tempoh lebih lima dekad.

Peningkatan taraf hidup ini diperjelaskan lagi melalui angka-angka, hasil daripada Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR). PPIR 2012 menunjukkan bahawa isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia meningkat daripada RM4,025 pada tahun 2009 kepada RM5,000 pada tahun 2012. Ini adalah peningkatan lebih daripada 1,200%, sejak Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dimulakan pada tahun 1974.

Manakala, kadar kemiskinan pula terus menurun daripada lebih 60% pada awal kemerdekaan kepada 1.7 % pada tahun 2012. Jurang pendapatan dalam kalangan rakyat Malaysia juga bertambah baik dengan kadar Pekali Gini menurun kepada 0.431 pada tahun 2012. Kadar inflasi negara juga kekal berada di paras yang rendah iaitu 1.2 % pada Disember 2012. Kadar ini adalah antara yang terendah di rantau ini.

Setelah tiga tahun kerajaan memulakan inisiatif GTP, maka pada kesempatan ini saya ingin melaporkan pencapaian-pencapaian yang berjaya dizahirkan di bawah tujuh bidang-bidang keberhasilan utama seperti berikut:

NKRA PERTAMA, MENANGANI KOS SARA HIDUP RAKYAT

NKRA Menangani Kos Sara Hidup Rakyat yang diperkenalkan, telah berjaya membawa manfaat kepada kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah. Di bawah NKRA ini, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif antaranya:

Pertama, dalam rangka memastikan subsidi benar-benar memanfaatkan kumpulan sasar, kerajaan telah mengambil keputusan untuk melanjutkan program Bantuan Rakyat 1Malaysia dan memperluas lagi skop program ini kepada individu bujang. Ini melibatkan peruntukan sejumlah lebih RM2.34 bilion dan memanfaatkan lebih 6 juta rakyat Malaysia.

Pemberian Bantuan Persekolahan RM100 atau Baucer Sekolah 1Malaysia kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah. Sejumlah RM524 juta telah diperuntukkan dan usaha ini memberi manfaat kepada lebih 5.24 juta murid.

Bagi pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat tinggi di universiti serta kolej pula pemberian RM250 sebagai Baucer Buku 1Malaysia memanfaatkan seramai lebih 390,000 pelajar dengan peruntukkan lebih RM97.5 juta.

Sebagai bukti keprihatinan terhadap permasalahan rakyat dalam menanggung kos kehidupan seharian yang semakin meningkat, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM37.8 bilion bagi membiayai pelbagai bentuk pemberian di mana sebanyak RM22.3 bilion adalah untuk subsidi, RM873.5 juta untuk insentif dan RM14.6 bilion bagi bantuan.

Di samping itu, melalui inisiatif Jenama 1Malaysia, rakyat kini mempunyai alternatif dalam mendapatkan barangan keperluan harian dan perkhidmatan dengan kos yang secara puratanya 20 hingga 40% lebih rendah daripada harga pasaran. Melalui inisiatif ini, kerajaan telah memperluaskan lagi pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia menjadi 85 buah semuanya. Sejumlah 168 Klinik 1Malaysia pula sedang memberi rawatan kepada lebih 6 juta rakyat Malaysia dengan kos hanya RM1.

Selain itu, kita juga sedang melaksanakan inisiatif-inisiatif Kedai Buku 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Projek Perumahan 1Malaysia atau PR1MA, Bantuan Tayar 1Malaysia, Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA serta Menu Rakyat 1Malaysia. Sesungguhnya dan sememangnya segala ikhtiar ini dan semua yang dilakukan ini demi kepentingan serta kesejahteraan segenap rakyat Malaysia tercinta.

NKRA KEDUA, MEMPERTINGKATKAN TARAF KEHIDUPAN ISI RUMAH BERPENDAPATAN RENDAH

Sungguhpun kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan kepada 1.7% dan meletakkan kemiskinan tegar dalam lipatan sejarah, namun usaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka yang berpendapatan rendah bukan sahaja akan diteruskan, malah akan ditingkatkan lagi.

Untuk itu, melalui program Akhiri Zaman Miskin atau 1AZAM seramai 106,967 telah berjaya didaftarkan di bawah program-program Azam Kerja, Azam Niaga, Azam Khidmat dan Azam Tani. Ribuan rakyat telah menerima pembiayaan mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional dan Yayasan Usaha Maju.

Di bawah program e-Kasih pula, sebanyak 89% atau lebih 100,000 mereka yang berdaftar telah berjaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan dalam tempoh hanya 3 tahun.

Dalam rangka memastikan isi rumah berpendapatan rendah mendapat akses kepada kediaman pula, pelbagai inisiatif sedang dan telah dilaksanakan oleh beberapa agensi kerajaan antaranya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Syarikat Perumahan Negara Berhad. Bagi usaha ini, kerajaan telah menawarkan, lebih 100,000 unit kediaman mampu milik.

NKRA KETIGA, MEMPERTINGKATKAN INFRASTRUKTUR ASAS LUAR BANDAR

Kerajaan akan terus memastikan rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan luar bandar tidak terpisah daripada arus perdana pembangunan. Komitmen kerajaan ini telah dizahirkan melalui program infrastruktur luar bandar. Di bawah inisiatif ini, lebih 3,300 kilometer jalan raya telah dibina, lebih 1.4 juta isi rumah dibekalkan air bersih dan lebih 470,000 isi rumah mendapat akses elektrik yang terjamin.

Di samping itu, kerajaan juga telah membina dan membaik pulih 53,000 rumah bagi penduduk miskin luar bandar. Ini melibatkan lebih 266,000 isi rumah atau hampir sejuta orang. Sesungguhnya, kesemua inisiatif di bawah NKRA ini telah menambah baik kesejahteraan hidup hampir 4 juta rakyat Malaysia yang tinggal di luar bandar.

NKRA KEEMPAT, MEMPERTINGKATKAN PENCAPAIAN PELAJAR

Menyedari bahawa anak-anak adalah pewaris dan masa hadapan negara, kerajaan beriltizam untuk memastikan bahawa setiap anak Malaysia akan mendapat permulaan pemelajaran seawalnya dalam hidup mereka. Melalui usaha-usaha yang telah dilaksanakan di bawah NKRA Mempertingkat Pencapaian Pelajar, enrolmen prasekolah telah berjaya ditingkatkan jumlahnya kepada hampir 770,000 pada 2012 atau 80% kohort umur berkenaan. Ini merupakan satu peningkatan jika dibandingkan dengan angka pada tahun 2009, di mana hanya 67% kohort umur tersebut berpeluang mendapat pendidikan prasekolah.

Pada tahun 2012, kita juga telah berjaya mengeluarkan 164 atau lebih 40% sekolah-sekolah daripada kumpulan berprestasi rendah atau apa yang dikelaskan sebagai jaluran 6 dan 7 kepada jaluran yang lebih baik yakni jaluran 1 hingga 5.

NKRA KELIMA, MEMPERTINGKATKAN PENGANGKUTAN AWAM BANDAR

Kerajaan kini sedang giat untuk menambah baik pengangkutan awam bandar. Rakyat boleh melihat bukti usaha ini melalui kerja-kerja pembinaan yang sedang dilaksanakan khususnya projek penyambungan LRT dan MRT. Kerajaan berharap rakyat dapat bersabar sedikit terhadap kesulitan dan kesesakan lalu lintas yang sedang dialami. Ini adalah fenomena yang sementara. Insya-Allah, apabila semua projek ini siap, rakyat Malaysia kelak akan menikmati pengangkutan awam yang cekap dan antara yang terbaik di rantau ini.

Antara inisiatif yang telah pun dilaksanakan ialah penambahan tren enam gerabak bagi perkhidmatan tren Komuter KTM, perkhidmatan bas GoKL yang menawarkan perjalanan percuma serta pelaksanaan Sistem Maklumat Penumpang agar pengguna mempunyai gambaran yang lebih baik tentang masa menunggu sebelum ketibaan bas.

Menjejaki masa depan pula, rakyat boleh menjangkakan sistem kereta api laju yang akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam masa 90 minit, jajaran MRT fasa kedua, landasan kereta api elektrik berkembar Ipoh-Padang Besar dan pembinaan Lebuhraya Pantai Barat. Pada analisis akhirnya, ini semua akan meningkatkan kualiti pengangkutan awam bandar seterusnya gaya hidup rakyat.

NKRA KEENAM, MERUJUK INISIATIF MEMBANTERAS RASUAH

Rasuah mampu menghancurkan negara dan melemahkan integriti institusi nasional serta menjadi penghalang besar kepada wawasan negara. Menyedari hakikat ini, kerajaan tegas memulakan perang terhadap rasuah semenjak tahun 1967 apabila tertubuhnya Badan Pencegah Rasuah dan kini diperkukuhkan lagi dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM.

Hari ini, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai Penunjuk Prestasi Utama atau KPI negara.

Inisiatif NKRA Membanteras Rasuah telah menunjukkan keberkesanan apabila kedudukan Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International negara telah bertambah baik enam anak tangga kepada kedudukan 54 pada tahun 2012 dan berada pada kedudukan ketiga dalam kalangan negara ASEAN.

Melalui penubuhan 14 Mahkamah Sesyen Khas dalam tempoh tiga tahun yang lalu, lebih 400 kes rasuah telah dibicarakan dan daripada itu hampir 260 kes telah berjaya diselesaikan pada akhir tahun 2012.

Selanjutnya, dalam usaha untuk meningkatkan ketelusan dan integriti proses pilihan raya, saya selaku Pengerusi Barisan Nasional telah menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya bagi memastikan PRU-13 bebas dan telus. Untuk itu, saya menyeru kepada semua parti politik supaya walk the talk dan mempunyai keberanian moral untuk menandatangani ikrar yang sama.

NKRA KETUJUH, MENGURANGKAN JENAYAH

Bagi memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, kerajaan telah melaksanakan prakarsa membanteras jenayah. Saya ingin melaporkan bahawa kita telah berjaya mengurangkan kadar jenayah sehingga 27% dalam tempoh tiga tahun. Kerajaan akan memastikan Polis DiRaja Malaysia akan ditingkat upaya dan distruktur sesuai dengan keperluan memerangi jenayah moden.

Pasukan polis akan ditransformasi daripada hanya sebuah pasukan keselamatan kepada sebuah perkhidmatan kepolisan yang berorientasikan masyarakat. Jelasnya, perkhidmatan polis tidak akan berjaya tanpa sokongan rakyat.

Maka, saya ingin menggesa seluruh rakyat untuk berganding bahu dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang berkenaan kerana keselamatan dan keamanan negara merupakan tanggungjawab bersama.

Seperti mana yang saya sebutkan pada tahun lepas, hubung kait antara Model Baru Ekonomi, Prakarsa Pembaharuan Strategik, Program Transformasi Ekonomi, 12 NKEA dan 152 EPP bolehlah diumpamakan dalam analogi berikut:

Model Baru Ekonomi dan Prakarsa Pembaharuan Strategik bolehlah diibaratkan sebagai lebuh raya. Manakala ETP merupakan kenderaan yang akan menggunakan lebuh raya membawa kita ke destinasi akhir, iaitu sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 12 NKEA di bawah ETP ialah bahagian-bahagian enjin kepada kenderaan tersebut.

Manakala EPP ialah bahan api atau fuel yang akan menggerakkan kenderaan ini. Untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju, kesemua komponen termasuk kenderaan, enjin, bahan api dan lebuh raya hendaklah berada dalam keadaan yang terbaik.

Dari segi pencapaian Program Transformasi Ekonomi pula, saya berbesar hati dan berasa bangga menyaksikan sektor swasta memainkan peranan yang penting, sejajar dengan aspirasi dan harapan kita.

Sejak pelancaran ETP pada lewat tahun 2010, kadar pertumbuhan pelaburan swasta telah berkembang lebih tiga kali ganda, mencatat peningkatan sebanyak 22% pada tahun 2012. Selari dengan matlamat ETP di mana sektor swasta memainkan peranan utama sebagai pemacu ekonomi negara, nisbah pertumbuhan pelaburan swasta terus mengalami peningkatan konsisten. Jika pada tahun 2009 jumlah pelaburan swasta hanya merangkumi 52%, angka ini telah meningkat kepada 58% pada tahun 2012.

Ini adalah bukti keyakinan sektor swasta yang semakin meningkat terhadap inisiatif transformasi nasional. Angka menunjukkan, pada tahun 2012, pelaburan swasta telah mengatasi sasaran dengan mencapai jumlah RM139.5 bilion, dipacu oleh perbelanjaan modal yang tinggi dalam sektor pengilangan, perkhidmatan dan perlombongan.

Pelaburan swasta penting kerana ia mempengaruhi kadar pertumbuhan ekonomi negara. Kerancakkan pelaburan swasta yang lebih besar berkadar langsung dengan kadar pertumbuhan ekonomi negara yang lebih tinggi. Pertumbuhan akan menjana kekayaan nasional. Kekayaan yang terhasil ini akan membolehkan kerajaan menjayakan lebih banyak inisiatif yang memanfaatkan rakyat.

Di antara pencapaian-pencapaian Bidang Ekonomi Utama Negara atau NKEA adalah:

Pertama, bagi sektor pelancongan, bagi tahun 2011 dan 2012, jumlah pelancong yang melawat Malaysia ialah hampir 50 juta orang dengan jumlah PNK bernilai hampir RM100 bilion.

Kedua, dalam pembangunan Greater Kuala Lumpur, setakat 31 Disember 2012, projek My Rapid Transit atau MRT telah menawarkan 48 pakej kontrak berjumlah RM19.8 bilion dan 45% atau RM8.9 bilion daripada jumlah keseluruhan telah diberi kepada kontraktor bumiputera.

Ketiga, bagi sektor minyak dan gas, projek RAPID di Pengerang bakal mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada 4,000 orang dan kerja-kerja pembinaan kepada 20,000 orang.

Keempat, dalam sektor minyak sawit pula, kita telah berjaya menanam semula seluas kira-kira 113,000 hektar kelapa sawit.

Kelima, bagi sektor kandungan dan infrastruktur komunikasi dan industri kreatif, sebanyak RM547 juta, keluaran kreatif telah dieksport dan 157,000 jam kandungan kreatif telah terhasil. Di antaranya adalah pembikinan filem bertajuk Life of Pi, telah berjaya meraih empat kemenangan daripada 11 pencalonan di Academy Awards baru-baru ini yang melibatkan kepakaran kreatif anak tempatan.

Keenam, untuk tempoh 2011 dan 2012, seramai 1,087 pemilik kedai runcit telah mendapat manfaat daripada penyertaan program Transformasi Kedai Runcit atau TUKAR. Kedai-kedai yang menyertai program ini telah menyaksikan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan selepas pelaksanaannya, purata jualan meningkat sebanyak 30 peratus.

Di atas angka-angka yang meningkat ini adalah keyakinan positif oleh pelabur-pelabur swasta kepada ekonomi negara kita. Ia diterjemahkan di dalam bentuk penciptaan peluang-peluang pekerjaan bernilai tinggi, peluang-peluang perniagaan kepada usahawan serta projek-projek komersial yang mampu memberi limpahan faedah kepada rakyat amnya.

Hasilnya, Pendapatan Negara Kasar per kapita negara telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Jika kita imbau, sebelum inisiatif ETP bermula, PNK per kapita pada tahun 2009 ialah AS$6,700. Pada tahun 2012, angka ini telah meningkat sebanyak 49% kepada AS$9,970. Trend ini akan menyaksikan Malaysia mencapai status sebuah negara berpendapatan tinggi mengikut takrifan Bank Dunia lebih awal daripada yang dijangkakan.

Kejayaan meningkatkan taraf hidup ini perlu dilihat daripada konteks bahawa pada tahun 1957 apabila negara mencapai kemerdekaan, PNK per kapita negara hanya AS$257. PNK ialah ukuran utama yang digunakan di peringkat global bagi mengukur kemajuan atau kemunduran taraf hidup rakyat sesebuah negara.

Kadar PNK yang tinggi, berkadar langsung dengan taraf hidup yang juga tinggi. Begitu juga dengan PNK yang rendah. Selain daripada PNK, mekanisma lain yang digunakan untuk menilai taraf hidup rakyat sesebuah negara ialah Per Capita Purchasing Power Parity atau Pendapatan Per Kapita Berasaskan Kuasa Beli. Waima, mengikut kaedah ini pun, kuasa beli rakyat Malaysia adalah hampir dua kali ganda pendapatan per kapita yang ada.

Kesan langsung daripada peningkatan angka-angka ini boleh dilihat dan dirasai melalui perubahan gaya hidup rakyat. Sebagai contoh, kemampuan rakyat teramai untuk pergi melancong, mengerjakan umrah, memiliki lebih daripada satu kenderaan dan telefon pintar, pelaburan dalam unit amanah dan hartanah serta pelbagai lagi.

Sehubungan ini juga, sehingga 31 Disember 2012, 149 projek telah diumumkan di bawah ETP sejak tahun 2010, dengan jumlah terkumpul sebanyak RM211.34 bilion dalam pelaburan yang telah dimeterai. Hasil pencapaian ini, sumbangan PNK pada tahun 2020 dijangka mencecah RM135.64 bilion dan sejumlah lebih 400,000 pekerjaan dijangka dapat diwujudkan.

Atas dasar inilah, maka kerajaan telah mengenal pasti enam Prakarsa Pembaharuan Strategik untuk memangkin daya saing negara. Dalam bidang Modal Insan, Piawaian Antarabangsa dan Liberalisasi, mahupun dalam usaha merapatkan jurang, khususnya dari segi penglibatan bumiputera dalam ekonomi. Kerajaan menyasarkan agar rakyat Malaysia seluruhnya menjiwai kepentingan daya saing dalam usaha memartabatkan negara.

Prakarsa Pembaharuan Strategik berkaitan Persaingan, Standard dan Liberalisasi, bertujuan membangunkan persekitaran perniagaan yang cekap dan berdaya saing di Malaysia. Antara pencapaian penting SRI pada tahun 2012 ialah penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 dan kes pertamanya telah pun diselesaikan.

Manakala liberalisasi 17 subsektor telah berjaya dilaksanakan dan susulan daripada itu, subsektor ke-18, iaitu subsektor ukur bahan bakal diliberalisasikan pada tahun 2013 dan beberapa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan telah diapung dan dijual pada tahun 2012 bagi mengurangkan peranan kerajaan dalam perniagaan. Mustahaknya, kesemua inisiatif ini akan membuka peluang dan mempermudahkan urusan perniagaan.

Kita berasa syukur kerana Malaysia terus mengukuhkan pelbagai tangga kedudukan di peringkat antarabangsa. Antara pengiktirafan yang telah diterima daripada institusi bertaraf dunia adalah seperti berikut:

Pertama, mengikut World Bank Ease of Doing Business Report 2013, secara keseluruhannya Malaysia merupakan negara ke-12 paling mesra perniagaan di dunia. Menurut laporan yang sama juga, Malaysia menduduki tangga pertama dari segi akses kepada kemudahan kredit.

Kedua, menurut Institute of Management Development di dalam laporan World Competitiveness Yearbook 2012/2013, Malaysia adalah negara ke-14 paling berdaya saing di dunia. Kedua-dua agensi tersebut juga meletakkan Malaysia di tangga keempat di dunia yang paling melindungi pelabur.

Perunding pengurusan global AT Kearney mengeluarkan beberapa indeks yang menunjukkan pencapaian Malaysia sebagai negara ke-10 bagi Destinasi Menarik Pelaburan Langsung Asing dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing 2012. Malaysia turut diiktiraf sebagai negara ketiga di dunia bagi Lokasi Menarik bagi Destinasi Penyumberan Luar 2011 selepas India dan China.

Globe Shopper Index oleh Economist Intelligence Unit menunjukkan Kuala Lumpur sebagai pusat bandar membeli-belah kedua terbaik di Asia Pasifik.

International Living Magazine melaporkan Malaysia sebagai negara ketiga terbaik untuk persaraan bagi tahun 2013.

Manakala, dalam pasaran modal pula, indeks KLCI Bursa Malaysia mencatat angka tertinggi iaitu 1,688 mata pada 31 Disember 2012. Ia telah menyaksikan kenaikan market capitalisation daripada RM999 bilion pada Disember 2009 kepada RM1.47 trilion atau peningkatan sebanyak 47%. Ini bererti, sebanyak RM466 bilion kekayaan telah berjaya dijana sejak semua inisiatif transformasi dimulakan. Sebagai peneraju kewangan Islam di dunia dan sebagai pemacu utama sukuk global pula, Malaysia juga telah menerbitkan sukuk yang bernilai AS$97.1 bilion pada tahun 2012.

Sesungguhnya, pengiktirafan-pengiktirafan global kepada Malaysia ini adalah satu testimoni kejayaan kepada prakarsa-prakarsa GTP dan ETP sejak ia dilaksanakan. Ia juga adalah testimoni bahawa kita berada di landasan yang betul.

Sehubungan itu, saya bagi pihak kerajaan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam, pihak swasta dan rakyat Malaysia sekalian yang telah bertungkus-lumus menjayakan agenda besar transformasi untuk semua ini.

Alhamdullilah ceritera Malaysia ialah cerita kejayaan. Ia cerita harapan yang mengatasi nujum kemusnahan. Namun kejayaan ini tidak mungkin tercipta tanpa gebar keselamatan serta kestabilan yang dihasilkan oleh Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan negara.

Insiden kaganasan di Lahad Datu menjadi semboyan peringatan bahawa kita sekali-kali tidak mampu mengambil mudah soal keselamatan. Keamanan dan kestabilan yang berpanjangan tidak harus menjadi sebab ketumpulan tahap kita berwaspada.

Tragedi ini telah pun mengorbankan nyawa sepuluh orang anggota pasukan keselamatan negara. Lapan orang daripada pasukan Polis DiRaja Malaysia dan mutakhir dua anggota tentera yakni Koperal Ahmad Hurairah Ismail yang berasal dari Pasir Mas dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan dari Kota Bharu.

Kita menginsafi bahawa hasil pengorbanan pahlawan-pahlawan negara ini sepertimana pada era darurat dan insurgensi telah memungkinkan kemajuan dan kemakmuran kita nikmati hingga hari ini. Pengorbanan mereka bukan sia-sia, pengorbanan mereka bukan kecil, pengorbanan mereka bukan untuk diperlekehkan.

Oleh yang demikian, kepada pihak-pihak yang cuba untuk memperkecilkan sumbangan anggota keselamatan ini, saya ingin mengingatkan kepada mereka, belajarlah mengenang budi. Sewajarnya kita semua berterima kasih di atas jasa dan bakti mereka yang telah berjuang demi tanah air tercinta ini. Kenanglah ibu bapa yang meniti hari tua tanpa mereka lagi di sisi, kenangilah isteri-isteri yang menjadi balu serta anak-anak yang kehilangan belai manja bapanya. Kepada mereka kita berjanji bahawa negara ini akan sentiasa memuliakan bakti serta pengorbanan tersebut.

Di sini juga saya ingin menegaskan bahawa negeri Sabah selama-lamanya merupakan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. Rakyat Sabah ialah warganegara Malaysia. Untuk itu kita akan tetap mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta keutuhan wilayah Malaysia daripada sebarang pencerobohan. Kita tidak akan membenarkan barang seinci pun bumi Malaysia dirampas oleh sesiapa. Inilah komitmen kerajaan yang ada hari ini.

Mencapai status negara maju berpendapatan tinggi adalah matlamat kita. Apa yang mustahak, kita mahu menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan kita sendiri, di mana kebahagiaan individu, keluarga dan masyarakat menjadi asas utama bukan semata-mata angka tunjuk ekonomi. Oleh kerana itulah, Dasar Transformasi Negara digubal dan dilaksana bagi memastikan setiap rakyat Malaysia akan merasai nikmat kemajuan yang diusahakan.

Saya bagi pihak kerajaan telah pun membentangkan laporan tentang perjalanan yang telah dilalui semenjak tiga tahun lalu. Saya yakin bahawa rakyat telah pun, bukan sekadar dapat melihat, mendengar dan menilai apa yang telah berlaku, tetapi juga merasai kesannya.

Maka, kini saatnya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan tentang hala tuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang. Pilihan ini ialah tentang kebolehpercayaan, tentang harapan, tentang masa depan, tentang kelangsungan ceritera kejayaan Malaysia dan tentang janji ditepati.

Dari itu, rakyat Malaysia perlu memilih antara kerajaan hari ini yang telah membuktikan bahawa ia sebuah kerajaan yang boleh dipercayai, kerajaan yang mendokong harapan, kerajaan yang berusaha gigih mencipta masa depan yang lebih baik untuk anak-anak Malaysia, kerajaan yang akan meneruskan dasar-dasar yang terbukti berjaya atau pihak sebelah sana yang, apabila bercakap ibarat lidah tidak bertulang, apabila diberi amanah pula mereka mengambil mudah.

Kita juga bukan seperti mereka, apabila musim pilihan raya menerbitkan manifesto tetapi setelah menjadi kerajaan janji-janji itu dimungkiri. Sudahlah manifesto yang dibuat tidak ditunaikan, diterbitkan pula janji baru dalam bentuk Buku Jingga yang ternyata tidak dikaji dengan baik kemampuannya dan kesan kepada kewangan negara. Tidak cukup setakat itu, nampaknya belum pun kering dakwat dokumen Buku Jingga, dikeluarkan pula manifesto baru.

Pucuk pangkalnya, jika janji lama dimungkiri, janji baru yang dibuat hampir mustahil untuk ditunaikan, maka, bolehkah rakyat berpegang kepada janji-janji baru mereka? Adakah sebenarnya mereka boleh dipercayai? Mampukah kita mempertaruhkan harapan masa depan anak cucu kita kepada mereka? Walhal dengan rekod yang buruk, adakah kita yakin mereka mampu mencipta masa depan yang lebih baik?

Oleh yang demikian, pilihlah kerajaan yang transformatif. Janganlah pilih kerajaan yang memusnah. Janganlah memilih kerajaan yang akan meruntuhkan masa depan kita dan anak-anak kita. Janganlah sesekali bereksperimen dengan masa depan kerana amat sukar untuk bangkit dan pulih dari kepunahan sekiranya ia melanda akibat pilihan yang salah.

Hakikatnya, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang menjunjung kesejahteraan rakyat. Salah satu contoh terbaik iltizam ini ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia. BR1M 1.0 dan 2.0 yang kerajaan berikan, telah sampai langsung ke tangan rakyat. Ia satu inisiatif yang mendatangkan manfaat yang besar kerana dapat membantu meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah.

Sehubungan dengan itu, sukacita saya mengumumkan kerajaan akan menjadikan dan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia sebagai inisiatif tahunan.

Marilah kita bina masa depan yang gemilang untuk semua, marilah kita bina masa depan yang menjanjikan pulangan adil kepada yang bekerja keras, yang berkreativiti, yang berinovasi dan yang sanggup mengambil risiko. Marilah kita bina sebuah Malaysia yang menjanjikan taman kebahagiaan untuk semua.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 11 Mac 2013

TEKS UCAPAN PM SEMPENA MAJLIS PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KETIGA BELAS (MAPPA XIII)


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.

YAB Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia,

YB Menteri-Menteri

YBhg. Dato' Sri Dr. Ali bin Hamsa, Ketua Setiausaha Negara,

YBhg. Datuk Farida Mohd. Ali, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan),

YBhg. Datuk Omar Osman, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam atau CUEPACS

Tuan-tuan dan puan-puan

1.     Terlebih dahulu, marilah sama-sama mengangkat setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jua, kita dapat bertemu dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ketiga belas pada pagi ini.

2.     Seterusnya, penghargaan dan ucapan terima kasih ditujukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Institut Tadbiran Awan Negara atau INTAN atas penganjuran Majlis Perdana Perkhidmatan Awam atau MAPPA dalam agenda utama tahunan untuk saya menyampaikan amanat dan hala tuju kepada semua penjawat awam.

3.     Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Datuk Omar Osman dan CUEPACS, kerana menjadi rakan kongsi Kerajaan dalam pembangunan negara dan proses mensejahterakan perkhidmatan awam.

4.     Pertama-tamanya jua, marilah kita yang beragama Islam menghadiahkan Ummul Kitab dan bagi yang bukan beragama Islam untuk bertafakur seketika, demi mengenang para pahlawan negara yang telah pergi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keutuhan negara tercinta di bumi Sabah baru-baru ini. Al-Fatihah.

Saudara dan saudari,

5.     Kita sentiasa menginsafi bahawa, tidak mungkin Malaysia berada pada tahap pembangunan dan kemajuan seperti kala dan ketika ini, tanpa perjuangan mulia para patriot dari pasukan, agensi dan perkhidmatan keselamatan negara. Kata orang, berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa. Itulah bakti mulia kerana agama, bangsa dan negara.

6.     Makanya, kelapan-lapan wira negara yang telah gugur di medan juang, adalah sebuah manifestasi terbaik iltizam para penjawat awam terhadap negara dan amanah yang dipikul. Mereka meneruskan tradisi mulia generasi demi generasi yang telah menyarung uniform perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

7.     Iltizam mereka itulah yang telah membolehkan kita warga Malaysia menjalankan kegiatan seharian tanpa rasa bimbang dan takut, membolehkan anak-anak kita selamat di sekolah, membolehkan kita mencari rezeki dan pada akhir setiap hari pulang ke rumah kepada keluarga tercinta. Hakikatnya mereka telah membolehkan negara ini terus maju dan makmur.

8.     Terbukti, pengorbanan mereka bukan pengorbanan yang biasa, ia amat besar maknanya. Hari ini anak bongsu Allahyarham ASP Zulkifli bin Mamat yang masih dalam kandungan tidak berpeluang mengenal bapanya manakala anak-anak yang lain tidak lagi dapat bermanja dengan ayah mereka. Begitulah ibu bapa Koperal Mohd Azrul bin Tukiran yang tidak berpeluang menyaksikan Allahyarham menaiki jinjang pelamin. Termasuklah enam orang pahlawan negara lain yang telah terkorban. Putus sudah kasih sayang di antara anak dan bapa, suami dan isteri, ibu dan anak, saudara–mara serta sahabat taulan. Yang tinggal abadi hanyalah kenang-kenangan.

Saudara dan saudari,

9.     Yakinlah... Yakinlah bahawa pengorbanan mereka tidak sia-sia. Mereka pergi dalam rangka menunaikan amanah dan menjalankan tanggungjawab. Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada setiap keluarga yang terlibat. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

PENGUMUMAN INSENTIF/FAEDAH KEPADA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA DAN POLIS DIRAJA MALAYSIA

Saudara dan saudari,

10.   Seperti kita maklum, sepanjang empat tahun pentadbiran, pelbagai inisiatif, perubahan dan penambahbaikan telah digembleng dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020. Pastinya Kerajaan akan terus merencana pelbagai program bagi meningkat produktiviti serta motivasi penjawat awam. Jelasnya, sebagai sebuah Kerajaan yang cakna, kita komited kepada keperluan semasa dalam memberi nilai tambah kepada skim-skim perkhidmatan seiring arus perdana.

11.   Maka, dengan mengambil kira Perkhidmatan Awam Am telah ditambah baik di bawah Sistem Saraan Baru iaitu SSB dan Sistem Saraan Malaysia yakni SSM, sukacita saya mengumumkan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013, Kerajaan bersetuju bahawa, pangkat-pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan atau gred gaji. Ia mencakupi perubahan skop fungsi tugas, struktur pangkat juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM. Sebagai contoh:

        11.1      Pertama: Koperal dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau     gred gaji 17, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam Am. 

        11.2      Kedua: Sarjan dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 27, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 29 Perkhidmatan Awam Am.

        11.3      Ketiga: Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 44 Perkhidmatan Awam Am.

        11.4      Keempat : Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini diletakkan dengan gred jawatan atau gred gaji baru iaitu 46A.

        dan;

        11.5      Kelima: Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 48, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 52 Perkhidmatan Awam Am.

Saudara dan saudari,

12.   Sesungguhnya, kesetaraan ini dibuat bagi mempastikan kedudukan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am sentiasa terpelihara di samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan.

Saudara dan saudari,

13.   Menelusuri realiti hubungan pentadbiran awam dan Kerajaan, sebagai sebuah negara, Malaysia tidak pernah statik berdepan dengan arus global yang berubah-ubah. Sejarah telah membuktikan, kita senantiasa dinamik dalam menangani cabaran untuk meletakkan negara pada barisan hadapan keluk perubahan. Terbukti, pencapaian yang dikecapi hari ini menjadi testimoni terbaik kejayaan kita dalam merencana dan mengemudi hala tuju negara semenjak merdeka.

14.   Bagaikan aur dengan tebing, bak irama dengan lagu, anggota pentadbiran dan penjawat awam telah bertindak seia dan sekata membawa perubahan positif dalam tempoh 5 dekad. Secara berterusan, hembusan angin perubahan ini terasa di setiap ceruk dan pelosok negara melibatkan segenap lapisan masyarakat.

15.   Hari ini negara akan terus belayar digerakkan angin Dasar Transformasi Negara menuju ke arah status sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Dasar Transformasi Negara yang ditunjangi prakarsa Pelan Transformasi Kerajaan, Pelan Transformasi Ekonomi, Pelan Transformasi Politik dan Pelan Transformasi Sosial ini sedang giat diatur gerakkan melalui pelbagai program yang disusun rapi.

Saudara dan saudari,

16.   Selanjutnya, berpayungkan falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan, program dan sasaran ETP, GTP, PTP dan PTS ternyata telah memberikan impak yang sangat positif kepada rakyat seluruhnya. Kekuatan usaha kolektif kerajaan, pentadbiran awam, pihak swasta dan rakyat ini telah membolehkan kita secara tali-menali melawan arus kemerosotan ekonomi global dengan pertumbuhan ekonomi yang rancak berkembang secara purata pada kadar lebih 5% sejak tahun 2010. Sehubungan itu, InsyaAllah pada 19 haribulan Mac ini saya akan membentangkan sebuah “report card” atau kad laporan kepada rakyat Malaysia.

Saudara dan saudari,

17.   Sesungguhnya penjawat awam menyumbang secara besar kepada kejayaan penggubalan sebarang dasar oleh anggota pentadbiran. Begitu juga dalam mempastikan kejayaan pelaksanaan setiap inisiatif yang dicetuskan. Untuk pengorbanan serta profesionalisme mereka yang tidak mengenal penat lelah mahupun kepentingan peribadi ini, saya bagi pihak Jemaah Menteri, anggota pentadbiran yang lain serta rakyat Malaysia ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih.

PENCAPAIAN PERKHIDMATAN AWAM

Saudara dan saudari,

18.   Di bawah payung falsafah rakyat didahulukan pencapaian diutamakan juga, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa program baru bagi memaksimakan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

19.   Dua contoh terbaik ialah pertamanya, melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan iaitu prakarsa Pusat Transformasi Bandar atau UTC dan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC yang mengumpulkan pusat perkhidmatan dan ekonomi secara sehenti yang telah menjadi kenyataan dalam tempoh begitu singkat dengan perbelanjaan minimum. Khidmat yang memberi kemudahan kepada rakyat ini dibuka selepas waktu bekerja sehingga malam. Keduanya, pengenalan 1MOCC atau 1Malaysia One Call Centre bagi memudahkan hubungan rakyat dengan pihak penjawat awam tanpa mengira jabatan mahupun kawasan.

20.   Pengenalan inisiatif-inisiatif baru ini menandakan pergerakan dalam pemikiran serta falsafah tentang bentuk perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat. Jadinya, kerangka baru pemikiran perkhidmatan awam harus menjurus kepada bentuk perkhidmatan yang meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

SISTEM NILAI BARU PERKHIDMATAN AWAM

21.   Kerajaan juga tanpa jemu senantiasa menyeru penjawat awam agar memberikan khidmat terbaik menepati peredaran dan kehendak masa. Sesungguhnya, penjawat awam diukur keberkesanannya bukan sahaja melalui kecanggihan peralatan digunakan bahkan merangkumi budaya, nilai, budi bahasa serta motivasi dalam menjalankan dan menyampaikan tugas.

22.   Tentunya, matlamat utama penjawat awam ialah kesejahteraan rakyat. Semboyan utama Perkhidmatan Awam adalah perkhidmatan untuk rakyat. Rakyat mestilah terus didekati dan disusuri, difahami dan difahamkan, didengar keluh kesahnya serta dirasai setiap denyut nadinya supaya dapatlah bagi kita memberikan perkhidmatan terbaik untuk mereka.

23.   Setiap penjawat awam adalah agen transformasi paling hadapan dalam perantaraan di antara rakyat dan Kerajaan. Perkhidmatan Awam yang bertunjangkan dan berpaksikan rakyat diikat hubungan dengan tersemainya kebolehpercayaan dalam memberikan khidmat paling murni tanpa mengira tempat, masa dan rupa.

CABARAN PERKHIDMATAN AWAM

Saudara dan saudari,

24.   Tahun 2020 sudah semakin menghampiri kita. Sebagai warga global yang berdepan dengan realiti ledakan maklumat serta kemajuan komunikasi era terkini kita perlukan kebijakan untuk menanganinya. Sering saya ulang-ulangkan, era di mana kerajaan mengetahui segalanya serta memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan telah berakhir. Perkembangan teknologi pada hari ini telah merubah segala bentuk kefahaman, amalan, akses serta budaya yang mendasari hubungan di antara rakyat dan kerajaan.

25.   Mendakap realiti semasa, kehendak dan jangkaan rakyat adalah perkhidmatan yang bersifat 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Kehadiran fizikal di bangunan-bangunan Kerajaan secara progresif digantikan dengan akses ke portal dan aduan melalui e-mel manakala pendekatan berterusan di luar kawasan fizikal pejabat dan di luar waktu urusan maklumat perkhidmatan berlaku melalui media sosial.

26.   Penjawat awam mestilah menguasai teknologi hari ini untuk mempastikan kekal relevan dengan peredaran masa. Kemahiran komunikasi baru ini hendaklah menjadi teras setiap penjawat awam terutama yang tugasnya berhadapan dengan rakyat secara langsung.

27.   Hakikatnya, kita kini hidup dalam dunia bermaklumat yang aksesnya tiada sempadan. Reka bentuk kerangka kehidupan pada hari ini diacukan dan dipacukan oleh kepantasan, ketepatan, ketelusan dan keluasan maklumat yang kita terima. Untuk itu, penjawat awam seharusnya bersifat proaktif melakukan penyebaran maklumat bersandarkan ketepatan tanpa melanggar peraturan atau rule of law agar perjalanan sistem pentadbiran tidak dikompromikan keabsahannya.

Saudara dan saudari,

28.   Secara sedar ataupun tidak, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisa serta dikritik bukan sahaja secara dalaman malah di luar negara melalui kanta alam maya. Oleh itu dalam era maklumat terbuka ini tidak ada individu, jabatan, kementerian mahupun institusi yang terlepas daripada pemerhatian mereka.

29.   Namun integriti kita sebagai penjawat awam mestilah dipelihara bagi mempastikan ketirisan wang atau ketirisan maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku. Janganlah sampai diibaratkan pepatah lama, membaling batu sembunyi tangan atau menjadi gunting dalam lipatan terhadap negara. Saya ingin mengingatkan, jauhilah tiga penyakit yang boleh menjejaskan wibawa dan keberkesanan sektor awam. Penyakit-penyakit tersebut adalah rasuah, salah guna kuasa dan membocorkan maklumat.

30.   Setiap tahun Kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet yang besar untuk belanja pembangunan. Jika dibelanjakan dengan betul dan menepati jadual yang telah direncanakan, maka ia akan mendatangkan manfaat yang maksimum kepada rakyat dalam mencerminkan Kerajaan telah menunaikan tanggungjawabnya.

31.   Namun, apabila membuat tinjauan-tinjauan mesra, turun padang mendekati rakyat, sering kali sampai kepada saya rungutan orang ramai bahawa permohonan-permohonan mereka kepada agensi-agensi berkaitan telah ditolak atas alasan bajet tidak mencukupi. Walaupun memang benar ada kekangan kemampuan kewangan Kerajaan, apa yang menghairankan terdapat peruntukan-peruntukan yang telah diluluskan dipulangkan semula kerana tidak diuruskan mengikut jadual.

32.   Oleh yang demikian, setiap penjawat awam hari ini berdepan dengan cabaran untuk mencari titik keseimbangan antara membangunkan kapasiti, ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang baru dengan konsep yang lama.

33.   Keberkesanan perkhidmatan awam bukan sahaja terletak kepada keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar semata-mata tetapi juga bergantung pada kejayaan berkomunikasi yang menentukan sejauh mana penerimaan masyarakat kepada sesuatu dasar itu dan kejayaan menangani kesan-kesan dari dasar tersebut.

34.   Sungguhpun, kejayaan pelaksanaan sesuatu dasar akan meningkatkan wibawa penjawat awam, akan tetapi yang lebih mustahak, tahap kefahaman dan penerimaan masyarakatlah yang akan memperkukuhkan lagi keberkesanan juga keabsahan sesuatu dasar yang digubal.

35.   Dalam era terbuka hari ini, dengan maklumat yang bersifat “real time”, kepimpinan sektor awam tidak boleh lagi mengelak daripada berhadapan dengan media atau orang ramai. Seorang pemimpin sektor awam yang baik adalah seorang mampu untuk berkomunikasi dengan berkesan, dan mampu menimbulkan keyakinan umum terhadap dasar-dasar, prakarsa dan tindakan Kerajaan.

36.   Pemimpin Perkhidmatan Awam juga mestilah bijak membuat keputusan untuk memimpin bila perlu, untuk memperkasakan rakyat bila perlu dan menggalakkan kepimpinan mereka yang berkepentingan bila perlu demi membuahkan hasil terbaik. Maka, Pemimpin Perkhidmatan awam mestilah seseorang yang mampu belajar dari yang lain, dapat membina jambatan kepercayaan dengan yang lain sekaligus mengupayakan yang lain.

37.   Lantaran itu kepimpinan sektor awam mestilah mempelajari dan menguasai bagaimana untuk mencedok kebijaksanaan kolektif rakyat demi menambahkan korpus ilmu pengetahuan dan pemahaman tentang kemunculan reka bentuk atau tingkah laku masyarakat mutakhir. 

PENYUSUNAN SEMULA PRIORITI BANDAR DAN LUAR BANDAR

Saudara dan saudari,

38.   Apabila kita mula-mula mencapai kemerdekaan hampir 70% peratus penduduk Malaysia tinggal di luar bandar dan lebih 60% warganegara berada di bawah garis kemiskinan. Hasil usaha berterusan Kerajaan, kemiskinan tegar telah berjaya diletakkan dalam lipatan sejarah manakala kemiskinan relatif sentiasa ditangani secara sistematik. Perancangan rapi disertai dengan pelaksanaan yang bijaksana membolehkan pembangunan dinikmati segenap lapisan rakyat di bandar mahupun di desa.

39.   Kejayaan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan lebuh raya serta pembukaan tanah rancangan FELDA dan FELCRA telah meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan yang dinikmati majoriti rakyat Malaysia di samping mempercepatkan proses urbanisasi. Sebilangan besar agensi-agensi Kerajaan pasca merdeka telah ditubuhkan untuk menyampaikan perkhidmatan kepada kawasan luar bandar dan pendalaman di mana majoriti penduduk Malaysia tinggal.

40.   Hari ini hampir 70% warga Malaysia merupakan penduduk bandar. Realiti baru hasil kejayaan kita ini memerlukan penyusunan semula keutamaan kita dalam menangani isu mengkhidmati bandar dan luar bandar. Penyusunan semula keutamaan ini juga memerlukan perubahan yang selari dari segi set minda dan pemikiran penjawat awam. Ini juga menuntut perubahan struktur dalam organisasi.

41.   Jika di kawasan luar bandar, mekanisma penyampaian pembangunan Kerajaan sudah begitu sistematik dan lengkap, begitu juga struktur sokongan sosial yang teratur, maka kita turut ingin mewujudkan mekanisma yang sama serta struktur sokongan masyarakat yang sedemikian di bandar. Ini akan mewujudkan penyertaan lebih menyeluruh di kalangan rakyat seterusnya melambangkan perubahan demografik.

42.   Selanjutnya, dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang bertugas di kawasan bandar, saya telah mengarahkan pihak PR1MA supaya menyediakan skim rumah mampu milik  yang akan dibina di atas tanah-tanah Kerajaan. Secara amnya, ia ditawarkan pada harga minimum 20% lebih rendah daripada harga pasaran. Diharapkan ini dapat meringankan beban penjawat awam.

Saudara dan saudari,

43.   Pepatah berbunyi, lidah itu tidak bertulang. Baru-baru ini, ada janji dibuat oleh pihak tertentu dalam manifesto mereka  kononnya hendak melihat dan menyusun semula perkhidmatan awam. Hatta, ada ura-ura mahu mengecilkan saiz perkhidmatan awam. Kata lainnya, mereka mahu memberhentikan sebahagian besar penjawat awam. Siapakah yang mereka mahu berhentikan? Mahu berhentikan para guru? Anggota polis? Anggota tentera? Pensyarah? Para doktor? Jururawat? Kumpulan pelaksana? Siapa?

44.   Pokoknya, biarlah saya tegaskan di sini, dalam usaha untuk menambahbaik perkhidmatan awam ini, mereka baru setakat nak berjanji sedangkan hakikatnya Kerajaan ini telah pun dan sedang berbuat yang terbaik untuk perkhidmatan awam supaya perkhidmatan awam terus bersifat inovatif, kreatif, produktif lagi berprestasi tinggi.

MENGHARGAI PENJAWAT AWAM

Saudara dan saudari,

45.   Kerajaan senantiasa peka terhadap beban dan tanggungan penjawat awam apabila berdepan dengan cabaran hidup semasa. Dalam tempoh antara 2007 hinggalah 2012 gaji asas penjawat awam gred 1 hingga 40 telah dinaikkan kepada 48%; sementara kumpulan 41 hingga 54 telah merasai peningkatan sebanyak 28% dan di peringkat JUSA 14.5%. Sekali lagi saya nak nyatakan, ini bukan sekadar janji atau seumpama menanam tebu di bibir. Ini bukan sekadar memintal impian-impian kosong. Tetapi inilah janji-janji kita yang telah dikotakan.

46.   Seperkara penting lagi, Kerajaan senantiasa menekankan pembangunan sumber manusia terutamanya di kalangan penjawat awam. Justeru, pembangunan kepimpinan di setiap lapisan bagi setiap skim perkhidmatan sektor awam mestilah selari dengan perubahan yang menekankan kualiti, kemahiran serta kompetensi. Bagi negara kita yang sedang rancak menjalani proses transformasi, pemimpin perkhidmatan awam juga mestilah bergerak senada dengan peralihan dalam pembangunan kepimpinan yang semakin mencabar.

47.   Selain itu juga, perubahan struktur dan institusi mestilah dilakukan dalam sektor awam supaya selari perkembangannya dengan sektor lain. Program penambahbaikan kepimpinan di kalangan pemimpin sektor awam sewajarnya bukan sahaja bersifat sekadar memenuhkan kuota kursus tetapi perlu dijadikan mekanisme penilaian yang berterusan dan menyeluruh guna mendedah dan mempersiap pimpinan masa hadapan sektor awam.

48.   Dalam hal ini, saya percaya kepada peranan yang mampu dimainkan oleh institusi latihan lanjutan seperti Razak School of Government. Jika INTAN bertanggungjawab menyediakan latihan permulaan kepada para penjawat awam, RSOG pula bertindak sebagai sekolah lanjutan atau dalam istilah dunia ketenteraan sebagai “Command and Staff College” yang akan melatih barisan tertinggi kepimpinan sektor awam pada masa-masa mendatang.

Saudara dan saudari,

49.   Institusi Perkhidmatan Awam yang utuh dan padu seharusnya mempunyai modal insan kompeten seiring dengan peta panduan dalam merealisasikan wawasan negara. Selaras waktu, landskap Perkhidmatan Awam bakal berubah di mana Kerajaan bersetuju secara prinsipnya supaya kelayakan masuk minimum ke Perkhidmatan Awam ditambah baik dan ditetapkan pada kelayakan Penilaian Menengah Rendah atau PMR.

50.   Saya dimaklumkan bahawa JPA telah mula mengadakan perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang terlibat bagi penambahbaikan 22 skim perkhidmatan yang berkaitan daripada segi perluasan skop, fungsi dan tugas yang sewajarnya. Skim-skim perkhidmatan yang terlibat adalah kelompok gred jawatan dan gred gaji 1 hingga 10 yang akan dinaikkan taraf ke gred jawatan atau gred gaji yang setaraf dengan kelayakan masuk PMR.

51.   Contoh skim perkhidmatan yang terlibat antaranya Pembantu Am Pejabat, Pemandu Kenderaan dan Tukang K3. Proses perbincangan dalam memuktamadkan penambahbaikan skim-skim perkhidmatan tersebut dijangka akan selesai sebelum akhir tahun ini. Dengan penambahbaikan skim-skim perkhidmatan berkenaan, maka daripada segi jangka panjang seramai 166,541 penyandang akan menerima manfaat dari segi laluan kerjaya yang lebih baik dan peningkatan sewajarnya dalam gred gaji mereka.

52.   Dalam usaha berterusan bagi menyediakan kerangka kukuh yang relevan dan menyeluruh, serta seiring dengan Program Transformasi Perkhidmatan Awam, Kerajaan turut bersetuju untuk mengkaji semula skim-skim perkhidmatan dalam sektor awam. Sebagai permulaan, 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirundingkan semula dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang terlibat. JPA telah pun mengadakan perbincangan dengan Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang melibatkan antaranya skim perkhidmatan Bakat, skim perkhidmatan Juruteknik, skim perkhidmatan Pegawai atau Penolong Pegawai dan Pembantu Galian, serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.

53.   Seterusnya, Kerajaan juga bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada 15 tahun kepada 13 tahun. Pelaksanaan penambahbaikan ini adalah berasaskan kecemerlangan yang akan memberi manfaat kepada lebih 17,000 penjawat yang layak. Kriteria penilaian kecemerlangan penjawat awam yang menjadi asas untuk pertimbangan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat ini, akan dimuktamadkan bersama dengan semua pihak berkepentingan.

54.   Di samping itu, Kerajaan juga secara prinsip bersetuju bagi meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu, Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka panjang. Kaedah pelaksanaannya termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas untuk ketiga-tiga laluan baru tersebut akan diperincikan sebelum dilaksanakan.

55.   Dengan mengambil kira terdapat seramai 182,434 penjawat awam yang berada di gaji maksimum pada tahun 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan, maka Kerajaan bersetuju berkuat kuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan sebanyak 3 KGT.

56.   Ini bagi membolehkan semua pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah Pergerakan Gaji Tahunan mulai tahun 2013, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa. Pendekatan ini sebagai menghargai penjawat-penjawat awam yang masih produktif dan berprestasi. Semoga inisiatif ini dimanfaatkan oleh penjawat-penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara.

Saudara dan saudari,

57.   Memahami permasalahan struktur dan anomali gaji yang dihadapi dalam SSM, antaranya kadar KGT Gred 1 hingga Gred 11 yang sama, dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, secara prinsipnya Kerajaan bersetuju penambahbaikan dilaksanakan sebelum akhir tahun 2013 berpandukan kepada prinsip-prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja, relativiti dan pariti perkhidmatan serta “pay for performance”.

58.   Mengambil kira pula usaha-usaha penambahbaikan tersebut hanya akan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini, maka Kerajaan bersetuju untuk memberi kepada semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak 1 KGT yang diawalkan pada 1 Julai 2013. Maknanya setiap penjawat awam akan mendapat antara RM80 hingga RM320. Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 1.5 billion. Ini sejajar dengan falsafah dipegang oleh Kerajaan yang senantiasa menghargai jasa dan sumbangan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada negara.

59.   Sebagai satu dasar, sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, Kerajaan dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak 3% diberi kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum, tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.

60.   Kepada para pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50 ribu orang, saya mendengar keluh kesah tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Kerajaan ini adalah Kerajaan yang prihatin terhadap tuan-tuan dan puan-puan. Untuk itu, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju, bagi pegawai yang tamat kontraknya pada 31 Disember 2013, kontrak mereka akan disambung selama setahun lagi, sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan.

61.   Semua inisiatif-inisiatif yang saya umumkan tadi adalah merupakan sebahagian daripada sistem saraan baru yang sedang dilaksanakan. Sebuah suruhanjaya juga telah ditubuhkan untuk mengkaji Perkhidmatan Awam Malaysia secara menyeluruh ke arah melahirkan perkhidmatan awam yang berwibawa dan dihormati. Berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan, dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, sukacita saya umumkan sistem saraan yang baru ini dinamakan Sistem Saraan Transformatif atau SST

PENUTUP

Saudara dan saudari,

62.   Tidak lama lagi sebagai rakyat Malaysia yang telah mendaftar, kita akan diminta menunaikan amanah sebagai warganegara bagi memilih Kerajaan yang diingini. Para penjawat awam sebagai warganegara Malaysia juga bebas memilih namun saya ingin menyeru kepada para penjawat awam khasnya dan rakyat Malaysia amnya agar menggunakan kuasa ini dengan sebijak mungkin.

63.   Amat sukar untuk menilai keikhlasan, namun kita berupaya untuk mengukur kejujuran dengan melihat prestasi rekod mereka yang berjanji. Kalau sejarah menunjukkan janji yang lama pun tidak mampu ditepati atau ditunaikan, maka berhati-hatilah dengan janji baru. Kita perlu lebih berjaga-jaga apabila pihak-pihak ini sering menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala. Begitulah kalau mana-mana pihak mencanangkan itu dan ini secara percuma maka kita perlu bertanya kepada mereka dari manakah pembiayaan tersebut datang. Jawapan mereka kononnya kekanglah ketirisan. Di sini saya ingin jelaskan, mana mungkin, kerana premis kepada anggaran ketirisan yang cuba mereka tunjukkan, dibuat secara berwenang dan semberono, tanpa berasaskan kewajaran fakta.

64.   Soalnya, sebagai pihak yang mahu memperoleh kepercayaan bagi membentuk Kerajaan mereka perlu berterus terang dengan rakyat, bahawa, tidakkah pembiayaan semua program mereka memerlukan kepada cukai dinaikkan?

65.   Lantas, kalau dilihat rekod mereka yang lepas dari segi menepati janji ia amatlah buruk. Bagi mereka manifesto bukannya janji. Dari yang demikian, kalau manifesto bagi mereka bukannya boleh dianggap janji, maka buat apa kita percaya dengan kandungan manifesto mereka itu.

Saudara dan saudari,

66.   Sebaliknya, jika mahu, Kerajaan Barisan Nasional boleh saja mengambil sikap populis dengan menjanjikan pelbagai perkara seperti kenaikan gaji dan elaun yang tinggi tanpa mengira kemampuan kewangan Kerajaan. Ya, tentunya Kerajaan ini akan menjadi lebih popular. Ya, semua pihak akan merasa seronok, semua orang akan berasa teruja, tetapi itu hanyalah buat seketika. Sebenarnya, kita perlu berfikir dengan waras apa akan terjadi kemudian hari nanti akibat daripada tindakan populis itu. Oleh yang demikian, pucuk pangkalnya, kita akan istiqamah menjadi sebuah Kerajaan yang adil dan penuh bertanggungjawab, tanpa memperjudikan apa-apa keputusan yang boleh merosakkan kedudukan dan kewangan negara.

Saudara dan saudari,

67.   Marilah kita bersama-sama untuk menjayakan Malaysia, marilah kita bersama-sama membina sebuah negara yang boleh dibanggakan. Malaysia untuk semua. Yang tua dan yang muda, yang berpendapatan rendah, yang sederhana dan tinggi. Ringkasnya, dari semua segmen serta strata masyarakat Malaysia yang ada.

68.   Kalau kita bersatu hati, bahu membahu, ganding berganding, Insya-Allah, dengan izin Tuhan, kita akan mampu membina kehidupan masa depan jauh lebih baik dari hari ini untuk anak-anak cucu. Janganlah kita pandang rendah kejayaan yang ada. Kita hari ini, ialah sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi di atas landasan yang kemas untuk menuju status sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

69.   Tanyalah juga saudara dan saudari, apakah masa depan Malaysia menjanjikan prospek yang lebih cerah. Jika jawapannya ya, ayuhlah bersama-sama kerajaan hari ini untuk meneruskan dan menambahbaik kejayaan yang sedia ada. Bingkaslah membentuk barisan dan saf yang lurus. Beringatlah, bahawa masa depan kita, anak-anak cucu kita dan keluarga kita terlalu penting untuk dipertaruhkan sebagai bahan eksperimen.

Saudara dan saudari,

70.   Akhir kata saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah di atas segala usaha gigih semua penjawat awam bagi mempastikan kejayaan Dasar Transformasi Nasional. Tanpa Tuan-Tuan dan Puan-Puan, tidak mungkin kita akan berjaya meneruskan agenda nasional yang mulia ini.

71.   Ketahuilah, bukan semua Kerajaan sama. Ada Kerajaan yang bertanggungjawab ada yang tidak, ada Kerajaan yang berkesan dan cekap dan ada juga Kerajaan yang tidak, ada Kerajaan yang memanfaatkan rakyat dan ada Kerajaan yang mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat. Renung-renung dan fikir-fikirkanlah. Buatlah keputusan yang sebetulnya. Mudah-mudahan kita diberi petunjuk-Nya.

Sumber : http://www.pmo.gov.my/