Khamis, 24 Disember 2009

Pendaulatan bahasa Melayu perlu iltizam politik

KAMI yakin rintihan 'Ilham Syakima dari Yan, Kedah' mengenai 'Perjuangan Bahasa Melayu Bermusim' seperti disiarkan ruangan ini baru-baru ini, bukanlah tulisan terakhir kerana sesudah ini akan tertatap banyak lagi rintihan seumpamanya selagi bahasa Melayu belum terdaulat penuh sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi.

Faktor terkuat di sebalik kekecewaan ini ialah kuasa dan keazaman politik kita yang lemah dalam musim tertentu menyebabkan perjuangan pendaulatan bahasa Melayu nampaknya bermusim, bergantung kepada pucuk kepemimpinan negara.

Hal ini diperkukuhkan hakikat penerimaan masyarakat akan bahasa tanpa mengira bahasa apa juga di dunia sebagai unsur budaya cukup dinamis berbanding kandungan budaya lain yang merangkumi ekonomi, kepercayaan, politik, sains dan teknologi.

Betapa tidak, pada peringkat awal kemerdekaan, usaha pendaulatan bahasa Melayu rancak dijalankan oleh pejuang bahasa, tetapi lama kelamaan perjuangan itu lesu sehingga sedikit masa dulu baru disedari kepentingannya lalu terlancar Bulan Bahasa Kebangsaan, di tengah-tengah keterpinggiran bahasa Melayu dalam arus perdana globalisasi, rasionalisasi dan teknologi maklumat dan komunikasi.

Kelesuan demikian berlaku kerana keghairahan barisan pemimpin dan rakyat kalangan intelektual hendak mengejar kepesatan global, pastinya berteraskan bahasa Inggeris.

Harus diingat pendaulatan bahasa Melayu tidak setakat bertutur, berhujah, beretorik dan menulis bahan semata-mata, tetapi yang ditutur dan dihujahkan itu perlu memenuhi syarat kebakuan satu-satu bahasa moden yang mendukung pelbagai wacana ilmu pengetahuan.

Sebab itu, bahasa Melayu perlu terus tuntas unggul sebagai Bahasa Kebangsaan kerana seingat kami, belum ada sidang Parlimen meluluskan usul menukar bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.

Memang kemerdekaan lebih 52 tahun rata-rata membahasa 'Malaysiakan rakyat', tetapi yang belum terlaksana dan tercapai semurni mungkin ialah penjiwaan bahasa Melayu itu sendiri. Ertinya yang paling wajar kini ialah membahasa-melayukan dulu jiwa, perasaan, dan semangat patriotisme mereka yang berkepentingan dan berpengaruh dalam sektor tertentu khusus undang-undang, perubatan dan kedoktoran, ekonomi dan perdagangan dan kefalsafahan.

Akan terdaulatlah bahasa Melayu jika isu paling pokok ini terlerai, insya-Allah. Jika tidak, perdaulatan bahasa Melayu tidak akan ada jalan hujungnya.

DR ILLIAS ZAIDI,
Kuala Lumpur.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Jangan khianati agama dan bangsa kerana rasuah

KEHILANGAN dua buah enjin pesawat pemintas F-5E Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada tahun 2007 ketika dalam proses penghantaran untuk diperbaiki di luar negara menimbulkan pelbagai persoalan.

Kejadian ini mungkin menyamai apa yang berlaku ke atas simpanan kenderaan terpakai di sebuah pejabat kerajaan di Kajang beberapa tahun lalu. Beberapa buah bas, van dan lori yang telah diisytiharkan mempunyai sijil tidak ekonomik, sedang menanti kelulusan untuk dijual dalam tender barangan lusuh hilang dalam simpanan.

"Orang dalam" yang tidak menunjukkan integriti dan amanah itu perlu dikenakan tindakan keras. Ketidakjujuran golongan ini menyebabkan negara kehilangan aset bernilai jutaan ringgit. Ketamakan mereka menyebabkan negara terus menjerumus dalam indeks persepsi rasuah dunia.

Jika menghubungkan tingkah laku mereka yang diberikan tanggungjawab tersebut dengan keimanan dalam Islam, maka ternyata mereka menyalahi konteks keimanan. Mereka mengkhianati amanah.

Rasullullah SAW bersabda: "Tidak ada iman bagi seseorang yang tidak menunaikan amanah, tidak ada agama bagi orang yang tidak memenuhi janjinya."

Jauh sebelum Rasullullah SAW dipilih sebagai rasul, Baginda membangunkan pesona diri sebagai "Al-Amin" (orang paling dipercayai) dan menerima amanah.

Ketakwaan itu merupakan satu bentuk rasa tanggungjawab yang dilaksanakan secara penuh kasih sayang dan cintakan rendah diri memohon keredaan Illahi.

Tanggungjawab berasal dari dua perkataan iaitu "tanggung dan jawab" membawa pengertian luas dalam Islam. Pengertian takwa adalah satu tindakan yang bertanggungjawab mencari keredaan Allah SWT.

Dalam negara kita, untuk menjamin keutuhan Islam dan kekuatan umat, pemimpin yang berkuasa adalah bertanggungjawab melaksanakan amanah.

Bila kepentingan diri mendapat rujukan penting, maka tentunya tindakan yang diambil tersebut menjadi kotor dan berbentuk rasuah.

Hal demikian, dengan sendirinya mencemarkan Islam. Mereka bukan sahaja pengkhianat kepada rakyat secara umumnya, malah mengakibatkan agama Islam semakin tercela. Umat Islam harus menyokong pemimpin yang tegas bertekad untuk membasmi pengamal rasuah tanpa mengira siapa pun mereka itu.

Rasuah boleh muncul dalam setiap lapisan pekerjaan. Ahli politik, kakitangan pentadbiran, tentera, kehakiman dan sebagainya. Para pelaku telah menodai hakikat kebertanggungjawaban. Jika seorang ahli politik, kewujudannya untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya memboleh sumber kekayaan dari rakyat. Seorang hakim perlu melakukan keputusan yang adil dan bukannya berdasarkan naluri mencari kesalahan teknikal kerana dibayar upah lebih tinggi.

Ketua tentera perlu mempertahankan negara dan alat-alat yang ada bersamanya. Walaupun bertanggungjawab terhadap dirinya, selagi dia masih seorang tentera, ia turut menjaga aset negara. Tetapi disebabkan bersubahat ataupun mempunyai harapan terlalu tinggi terhadap sesuatu, maka ada yang sanggup mengkhianati negara.

Pada anggapan tertentu, "kerusi emas" iaitu kedudukan itu boleh memberikan mereka keseronokan dan seterusnya menjadi kebal. Atas sifat itulah, kedudukan dan kekebalan kedudukan itu digunakan untuk berkhianat.

Umat Islam juga harus berani menegur dan membongkar segala penyelewengan yang berunsur rasuah. Ini adalah jihad sosial yang amat dituntut bagi menegakkan keadilan dalam masyarakat. Rasulullah SAW memberi amaran keras dalam sabda Baginda: "Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dan mereka yang menjadi orang tengah (perantaraan) keduanya. Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka."

Realiti kehidupan kini, ramai manusia cuba melahap kuasa dan pangkat tidak lagi merasa malu menonjolkan diri. Kadangkala bercakap secara angkuhnya, memperoleh projek tertentu kerana memberikan sedikit keuntungan kepada mereka yang menguruskannya.

Hal ini dapat dikaitkan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa sahaja yang telah kami lantik untuk memegang sesuatu jawatan atau kerja dan kami telah tetapkan pendapatannya atau gaji maka apabila ia mengambil lebih dari apa yang ditetapkan itu dikira sebagai satu penipuan dan rasuah."

Dalam konteks yang lebih luas, seseorang yang mempunyai pengaruh, kuasa dan jawatan penting, ia akan mudah terdedah dengan amalan rasuah jika dirinya tidak mempunyai kekuatan iman.

Bersolat tidak melambangkan seseorang itu tidak melakukan rasuah, tetapi rasa cinta kepada Allah SWT dalam mutiara ketaqwaan akan membawa kepada terhindar daripada tragedi hidup oleh tangan kita sendiri, iaitu perangkap rasuah. Negara boleh hancur bila rasuah berleluasa jika masyarakatnya menganggap ia adalah sesuatu yang wajar kerana telah berjaya mendorong mendapatkan sesuatu kepada seseorang.

PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan,

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Sumber : http: //www.utusan.com.my/