Selasa, 2 Ogos 2011

ISU BAHASA : Naskhah bahasa Melayu sahih di mahkamah

Oleh Teo Kok Seong
teokok@ukm.my


Penggunaan dalam perbicaraan kes mampu angkat martabat bahasa negara

PELAKSANAAN Dasar Bahasa Negara dalam bidang perundangan mempunyai kaitan rapat dengan penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa negara dalam bidang perundangan Malaysia.

Sehubungan ini, menurut Seksyen 6 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971), naskhah dalam bahasa Melayu adalah sahih dalam bidang perundangan negara ini, melainkan ditetapkan sebaliknya.

Dengan ini, mulai 1 September 1967, dalam penggubalan undang-undang Malaysia, naskhah dalam bahasa Melayu saja dianggap sahih. Dengan penetapan ini, walaupun penggubalan rang undang-undang yang rata-ratanya ikut dilakukan serentak dalam bahasa Inggeris, hanya naskhah bahasa Melayu yang dianggap sahih.

Dengan ketetapan ini, undang-undang yang digubal dalam bahasa Inggeris sebelum 1967, yang tidak mempunyai naskhah bahasa Melayunya, diusahakan penterjemahnya ke dalam bahasa Melayu. Dalam hal ini, naskhah bahasa Melayu dilabelkan sebagai Terjemahan kerana tidak dihasilkan dan diluluskan melalui proses perundangan.

Walaupun begitu, ia masih dianggap sebagai sahih berdasarkan peruntukan Seksyen 7(1) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971). Ini berlaku setelah maksudnya dalam bahasa Melayu, didapati tepat dengan pengertian asalnya dalam bahasa Inggeris. Sehubungan ini, ratusan undang-undang induk dan cabang yang digubalkan dalam bahasa Inggeris sebelum 1967, diterjemah dan diwartakan.

Dalam bidang perundangan antarabangsa, walaupun bahasa Inggeris digunakan sebagai naskhah sahih, bahasa Melayu tidak sekali-kali diketepikan. Ia tetap digunakan sebagai bahasa negara ini, yakni bahasa kebangsaan dan rasmi rakyat Malaysia yang menjadi antara pihak yang terbabit, misalnya dalam sesuatu Perjanjian Antarabangsa.

Dengan penggubalan undang-undang negara yang perlu melalui dan lulus proses perundangan dalam bahasa Melayu, dan diwartakan di dalamnya pula, sepatutnya perbicaraan di mahkamah dalam bahasa Melayu sepenuhnya, tidak menjadi masalah lagi. Untuk ini, Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971) dipinda bagi memperuntukkan bahawa segala perbicaraan mahkamah, selain pemberian keterangan oleh saksi, hendaklah dikendalikan dalam bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, untuk kepentingan keadilan yang menjadi unsur utama dalam bidang perundangan dan kehakiman, perbicaraan mahkamah boleh dikendalikan sebahagiannya, dan bukan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Dalam hal ini, budi bicara mahkamah adalah bukan saja penting, tetapi satu amanah besar. Ia adalah untuk bukan saja melindungi keluhuran undang-undang negara, tetapi untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Sudah tentu, budi bicara ini tidak boleh sekali-kali disalahgunakan oleh mana-mana pihak. Sehubungan ini, setelah lebih daripada 40 tahun, yakni sejak 1967 yang memperlihat ketetapan mula dibuat secara tegas, untuk menjayakan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perundangan negara, tidak dapat disangkal lagi bahawa semua perbicaraan, sama ada kes jenayah atau sivil, boleh dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Ini antaranya kerana dengan tergubalnya Kaedah Mahkamah dalam bahasa Melayu yang merangkumi pelbagai peringkat, prosedur menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya di mahkamah Malaysia menjadi lebih nyata.

Ekoran penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah, segala apa jua dokumen yang perlu digunakan di mahkamah hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu. Sehubungan ini, terjemahan dalam bahasa Inggeris boleh disertakan, tetapi ia bukan dokumen sahih melainkan eksibit semata-mata, yakni barang kes saja.

Sesungguhnya kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah Malaysia tidak boleh dipertikai lagi. Penggunaannya dari segi urusan pentadbiran, yakni dalam bentuk surat pekeliling dan surat-menyurat mahkamah, didapati memuaskan. Tetapi untuk urusan kehakiman, selain surat-menyurat dan dokumen, perbicaraan tidak selalunya dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Ini dilakukan atas alasan kepentingan keadilan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 8 itu.

Peruntukan ini nampaknya tidak banyak digunakan di Mahkamah Rendah. Alasan yang diberikan ialah perbicaraan di sini boleh dengan mudahnya dikendalikan dalam bahasa Melayu kerana kebanyakan kesnya adalah tidak rumit. Justeru, ia tidak memerlukan keadilan yang perlu dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Hal ini tidak sama di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang rata-ratanya mengendalikan kes yang lebih rumit sifatnya.

Oleh sebab kerumitan inilah, prinsip kepentingan keadilan menjadi keutamaan semua pihak. Dalam memastikan keadilan ini, semua pihak mendapatinya lebih mudah dipertahankan dengan menggunakan bahasa Inggeris. Alasan yang diberikan ialah kekurangan bahan rujukan dalam bahasa Melayu, istilah perundangan dalam bahasa Melayu yang kurang tepat, dan latar pendidikan perundangan yang tidak diperoleh dalam bahasa Melayu. Dengan ini, penghujahan oleh pendakwa dan peguam bela dibuat dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Begitu juga dengan alasan keputusan oleh hakim.

Sesungguhnya, bukan semua kes rumit ini tidak boleh dibicarakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Sesetengah daripadanya, baik ketika perbicaraan secara lisan mahupun pada penghujahan dan alasan keputusan secara bertulis, didapati dikendalikan dalam bahasa Inggeris yang mudah saja, yang sering juga sarat dengan kesalahan. Sebenarnya ia boleh pun dengan mudah dikendalikan dalam bahasa Melayu, dalam bentuk yang lebih kompleks dan tanpa sebarang kesalahan pula! Yakinilah kemampuan bahasa Melayu dalam bidang perundangan dan kehakiman.


Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ramadan Yang Manis – A. Samad Said

Alam itu cantik—gunung dan tasik;
maya terlalu indah—laut dan mega.

Lapar dan dahaga yang mengiktibar
cekal dan bersih suara mengajar:
Lapar kita dahaga yang menguji,
dahaga kita lapar yang mengerti—
ketaqwaan penuh terhadap Illahi.

Puasa—musim manis, bahang menguji,
angin yang santun ke pohon dakwah
bergugus dan sihat buah ibadahnya.

Bulan menyimpan kebijaksanaan,
musim indah di taman Ramadan,
menyerlahkan kemanusiaan luar biasa,
menginsafi keagungan Maha Kuasa.

Daun yang gugur tanah yang rekah
di atas sejadah harum iklimnya;
surah yang jernih dan suara syahdu
terhantar ke lidah dari damai qalbu,
merubah derita ke bahagia diri,
membimbing hidup yang diredhai.

Solat malam, zikir doa, tulus sedekah
ibadah ummah, tangkai yang ketiga,
mengagumi Allah Subhanahu Wa Taala.

Langit beradab, kelam dan cerah
datang dan pulangnya iktibar berhemah.

Badik ketika murka, senyum sewaktu mesra,
alam, insan khusyuk menyujud Illahi
sekiblat dalam tautan kasih yang hakiki.

Lailatul qadar ia pada detik terpilih
malam yang manis, indah dan jernih.

Pada malam sabar dan siang yang cekal
ranum pohon hikmah sebagai bekal;
gugus permata, kerlipnya paling mesra,
merimbun bugar,
daunnya meneduhi ummah.