Selasa, 3 September 2013

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Dengar nasihat dikemukakan pakar


NEGARA menyaksikan satu lagi tragedi nahas yang juga terburuk dalam sejarah kemalangan jalan raya apabila 37 orang daripada 53 orang penumpang termasuk pemandu maut dalam kejadian di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands.

Walaupun nahas ini adalah kehendak takdir namun jika kita telah melaksanakan usaha yang sewajarnya, kemungkinan besar nahas seperti ini dapat dielak atau paling tidakpun jumlah kemalangan maut seperti ini dapat dikurangkan.

Hal ini kerana ini bukanlah kejadian yang pertama seumpama ini di negara kita. Malah di kawasan yang berdekatan sendiri telah meragut sejumlah nyawa yang besar sebelum ini. Misalnya 17 penumpang terbunuh apabila bas yang mereka naiki terhumban dalam gaung di Kilometer 1.5 Jalan Genting-Kuala Lumpur pada Julai 1996.

Pada September 2003 pula seorang maut apabila bas persiaran hilang kawalan sebelum terbabas ke gaung di Kilometer 19 Jalan Genting-Kuala Lumpur.

Tiga orang maut apabila bas terbalik ketika menuruni selekoh tajam di Kilometer 13, Jalan Genting-Batang Kali pada November 2006. Tujuh orang lagi maut apabila sebuah bas pelancongan terbabas dan terbalik di KM38 Genting Sempah pada Oktober 2010 dan dua pelancong terbunuh apabila bas terbalik di bahu jalan di KM4.5 Jalan Genting-Kuala Lumpur pada Mac 2012.

Ini adalah sebahagian daripada insiden yang berlaku di kawasan yang berhampiran dan belum lagi mengambil kira statistik kemalangan besar seperti ini terutamanya yang melibatkan bas di seluruh negara seperti yang pernah berlaku di Bukit Gantang, Perak sebelum ini.

Kebiasaannya kita akan menubuhkan jawatankuasa siasatan termasuklah untuk tragedi ini seperti yang telah diumumkan.

Hampir setiap hasil dapatan dan siasatan jawatankuasa yang ditubuhkan boleh dikatakan lebih kurang sama iaitu adanya pelbagai unsur kecuaian.

Ini sama ada daripada pihak pengusaha bas terutamanya melibatkan keadaan keselamatan bas seperti brek ataupun kecuaian dan kelemahan pemandu bas itu sendiri di samping faktor lain seperti keadaan permukaan jalan, faktor cuaca dan sudah semestinya faktor takdir.

Malah dalam kes terbaharu ini juga dilaporkan bahawa mengikut cerita mangsa yang terselamat dikatakan bas gagal dikawal kerana dipandu laju. Itu belum lagi soal sama ada berlaku kecuaian di segi muatan penumpang yang berlebihan.

Persoalannya ialah apa berlaku dengan segala syor dan cadangan pembetulan dan pencegahan yang telah dikemukakan oleh semua jawatankuasa siasatan yang telah ditubuhkan untuk setiap insiden sebelum ini? Berapa banyak hasil siasatan yang telah didedahkan kepada umum?

Sejauh mana pula pihak yang berkaitan memandang serius dan mengambil berat serta mengambil tindakan ke atas syor dan cadangan yang telah dikemukakan agar perkara yang sama tidak terus berlaku dan berulang.

Kita percaya andai semua cadangan dan syor ini telah diambil tindakan yang sewajarnya sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan ataupun dapat mengelak kejadian seperti ini daripada terus berlaku.

Justeru kita berharap agar janganlah berhenti setakat pembentukan jawatankuasa siasatan serta penyediaan laporan semata-mata sebaliknya apa yang penting ialah tindakan pembetulan dan pencegahan perlu diambil berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh pakar-pakar yang menyiasat sesuatu kejadian terbabit. Jika tidak kejadian seperti itu akan terus berlaku.

Semoga semua pihak mengambil iktibar daripada kejadian ini dan segera betulkan keadaan agar dapat mengelak mahupun mengurangkan kejadian seperti ini. Jangan menyalahkan takdir semata-mata tanpa sebarang usaha dan inisiatif yang sewajarnya daripada semua pihak.

Takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat.


NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang

Sumber : http : //www.utusan.com.my/