Jumaat, 20 September 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : 27 IPGM mungkin digabung jadi universiti


TANJUNG MALIM - Kerajaan sedia menimbang cadangan menggabungkan 27 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menjadi sebuah universiti pendidikan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagaimanapun ia perlu mengambil kira pelbagai aspek seperti tempoh masa, bidang dan kemahiran yang akan diajar serta bentuk-bentuk pengajaran yang akan digunakan.

"IPGM pun tarafnya seperti sebuah universiti cuma yang terlatih di situ adalah untuk dijadikan guru di sekolah-sekolah rendah. Bagaimanapun, ia satu cadangan yang baik.

"Sama ada IPGM akan berganjak,  dinamakan semula atau diletakkan sebagai satu universiti yang besar, ini cadangan yang kita boleh kaji," katanya pada sesi dialog perjumpaan khas warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dengan Timbalan  Perdana Menteri di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian bagi menjawab cadangan seorang alumni Upsi agar 27 IPGM di seluruh negara diletakkan di bawah kendalian universiti itu di sebalik ura-ura memansuhkannya. 

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Zakaria Kasa.

Sebelum ini, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) juga pernah meminta Kementerian Pendidikan menaikkan taraf IPGM kepada taraf universiti.

Pada 13 Julai 2005, Jemaah Menteri meluluskan 27 buah Maktab Perguruan di Malaysia dinaik taraf kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) yang boleh menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan berbanding hanya mengeluarkan graduan berkelulusan diploma dan sijil.

Menjawab soalan lain yang menyentuh penempatan guru, Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata, hanya graduan pendidikan yang benar-benar layak akan ditempatkan di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Katanya graduan yang telah menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan IPGM perlu memohon jawatan Gred DG41 kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

"Prosedur penempatan automatik selepas tamat pengajian tidak dilaksanakan lagi. Mulai 2012, semua graduan pendidikan perlu mengemukakan permohonan kepada SPP.

Mereka (graduan) perlu melalui proses  tapisan SPP dan temuduga. Ini penting untuk difahami," katanya.

Jelas Muhyiddin, sebanyak 7,607 graduan keluaran 2012 telah lulus temu duga SPP dan dilantik sebagai guru DG41 pada 1 Julai lepas.

Ia meliputi 3,921 calon lepasan IPGM dan 3,686 calon lepasan IPTA, termasuk 1,815 graduan UPSI, katanya.

Beliau berkata bagi graduan tahun ini, SPP masih dalam proses menguruskan penjadualan temu duga.

Selepas acara itu, Muhyiddin bersama warga universiti berkenaan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampus Sultan Azlan Shah, universiti itu. - Bernama