Jumaat, 9 September 2011

ISU SOSIAL : Orang ramai kena aktif bantu atasi jenayah

SAYA merujuk kepada kaji selidik Jabatan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini yang mendedahkan bahawa jenayah masih terus menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia, sungguhpun terdapat penurunan daripada 33 peratus pada tahun lalu kepada 21 peratus tahun ini.

Pendedahan ini tidaklah menghairankan memandangkan mereka yang terbabit dalam kaji selidik berkenaan juga pernah menjadi mangsa jenayah ataupun saudara-mara atau kenalan rapat mereka menjadi sasaran penjenayah.


Dengan membaca berita jenayah setiap hari di media juga boleh menyebabkan wujudnya persepsi itu.

Kita tidak harus melihat perkembangan ini sebagai negatif. Sebaliknya ia harus dilihat secara positif. Hakikat bahawa jenayah adalah kebimbangan utama rakyat Malaysia mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat untuk memerangi jenayah serta mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap jenayah.

Ia juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mahu melihat lebih banyak usaha untuk menangani jenayah dan tidak memandang remeh isu berkaitan jenayah.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengalu-alukan perkembangan ini dan ingin melihat kebimbangan ini diterjemahkan dengan lebih banyak penyertaan orang ramai dalam program pencegahan jenayah dan aktiviti yang dianjurkan oleh MCPF.

Diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia dari pelbagai kaum membabitkan diri secara aktif dalam aktiviti pencegahan jenayah di kalangan komuniti dan kejiranan masing-masing.

Rakyat Malaysia harus tampil ke hadapan untuk turut serta dalam program dan aktiviti pencegahan jenayah sama ada atas inisiatif persatuan penduduk mereka sendiri, pertubuhan perniagaan mahupun mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) lain bagi meningkatkan kesedaran mengenai apa yang boleh dan patut dilakukan untuk mencegah jenayah.

Pembasmian jenayah menjadi teras utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang perlu secara berterusan mengukuhkan keupayaannya dan prestasi cemerlang berdasarkan pendekatan 4P (iaitu berorientasikan masyarakat, prestasi, pelindung dan proaktif) untuk memerangi jenayah.

Apa yang pihak polis perlukan adalah untuk mencapai kadar penyelesaian kes jenayah yang lebih tinggi, serta meningkatkan lagi usaha ke arah memasyarakatkan polis.

Dalam aspek jenayah, persepsi masyarakat adalah penting. Kekerapan media melaporkan kejadian jenayah tidak akan membantu untuk membaiki persepsi masyarakat.

Kita perlu sentiasa sedar bagaimana orang ramai melihat jenayah dan mencari jalan bagaimana kita boleh membantu bukan saja untuk membina persepsi masyarakat positif, tetapi juga bagi pihak polis mendapat kepercayaan dan keyakinan orang ramai dengan membuktikan bahawa pasukan polis benar-benar profesional dan melaksanakan tugas dengan berintegriti.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sistem baru pendidikan vokasional

LONDON 9 Sept. - Sistem dan kurikulum baru pendidikan vokasional yang membolehkan pelajar memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun, dan mendapat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga, akan dikuatkuasakan pada 2013.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan baru yang dijangka mengubah landskap pendidikan negara itu bukan sahaja mengarusperdanakan aliran kemahiran vokasional, malah akan mengubah komposisi modal insan daripada yang berorientasikan lepasan akademik sekolah menengah harian kepada lepasan aliran vokasional, sesuai dengan amalan di negara maju.

"Komposisi akademik akan dikurangkan dan kita akan menambah amalan industri atau amali teknikal kepada pelajar kita," katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Ketika mengumumkan perkara itu kepada wartawan di sini hari ini, apa yang beliau istilahkan sebagai Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) itu akan melibatkan dua aspek penting iaitu program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan KV.

Katanya, PAV akan ditawarkan kepada pelajar menengah rendah seawal tingkatan satu sehingga tingkatan tiga, iaitu lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang cenderung kepada pendidikan bercorak amali.

Sistem PAV, ujarnya, akan dilaksanakan selama tiga tahun di sekolah menengah kebangsaan (SMK) terpilih berdasarkan beberapa tahap.

Ujarnya, tahap tingkatan satu, pelajar PAV akan mengikut asas pendidikan vokasional seterusnya pelajar tingkatan dua dibenarkan memilih satu program khusus sehingga mencapai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu.

Pelajar tingkatan tiga pula boleh meneruskan program yang dipilih sehingga mencapai SKM tahap dua.

Lepasan PAV, kata Muhyiddin, boleh menyambung pelajaran ke institusi latihan kemahiran awam (ILKA), swasta (ILKS) atau Kolej Vokasional (KV) yang direka bentuk untuk pelajar menengah atas.

Tambahnya, ia akan dilaksanakan selama empat tahun sehingga peringkat diploma mengguna pakai sistem semester dengan kurikulumnya adalah berasaskan kemahiran yang ketat.

"Kurikulumnya nanti akan merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk persijilan yang diiktiraf pihak industri," katanya.

Menurut Muhyiddin, kurikulum KV mempunyai dua komponen iaitu 70 peratus kemahiran vokasional dan 30 peratus akademik bagi memenuhi falsafah pendidikan kebangsaan.

Pada akhir tahun keempat, pelajar sudah memperoleh Diploma Kolej Vokasional, iaitu selari dengan kepatuhan SKM Tahap 4, ujarnya.

"KV akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah dan kemahiran keusahawanan. Latihan industri akan diperkenalkan pada beberapa peringkat pengajian, iaitu asas pendidikan berasaskan pengeluaran selama sebulan, diikuti tambahan tiga hingga enam 6 bulan untuk praktikal di syarikat industri," katanya.

Bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran pelajar, jelasnya, Kementerian Pelajaran juga akan memperkenalkan Bahasa Mandarin atau Arab Komunikasi di bawah TPV.

Bagi memantapkan dan melestarikan penerimaan keseluruhan sistem dan kurikulum di bawah TPV itu, Muhyiddin menegaskan, mulai sesi persekolahan 2012 kementerian akan melaksanakan projek rintis PAV di 15 buah SMK dan KV di 15 buah SMV.

"Selepas itu, PAV dan KV akan diperluas pada tahun 2013, dengan 150 buah SMK menawarkan PAV dan78 buah SMV akan dinaik taraf kepada KV," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/