Selasa, 6 November 2012

ISU GLOBAL : Malaysia Sokong Penggunaan Tenaga Nuklear Secara Aman


KUALA LUMPUR : Malaysia sedang menjalankan kajian mendalam bagi membangunkan program tenaga nuklear termasuk rangka kerja perundangan dan peraturannya, kata wakil tetapnya ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Hussein Haniff.

"Seperti negara-negara membangun yang lain, Malaysia menyokong penuh penggunaan tenaga nuklear secara aman sebagai satu sumber tenaga oleh negara-negara anggota," katanya.

Objektif menyeluruh kajian itu adalah bagi memastikan standard tertinggi keselamatan nuklear digunakan pada setiap masa, katanya dalam kenyataannya pada mesyuarat pleno bagi sesi ke-67 Perhimpunan Agung PBB mengenai Agenda Item 85: Laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa di New York.

Hussein berkata Malaysia sentiasa mempertimbang dengan mendalam tentang insiden Fukushima Daiichi sebelum ia memulakan program nuklear.

"Sudah tentu ada pengajaran berharga yang boleh dipelajari. Dalam hubungan ini, Malaysia menyambut baik penggubalan dan pelaksanaan pelan tindakan IAEA (Agensi Tenaga Atom Antarabangsa) mengenai keselamatan Nuklear berikutan kemalangan Fukushima yang berlaku sebelum ini," katanya.

Loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi, Jepun rosak teruk semasa kejadian gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011, apabila bangunan yang menempatkan loji itu meletup dan tiga daripada reaktor nuklearnya mengalami kebocoran dalam apa yang dilaporkan sebagai kemalangan nuklear terburuk sejak bencana Chernobyl pada 1986.

Hussein berkata Malaysia akan terus menyokong usaha meningkatkan keselamatan nuklear dan berharap untuk menyertai Persidangan Keselamatan Nuklear di Fukushima, akhir tahun ini.

Beliau berkata Malaysia akan menganjurkan bengkel serantau mengenai keselamatan sumber radioaktif bagi industri radiografi menjelang akhir 2012.

"Kami berharap untuk membincangkan kemungkinan Malaysia diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan bagi latihan keselamatan nuklear di rantau ini dan seterusnya.

Sementara itu, dalam kenyataan mengenai Agenda Item 24: Pembasmian Kemiskinan dan Isu-isu Pembangunan Lain, Hussein berkata Malaysia mensasarkan untuk terus mengurangkan lagi kadar kemiskinan kepada dua peratus pada sepanjang masa menjelang 2015, daripada 2.8 peratus pada 2010.

Beliau berkata Malaysia amat menyedari kehadiran sekumpulan orang yang terdedah kepada kemiskinan di kalangan penduduknya walaupun mencatat kejayaan dalam membasmi kemiskinan.

"Kerajaan komited bagi meneruskan dasar-dasar yang akan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat Malaysia sepenuhnya dan kami berharap untuk mencapai kemiskinan sifar dalam kalangan penduduk menjelang 2020," katanya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Majikan perlu terbuka soal penawaran gaji


Pandangan IKIM

PADA tahun 2009 sahaja lebih 49.6 peratus (%) pendapatan isi rumah dikuasai oleh golongan yang berpendapatan 20% tertinggi di negara kita. Golongan 80% lagi yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan sederhana dan kumpulan yang berpendapatan rendah, berkongsi lebihan pendapatan isi rumah yang berbaki 50% tersebut. Bumiputera yang mewakili 64.9% daripada isi rumah pada tahun yang sama, 74.7% daripadanya berpendapatan di bawah RM2,000.

Persepsi makan gaji yang dilihat ideal bagi sebilangan besar masyarakat berbanding dengan bidang keusahawan dikatakan menyumbang kepada jumlah yang menerima pendapatan kurang dari RM2,000 ini.

Salah satu aspek yang sama pentingnya untuk ditangani ialah sejauh mana sebenarnya kesediaan majikan untuk menawarkan gaji atau upah yang tinggi kepada pekerja mereka pada konteks hari ini. Selama ini kita sering mendengar ramai majikan mengeluh bahawa kebanyakan calon pekerja tidak memiliki kriteria atau kemahiran tertentu yang diperlukan dalam organisasi,

Dengan kadar keluaran graduan yang meningkat saban tahun, adakah kita masih lagi tidak dapat menyediakan tenaga kerja yang mahir dan berkemahiran tinggi? Jika benar perkara ini berlaku maka dapat disimpulkan bahawa sistem pendidikan yang sedia ada hari ini adalah tidak menepati keperluan negara.

Tidak dinafikan semakin ramai tenaga kerja mahir dalam sesuatu bidang akan menekan pasaran buruh seterusnya mewujudkan satu garisan penawaran gaji yang dilihat kompetitif oleh pihak majikan. Akan tetapi apabila wujud unsur-unsur lain seperti peluang bidang pekerjaan yang sangat tidak seimbang, kemasukan tenaga kerja asing secara besar-besaran boleh menyebabkan tenaga kerja tempatan ini dinilai dengan lebih rendah.

Kecenderungan majikan yang mengambil kesempatan atas kekurangan ini juga tidak membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk sama-sama memacu ekonomi negara dengan pendapatan dimiliki mereka.

Sememangnya faktor keuntungan menjadi punca kepada mengapa sebahagian majikan tidak mahu menawarkan pendapatan yang sepadan kepada pekerja. Memaksimakan keuntungan tidak salah akan tetapi usaha ke arah keuntungan tersebut tidak boleh sehingga menzalimi pihak lain.

Islam sendiri tidak pernah mengehadkan nisbah keuntungan yang dingini oleh majikan mahupun peniaga. Akan tetapi keuntungan sehingga membawa kepada penindasan adalah dilarang sama sekali.

Kekurangan dan ketidakseimbangan dalam perolehan pendapatan isi rumah menjerat orang ramai ke arah pembentukkan masyarakat berhutang. Individu tidak lagi bekerja untuk mendapatkan pendapatan sebaliknya bekerja bagi melangsaikan hutang. Ini kerana pendapatan yang diterima hampir keseluruhannya digunakan bagi membayar kembali pinjaman dan kos penggunaan utiliti.

Faktor kurang kemahiran bukanlah satu-satunya penyebab mengapa ramai di kalangan rakyat tidak mampu memacu ekonomi negara akibat daripada pendapatan yang rendah. Meletakkan tanggungjawab kepada pihak pemerintah semata-mata untuk menyelesaikan permasalahan agihan pendapatan isi rumah yang tidak seimbang juga bukanlah satu tindakan yang tepat.

Sebagai  majikan, kita juga bertanggungjawab untuk sama-sama mengurangkan ketaksamaan jurang pendapatan dengan bersikap lebih terbuka dan bersedia untuk menawarkan gaji dan upah yang sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja juga berdasarkan prestasi organisasi semasa.

Dalam Islam, meletakkan sesuatu pada tempatnya atau 'adil yakni dalam konteks menawarkan pendapatan yang setimpal adalah lawan kepada zalim yakni penindasan terhadap pekerja dari aspek penawaran gaji adalah dituntut.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pelajar belum biasa dengan sistem modular


KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pelajar tingkatan enam yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerusi sistem modular dilihat memerlukan lebih masa untuk membiasakan diri dengan sistem baharu itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John mendapati, rata-rata pelajar mengakui sistem itu menyebabkan mereka perlu menukar cara belajar dan berusaha lebih gigih menghabiskan sukatan pelajaran mengikut penggal persekolahan.

Menurut Guru Pengajian Am SMK St. John, Mohd. Latun Nordin, penyebab pelajar sukar membiasakan diri dengan sistem baharu itu antaranya kerana masih terikut- ikut dengan sistem terminal sebelum ini.

"Mereka yang masih biasa dengan sistem terminal lebih cenderung belajar pada saat-saat akhir, jadi mereka tidak akan sempat menguasai sukatan pelajaran sebelum peperiksaan pada hujung setiap penggal.

"Jika mereka tidak ubah cara belajar mengikut keperluan sistem modular, saya percaya mereka akan menghadapi kesukaran untuk cemerlang dalam STPM," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Di bawah sistem modular yang dilaksanakan bagi sesi 2012/2013 itu, pelajar tingkatan enam akan menjalani pengajian tiga penggal untuk mengumpul mata sebelum diterima melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi mengikut sistem merit.

Sebanyak 67,202 calon terlibat dalam peperiksaan STPM di 771 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula hari ini sehingga Khamis ini dengan menggunakan sistem baharu itu.

Bagi calon STPM, Mohammad Yusri Azis, 19, walaupun masih belum dapat membiasakan diri dengan sistem berkenaan namun usaha kerajaan itu masih dianggap baik.

"Sistem ini bagus, memudahkan pelajar untuk belajar secara sistematik dan tidak membebankan pelajar dengan hanya perlu fokus terhadap sukatan pelajaran yang dibahagikan kepada tiga penggal," katanya.

Pelajar Tingkatan Enam Kemanusiaan Dua Program Pendidikan Khas Integrasi ini turut mencadangkan agar masa tambahan diberikan kepada pelajar pendidikan khas memandangkan mereka memerlukan kemudahan lain bagi menjawab soalan peperiksaan.

Rakannya, Lim Teck Zhao, 18, yang bersetuju dengan pendapat Mohammad Yusri berkata, lanjutan tempoh menjawab soalan bagi pelajar pendidikan khas dapat memudahkan mereka menjawab soalan peperiksaan berdasarkan sukatan pelajaran yang agak padat terutamanya pada penggal pertama persekolahan.

"Kami menjawab dalam format berbeza, saya rasa tidak salah sekiranya pihak kementerian dapat membuat pertimbangan bagi membantu pelajar seperti kami," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Keputusan UPSR 19 November ini


KUALA LUMPUR - Seramai 517,139 orang calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2012 di 8,284 pusat peperiksaan seluruh negara akan menerima keputusan masing-masing pada Isnin, 19 Nov ini.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam kenyataan di sini hari ini berkata majlis pengumuman analisis keputusan UPSR itu akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya.

"Calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10 pagi pada hari yang sama," menurut kenyataan itu.

Lembaga Peperiksaan mengambil masa selama sepuluh minggu bagi melaksanakan pemprosesan pemeriksaan dan analisis keputusan.

UPSR bermula pada 11 Sept sehingga 13 Sept lalu, terdiri daripada 507,783 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan sementara 9,345 calon sekolah swasta penghantar Bahasa Melayu dan 11 calon daripada sekolah swasta penghantar Bahasa Cina. - Bernama