Ahad, 21 Julai 2013

ISU SOSIAL : Suhu Kanak-Kanak Terdedah Panas Naik Tiga Kali Ganda Lebih Pantas


KUALA LUMPUR : Suhu di dalam kenderaan yang dibiarkan di bawah panas terik boleh meningkat kepada lebih 50 darjah Celcius dalam masa 20 minit dan menyebabkan kepanasan melampau kepada yang terperangkap di dalamnya.

Bayangkan pula keadaan kanak-kanak yang suhu badannya boleh meningkat tiga kali ganda lebih pantas berbanding orang dewasa jika mereka yang terperangkap di di dalam kenderaan itu, kata seorang doktor pakar pada Ahad.

Menurut Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, peningkatan suhu secara drastik dalam masa singkat itu menyebabkan suhu dalaman badan bayi atau kanak-kanak meningkat sehingga 41 darjah Celcius berbanding suhu normal pada 37 darjah.

"Kepanasan ini akan menyebabkan proses perpeluhan berlaku yang seterusnya berlaku kekurangan air di dalam badan, sawan, kekeliruan, kerosakan otak dan organ di dalam badan dan seterusnya kematian.

"Ini dikenali sebagai 'heat stroke' (strok haba), kematian juga boleh disebabkan oleh lemas (suffocation) akibat kekurangan udara kerana tingkap ditutup rapat," katanya menerusi blog miliknya drmahyuddin.blogspot.com.

Beliau menjelaskan keadaan tingkap yang dibuka sedikit atau membiarkan penghawa dingin berfungsi juga bukan jaminan perkara itu tidak akan berlaku.

Mengulas lanjut perkara itu kepada Bernama, Dr Ahmad Mahyuddin berkata, kanak-kanak lebih cepat menerima kesan berbanding orang dewasa kerana saiz tubuh yang kecil.

"Jumlah cecair di dalam badan manusia berkadar dengan berat badan kita. Berat badan kanak-kanak jauh lebih sedikit, jadi suhu lebih cepat naik kerana jumlah air yang sedikit. Air diperlukan untuk 'regulate' suhu badan manusia,"katanya.

Sehubungan itu ibu bapa atau penjaga jangan sekali-kali meninggalkan anak keseorangan di dalam kenderaan walau untuk seminit, nasihatnya menerusi entri bertajuk 'Heat Stroke: Kematian kanak-kanak di dalam kereta yang ditinggalkan'.

Jadikan memeriksa kereta sebagai perkara rutin sebagaimana kita memeriksa keadaan rumah ketika hendak keluar, katanya yang turut menyarankan ibu bapa memastikan kunci kereta diletak di tempat yang sukar dicapai oleh anak kecil bagi mengelakkan kanak-kanak itu masuk ke dalam kereta tanpa disedari.

Menurut pakar ortopedik dan traumalogi itu lagi strok haba berlaku di seluruh dunia, malah di Amerika Syarikat berlaku 33 kematian tahun lepas, manakala tahun ini mencatatkan 22 kes setakat ini.

Khamis lepas, seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun maut setelah ditinggalkan tanpa sengaja lebih lima jam di dalam kereta yang diparkir ibunya di tempat letak kereta sebuah sekolah di Subang Jaya di sini.

Nawal Iris Samsudin yang tertidur di kerusi belakang kereta, ditemui ibunya Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.

Pada Sabtu di Kota Kinabalu, seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang sedang tidur ditinggalkan ibunya di dalam kenderaan yang dikunci dari dalam serta enjinnya hidup sebelum keluar membeli-belah.

Kanak-kanak itu diselamatkan orang ramai yang mengejutkannya dengan menggoyangkan kereta itu beberapa kali sebelum budak perempuan tersebut terjaga setengah jam kemudian dan membuka pintu kereta. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Ibu bapa cuai boleh dikenakan tindakan


KUALA LUMPUR - Ibu bapa yang cuai sehingga mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, semua ibu bapa perlu lebih prihatin dan peka dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata demikian mengulas tragedi menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia akibat ditinggal ibunya lebih lima jam di dalam kereta kelmarin.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku, ini satu kecuaian. Bagaimanapun perkara sudah terjadi saya turut bersimpati.

“Saya berharap perkara yang sama tidak berulang kepada keluarga lain. Ibu bapa perlu faham tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, kes kecuaian seumpama itu sering kali berlaku  dan sepatutnya telah jadi pengajaran kepada semua.

“Ini satu kerisauan. Kita boleh ambil tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana mampu bertindak tegas kepada ibu bapa cuai. Jangan ambil ringan, belajar dengan perkara yang telah berlaku,” katanya.

Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan, sesiapa ibu bapa atau penjaga yangcuai, mengabaikan kanak-kanak boleh didakwa di mahkamah.

Pesalah boleh disabitkan denda sebanyak RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya akan memasukkan semula modul keibubapaan ke dalam kursus-kursus persediaan pasangan yang bakal menimang cahaya mata atau ingin berumah tangga.

“Cadangan ini kita akan bawa kepada perbincangan di peringkat kementerian. Saya juga akan maklum kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Dahulu modul itu pernah dikendalikan oleh LPPKN,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Info :


Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611):

Suatu Akta untuk menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, perlidungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya.

Akta ini :

Mengiktiraf - wawasan negara sebagai negara maju sepenuhnya iaitu sebuah negara di mana keadilan sosial dan pembangunan moral , etika dan rohani sama pentingnya dengan kemajuan ekonomi dalam mewujudkan masyarakat yang penyayang, damai dan berperikemanusiaan.

Mengiktiraf - seorang kanak-kanak bukan sahaja sebagai  suatu bahagian penting masyarakat tetapi juga merupakan kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat.


Mengakui - seseorang kanak-kanak, tanpa kematangan dari segi fizikal, mental dan emosi memerlukan perlindugan , pemeliharaan dan bantuan khas selepas kelahirannya bagi memastikan kanak-kanak tersebut dapat memberikan sumbangan dalam pembentukan masyarakat madani.

Sumber : Laman Web JKM Selangor