Rabu, 16 Mac 2011

ISU TSUNAMI DI JEPUN : Najib Kemuka Usul Takziah dan Simpati Tragedi Tsunami di Jepun

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengemukakan usul di Dewan Rakyat untuk melahirkan rasa takziah dan simpati yang sangat mendalam kepada kerajaan Jepun dan semua mangsa tragedi bencana gempa bumi dan tsunami yang menimpa negara itu 11 Mac lepas.

Sebelum memulakan ucapan, Najib turut meminta Dewan Rakyat untuk bertafakur selama seminit sebagai mengingati kejadian itu yang telah mengorbankan ribuan nyawa.

Perdana Menteri berkata apa yang berlaku ke atas Jepun dan rakyatnya adalah sesuatu yang amat menyedihkan seluruh rakyat Malaysia dan warga antarabangsa di seluruh pelosok dunia, terutamanya negara-negara Asia.

Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mempunyai hubungan akrab dengan Jepun turut merasakan beban yang terpaksa ditanggung oleh mereka, katanya.

"Namun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Adalah wajar kiranya Malaysia menawar dan menghulurkan apa jua bentuk bantuan yang termampu oleh negara kita memandangkan Jepun merupakan negara akrab kepada Malaysia," katanya.

"Jadi marilah kita bersama-sama berdoa agar kerajaan dan rakyat Jepun dilindungi daripada bencana gempa bumi dan tsunami serta semoga Jepun dapat membangunkan semula apa yang telah dibinasakan oleh bencana tersebut," kata Najib.

Pada 11 Mac lepas, Jepun telah digemparkan dengan kejadian gempa bumi dan tsunami dengan gegaran 9 pada skala Richter yang diikuti gegaran susulan yang bersilih ganti menyebabkan bukan sahaja ribuan nyawa terkorban tetapi turut memusnahkan harta benda dan meranapkan infrastruktur.

Letupan loji reaktor pertama di Pusat Janakuasa Nuklear Fukushima dan kebocoran bahan radioaktif sehari selepas itu, memburukkan lagi keadaan yang diikuti dengan letupan di loji reaktor kedua pada 15 Mac.

Perdana Menteri di dalam usulnya itu mencadangkan persidangan Dewan turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Jepun di atas segala bantuan yang diberikan kepada rakyat Malaysia, terutamanya pelajar-pelajar Malaysia yang terjejas oleh mala petaka itu.

Mengikut rekod Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, terdapat 5,009 orang rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan dan daripada jumlah itu seramai 2,466 orang adalah pelajar.

Terdapat seramai 298 orang pelajar Malaysia di kawasan yang terjejas teruk akibat gempa bumi dan tsunami tersebut, tetapi telah dikenal pasti mereka dalam keadaan selamat.

"Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo telah mengambil langkah awal seperti menghantar dua pasukan untuk memantau dan meninjau keadaan rakyat dan para pelajar Malaysia yang telah dipindahkan ke pusat-pusat evakuasi dan hasil tinjauan mendapati kesemua rakyat dan pelajar Malaysia berada dalam keadaan baik dan menerima bekalan makanan dan minuman yang mencukupi.

"Ini jelas membuktikan bahawa pihak berkuasa Jepun turut mengambil berat dan prihatin dengan keselamatan dan keadaan bukan sahaja rakyat Jepun malah juga warga negara asing termasuk Malaysia," katanya.

Najib turut menyeru seluruh rakyat negara ini untuk memberikan sokongan dan bantuan dari segi material, emosi dan moral kepada mangsa-mangsa bencana dan malapetaka itu.

Malaysia juga merayu masyarakat antarabangsa untuk terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Jepun, katanya.

Usul yang dibawakan itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan usul itu telah memberi gambaran yang sangat jelas tentang pendirian Malaysia yang mempunyai hubungan akrab dengan Jepun.

Muhyiddin di dalam ucapannya turut menyeru rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak mempercayai khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kononnya mengatakan Malaysia juga terdedah kepada bahaya kesan kebocoran radiasi akibat letupan loji reaktor nuklear di Jepun.

"Saya pasti pihak kerajaan Jepun sedang berusaha sebaik mungkin untuk menangani insiden letupan tersebut daripada menyebabkan implikasi yang lebih teruk berlaku," katanya.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak mempercayai khabar-khabar angin mengenai kejadian yang berlaku di Jepun kerana maklumat sebenar dan terkini boleh diperolehi melalui sumber-sumber rasmi kerajaan Malaysia dan Jepun.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengajak semua rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan pelajar Malaysia di Jepun terutamanya di kawasan yang paling teruk dilanda bencana dan malapetaka seperti Miyagi, Fukushima, Ibaraki, Tochigi, Iwate, Saitama dan Chiba.

Katanya walaupun rakyat Malaysia mungkin tidak memahami penderitaan yang dilalui rakyat Jepun akibat malapetaka itu, tetapi beliau yakin dengan bantuan serta sokongan moral dan emosi daripada rakyat Malaysia akan mampu memberikan kekuatan semangat kepada rakyat Jepun untuk meneruskan kehidupan seharian dan membina semula masa depan mereka.

Sembilan Anggota Parlimen, iaitu tiga daripada penyokong kerajaan, tiga anggota pembangkang dan tiga wakil Bebas diperuntukkan sehingga pukul 1 tengah hari ini untuk membahaskan usul berkenaan sebelum Perdana Menteri menggulung pada pukul 2.30 petang nanti. -BERNAMA

ISU ANTARABANGSA : Risiko keracunan radiasi global

KEROSAKAN reaktor nuklear di Fukushima, Jepun yang mula membebaskan bahan radioaktif ke udara pada minggu ini bukannya kemalangan pertama melibatkan loji tenaga nuklear dunia dan mungkin bukan yang terakhir.

Walaupun telah banyak langkah pencegahan diambil, namun akhirnya benteng konkrit loji tersebut tewas di tangan alam semula jadi selepas gempa bumi dan tsunami membadai perairan negara itu, Jumaat lalu.

Sungguhpun begitu, angka kematian yang dijangka jauh melangkaui 10,000 orang akibat bencana alam ini nampaknya tenggelam di sebalik bayangan bencana loji nuklear Chernobyl pada 1986.

Letupan kuat loji nuklear Chernobyl di Ukraine pada 26 April 1986 menyebabkan 32 orang terbunuh akibat kesan langsung keracunan radiasi sementara 8,000 yang lain mengalami kesan pencemaran radioaktif akibat bahan radioaktif tersebar ke udara sehingga ke barat Eropah.

Jika perkara sama berlaku di Jepun, bencana yang jauh lebih besar melibatkan pencemaran dan keracunan bahan radioaktif bakal menimpa semua bentuk hidupan di rantau Pasifik, mungkin juga seluruh dunia.

Bagaimanapun, kemungkinan itu disanggah Setiausaha Jawatankuasa Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Kesan Radiasi Atom, Malcolm Crick dengan alasan loji di Chernobyl dahulu tidak mempunyai sistem keselamatan moden terkini.

Crick juga mendakwa Chernobyl menjadi padang jarak padang tekukur disebabkan loji tersebut sedang beroperasi ketika letupan berlaku seterusnya memudahkan penyebaran bahan radioaktif ke udara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) buat masa ini melaporkan risiko kejadian di loji Fukushima ke atas kesihatan manusia masih rendah tetapi 140,000 penduduk di sekitar zon bencana telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Profesor Fizik Perubatan, Jabatan Radiologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ng Kwan-Hoong, penduduk dunia akan didedahkan kepada dua jenis bahan radioaktif jika loji nuklear itu meletup iaitu Caesium-137 (Cs-137) dan Iodine-131 (I-131).

"Cs-137 dengan separuh hayat (half-life) 30 tahun, larut dalam air dan toksik (kepada hidupan) walaupun pendedahan dalam jumlah kecil. Selepas masuk ke dalam badan, bahan ini akan merebak, terutamanya berkumpul dalam otot.

"I-131 pula mempunyai separuh hayat lapan hari dan boleh diserap melalui makanan yang tercemar. Bahan ini akan terkumpul di dalam kelenjar tiroid kerana diserap seperti iodin biasa," jelasnya.

Tambahnya, secara biologi (dalam badan) Cs-137 akan mula mengurai selepas 70 hari sementara penguraian I-131 pula membebaskan radiasi yang boleh merosakkan kelenjar tiroid serta meningkatkan risiko kanser tiroid dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, bukan sahaja warga Jepun dan penduduk negara jirannya cemas memerhatikan situasi di Fukushima, malahan rakyat Malaysia sendiri gempar apabila khidmat pesanan ringkas (SMS) mendakwa pencemaran radiasi akan sampai ke perairan kita mula disebarkan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia telah memberi jaminan pembebasan bahan radioaktif di Jepun akan dipantau secara rapi melalui alat pengesan radiasi di Chuping, Ipoh, Kota Kinabalu, Kuantan, Kudat dan Senai sementara kebanyakan pintu masuk negara juga dilengkapi pengimbas radiasi.

Namun, persoalan yang bermain di fikiran semua pihak kini adalah tentang sebaran bahan radioaktif melalui udara kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan hanya dapat dirasakan selepas gejala keracunan mula timbul.

Orang ramai di negara ini sebenarnya tidak perlu panik dengan kebarangkalian tersebut kerana jika berlaku bencana kebocoran bahan radioaktif yang teruk, ia pasti dapat dikesan lebih awal dan akan diumumkan kepada penduduk seluruh dunia terutamanya penduduk Jepun yang tinggal berhampiran tempat kejadian.

Pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa juga akan memaklumkan kepada orang ramai tentang langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelak atau mengurangkan kesan pendedahan bahan radioaktif ke atas diri dan keluarga.

Sementara usaha menghalang bencana ini masih dijalankan, semua pihak perlu bertenang dan tidak panik tentang sesuatu yang belum tentu akan berlaku.

Untuk mengurangkan kebimbangan umum melibatkan situasi di Fukushima itu, adalah lebih baik jika orang ramai terlebih dahulu memahami gejala keracunan radiasi dan langkah yang perlu diambil dalam kecemasan.

Pening dan muntah merupakan gejala utama dikaitkan dengan keracunan bahan radioaktif yang bermula beberapa jam selepas seseorang terdedah kepada radiasi tahap rendah atau tinggi.

Gejala ini diiringi pening kepala, cirit-birit dan demam jika terdedah kepada jumlah radiasi yang tinggi sementara kesan melibatkan sistem saraf badan seperti lumpuh atau sawan secara tiba-tiba menandakan kesan radiasi yang amat tinggi.

Pendedahan secara berpanjangan akan menyebabkan sistem imuniti badan menjadi lemah, demam panas, serta muntah, pening kepala dan cirit birit yang teruk.

Pendedahan kepada jumlah radiasi yang tinggi juga akan membawa maut dalam tempoh singkat tetapi mereka yang terdedah kepada radiasi yang rendah dalam jangka panjang atau pendek mungkin dapat diselamatkan jika menerima rawatan sewajarnya.

Langkah pencegahan pula banyak bergantung kepada kemampuan kita untuk menjauhkan diri dari sumber radiasi dan mengurangkan tempoh terdedah kepada bahan tersebut. Dari sudut jarak, kadar risiko kepada penduduk di Malaysia sebenarnya jauh lebih rendah berbanding penduduk di Jepun dan negara jirannya.

Tempoh pendedahan pula dapat dikurangkan dengan menggunakan alat perlindungan khas serta mengikut arahan pihak berkuasa untuk berlindung di tempat khusus yang ditetapkan atau di dalam rumah dengan menghalang atau mengurangkan aliran udara masuk.

Hakikatnya, jika bencana melanda loji nuklear Fukushima, tiada siapa di dunia yang dapat melarikan diri kerana hanya jarak yang membezakan bila sesebuah negara akan terdedah kepada bahan radioaktif yang dibebaskan ke udara.

Selagi tragedi itu belum menjadi kenyataan, kita cuma mampu melihat serta mendoakan segalanya akan pulih dan semoga dunia diberi peluang mengambil iktibar daripada kejadian tersebut demi masa depan generasi berikutnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Tsunami cetus risiko bencana teknologi baru

Oleh Dr Ibrahim Komoo
bhnews@bharian.com.my

Impak gempa bumi Tohoku 'kejutan' kepada rakyat Jepun

GEMPA bumi Tohoku berukuran magnitud 9.0 berlaku pada 11 Mac 2011, jam 2.46 petang waktu tempatan yang berpusat di perairan timur laut kepulauan Jepun adalah suatu gempa mega luar dugaan, walaupun bagi masyarakat Jepun. Bukan kerana mereka tidak menduga, tetapi gempa bumi ini adalah yang terbesar pernah dialami Jepun sejak manusia mempunyai peralatan moden mengukur kekuatan gempa. Ia juga adalah gempa bumi keempat terbesar di dunia sejak 1900.

Gempa bumi tercetus apabila kepingan Lautan Pasifik yang bergerak dengan kadar 83mm/tahun menusuk masuk ke bawah kepulauan Jepun sepanjang jalur pertemuan dua kepingan, iaitu zon subduksi. Pergerakan berterusan dan halangan oleh kepingan Eurasia menyebabkan patahan atau sesaran berlaku, membebaskan tenaga gempa (seismos) yang sangat besar.

Patahan pada kepingan lautan yang menghasilkan gempa bumi ditafsirkan sepanjang lebih 500km dengan anjakan ke atas antara dua hingga tiga meter. Pergerakan serta-merta kepingan lautan mengangkat badan air sehingga menghasilkan tsunami bersifat global. Oleh kerana, kedudukan punca gempa (epipusat) hanya sekitar 130km dari pantai, tsunami bergerak dan melanda pesisir Jepun kurang 30 minit selepas kejadian gempa bumi.

Melihat fotografi impak tsunami di persisiran pantai yang terhampir, seperti di bandar Sendai dan Minamisanriku, kemusnahan sangat dahsyat dan amat menyayat hati. Tinggi ombak tsunami dianggarkan mencapai 10 meter dan apabila bergerak di kawasan lembah, ia mampu menenggelami bangunan kurang daripada empat tingkat. Tsunami membawa bersama dan memusnahkan apa saja objek sepanjang laluannya.

Ke arah Lautan Pasifik, tsunami bergerak dengan kelajuan lebih 500km sejam. Dalam tempoh sekitar enam jam saja, ia sudah sampai di kepulauan Hawaii dengan ketinggian ombak sekitar 1.7 meter. Laporan dari Taiwan dan kepulauan Filipina menjelaskan ketinggian ombak tsunami semakin mengecil dan impaknya sudah berkurangan. Walaupun, ombak tsunami sampai ke pesisiran Amerika Utara dan Selatan, Australia dan New Zealand, ombak tsunami semakin kecil dan tidak meninggalkan impak ketara. Malaysia bernasib baik, di samping terkawal kerana pentas Sunda yang cetek, kita turut dilindungi kepulauan Filipina.

Gempa bumi juga diikuti gegaran kuat, membabitkan bangunan tinggi di bandar besar, khususnya Tokyo dan bandar berhampiran epipusat. Bagi kebanyakan yang tinggal di Tokyo, ini adalah gegaran paling menakutkan pernah mereka alami. Walaupun, banyak kerosakan kecil seperti cermin dan hiasan bangunan pecah dan beberapa bangunan kecil runtuh, sebahagian besar bangunan tinggi yang dibina dengan mengambil kira impak gegaran gempa bumi, dapat bertahan tanpa kerosakan strukturnya. Ini adalah satu kejayaan masyarakat moden Jepun yang beradaptasi dengan bencana alam.

Gempa bumi sangat besar seperti ini turut diikuti gempa bumi susulan. Dalam masa 72 jam selepas gempa bumi ini, lebih 150 gempa bumi susulan berlaku dan yang terbesar direkodkan berukuran magnitud 6.8. Dalam keadaan biasa, ini adalah gempa bumi besar yang boleh mencetus bencana tersendiri. Kejadian gempa bumi susulan adalah maklumat sains penting dan lazimnya dikaitkan dengan keadaan kepingan lautan yang mengalami patahan masih aktif untuk mencari keseimbangan. Gempa bumi susulan boleh berlarutan beberapa minggu hingga bulan lamanya.

Gempa bumi yang diikuti tsunami ini mencetus risiko bencana teknologi baru, iaitu kerosakan dan letupan reaktor nuklear di Fukushima Daiichi. Empat daripada reaktor mengalami letupan kerana sistem penyejukan gagal. Gempa bumi menyebabkan bekalan elektrik terputus sehingga menjejas sistem penyejukan loji. Tsunami pula merosakkan sistem penyejukan sokongan. Akibatnya reaktor menjadi terlalu panas, penghasilan hidrogen daripada wap air yang menjadi punca letupan. Ketidakstabilan reaktor nuklear di Fukushima masih pada tahap kritikal dan boleh mengundang bencana radiasi dahsyat. Pembinaan reaktor nuklear yang lazimnya mampu bertahan gegaran gempa bumi besar ternyata masih kurang selamat.

Gempa bumi Tohoku ini ternyata meninggalkan impak sangat hebat kepada masyarakat Jepun, iaitu sebuah masyarakat yang sangat berpengalaman dan bersedia menghadapi bencana gempa bumi dan tsunami. Sehingga catatan ini ditulis, lebih 2,000 nyawa dilaporkan terkorban, lebih 10,000 orang hilang dan kemungkinan turut terkorban, lebih 500,000 penduduk dipindahkan dan lebih 1.5 juta penduduk dalam keadaan tertekan akibat ketiadaan bekalan elektrik dan air. Keseluruhan rakyat Jepun masih dalam keadaan bimbang sekiranya tragedi radiasi nuklear berlaku. Ini tidak termasuk beberapa bandar di pesisiran pantai musnah dilanda tsunami. Bencana, kematian dan kerosakan harta masih terus meningkat. Anggaran awal menunjukkan kerugian harta benda melebihi RM500 bilion.

Apa yang dapat kita pelajari daripada bencana gempa bumi ini? Walaupun bagi masyarakat Jepun yang berpengalaman menghadapi bencana alam gempa bumi masih dapat memberikan beberapa maklumat baru. Umpamanya:

  • Gempa bumi masih sukar diramal, khususnya magnitud, kedudukan epipusat dan bila akan berlaku. Gempa bumi mega berukuran 9.0 pada skala Richter memang tidak diduga. Ini pertama kali masyarakat Jepun berhadapan gempa bumi sebesar itu. Oleh itu, impaknya kepada komuniti, harta benda dan keselamatan awam adalah situasi baru yang mereka sedang hadapi;

  • Ternyata tsunami besar, melebihi ketinggian 10 meter dan apabila bergerak di kawasan lembah yang dibangunkan sebagai penempatan, impaknya sangat luar biasa. Tiada apa yang dapat bertahan daripada kemusnahan tsunami. Sebuah bandar seperti Minamisanriku musnah sama sekali dilanda tsunami;

  • Gempa bumi mencetuskan tsunami dan kedua-duanya pula boleh bertindak mewujudkan bencana teknologi seperti kegagalan reaktor nuklear dan kebakaran. Bencana alam lazimnya mencetus bencana lain – gempa bumi mencetus tsunami dan gegaran akibat gempa bumi serta tsunami menyebabkan kerosakan loji nuklear dan gegaran juga menyebabkan runtuhan bangunan, kebakaran dan kemusnahan pelbagai infrastruktur awam.

    Bagi masyarakat Malaysia, kita harus berdoa agar bencana ini dapat diharungi dengan tabah oleh masyarakat Jepun. Semoga tragedi ini diatasi segera, dapat mengurangkan risiko bencana sebaik mungkin dan membangun negara mereka ke arah masyarakat bersemangat kental. Bagi masyarakat Malaysia, jadilah rakyat yang sentiasa bersyukur kerana sentiasa dilimpahi rahmat dan dilindungi bencana alam.

    Penulis ialah Pengarah, Institut Kajian Bencana Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/
  • ISU PENDIDIKAN : Guru perlu tingkat kemahiran sejajar perubahan

    Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan Anugerah Emas Terbaik Keseluruhan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan kepada Muhammad Solehuddin Abdul Rani (kanan) pada majlis Konvokesyen Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Rabu. Memerhatikan ialah Rektor Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Haili Dolhan (dua dari kiri).

    PUTRAJAYA: Golongan pendidik di negara ini perlu peka bahawa kemahiran mendidik sentiasa berubah dan berusaha meningkatkan serta menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dan persekitaran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, jika usaha tidak dibuat untuk bergerak seiring dengan perkembangan ilmu, tenaga pendidik akan ketinggalan dalam banyak hal terutamanya dalam aspek pembangunan manusia dan melahirkan generasi berwibawa.

    Berucap pada istiadat Konvokesyen Berpusat Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta golongan pendidik menguasai ilmu dengan mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi melahirkan generasi berilmu, membudayakan inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar.

    "Jika dahulu, guru mengajar tulis baca, mengatasi masalah buta huruf sebagai tugas hakiki, kini cabaran yang digalas oleh guru jauh lebih berat.

    "Realitinya, masyarakat kini memerlukan guru berkualiti tinggi daripada sudut keilmuan dan sahsiah, berintegriti, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk membentuk insan yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek," katanya.

    Muhyiddin mengingatkan guru bertauliah tidak merasakan ilmu yang dipelajari mencukupi, sebaliknya memahami konsep Pengetahuan Kandungan Pedagogi serta melaksanakan tugasnya dengan penuh bertanggungjawab.

    "Bidang pendidikan memberikan sumbangan besar dan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah negara. Hakikat ini lebih relevan lagi dalam era siber di mana kemajuan dan kejayaan anak bangsa bergantung kepada penguasaan ilmu dan teknologi.

    "Oleh itu peranan dan tanggungjawab guru dan pendidik hari ini semakin penting dan kritikal berbanding pada masa dahulu. Jadilah seorang guru yang mampu berfikir secara kritis, menulis secara persuasif, berfikir dan memberi pendapat secara logik serta mengatasi masalah rencam yang dihadapi oleh murid-murid pada masa ini.

    "Hakikatnya tenaga pendidik perlu sedar peranannya dalam mengasuh pemimpin dan tenaga kerja masa depan ke arah memacu pembangunan Malaysia," katanya.

    Seramai 1,987 penuntut Institut Pendidikan Guru seluruh negara menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan pada konvensyen pertama itu. - BERNAMA

    ISU ANTARABANGSA : LIMA KRISIS NUKLEAR TERBURUK DALAM SEJARAH DUNIA

    1. CHERNOBYL - 26 APRIL, 1986

    DIANGGAP sebagai krisis nuklear terburuk dunia dan satu-satunya kemalangan nuklear yang dilabel pada tahap ketujuh skala kejadian nuklear antarabangsa, iaitu tahap tertinggi . Letupan kuat berlaku semasa ujian sistem di reaktor nombor 4 di loji Chernobyl, Ukraine dan membebaskan debu radioaktif ke udara. Jumlah radioaktif yang terbebas adalah 400 kali ganda melebihi pengeboman di Hiroshima. 4000 orang dilaporkan terkorban.

    2. KSYHTYM - 29 SEPTEMBER, 1957

    BERLAKU di bandar Ksyhtym pada zaman Kesatuan Soviet. Selepas Perang Dunia Kedua, Soviet ketinggalan di belakang Amerika Syarikat dari segi senjata nuklear dan mula membina loji nuklear secara tergesa-gesa. Sistem penyejukan di salah sebuah loji yang mengandungi 70 – 80 tan bahan buangan radioaktif gagal berfungsi menyebabkan suhu meningkat sebelum meletup mencemarkan kawasan seluas 800 kilometer persegi , 10, 000 orang telah dipindahkan dan 20 orang terkorban akibat barah yang disebabkan pendedahan kepada radiasi.

    3. PULAU THREE MILE -28 MAC, 1979

    BENCANA nuklear terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat ini berlaku di Pulau Three Mile, Pennsylvania. Sebuah injap kecil dibuka bagi merendahkan tekanan di dalam reaktor tetapi gagal berfungsi dan tidak dapat ditutup semula, menyebabkan air penyejukan bocor dan teras reaktor menjadi panas sehingga membebaskan gas radioaktif. Keadaan berjaya distabilkan dan tiada sebarang kematian dilaporkan.

    4. WINDSCALE – 10 OKTOBER, 1957

    Selepas Perang Dunia Kedua, Britain yang tidak mahu ketinggalan dalam pembinaan senjata nuklear melancarkan program membina bom atom secepat mungkin. Di Windscale, Cumberland, teras reaktor nuklear terbakar tetapi berjaya dipadamkan. Namun, sinaran radiasi telah dibebaskan ke udara dan menyebabkan 240 orang menghidap barah.

    5.TOKAIMURA – 30 SEPTEMBER , 1999

    KRISIS nuklear di Jepun ini bertempat di sebuah pusat memproses uranium di wilayah Ibaraki. Pekerja yang tidak mahir meletakkan terlalu banyak uranium di dalam tangki menyebabkan pembebasan radiasi. Dua pekerja terkorban dalam insiden ini.

    Nota Hujung :

    Pihak berkuasa keselamatan nuklear Perancis (ASN) semalam berkata, insiden letupan ke atas sebuah loji nuklear di Jepun dikelaskan pada tahap 5 atau tahap 6 mengikut skala antarabangsa dan dianggap berada pada tahap bahaya.

    Tahap keselamatan dalam insiden letupan di loji tenaga nuklear di Fukushima itu boleh disamakan dengan tahap keselamatan dalam kejadian kebocoran di loji tenaga nuklear di Three Mile Island di Amerika Syarikat pada 1979.Tahap risiko keselamatan tenaga nuklear mengikut skala antarabangsa diukur pada tahap 1 hingga tahap 7.

    Anggaran risiko dalam kemalangan di loji Fukushima Daiichi Tokyo Electric Power Co itu, mengikut penilaian ASN berdasarkan data yang disediakan oleh agensi keselamatan nuklear Jepun menunjukkan ia berada pada tahap 4.

    Semalam, seramai 11 orang dilaporkan cedera apabila berlaku letupan gas hidrogen berikutan letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi Tokyo Electric Power Co itu.

    Kejadian itu memburukkan lagi krisis nuklear di negara matahari terbit itu ekoran gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang melanda negara itu disusuli dengan tsunami besar, pada Jumaat lalu.