Ahad, 6 Februari 2011

ISU SUKAN : Potensi atlet sukan negara perlu diterokai

BIDANG sukan menjadi kegemaran rakyat di negara kita dan rata-rata terlibat dengan sukan sama ada untuk beriadah mahupun secara profesional. Kini, sukan di negara kita tidak lagi setakat untuk suka-suka dan acara berhibur mengisi masa lapang sahaja kerana pihak kerajaan melalui pelbagai agensinya seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah mula menjadikan sukan sebagai satu kerjaya.

Namun, adat dalam sukan ada turun dan naiknya. Kita pernah melahirkan ramai bintang atlet sukan yang menjadi wira negara di pentas antarabangsa. Sungguhpun begitu, keadaan menjadi semakin lesu dan nama negara begitu tenggelam dalam sukan peringkat global. Demi memulihkan semula kedudukan sukan negara ke peringkat tertinggi di pentas dunia, jutaan ringgit telah dibelanjakan semata-mata menjayakan berbagai-bagai projek sukan di negara kita.


Kini, riak-riak sinar kecemerlangan sukan mulai menampakkan diri dengan menjadikan tahun 2010 sebagai tahun pemula kebangkitan sukan negara. Atlet sukan negara sudah lama dimotivasikan dengan tiupan semangat 'Malaysia Boleh', dan kini dikombinasikan pula dengan semangat 1Malaysia, bibit kecemerlangan semakin menyerlah. Jika kita mengimbas kembali sepanjang tahun 2010, pencapaian sukan negara sangat membanggakan dan di luar jangkaan.

Sepanjang tahun 2010, lagu Negaraku semakin berkumandang bersama kibaran Jalur Gemilang mengiringi kemenangan para atlet negara di pentas kejohanan antarabangsa. Sukan paling menonjol dan menjadi satu fenomena baru dalam negara ialah kejayaan pasukan bola sepak negara menjuarai Piala Suzuki AFF. Ini satu petanda bahawa perancangan dan pelan tindakan yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak seperti FAM, MSN, KBS dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) mula menampakkan impak positif.

Namun, kita tidak boleh terlalu khayal dengan beberapa kejayaan dalam sukan-sukan tertentu seperti bola sepak. Ini kerana dari segi pencapaian keseluruhan, sukan negara masih perlu dipertingkatkan agar negara mampu menjadi sebuah negara sukan yang disegani di peringkat antarabangsa, khususnya Sukan Olimpik. Pihak tertentu seperti MSN sewajarnya turut menekankan kepada beberapa sukan yang dikatakan mengalami graf menurun atau dalam keadaan serupa tak naik-naik.


Misalnya sukan sepaktakraw. Sukan ini begitu klasik buat negara kerana turut menjadi permainan rakyat, namun apa yang berlaku kita masih duduk di belakang Thailand. Suatu pembetulan dan pembaikan yang pragmatik baik dari segi pengurusan persatuan induk mahupun dari aspek kejurulatihan perlu segera dilaksanakan.


Sebenarnya kemunculan atlet atau pemain muda berbakat besar yang sedang mewakili negara dalam pelbagai jenis sukan hasil gilapan sejak di bangku sekolah lagi. Sekolah menjadi tempat untuk mencungkil bakat mereka dan diberikan pendedahan serta pengalaman awal sebagai seorang atlet atau pemain.


Justeru, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui MSSM mestilah memainkan peranan secara lebih aktif dan berdaya dinamik dalam usaha mencari bakat-bakat baru untuk negara pada masa depan. Demikian juga Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) yang juga ada peranannya dalam mengetengahkan atlet berkualiti buat negara. Dengan gabungan usaha kedua-dua badan, satu di peringkat sekolah dan satu lagi untuk para mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT), maka negara pasti tidak akan ketandusan bakat-bakat baru untuk sukan negara.


Selain itu, KPM juga wajar lebih bersedia dari sekarang melengkapkan sekolah-sekolah dengan prasarana sukan yang baik. Ini kerana pada masa sekarang, sekolah-sekolah tertentu sahaja yang mempunyai kemudahan sukan yang lengkap, sedangkan banyak sekolah di kawasan luar bandar khasnya masih daif. Kita tahu bukan mudah untuk memperuntukkan kewangan bagi menyediakan kemudahan sukan serba lengkap dan canggih untuk semua sekolah kerana bilangan sekolah yang terlalu banyak.


Tetapi KPM boleh membuat sekolah-sekolah pusat sukan di setiap daerah kerana dengan kaedah ini, lebih banyak ruang dan peluang
dapat disediakan kepada para pelajar untuk bergiat cergas dalam sukan. Walaupun kini KPM sudah mengadakan sekolah sukan di peringkat negara seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Bandar Penawar Johor, tetapi setakat hanya dua buah sekolah sukan, ia dirasakan belum mencukupi untuk kita menggilap dan membangun potensi bakat-bakat muda sukan negara.

Jadi, negara melalui KPM mungkin dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri boleh mengadakan sekolah sukan di setiap negeri. Malah KPM juga wajar menjalin kerjasama erat dengan pihak swasta dalam usaha mewujudkan sekolah-sekolah sukan yang baru. Misalnya dengan syarikat-syarikat GLC seperti Petronas, Maybank, dan sebagainya. Dengan kaedah seperti ini, KPM boleh memanfaatkan dana peruntukan kos untuk pembinaan dan mungkin juga secara program anak angkat.


Kita berharap sukan negara pada tahun 2011 dan pada masa akan datang lebih cemerlang dan mampu menjadi sebuah negara sehebat negara yang lain.


Mohd. Rizal Azman Rifin


Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Mukah Sarawak.


Sumber : http : //www.bharian.com/