Ahad, 27 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : MRSM tawar A-Level


A Samad Manaf | bhnews@bharian.com.my
 
Tawau : Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mencatat sejarah apabila buat julung kalinya menawarkan program A-Level atau prauniversiti apabila MRSM Tawau atau kini dikenali MRSM Tun Mustapha dipilih sebagai perintis.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata program ditawarkan mulai tahun depan, sejajar hasrat kerajaan menerusi MARA bagi memperkasakan pendidikan luar bandar.

Katanya, ia juga akan memudahkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari daerah ini dan sekitar melanjutkan pengajian dalam kursus A-Level tanpa perlu ke bandar atau ke luar negara.

“MRSM Tun Mustapha akan dinaik taraf menjadi MRSM pertama di negara ini yang menyediakan program A-Level kepada lepasan SPM menyambung pelajaran sekali gus membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sehingga luar negara.

Ringan beban ibu bapa

“Penganjuran program A-Level di MRSM ini bukan saja membuka peluang kepada pelajar setempat dan daerah berdekatan seperti Kunak, Lahad Datu serta Semporna melanjutkan pelajaran, malah meringankan beban ibu bapa terutama dalam menyediakan pembiayaan dan tambang jika belajar di bandar atau di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan MRSM berkenaan, di sini, semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Ghapur Salleh; Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Taufiq Abu Bakar Titingan dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

MRSM itu yang beroperasi sejak 2008 kini dikenali MRSM Tun Mustapha sempena negarawan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun yang banyak menyumbang kepada negara dan negeri ini.

Pencapaian cemerlang

Mohd Shafie berkata, pelajar MRSM boleh memohon melanjutkan pengajian A-Level di MRSM Tun Mustapha yang dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang dan mendapat keputusan terbaik di Borneo.

“Kemudahan termasuk makmal untuk program ini disediakan secukupnya bagi memenuhi keperluan pelajar. Kita jangka 150 tempat disediakan tahun depan,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/