Selasa, 5 Februari 2013

ISU SOSIAL : Rakyat Malaysia Paling Percaya Maklumat Dalam Talian


KUALA LUMPUR : Masyarakat awam di Malaysia paling percayakan maklumat yang diperoleh daripada enjin carian dalam talian, diikuti oleh media tradisional dan sosial, demikian menurut hasil 'Tinjauan Pengukur Kepercayaan 2013' Edelman Malaysia.

"Apa yang ternyata di sini ialah ruang dalam talian yang merangkumi media digital dan sosial, tidak boleh dipandang remeh sebagai sumber maklumat yang dipercayai.

"Skor kepercayaan yang tinggi terhadap "media dimiliki" ini menunjukkan keperluan mendesak bagi semua pertubuhan mengemas kini dan menggunakan sepenuhnya aset korporat mereka seperti portal sesawang, surat berita, YouTube, malah juga Twitter untuk menyebarkan maklumat," kata Pengarah Urusan Edelman Asia Tenggara, Bob Grove.

Walaupun skor kepercayaan pada umumnya lebih tinggi dalam kaji selidik ini, namun perlu dimaklumi bahawa jurang kepercayaan antara institusi penting dan pucuk pimpinan, yang membayangkan krisis yang mungkin berlaku dalam kepimpinan.

Hasil kaji selidik ini juga menunjukkan bahawa meskipun responden umum mempercayai perniagaan, hanya 26 peratus mempercayai pemimpin perniagaan bercakap benar, dan hanya 21 peratus mempercayai pemimpin kerajaan bercakap benar.

Pengarah Urusan Edelman Malaysia, Raymond Siva, berkata hasil kaji selidik Pengukur Kepercayaan Edelman 2013 di Malaysia, jelas menunjukkan bahawa warga Malaysia mengharapkan pertubuhan-pertubuhan lebih memperlihatkan sifat-sifat kemasyarakatan berbanding kebolehan mengendali, untuk mendapatkan kepercayaan mereka.

"Jelaslah bahawa pengaruh dan kuasa beralih daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pemimpin kerajaan kepada pakar dan rakan sebaya," katanya.

Ketika membentangkan hasil kaji selidik itu pada satu sidang akhbar di sini, Selasa, beliau berkata, pemimpin kerajaan dan perniagaan mestilah mengubah pendekatan pengurusan mereka untuk meningkatkan penglibatan mereka dengan mendapatkan input pekerja, pengguna, penggiat dan pakar-pakar seperti ahli akademik, dan menyesuaikan diri mengikut maklum balas mereka.

Beliau berkata dinamik kepercayaan telah berevolusi daripada Piramid Pengaruh tradisi, yang menonjolkan maklumat dalam bentuk monolog, serta dikawal dan diarahkan oleh hanya segelintir, kepada Diamond Pengaruh, yang menampilkan maklumat dalam bentuk dialog.

"Dalam persekitaran di mana kepercayaan masih amat rapuh, ini adalah peluang yang ketara bagi perniagaan dan kerajaan mendapatkan semula 'lesen' untuk memimpin," tegasnya.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus menjadi institusi paling dipercayai di Malaysia, dengan kadar yang meningkat daripada 68 peratus kepada 76 peratus tahun ini.

Edelman ialah firma perhubungan awam bebas terbesar di dunia, yang mempunyai 66 pejabat dan lebih 4,500 pekerja di seluruh dunia, serta ahli gabungan di lebih 30 bandar.

Antara hasil lain yang diperoleh daripada orang awam di Malaysia menunjukkan sektor industri yang paling dipercayai ialah teknologi (85 peratus), bank (82 peratus) dan industri tenaga (81 peratus).

Sektor yang paling kurang dipercayai ialah arak dan spirit (56 peratus) dan media (66 peratus), meskipun kedua-duanya menyaksikan peningkatan dua angka.

Di peringkat global, tinjauan itu mendapati bahawa rasuah dan insentif salah yang memacu perniagaan serta keputusan dasar disebut sebagai sebab-sebab utama bagi rasa tidak percaya terhadap perniagaan dan kerajaan.

Katanya prestasi lemah dan ketidakcekapan juga merupakan faktor utama bagi kurangnya kepercayaan terhadap kerajaan.

Dari segi syarikat multinasional, warga Malaysia meletakkan kepercayaan yang lebih tinggi terhadap syarikat-syarikat yang beribu pejabat di Jerman, Kanada dan Sweden berbanding syarikat yang berpangkalan di Brazil, China dan India.

Sama seperti trend di seluruh Asia Pasifik, warga Malaysia juga lebih mempercayai perniagaan besar berbanding perniagaan kecil.

Pengukur Kepercayaan Edelman 2013 di Malaysia dihasilkan oleh firma penyelidikan Edelman Berland dan melibatkan temu bual dalam talian selama 20 minit yang dikendalikan dari 16 Oktober hingga 29 November, 2012. BERNAMA