
Agak memeranjatkan apabila jumlah sisa makanan berbuka dan juadah Aidilfitri ini dianggarkan 45 peratus daripada 20,000 tan keseluruhan sisa pepejal yang dikutip di seluruh negara dalam sehari. Laporan disiarkan Berita Minggu semalam juga menunjukkan jumlah sisa pepejal atau sampah yang dikutip pada 2001 adalah sebanyak 17,000 tan sehari dan meningkat kepada 19,000 tan pada 2005. Terkini, jumlah kutipan harian dianggarkan lebih 20,000 tan dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara menjangka ia bertambah kepada 30,000 tan sehari menjelang 2020. Peningkatan kutipan harian ini bukan saja meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk melupuskannya, ia turut mencemar persekitaran dan menyumbang kepada peningkatan kes pelbagai jenis penyakit, terutama di bandar yang dikenal pasti secara ketara penduduknya suka membazir dan membuang sisa makanan berbanding mereka di pedalaman atau kampung. Tabiat suka membazir ini perlu kita perbaiki. Umat Islam perlu sedar bahawa puasa adalah ibadat yang mempunyai peranan penting dalam membentuk peribadi dan akhlak agar dapat mencapai tahap ketakwaan kepada Allah. Bagi memenuhi hasrat itu, kita hendaklah benar-benar memahami bahawa puasa itu sebagai ibadat. Kita perlu bersikap sederhana dan mempertingkatkan amal ibadat sepanjang Ramadan. Antara ciri-ciri insan yang bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan dan mencegah perkara yang boleh membatalkan puasa. Ibadat ini berjaya melahirkan manusia yang berdisiplin, berdedikasi, berminda bersih dan berdaya tahan, sekali gus dapat menghindari amalan menjadikan Ramadan itu bulan untuk berpesta makan dan membeli-belah secara berlebihan. Perlu diingat, makan dan membeli secara berlebih-lebihan hanya membawa kepada pembaziran dan mengurangkan pahala amalan yang dilakukan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/