Selasa, 2 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Perginya cendekiawan Melayu


Oleh NIZAM YATIM

"BELIAU telah banyak berjasa bagi memberi motivasi kepada para pendidik untuk mencurah bakti sebanyak mungkin demi kemajuan anak bangsa."

Itulah ungkapan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom apabila diminta mengulas mengenai tokoh pendidikan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh yang meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru, semalam.

Menurut Alimuddin, beliau banyak membaca tulisan Awang Had, 79, yang sering disiarkan oleh akhbar, majalah dan ketika sesi pembentangan kertas kerja dalam seminar.

"Ketika itu saya bertugas sebagai guru dan tulisan beliau ini telah memberi motivasi kepada saya untuk meningkatkan lebih jauh dalam bidang kerjaya saya," katanya.

Kata beliau, satu contoh terbaik yang ditunjukkan oleh Allahyarham adalah untuk terus menyambung pengajian walaupun telah bekerja.

"Allahyarham memulakan kerjaya dalam bidang pendidikan bermula di peringkat bawah iaitu sebagai guru pelatih di Sekolah Melayu Gunung, Alor Setar, Kedah pada 1950.

"Selepas itu dari 1951 hingga 1954 telah belajar di Kolej Latihan Sultan Idris (SITC) dan selepas itu diterima mengajar di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar," ujarnya.

Kegigihan Allahyarham untuk belajar jelas terserlah apabila terus belajar sambil bekerja sehingga berjaya mendapat Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Pengajian Melayu dari Universiti Malaya (UM) pada 1964 dan Doktor Falsafah Pendidikan dari Universiti Stanford, Amerika Syarikat (AS) pada 1972.

Pada 1956, Allahyarham telah bertugas sebagai guru di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga 1959 dan selepas itu memegang jawatan penolong pensyarah di Day Training Centre, Alor Setar serta pensyarah Maktab Bahasa Kuala Lumpur sehingga 1966. Pada 1967, beliau menyertai UM sebagai Penolong Pensyarah Fakulti Pendidikan.

Allahyarham yang berkhidmat di UM sehingga 1978 telah memegang pelbagai jawatan termasuk penolong pensyarah, pensyarah, profesor madya dan akhirnya profesor.

Dari segi pentadbiran pula, beliau pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Pendidikan dan kemudiannya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.

Menurut Alimuddin, satu lagi sumbangan Allahyarham yang tidak boleh dilupakan oleh sesiapa adalah sebagai seorang pentadbir institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang cemerlang.

"Banyak jasa yang telah Allahyarham sumbangkan ketika menjadi Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) dari 1978 hingga 1980 dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1980 hingga 1984.

"Kita juga tidak boleh melupakan jasa Allahyarham dalam membangunkan Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika dilantik menjadi Naib Canselor yang pertama dari 1984 hingga 1989," katanya.

Selepas persaraan di UUM, Awang Had yang dilahirkan di Kampung Bagan, Pulau Bentong, Balik Pulau, Pulau Pinang telah menumpukan khidmatnya sebagai Penasihat Khas kepada Kementerian Pendidikan sehingga 1990.

Selain itu, beliau juga memegang pelbagai jawatan lain termasuk sebagai Felo Cemerlang, Institut Kajian Strategik dan Dasar (ISIS), Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kemudiannya sebagai ProCanselor universiti berkenaan.

Allahyarham turut terlibat dalam sektor korporat termasuk sebagai Pengerusi Anakku Corporation Bhd., Pengerusi Fomema Sdn. Bhd. dan Pengerusi Kumpulan Ikram Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, penulis, Haris Fadillah yang menulis buku biografi bertajuk Awang Had Salleh: Tokoh Pendidikan Negara menyebut Allahyarham adalah seorang tokoh cendekiawan Melayu yang banyak memberi sumbangan menerusi bidang penulisan kreatif termasuk cerpen, novel, drama dan puisi.

Menurutnya, Allahyarham mula menulis ketika menuntut di UM dengan cerpen yang pertama berjudul Simpati telah disiarkan akhbar Berita Harian.

"Cerpen itu memenangi hadiah sebanyak RM100 setelah menjadi cerpen terbaik mingguan kelolaan akhbar berkenaan.

"Bakat kreatifnya turut digilap ketika bekerja sambilan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika cuti semester di UM pada 1963. Antara tokoh penulis yang telah membimbing beliau ialah Keris Mas dan Usman Awang," tulisnya.

Tahun 1966 merupakan tahun yang cukup penting bagi beliau apabila dua karyanya iaitu kumpulan cerpen Merah Kuning Biru dan novel Biru Warna diterbitkan.

Skrip dramanya bertajuk Buat Menyapu Si Air Mata pula telah diterbitkan pada 1975.

Beliau juga pernah menulis buku-buku untuk prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Kegiatan menulis kertas kerja ilmiah dan rencana untuk majalah dalam bidang pendidikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan diteruskan sehingga akhir hayat beliau dan ini termasuk ketika menjadi penulis jemputan, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM pada 1994.

"Awang Had terus menjadi tokoh rujukan masyarakat di mana buah fikirannya dalam bidang pendidikan terus mendapat perhatian pelbagai tokoh akademik dan institusi pengajian tinggi di tanah air kita," tulis Haris.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti bapa kepada tujuh anak ini, maka pada 1982 beliau telah dikurniakan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Anugerah akademik yang diterima beliau pula adalah Anugerah Kehormat ABE, United Kingdom pada 1983, Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti Brock, Kanada; Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari UKM dan Profesor Emeritus dari UUM.

Allahyarham yang berkahwin dengan Puan Sri Salmah Abu Bakar turut mempunyai hobi melukis, menggesek biola dan menyimpan barangan antik seperti jam, keris serta lukisan.

Semangat Allahyarham untuk terus berjuang demi anak bangsa jelas kelihatan daripada bait-bait sajak yang ditulisnya bertajuk Aku Penyambung Zaman.

Tuhanku,
Jadikanlah aku kuat gagah, 
Menunaikan fungsi khalifah,
Di bumi bertuah, 
Betapapun payah,
Menahan semangat jangan mudah patah,
Menahan hasrat jangan cepat 'rebah',
Sehingga perjuangan tercapai sudah.

Sebagai seorang tokoh akademik Melayu yang banyak memberikan sumbangan dalam bidang pendidikan, jasa Allahyarham sudah pasti akan tetap dikenang oleh masyarakat selama-lamanya.

Al-Fatihah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Ibu bapa, guru kena kerjasama didik anak


Oleh  : Haika Khazi
 
Penggemblengan usaha semua pihak hasilkan pelajar berkualiti pada masa depan
                                                        
Putrajaya : Persepsi bahawa beban mendidik anak terletak sepenuhnya kepada guru dan sekolah perlu diubah.

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, soal pendidikan anak khususnya yang berkaitan dengan aspek membaca, menulis, mengira dan menaakul, memerlukan penggemblengan ibu bapa dan guru dalam usaha menghasilkan pelajar yang berkualiti pada masa depan.

Ini bermaksud ibu bapa juga perlu mengambil tahu soal pembelajaran, kebolehan, disiplin serta kemajuan anak masing-masing dengan berkomunikasi rapat dengan guru dan pentadbiran sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Sektor Operasi Pendidikan, Datuk Sufa'at Tumin, berkata sejajar dengan peningkatan akademik ibu bapa, tanggungjawab mendidik anak bukan lagi tanggungjawab guru sepenuhnya, tetapi turut membabitkan ibu bapa dan komuniti setempat termasuk syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

Lancar inisiatif baru

Justeru, beliau berkata Kementerian Pendidikan baru-baru ini melancarkan inisiatif Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta secara meluas, di mana Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah merupakan alat bagi membolehkan pencapaian inisiatif ini.

Pelaksanaan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah dapat mengukuh dan meluaskan lagi penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta ke arah pencapaian aspirasi murid.

Sarana Ibu Bapa adalah satu inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan anak dalam pembelajaran di rumah dan sekolah.

Sufa'at berkata seperti terkandung dalam PPPM, Sarana Ibu Bapa merangkumi empat elemen meliputi penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

Katanya, Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa menerusi PIBG.

“Inisiatif itu membabitkan kepentingan dan masa depan lebih 5.03 juta murid di lebih 10,000 sekolah menengah dan rendah di seluruh negara dengan anggaran murid yang terbabit bagi tempoh 13 tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang.

“Selain mengurus urusan rumahtangga, ibu bapa diminta meluangkan masa bersama anak dan melakukan aktiviti-aktiviti seperti terkandung dalam Sarana Ibu Bapa.

“Ibu bapa juga diminta melibatkan diri di sekolah secara aktif dan boleh memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk, termasuk idea, tenaga, kepakaran, dan kewangan,” katanya.

PIBG diminta untuk menubuhkan biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) yang dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa, murid dan sekolah. Melalui KSIB, lebih banyak interaksi, perkongsian dan percambahan ilmu dapat berlaku demi mewujudkan hubungan yang bermakna antara ibu bapa dan anak.

Dalam pada itu, Sufa’at berkata dalam Sarana Sekolah, peranan PIBG amat penting untuk menggerakkan KSIB yang banyak diamalkan di negara maju.

Malah, beliau berkata, kebanyakan sekolah di negara maju turut digerakkan bersama oleh ibu bapa bagi melaksanakan setiap aktiviti di luar bilik darjah dan berharap PIBG mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan kumpulan ini demi masa depan anak mereka.

Sekolah kena tukar imej

“Bagi menarik minat ibu bapa dan anggota masyarakat untuk datang ke sekolah dan terlibat dengan aktif, pihak sekolah perlu mewujudkan suasana mesra dan mengalu-alukan kedatangan ibu bapa dan anggota komuniti. Jika selama ini dirasakan sekolah adalah kepunyaan dan tanggungjawab guru dan murid semata-mata, kini kita mahu rasa kesepunyaan dan tanggungjawab dikongsi bersama oleh ibu bapa dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata ini dapat dicapai apabila pihak sekolah memberi mesej bahawa ibu bapa dan ahli komuniti dialu-alukan, seterusnya mewujudkan suasana kemesraan antara kedua-dua pihak.

“Tiada had umur bagi Ibu bapa dan ahli komuniti yang boleh menyumbang kerana setiap mereka mempunyai kebolehan dan kepakaran yang boleh dikongsi bersama demi melahirkan modal insan berkualiti,” katanya.

Sufa’at berkata pendekatan berkenaan juga bakal menambah baik prestasi akademik sekolah serta mempergiatkan lagi kegiatan di luar bilik darjah pada masa depan dengan pembabitan pelbagai pihak termasuk syarikat swasta.

“Selain, ibu bapa dan guru, pembabitan masyarakat setempat, GLC dan pihak swasta juga diperlukan dalam menghulurkan bantuan dari sudut luahan idea, pendapat dan bantuan kewangan.

“GLC dan pihak swasta dapat memberi bantuan kepada kumpulan sokongan ini menerusi penambahbaikan kemudahan sekolah, menganjurkan sesi motivasi oleh penceramah berpengalaman dan membantu mengisi tabung PIBG,” katanya.

Kumpulan berkenaan juga boleh membantu sekolah merealisasikan kebitaraan sekolah mereka dengan memberi sokongan dari segi kepakaran, peluang-peluang mengembangkan potensi murid dan guru, membina rangkaian dalam dan luar negara dan pelbagai lagi aspek untuk menjadikan murid cemerlang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/