Rabu, 28 Ogos 2013

JIKA ...


Jika bukit menjadi gunung
Gunung menyuburi rimba
Jika sakit mendorong menung
Menung merangsang dewasa
Lorong hidup banyak cabarnya.

Jika rakit menjadi kapal
Kapal meningkat bahtera
Jika bangkit melawan gagal
Gagal membibit hemah
Landas hidup banyak tuahnya.

Sasterawan Negara A.Samad Said

ISU PENDIDIKAN : Perkasa guru, kualiti pendidikan


Oleh :  Luqman Arif Abdul Karim


Tumpu dua aspek penting pastikan PPPM capai matlamat penubuhan

Kuala Lumpur :  Keberkesanan transformasi kualiti pendidikan negara bergantung kepada keunggulan profesyen perguruan dan kualiti pendidikan.

Justeru, iltizam mencapai matlamat berkenaan diterjemahkan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang  inti patinya turut diperkukuhkan menerusi penganjuran siri dialog membabitkan pelbagai peringkat masyarakat.

Bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri yang juga seorang panel dialog PPPM, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, berkata pemerkasaan tugas guru adalah antara aspek penting yang diketengahkan dalam pelan itu.

Laporan akhir PPPM dijangka dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 September ini.

Capai enam sasaran

Pada 11 September tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melancarkan Laporan Awal PPPM.

Sebanyak enam daripada 25 inisiatif yang disasarkan dalam Gelombang 1 PPPM (2013-2015) berjaya dicapai dalam tempoh 100 hari pelaksanaannya.

Sulaiman berkata, pemerkasaan guru kena pada masanya memandangkan tugas mereka kini adalah pelbagai selain daripada mengajar.

Katanya, ia termasuk memastikan pelajar mempunyai sahsiah dan disiplin tinggi.

Beliau berkata, isu itu antara perkara utama yang diketengahkan dalam siri dialog PPPM di tiga negeri kendaliannya.

“Memang perlu ada dasar bersesuaian untuk mengatasi isu ini supaya fokus guru ketika mengendalikan pengajaran tidak terjejas.

Jamin keberkesanan PPPM

“Justeru, setiap dasar dalam PPPM akan merangkumi pelbagai aspek dan rantaian mekanisme bagi menjamin keberkesanannya secara menyeluruh.

“Saya berpendapat, semua pihak dan agensi kerajaan perlu menggembleng tenaga dalam merealisasikan visi yang tersirat di sebalik PPPM ini,” katanya.

Semua kanak-kanak akan berpeluang mendapat pendidikan cemerlang berdasarkan keunikan sistem pendidikan di Malaysia, dan setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa.

Aspirasi sistem pendidikan negara adalah untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa dalam tempoh 15 tahun yang akan datang. Pentaksiran tambahan yang menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila dimensi itu dibangunkan dan diterima pada peringkat antarabangsa.

“Dalam sesi Dialog Nasional, kualiti pengajaran dianggap wahana paling berkesan untuk mentransformasikan pendidikan rendah dan menengah dan selanjutnya meningkatkan keberhasilan murid. Menerusi pelan ini kita dapat lihat kementerian beriltizam untuk meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah dengan memperkukuh amalan terbaik sedia ada,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Hayati merdeka menerusi Perlembagaan


Oleh : Shamrahayu A Aziz
 
Perlembagaan Persekutuan yang kita ada sekarang mula beroperasi selepas kita mencapai kemerdekaan. Seperti tulisan saya pada minggu lalu, Perlembagaan adalah lambang kemerdekaan.

Dalam mengisi Perlembagaan ketika kemerdekaan itu, kita maklum bahawa dalam Perlembagaan itu terkandung prinsip hasil inspirasi pimpinan politik dan paling utama ialah inspirasi Raja-Raja Melayu ketika itu. Di samping itu, ada juga cadangan kepakaran daripada Ahli Suruhanjaya Perlembagaan atau juga dikenali Suruhanjaya Reid.

Inspirasi pimpinan politik dan juga Raja-Raja Melayu itu jelas sekali dilihat dalam pelbagai perkara dalam pengisian Perlembagaan, iaitu dalam perkara membabitkan unsur warisan. Paling jelas ialah mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama negara, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, keistimewaan Melayu yang mencakupi beberapa perkara, iaitu tanah rizab Melayu serta kuota permit perniagaan, biasiswa dan dalam perkhidmatan awam. Begitu juga dengan kedudukan institusi Raja yang diperjelas kedudukannya sebagai Raja Berperlembagaan dalam sistem demokrasi beraja.

Perlu diberi penghayatan

Ada juga penulis yang menamakan perkara ini sebagai unsur tradisi. Walaupun ada perbezaan dalam istilah ini, apa yang penting untuk difahami ialah kebanyakan prinsip penting terkandung dalam Perlembagaan itu adalah berasal dari tanah air ini. Seperti yang sentiasa saya sebut dalam tulisan sebelum ini, Perlembagaan sebenarnya adalah dokumen yang mempunyai pengisian yang begitu padu dengan kehendak dan keinginan warganya.

Oleh itu, dalam mengisi kemerdekaan ini setiap prinsip warisan atau tradisi ini perlu diberikan penghayatan sepenuhnya. Walaupun kita menyedari mengenai perubahan yang sudah dan perlu berlaku dalam perkembangan keadaan negara, ia adalah prinsip warisan ini. Tujuannya supaya kita tidak menyimpang daripada tujuan asal Perlembagaan.

Dalam membahaskan perkara tradisi ini, ramai juga yang berasakan kita tidak perlu lagi berpusing menggunakan gear undur untuk mengisi kemerdekaan. Ada yang berhujah bahawa mungkin perkara terbabit baik pada masa itu, iaitu pada masa ia diperkenalkan, tetapi ia harus berubah apabila masa dan keadaan berubah. Banyak yang sudah dibahaskan mengenai isu ini.

Kebijaksanaan pimpinan

Walau apa pun, saya mahu menegaskan di sini bahawa, dalam apa juga perubahan keadaan kita, mengekalkan pusaka lama seumpama nilai tradisi ini adalah satu keperluan dan sebarang perubahan hendaklah apa yang sebenar-benar boleh membawa kepada kebaikan. Nilai pusaka inilah yang menjadikan sesebuah bangsa itu dapat mengekalkan jati diri mereka serta mempunyai landasan kegemilangan yang nyata dan teratur. Nilai tradisi ini juga yang berupaya memangkin pembangunan.

Kebijaksanaan pimpinan juga memainkan peranan paling penting dalam mengekalkan nilai tradisi ini. Oleh itu, dalam apa juga pembangunan dan polisi sudah tentu nilai tradisi ini hendaklah dijadikan kayu pengukur dan pengimbang.

Perkara ini kita boleh lihat dalam proses membuat Perlembagaan merdeka dulu. Daripada dokumen sejarah saya dapati banyak perkara yang sudah disebut oleh kepemimpinan mengenai perkara yang dijangka berlaku. Oleh itu, nilai tradisi itu dijaga oleh peruntukan berkaitan pindaan Perlembagaan.

Tonggak Perlembagaan

Boleh dikatakan semua nilai tradisi tidak boleh dipinda menerusi proses demokrasi atau undian di Parlimen. Nilai ini hanya boleh dipinda dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. Bahkan polisi berkaitan keistimewaan Melayu di bawah Perkara 153 hanya boleh dipinda dengan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja.

Oleh itu, jelas di sini, bahawa semua perkara tradisi itu adalah tonggak kepada Perlembagaan. Maka, amalan dalam bentuk polisi hendaklah sentiasa dipadankan dengan kedudukannya dalam Perlembagaan.

Pemahaman kita kepada nilai tradisi dalam bulan kemerdekaan ini boleh dijadikan cara untuk kita mencernakan kefahaman terhadap hubungan antara Perlembagaan dan kemerdekaan. Selain itu, ia juga bagi menjelaskan lagi kecintaan kita kepada tanah air tumpah darah ini dan seterusnya dapat mendatangkan kesan positif terhadap kecintaan kepada negara dan bangsa.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Hormati simbol kebesaran negara


Oleh : DR. MOHD MAHZAN AWANG

NEGARA merdeka memiliki kedaulatan tersendiri. Ia dilambangkan dalam pelbagai bentuk interaksi simbolik. Bendera negara, umpamanya adalah simbol kepada kewujudan dan kedaulatan sesebuah negara.

Maka, mengibarkan bendera sebagai menzahirkan rasa cinta dan syukur menjadi warga sesebuah negara adalah satu tingkah laku mulia. Sebaliknya pula, menterbalikkan dan mengoyak bendera adalah satu bentuk penghinaan bukan saja kepada sesebuah negara tetapi juga kepada seluruh rakyat sesebuah negara.

Begitu juga dalam soal penghormatan terhadap Malaysia menerusi lagu kebangsaan Negaraku. Berdiri  tegak ketika lagu Negaraku dinyanyikan adalah satu bentuk penghormatan fizikal yang senang diukur tetapi sejauh mana ia dihayati sebagai simbol kebesaran negara adalah amat sukar dikenal pasti.

Justeru, tidak hairan apabila ramai rakyat Malaysia tidak menzahirkan rasa hormat kepada lagu Negaraku sebagaimana yang dikehendaki. Umum mengetahui bahawa penghormatan kepada lagu kebangsaan negara di Thailand dan Indonesia telah menjadi sebahagian budaya mereka.

Untuk menjadikan cara penghormatan sebagai sebahagian budaya bukan satu perkara yang boleh dilakukan secara tiba-tiba. Ia memerlukan satu mekanisme perubahan yang berasaskan kajian empirikal.

Bukan bendera dan lagu kebangsaan sahaja yang menjadi simbol kepada kebesaran negara, tatapi konsep 'simbol kebesaran negara' adalah suatu yang meluas. Memahami konsep ini sebenarnya memerlukan satu penelitian sejarah, pemahaman dan penghayatan yang berseni.

Amnya, simbol kebesaran negara dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu simbol kebesaran negara yang konkrit dan simbol yang abstrak.

Barangkali lebih mudah untuk menghormati simbol kebesaran konkrit kerana ia dapat dilihat dan disentuh. Simbol-simbol yang tergolong dalam kategori ini termasuklah Jalur Gemilang, bendera negeri, bendera Wilayah Persekutuan, bendera kerajaan tempatan, Jata Negara, lagu kebangsaan Negaraku, dan lagu-lagu rasmi negeri.

Oleh sebab ia berbentuk konkrit, maka kita dapat melihat secara jelas tentang bagaimana masyarakat menghormati simbol kebesaran negara ini.

Kita dapat melihat bagaimana rakyat di Malaysia menyambut perayaan hari kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu patriotik, aktiviti sambutan kemerdekaan di institusi pengajian tinggi serta hiasan-hiasan kemerdekaan di bangunan kerajaan. Tahniah, kepada yang telah menzahirkannya.

Tanpa menidakkan kepentingan dalam menzahirkan rasa cinta dan hormat kepada kedaulatan negara merdeka, terdapat satu fenomena yang mungkin lebih utama untuk diteliti iaitu sejauh mana simbol kebesaran negara yang berbentuk abstrak atau simbolik dihormati rakyat Malaysia.

Parlimen Malaysia dan Sistem Raja Berperlembagaan umpamanya adalah salah satu simbol kebesaran negara yang abstrak kerana ia bukan merujuk kepada bangunan Parlimen tetapi ia adalah satu tunjang dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.

Sistem ini telah menjadi tiang dalam pengurusan dan pelestarian kemerdekaan negara. Soalnya, bagaimanakah dan sejauh manakah rakyat Malaysia berlainan sosio-demografi menzahirkan rasa hormat kepada Parlimen Malaysia dan Raja Berperlembagaan?

Barangkali masih ada yang keliru tentang cara bertindak dalam ruang lingkup negara demokrasi yang seringkali dikaitkan dengan kebebasan bersuara. Memang negara demokrasi meraikan perbezaan pendapat dan meraikan kepelbagaian suara tetapi antara hak bersuara dan tanggungjawab untuk keharmonian negara adalah dua aspek yang saling berkait rapat dalam sistem demokrasi.

Justeru, bertindak secara demokratik dalam menyalurkan kritikan dan teguran secara matang menerusi saluran sah seperti badan-badan bukan kerajaan, parti-parti politik dan juga badan profesional adalah bukti aksi sosial dalam menghormati Parlimen Malaysia dan sistem Raja Berperlembagaan negara ini.

Barangkali, inilah cara rakyat Malaysia menghormati Parlimen Malaysia dan sistem Raja Berperlembagaan sebagai simbol kebesaran negara. Memandangkan penghormatan kepada simbol kebesaran negara yang berbentuk abstrak ini tidak dapat dinilai secara konkrit tetapi memerlukan satu deskripsi, satu garis panduan ekspektasi kerajaan Malaysia terhadap tingkah laku rakyat Malaysia dalam menzahirkan penghormatan kepada simbol kebesaran negara amat wajar diadakan.

Dengan cara ini, rakyat dapat mengetahui harapan kerajaan kepada tingkah laku rakyat. Di samping itu, memberi penghargaan kepada sikap dan tingkah laku rakyat yang menghormati simbol kebesaran negara adalah motivasi kepada semua. Juga, merancakkan lagi modal sosial menerusi pendidikan komuniti adalah satu perancangan yang perlu difikirkan secara serius.

Hakikatnya, menzahirkan rasa hormat kepada negara bukanlah semata-mata perbuatan fizikal tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita bertindak dan berperilaku dalam konteks falsafah demokrasi di Malaysia.

Penulis ialah pensyarah Pendidikan Komuniti di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/