Memaparkan catatan dengan label RENCANA PENGARANG PILIHAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label RENCANA PENGARANG PILIHAN. Papar semua catatan

Sabtu, 2 Mac 2013

ISU SOSIAL : Generasi Muda Penerus Kesinambungan Pembangunan Negara


KITA sering mendengar tentang hala tuju masa depan negara dan peranan serta tenaga anak-anak muda yang harus digembleng bersama-sama untuk membangunkan negara.

Sebagai salah satu aset terpenting negara serta menjadi tonggak dan sandaran masa hadapan, maka seharusnya golongan pelapis ini dididik dan dibimbing agar mereka mampu menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menjaga dan menentukan masa depan negara.

Kita selaku ibu bapa mahupun guru atau pemimpin harus proaktif dan kreatif mencorakkan sahsiah, sikap dan daya fikir serta akhlak mereka berlandaskan petunjuk Al-Qur'an dan as-Sunnah seperti mana yang dituntut oleh Islam. Ia mampu memberikan kesan mendalam kepada golongan muda-mudi kerana mereka berkeupayaan untuk mencerap dengan mudah apa sahaja bentuk pendidikan yang diajar dan diterapkan kepada mereka jika kena gaya dan caranya.

Golongan muda disifatkan sebagai harapan bangsa dan tiang negara atas kapisiti mereka yang memiliki kelebihan tertentu berbanding warga veteran. Ini kerana, secara umumnya mereka memiliki kekuatan dan kesihatan jasmani, kecerdasan minda, aktif, bersemangat dan berpotensi untuk digilap melalui pembudayaan ilmu dan kemahiran serta penyediaan ruang dan peluang untuk menonjolkan potensi diri. Faktor ini membuktikan mereka merupakan entiti yang perlu diberi perhatian mengingat bahawa tenaga belia dan beliawanis menjadi sumber penting dalam pembangunan dan kemajuan negara.

Oleh hal yang demikian, pembinaan generasi muda yang berkualiti tinggi yang akan mewarisi tanah air tercinta ini hendaklah diberi perhatian yang sewajarnya dalam agenda pembangunan negara.

Pembangunan modal insan seperti mana yang diuar-uarkan oleh kerajaan mestilah dijayakan bersungguh-sungguh oleh semua pihak. Tanpa kesungguhan yang jitu maka tidak mungkin keinginan kita untuk melihat golongan pelapis dan pewaris yang kuat dan berkemampuan lahir untuk menghadapi cabaran hari depan.

Kejayaan membina masa depan yang lebih baik dan cemerlang banyak bergantung kepada keupayaan generasi muda kini dalam mencerap ilmu, kemahiran serta daya kepimimpinan yang cemerlang.

Generasi muda hari ini mempunyai peranan serta tanggungjawab teramat besar dalam menjana pembangunan mencemerlangkan agama, bangsa dan negara. Di samping menyumbang idea, masa dan tenaga merencana pencapaian lebih hebat daripada pemimpin hari ini, mereka juga berkewajipan membina dan membangun jati diri dari segi akhlak, ilmu, sahsiah, iman, taqwa, ibadah, rohani dan jasmani supaya berupaya menampilkan gaya dan budaya hidup sihat untuk dicontohi oleh masyarakat.

Sumber : http://www.pelitabrunei.gov.bn/

Khamis, 8 November 2012

ISU PENDIDIKAN : Insentif bantu tingkat pelajar aliran sains


Cadangan potongan cukai kepada ibu bapa sebagai insentif jika anak mereka belajar dalam aliran sains boleh menggalakkan lebih ramai pelajar memilih bidang berkenaan. Selain insentif itu, biasiswa atau dermasiswa yang bakal ditawarkan kepada pelajar berkenaan juga akan menggalakkan mereka menceburi bidang sains sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Bagaimanapun matlamat kerajaan itu hanya mampu dicapai jika pelajar sekarang mempunyai minat mendalam dalam sains. Untuk itu kementerian perlu menjalankan kajian teliti bagi mengenal pasti punca sebenar pelajar tidak berminat aliran sains terutama pelajar Melayu. Sehingga kini rungutan pelajar dan ibu bapa perlu diambil kira termasuk dari segi kaedah pengajaran, kemudahan makmal serta kekurangan guru pakar terutama di luar bandar dan pedalaman.

Ibu bapa tentu mengharapkan jaminan aliran sains membantu anak mereka berjaya dalam pelajaran hingga ke peringkat lebih tinggi. Kemerosotan jumlah pelajar aliran sains sepatutnya tidak berlaku kerana dasar pengambilan adalah 60 peratus sains dan teknikal serta 40 peratus sastera atau dengan nisbah 60:40. Walaupun matlamat ini sudah lama disasarkan tetapi bilangannya masih rendah iaitu sekitar 20 peratus bagi calon yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekarang.

Pelbagai usaha sedang dilakukan oleh kerajaan bagi meningkatkan bilangan pelajar sains kepada 60 peratus, termasuk menerima pakai 15 cadangan daripada jawatankuasa kumpulan pakar dianggotai universiti dan ahli akademik. Kerajaan mensasarkan peningkatan pelajar aliran sains sekurang-kurangnya 10 peratus pada 2014. Harapan itu boleh dicapai jika pelajar dan ibu bapa diberi penerangan jelas mengenai hala tuju aliran sains dan keperluan tenaga mahir bagi menjayakan Wawasan 2020. Sebelum ini segelintir pelajar aliran sains yang menamatkan pengajian peringkat tinggi mendakwa sukar mendapat pekerjaan berbanding rakan mereka di aliran sastera. Kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi mengatasi tanggapan itu. Kita yakin perancangan rapi Kementerian Pelajaran di samping pelbagai insentif dalam kalangan ibu bapa dan pelajar sendiri bakal mengimbangi sains tulen dan sains sosial. Malaysia yang maju dan makmur pada masa depan bermula daripada cendekiawan dan ilmuwan sains, sastera, agama dan teknologi. Keragaman pencapaian dalam pelbagai sektor bakal menyempurnakan sebuah negara maju yang kaya dengan pelbagai kepakaran. Justeru, insentif kerajaan bagi merangsang pertambahan pelajar aliran sains sepatutnya dilihat secara positif demi masa depan bersama.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 14 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Kerajaan bela nasib graduan pendidikan


Nasib 10,200 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang sehingga kini masih belum ditawarkan pekerjaan sebagai guru dijangka diketahui pada pembentangan Bajet 2013, 28 September ini. Bayangan awal yang diberikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dijangka melegakan mereka selepas beberapa tahun menamatkan pengajian tapi tidak ditawarkan jawatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan dijangka mengumumkan sesuatu yang akan mengubah nasib mereka. Keperluan semasa pasaran pendidikan dijangka membantu graduan berkenaan mencapai cita-cita menjadi guru yang kini mendapat pengiktirafan tinggi kerajaan. Kita yakin masalah yang dihadapi graduan berkenaan menjadi iktibar kepada kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran. Mereka yang dilatih secara khusus sebagai guru tapi menghadapi masalah penempatan, gara-gara unjuran kurang tepat terhadap sektor perguruan itu sendiri.

Faktor lebihan penawaran dan masalah penempatan menyebabkan mereka tidak segera ditawarkan jawatan walaupun pertumbuhan penduduk dan bilangan pelajar sepatutnya memberi peluang kepada kerjaya berkenaan. Keadaan lebih mendesak apabila dilaporkan 13,000 graduan pendidikan yang mengajar Sains dan Matematik di seluruh negara mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan berkenaan sehingga ada yang terpaksa mengikuti latihan semula subjek lain.

Kita yakin masalah penempatan dan pengisian pengajaran subjek boleh diatasi. Kerajaan sentiasa peka isu pendidikan termasuk melancarkan laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang bertujuan meningkatkan taraf pendidikan negara ke tahap global. Sebagai sebuah negara yang menuju peningkatan sektor pendidikan dan perguruan, Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan prasarana di sekolah. Peningkatan premis dan kemudahan asas di sekolah memerlukan tenaga penggerak yang berkualiti dan berwawasan.

Gabungan guru berijazah dan berpengalaman amat diperlukan sebagai ejen penggerak institusi di sekolah itu sendiri. Dalam hal ini kita yakin penempatan 10,200 graduan bakal melancarkan lagi matlamat transformasi pendidikan yang bertujuan melahirkan modal insan berwawasan menjelang 2020. Tentunya kehadiran mereka menjadikan sektor pendidikan lebih berwibawa dan sekolah menjadi medan percambahan ilmu dan tradisi intelektual yang berdaya saing pada peringkat global


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 12 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Sahut cabaran reformasi pendidikan


SISTEM  pendidikan negara bakal memasuki fasa baru apabila Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PPP 2013-2025) dilancarkan semalam. Ia berasaskan 11 anjakan utama bagi memastikan transformasi pendidikan bersifat futuristik dan jangka panjang bagi menyediakan modal insan cemerlang untuk meningkat daya saing menghadapi cabaran termasuk di arena antarabangsa.

Rancangan yang dilaksanakan sepanjang tempoh 13 tahun membabitkan tiga fasa (gelombang) dijangka menjadikan sistem pendidikan Malaysia setaraf di negara maju. Fasa pertama membabitkan penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan, apabila keperluan guru diberi penekanan serta pelajar diberikan tumpuan dalam pembangunan kemahiran asas. Fasa kedua pula memberi fokus rancangan pelaksanaan berasaskan perkembangan dan pencapaian semasa. Untuk gelombang ketiga pula, bermula 2020 hingga 2025, kuasa autonomi membabitkan pentadbiran sekolah akan diberikan. Kita yakin pelan pembangunan pendidikan ini begitu menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada usaha melahirkan pelajar berkualiti bagi menghadapi cabaran masa depan. Sebagai modal insan yang bakal mencorakkan negara pada masa depan, pelajar hari ini harus memiliki pengetahuan luas, kemahiran berfikir, bakat kepemimpinan, kebolehan bertutur pelbagai bahasa, beretika dan memberi penekanan terhadap identiti kebangsaan.

Kita yakin anjakan baru sistem pendidikan bakal meletakkan sekolah sebagai institusi berdaya saing peringkat global, sekali gus memberi nilai tambah kepada generasi masa depan. Pelbagai pihak yakin Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 akan mencapai matlamat selaras usaha meletakkan Malaysia negara maju pada 2020.

Rakyat harus menyahut seruan Perdana Menteri untuk bersama-sama   menjayakan pelan ini dan berani untuk tidak mempolitikkan bidang pendidikan sebaliknya membuat keputusan demi masa depan anak yang lebih baik. Justeru, pelbagai pihak perlu bersama-sama memberi  sumbangan dan membantu menjayakan pelan pendidikan ini. Agenda pendidikan memerlukan keikhlasan bersama kerana pelaburan masa depan bakal menentukan kedudukan generasi Malaysia menjelang abad ke-21. Sehingga kini beberapa pakar pendidikan asing dan serantau memuji pelan pembangunan pendidikan.

Korea Selatan dan Singapura yang dianggap lebih maju sektor pendidikan mengalu-alukan pelan baru itu. Tentu nilai tambah kepada sistem pendidikan yang kita amalkan sejak 1957 bukan saja bakal menjadikan Malaysia hab pendidikan serantau, tetapi yang lebih penting mampu meningkatkan semangat perpaduan dan toleransi rakyat berbilang kaum.

Sumber : http : //www.bharian.com.my

Jumaat, 20 Julai 2012

ISU SOSIAL : SPS satu lagi inisiatif untuk jaminan hari tua rakyat


Penubuhan Skim Persaraan Swasta (SPS) adalah satu lagi inisiatif kerajaan untuk menjamin kehidupan masa depan rakyat terutama yang bekerja sendiri dan berkhidmat dalam sektor swasta. SPS tentunya dapat menampung sara hidup kakitangan swasta selepas usia persaraan kerana pergantungan kepada caruman menerusi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) saja tidak mencukupi, apatah lagi purata jangka hayat rakyat Malaysia kini meningkat kepada 80 tahun. Jika bersara ketika usia 60 tahun, mereka memerlukan tabungan mencukupi untuk menampung saki baki kehidupan bagi jangkaan 20 tahun lagi.

Buat permulaan, 24 dana diuruskan oleh enam daripada lapan penyedia SPS yang diluluskan, akan ditawarkan di bawah skim itu mulai September depan. Sistem tabungan dan simpanan aset kewangan yang mencukupi tentunya akan merangsang produktiviti pekerja, sekali gus hasilnya bakal dinikmati dalam pelbagai sektor pekerjaan yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada negara. Jika negara maju dan industri memperkenalkan skim persaraan untuk pelbagai sektor, penubuhan SPS membantu meningkatkan daya saing negara, di samping membantu meningkatkan kualiti hidup warga tua selepas persaraan.

Bagi mereka yang bekerja sendiri, keadaan akan menjadi lebih teruk jika tiada simpanan untuk hari tua. Tanpa jaminan kewangan dan kesihatan yang baik, kehidupan pada usia persaraan menjadi lebih mencabar. Oleh itu penubuhan SPS menjadi satu alternatif kepada simpanan hari tua selepas persaraan.

Bagi menjayakan skim ini dan pembabitan menyeluruh golongan terbabit, mereka perlu diberi penjelasan terperinci kerana SPS adalah inisiatif baru. Kempen penerangan perlu dipergiatkan menerusi pelbagai saluran termasuk media massa dan media baru. Majikan sektor swasta juga memerlukan penjelasan mengenai caruman tambahan secara sukarela untuk kakitangan mereka.

Mereka tentunya ingin mengetahui mengenai manfaat yang bakal diperoleh apabila secara sukarela membuat caruman tambahan SPS untuk pekerjanya. Kempen dan penerangan berterusan akan memberi impak lebih besar kepada SPS bagi menjamin kesejahteraan hidup masa depan pekerja. Kita percaya, sama ada kakitangan swasta mahu pun pekerja persendirian menyambut baik usaha kerajaan ini demi kelangsungan hidup hari tua mereka dan keluarga.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 29 Jun 2012

ISU BAHASA : Semua kaum perlu sentiasa guna bahasa Melayu untuk berkomunikasi


PENDIRIAN tegas kerajaan untuk terus memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara adalah satu jaminan untuk membela, memelihara serta memartabatkan bahasa Melayu, sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan. Dalam mengharungi era globalisasi, bahasa Melayu berdepan pelbagai cabaran bagi menghalangnya menjadi bahasa ilmu. Pelbagai bentuk pencemaran bahasa akibat ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memburukkan lagi keadaan, sekali gus menuntut usaha bersepadu semua pihak bagi menjadikan bahasa Melayu terus relevan sebagai bahasa ilmu seiring perkembangan semasa. Walaupun kedudukan bahasa Melayu dijamin Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan, usaha memastikan bahasa Melayu digunakan secara ilmiah di samping dapat menggambarkan citra Melayu perlu diperkukuhkan. Toleransi dalam bertutur menggunakan bahasa ibunda mengikut kaum di negara ini memang sudah sebati, namun alangkah lebih manis jika semua kaum di negara ini menjadikan bahasa Melayu sebagai medium utama dalam berkomunikasi tanpa sebarang prejudis. Komitmen ditunjukkan kerajaan untuk mempertahan bahasa Melayu tidak sepatutnya dipandang serong atau diiringi dengan perasaan perkauman kerana bahasa lain juga bebas dituturkan di negara ini.

Selepas 57 tahun Malaysia merdeka, rakyat sepatutnya tidak lagi memandang negatif terhadap kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi seperti digunakan secara meluas dalam bidang sains, teknologi dan perundangan termasuk digunakan dalam dokumen perjanjian serta surat-menyurat. Hakikat sebenar yang mungkin kurang diketahui umum ialah kita sebenarnya mempunyai ribuan istilah dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi di dalam kamus serta glosari yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Panduan penggunaan bahasa kebangsaan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam pekelilingnya adalah antara formaliti yang harus dikekalkan, manakala kelemahan yang masih wujud adalah satu isu yang harus ditangani dengan berkesan. Namun demikian, usaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa tinggi akan terkubur sekiranya rakyat sendiri tidak peka ke arah itu. Sekiranya bahasa Melayu tinggi dipraktikkan dengan meluas dalam kalangan rakyat, maka amalan itu akan meningkatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Amalan penggunaan bahasa Melayu rendah, seperti bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) dan bahasa rojak wajar dihindarkan dengan harapan martabat bahasa Melayu terus terpelihara. Sebagai rakyat yang terdedah dengan bahasa Melayu, semua pihak perlu bersikap positif untuk menggunakan bahasa Melayu tinggi dalam semua urusan tanpa mengira status atau keturunan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 20 Jun 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Transformasi pentadbiran tuntut kerjasama semua penjawat awam


DATUK Seri Dr Ali Hamsa yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru berkuat kuasa  Ahad ini sudah pasti menarik perhatian seluruh kakitangan perkhidmatan awam. Beliau yang akan menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang tamat kontrak Sabtu ini sudah menyatakan azamnya untuk menggunakan pendekatan turun padang mendekati anggota perkhidmatan awam, sekali gus mengeratkan hubungan, di samping mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat. Bekas Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di Jabatan Perdana Menteri itu juga dijangka meneruskan usaha meningkatkan keupayaan pelaksanaan dasar, projek dan sistem penyampaian kepada rakyat, selaras perkembangan semasa yang menuntut setiap pelaksanaan dasar dijayakan dengan sempurna. Pengalaman luas beliau sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dan Pengarah Seksyen Pembahagian dan Timbalan Ketua Pengarah, Program National Transformation & Advancement sudah pasti dapat dimanfaatkan dalam sektor awam yang mempunyai 1.4 juta kakitangan. Sebagai jentera utama pelaksana dasar kerajaan, khidmat jabatan kerajaan dan kakitangan amat diharapkan bagi meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat. Pelantikan beliau juga diharap mampu memantapkan jentera pentadbiran, di samping penambahbaikan program yang dilaksanakan di bawah pentadbiran KSN sebelum ini dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Kakitangan awam memerlukan pemimpin dinamik dan sering turun padang bagi memahami masalah, sekali gus menyelesaikan segala halangan yang ada kaitan dengan kepentingan rakyat. Hampir 28 juta rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi agar sektor awam terus berperanan menjayakan program transformasi yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Dr Ali yang mempunyai pengalaman berkomunikasi dengan sektor swasta sebelum ini membolehkan pentadbiran awam menerima pakai dan mengkaji budaya kerja sektor korporat di jabatan dan agensi kerajaan. Penambahbaikan khidmat sektor awam perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan negara berjaya mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Jika sebelum ini, beberapa rungutan dan kes terpencil membabitkan kelemahan pelaksanaan dasar, kehadiran tokoh berwibawa seperti Dr Ali tentunya akan membawa imej baru lebih positif. CUEPACS dalam reaksi segera turut menyokong pelantikan Dr Ali dengan harapan dapat memantapkan lagi sektor perkhidmatan awam, sekali gus menjayakan program transformasi nasional. Kerjasama pelbagai pihak di samping gandingan profesional dan pekerja sokongan jabatan kerajaan akan membentuk sistem pentadbiran yang lebih cekap dan berkesan. Akhirnya negara akan menikmati transformasi pentadbiran yang lebih dinamik. Tentunya Dr Ali tidak bersendirian untuk memajukan sektor awam.

Sumber : http ; //www.bharian.com.my/

Ahad, 17 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : Tindakan holistik bendung budaya samseng generasi muda


KEJADIAN lebih 30 remaja bersenjatakan kayu, besi, cota dan topi keledar menyerang pelajar dan guru SMK Cheras Perdana, Kajang, Jumaat lalu benar-benar menggemparkan warga sekolah berkenaan serta penduduk sekitarnya. Walaupun pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan menyifatkan ia kes terpencil, namun kejadian itu tidak sepatutnya berlaku di sekolah dan menjadikan pelajar sebagai mangsa. Sehingga semalam, polis menahan 20 remaja, termasuk pelajar untuk membantu siasatan. Serangan ala samseng dilakukan remaja berusia antara 15 hingga 21 tahun ternyata meresahkan banyak pihak, apatah lagi berlaku berhampiran kawasan sekolah. Berdasarkan bilangan mereka yang terbabit dalam serangan itu adalah ramai, kita percaya kejadian itu tidak berlaku secara spontan, sebaliknya dirancang rapi. Tentunya ada kaitan yang menjadi sebab dan akibatnya. Pergaduhan, apatah lagi membabitkan tindakan ganas sehingga mencederakan 10 pelajar dan seorang guru bukan budaya rakyat negara in, justeru tindakan  holistik perlu dilakukan untuk membendung gejala ini kerana ia melibatkan generasi muda yang menjadi aset negara pada masa depan. Walaupun kejadian itu sudah menjadi kes polis, namun kita harap pihak sekolah harus bertanggungjawab melakukan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Ia akan membolehkan pengurusan sekolah memperketat kawalan disiplin pelajarnya bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang, memandangkan antara suspek yang disiasat polis adalah beberapa pelajar sekolah itu sendiri. Mereka juga boleh meningkatkan kawalan keselamatan untuk melindungi warga sekolah berkenaan.

Ketika kita menyambut baik tindakan segera polis menyiasat dan memastikan golongan terbabit dikenakan tindakan tegas, kita juga berharap pelbagai pihak melapangkan fikiran mencari kaedah menangani isu disiplin yang semakin ketara sekarang. Tindakan undang-undang saja tidak memadai kerana isu jenayah kekerasan membabitkan gejala sosial memerlukan tindakan kemanusiaan dan pendekatan holistik. Mencari punca keganasan generasi muda wajar diutamakan kerana isu sosial bagaikan barah yang perlu ditangani sejak awal. Psikologi remaja, apatah lagi di kawasan urban di Lembah Klang memerlukan kajian menyeluruh. Masalah rumah tangga, krisis keyakinan dan ekonomi keluarga di kawasan pesat membangun memerlukan pendekatan menyeluruh. Keganasan dan tindakan samseng tidak datang dengan sendiri. Banyak faktor penyumbang. Ahli kaji sosial wajar memberi fokus apakah keganasan generasi muda ada kaitan dengan perubahan cara hidup yang kini didominasi persekitaran yang lebih kompleks? Memang kita akui bukan semua generasi muda terbabit dengan keganasan, namun tindakan segelintir pihak boleh menyebabkan masyarakat bimbang ia menular menjadi budaya baru yang menghakis nilai murni amalan masyarakat Malaysia yang menjadi amalan sejak dulu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 22 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : Pelajar gagal ke IPTA mampu cemerlang jika diberi peluang


SETIAP tahun ratusan ribu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memohon melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Namun, disebabkan tempat yang terhad, tidak semua pelajar ini terpilih untuk mengikuti program asasi dan diploma sebagai persediaan ke peringkat ijazah sarjana muda, walaupun mereka memenuhi kelayakan diperlukan. Tahun ini, hanya 46,698 daripada 218,931 lepasan SPM dan setaraf dengannya ditawarkan tempat program asasi dan diploma di 17 IPTA dan tiga Politeknik Premier. Dengan bilangan tempat yang terhad, ditambah pula persaingan sengit, sudah pasti ramai lepasan SPM yang tidak mendapat tawaran. Ini menyebabkan sebahagian daripada mereka terpaksa beralih kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Bagi yang kurang mampu, mengikuti pengajian Tingkatan Enam adalah satu-satunya peluang bagi mereka menyambung pelajaran. Menyedari kekangan itu, perlu ada pihak yang tampil membantu golongan ini, terutama di kalangan pelajar Melayu agar potensi yang ada tidak dipersiakan. Kita patut memuji langkah Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang menyediakan 10,000 tempat untuk program khasnya bagi pelajar terbabit. Di bawah program itu, pelajar mengikuti pengajian peringkat pradiploma, praperdagangan dan prasains selama 16 minggu di kampus cawangannya di seluruh negara. Mereka kemudian meneruskan pengajian di UiTM dan memilih bidang pengajian bersesuaian pada peringkat diploma dan ijazah selepas menamatkan program khas berkenaan.

Langkah UiTM ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu memperluaskan peluang pendidikan kepada semua pelajar berkelayakan dan berpotensi untuk berjaya agar mereka tidak ketinggalan. Seperti ditegaskan Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, kelmarin, kerajaan sedar persaingan sengit untuk memasuki IPTA. Sebenarnya pelajar luar bandar yang tercicir adalah disebabkan kekurangan kemudahan, di samping faktor lain, termasuk masalah keluarga. Usaha ini adalah sebahagian daripada program khas Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB) dengan kerjasama UiTM yang mana pelajar gagal ke IPTA dikenal pasti dengan tujuan membantu mereka melanjutkan pengajian. Usaha GDAB dan UiTM ini wajar dicontohi kerana masih ramai pelajar Melayu yang belum mendapat tempat di IPTA. Jika UiTM tidak mengambil inisiatif ini, pelajar Melayu terutama dari luar bandar tentunya tidak mampu membiayai pengajian di IPTS kerana kos pengajiannya yang terlalu tinggi. Tidak mustahil pelajar yang diberikan peluang menerusi program ini akan mencapai kejayaan cemerlang setanding pelajar lain, jika belajar bersungguh-sungguh. Apa yang penting mereka mesti diberi peluang dan pada masa sama, pelajar berkenaan harus membuktikan peluang itu tidak dipersiakan demi masa depan mereka dan keluarga.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 18 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : Kaedah 'buaian ke kerjaya' tambah baik sistem pendidikan


KERAJAAN sering memberi penekanan kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat. Bagi mencapai matlamat itu, beberapa institusi pengajian tinggi membuka peluang pengajian seluas-luasnya bagi membolehkan rakyat melanjutkan pengajian, walaupun mereka sudah menceburi bidang kerjaya. Pada peringkat kanak-kanak pula, kerajaan menyediakan pendidikan awal prasekolah yang sistematik seawal usia lima tahun, malah kini sudah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan yang terancang ini menjadikan Malaysia antara yang terbaik dalam menawarkan peluang pendidikan kepada rakyat dan menjadi contoh banyak negara membangun. Dalam usaha menambah baik sistem pendidikan negara, kerajaan kini merancang untuk memperkenal metodologi dari ‘buaian ke kerjaya’ yang diguna pakai di Amerika Syarikat, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di New York, kelmarin. Malaysia adalah negara pertama meninjau untuk menggunakan kaedah ini yang kini dilaksana di 27 negeri di Amerika Syarikat. Kaedah itu berjaya meningkatkan tahap kecemerlangan pelajar dari peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi. Menerusi pendekatan itu, setiap tahap perjalanan pelajaran murid diberikan pemerhatian dan pengesanan positif bagi memastikan mereka kekal dalam sistem pendidikan dan akhirnya menghindari keciciran. Pelajar dibantu untuk memenuhi petunjuk yang dikesan dalam bidang kritikal seperti matematik dan kemahiran membaca sepanjang tempoh perjalanan pendidikan mereka.


Metodologi menyeluruh ini diperkenalkan oleh Canselor State University of New York (SUNY), Dr Nancy Zimpher dan didapati amat berkesan. Ia mampu mengatasi masalah kekurangan minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berikutan kaedah pengajaran yang lemah, kekurangan bantuan dan penyeliaan profesional. Menerusi metodologi itu juga sekolah akan memberi lebih keutamaan kepada subjek berkenaan dan mengatasi masalah ketiadaan maklumat mengenai prospek kerjaya dalam bidang berkaitan sains serta prospek tidak menarik terhadap graduan kelayakan sains. Beberapa kelemahan dalam pembelajaran dan pengajaran yang dikenal pasti itu menyebabkan jumlah pelajar yang terbabit dalam mata pelajaran sains di negara ini tidak begitu memberangsangkan. Melalui kerjasama ini, Kuala Lumpur dan New York sudah tentu dapat menangani beberapa masalah yang ada persamaan dan belajar daripada kesilapan atau kejayaan sistem pendidikan negara masing-masing. Kita harap metodologi ini dapat membantu negara menambah baik sistem pendidikan sedia ada dan dapat memenuhi tuntutan kerjaya dengan lebih tepat pada masa depan, khususnya dalam menyediakan keperluan tenaga kerja mahir seperti yang diperlukan sektor industri tempatan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 4 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : Ibu bapa, penjaga jangan ambil mudah keselamatan anak


BELUM pun reda ingatan kita pada kes tragis Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang dilaporkan hilang dan kemudian dibunuh dengan kejam pada 1 Mac lalu, heboh pula kisah penculikan seorang pelajar keturunan Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, minggu lalu. Namun, nasib menyebelahi Nayati yang dibebaskan pagi kelmarin, 19 jam selepas ibu bapanya membayar sejumlah wang tebusan kepada penculiknya. Kita turut digemparkan dengan kes penculikan dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin pada 20 Ogos 2007 ketika berjalan bersendirian di pasar malam berdekatan rumahnya. Dirang juga diculik ketika berjalan kaki seorang diri untuk ke kedai. Dalam kes terbaru ini, Nayati diculik dalam perjalanannya ke sekolah di Mont Kiara, kira-kira 700 meter saja dari rumahnya. Berikutan kejadian itu, Kementerian Pelajaran dilaporkan akan mengeluarkan garis panduan baru bagi meningkatkan jaminan keselamatan pelajar di dalam dan luar waktu persekolahan.

Ketika mengumumkan langkah kementerian itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penculikan Nayati ketika dalam perjalanan ke sekolah menyedarkan beliau dan kementeriannya mengenai aspek keselamatan pelajar bukan saja perlu dititikberatkan dalam kawasan sekolah tetapi juga di luar sekolah. Kes penculikan kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat memandangkan ia sudah kerap berlaku. Cara kejadian itu berlaku juga sepatutnya menyedarkan ibu bapa bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan anak seharusnya diutamakan mereka tidak kira di mana saja mereka berada.

Oleh sebab kita tidak boleh menjangka di mana penjenayah tidak berhati perut ini akan muncul, semua pihak patut mengambil langkah berhati-hati dalam penjagaan anak mereka, terutama yang masih kecil. Kita bersetuju dengan tindakan pantas Kementerian Pelajaran untuk mengeluarkan garis panduan baru bagi meningkatkan langkah keselamatan pelajar di dalam dan luar sekolah, namun tanggungjawab lebih besar terletak di tangan ibu bapa dan penjaga. Sudah tentunya juga dalam keadaan itu, kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat.

Kerjasama anggota masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak berkuasa tempatan amat diperlukan bagi membantu polis menangani gejala penculikan kanak-kanak yang tidak berdosa ini. Berita mengenai kes kehilangan kanak-kanak itu seharusnya menjadi pengajaran kepada ibu bapa supaya tidak mengambil mudah soal keselamatan anak mereka.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 2 Mei 2012

ISU PEKERJA : Ketetapan gaji minimum untungkan pekerja, majikan


POLEMIK yang melingkari isu penetapan kadar gaji minimum pekerja swasta sejak lebih 10 tahun lalu akhirnya terungkai selepas kerajaan bersetuju menetapkannya pada kadar RM900 bagi Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak serta Labuan. Jika diteliti rasional keputusan yang dibuat kerajaan kelmarin, ternyata kadar gaji minimum yang ditetapkan ini dianggap paling munasabah dan satu opsyen yang memberikan situasi ‘sama-sama menang’ kepada majikan dan pekerja. Apa yang pasti, dasar baru ini berupaya mengubah taraf hidup kira-kira 3.2 juta pekerja swasta di seluruh negara untuk menikmati gaji pokok lebih tinggi berbanding sebelum ini, iaitu sekitar RM400 hingga RM500 sebulan. Dengan kadar gaji baru ini juga, secara prinsipnya kerajaan berjaya membantu mengeluarkan golongan ini daripada kepompong kemiskinan, iaitu berpendapatan di bawah RM750 sebulan dan kemiskinan tegar, iaitu pendapatan di bawah RM440 sebulan serta mengurangkan beban pekerja swasta yang sering terhimpit dengan kenaikan semasa harga barangan. Secara tidak langsung, ia juga akan mengangkat maruah pekerja swasta yang selama ini dipandang rendah oleh sesetengah pihak. Dalam hal ini, nasib pekerja swasta akan dilindungi menerusi Akta Perundingan Gaji Negara 2011 yang memastikan majikan mematuhi Perintah Gaji Minimum. Jika dikaji, dasar baru ini juga tidak menekan majikan kerana gaji minimum akan disemak setiap dua tahun untuk pengubahsuaian.


Oleh itu majikan perlu bersikap optimis terhadap dasar baru ini kerana ia diputuskan menerusi rundingan dan persetujuan pihak berkepentingan, khasnya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang menjadi anggota Jawatankuasa Teknikal Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) serta disesuaikan dengan garis panduan dikeluarkan Bank Dunia dalam penentuan kadar gaji minimum. Besar kemungkinan, akan ada pihak mempertikai dasar baru ini atau mengaitkannya sebagai muslihat politik kerajaan bagi menarik undi rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang. Sepatutnya, dalam hal seperti ini, kita perlu merujuk kajian Bank Dunia yang menyatakan kadar gaji di Malaysia hanya meningkat secara purata sebanyak 2.6 peratus setahun sejak 10 tahun lalu, jauh lebih rendah berbanding peningkatan Indeks Harga Pengguna. Keadaan ini akan menyebabkan kuasa beli pekerja menurun kerana kos sara hidup meningkat berlipat kali ganda. Justeru, apabila kerajaan melaksanakan dasar ini, ia sebenarnya menjadi persiapan ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi seperti yang digariskan dalam Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Sebagai komuniti penting dalam sistem ekonomi, majikan dan pekerja swasta mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar dalam membantu kerajaan menjayakan setiap dasar dan program yang bermatlamat memberi kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 23 April 2012

ISU BAHASA : Wajib bahasa ketiga di sekolah tambah kemahiran pelajar


MEMILIKI kemahiran tambahan sudah tentunya memberi kita kelebihan dalam bidang diceburi. Tanpa mengira apa profesion diceburinya, seseorang yang memiliki kemahiran tambahan di luar skop tugas atau tanggungjawabnya sudah pasti akan memberinya kelebihan berbanding orang lain. Kemahiran boleh diperoleh dalam pelbagai bentuk dan salah satu ialah penguasaan bahasa. Justeru, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggalakkan rakyat menguasai bahasa ketiga selain bahasa Melayu dan Inggeris, ia mempunyai tujuan sama. Dengan penguasaan bahasa asing yang bukan bahasa ibunda atau bahasa Inggeris, seseorang kakitangan kerajaan dan swasta, mahupun pelajar sudah tentu mampu memperoleh pencapaian lebih jauh berbanding orang lain. Penguasaan lebih daripada satu bahasa itu meningkatkan keyakinan diri dan menjadikan mereka orang yang berpotensi untuk mencapai kejayaan lebih besar. Selain bahasa Melayu dan Inggeris, antara bahasa dunia yang boleh dipelajari termasuk bahasa Mandarin, Arab, Perancis, Jepun atau Jerman.


Bahasa Mandarin dan Arab bukan saja digunakan oleh komuniti antarabangsa, malah kemahiran bertutur atau menulis kedua-dua bahasa berkenaan boleh memudahkan persaingan untuk mendapatkan pekerjaan dan menceburi perniagaan. Selain itu, penguasaan bahasa Arab akan juga memudahkan umat Islam memahami dan menghayati ayat suci al-Quran. Sudah tentunya seseorang yang boleh menguasai pelbagai bahasa menjadikannya lebih hebat ketika menghadapi persaingan dalam dunia pekerjaan atau perniagaan. Ketika menyarankan perkara itu kelmarin, Perdana Menteri memberi contoh bahawa dua anaknya kini sedang mempelajari Mandarin dan Arab. Seorang daripada mereka yang menuntut di sebuah universiti di Amerika Syarikat turut mengambil satu kertas pilihan, iaitu bahasa Mandarin. Pada cuti semester lalu, anak Perdana Menteri dihantar ke Beijing University of Foreign Studies di China untuk mendalami bahasa Mandarin, manakala seorang lagi mengambil kertas bahasa Arab. Kita yakin bahawa kemampuan mereka menguasai kemahiran bahasa itu akan memperlengkap lagi ilmu pengetahuan mereka di samping bidang pengkhususan diambil. Kemahiran untuk berbahasa Inggeris, Arab, Mandarin mahupun bahasa lain dunia bagaimanapun tidak harus menyebabkan kita alpa dengan bahasa Melayu atau memandang remeh terhadap bahasa Melayu. Ia seharusnya menjadi nilai tambah kepada kita, bukan sebaliknya. Kita berharap generasi muda di negara ini akan menyahut cabaran ini dan meningkatkan kemahiran mereka dalam bahasa ketiga seperti Mandarin dan Arab seperti disarankan oleh Perdana Menteri. Mungkin elok rasanya diwajibkan bahasa ketiga pada peringkat sekolah rendah atau menengah bagi membolehkan pelajar mengetahui lebih banyak bahasa dan buat permulaan bolehlah ditawarkan bahasa yang ada guru mahir dalam bahasa itu sendiri seperti bahasa Mandarin dan Arab.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 20 April 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Sekat lambakan gajet seludup demi keselamatan pengguna


PENDEDAHAN Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai lambakan peralatan telekomunikasi, terutama telefon bimbit seludup atau 'underwater' yang tidak memenuhi piawaian keselamatan teknikal antarabangsa di negara ini tidak boleh dipandang ringan. Pendedahan itu sepatutnya membuka mata, sekali gus menyedarkan masyarakat serta penguat kuasa agar melakukan tindakan segera bagi menyekat gejala tidak sihat itu. Umum mengetahui telefon bimbit atau gajet komunikasi canggih lain seperti komputer riba dan komputer tablet kini sudah menjadi keperluan dalam kehidupan seharian. Ia bukan lagi lambang kemewahan pengguna. Boleh dikatakan setiap isi rumah di negara ini memiliki lebih daripada satu alat atau gajet komunikasi kerana harganya yang berpatutan dan mampu dimiliki, termasuk pelajar sekolah dan penuntut universiti. Disebabkan permintaannya yang tinggi itu, kedai menjual gajet komunikasi canggih kini tumbuh seperti cendawan terutama di pusat beli-belah di bandar utama seluruh negara. Kewujudan kedai menjual gajet dan aksesori komunikasi ini menjadi satu fenomena kerana ia menjanjikan pulangan tinggi. Keadaan itu memungkinkan alat yang dijual itu diseludup masuk ke negara ini termasuk yang tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan dengan tujuan mengaut keuntungan berlipat ganda. Peralatan yang tidak memenuhi piawaian antarabangsa boleh menimbulkan risiko bahaya kepada pengguna seperti meletup atau terbakar ketika digunakan.

Kita pernah dikejutkan dengan kejadian seorang pelajar kolej nyaris rentung apabila telefon bimbit yang sedang dicas meletup lalu terbakar dalam kejadian di rumahnya di Kampung Bendang Perang, Jabi, Alor Setar pada 21 Februari 2007. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, Norhazwani Johari pelajar Kolej Polytech MARA Kuala Lumpur, melecur empat jari dan telapak tangan kanannya. Setahun sebelum itu, pada 28 Januari 2004, bekas penyanyi Kumpulan Olan, Mohamed Radzuan Yasin melecur di pinggang selepas telefon bimbitnya yang sedang dicas tiba-tiba meletup di rumahnya di Kampung Beting, Kuala Pilah. Kedua-dua kejadian ini seharusnya menimbulkan kesedaran di kalangan pengguna untuk mengelak mengguna peralatan komunikasi yang diragui keselamatannya, sama ada yang diseludup atau dijual di bawah paras harga semasa. Sudah sampai masa kita sebagai pengguna, bukan saja perlu bijak dalam membeli gajet telekomunikasi ini, tetapi juga perlu teliti dalam soal keselamatan dan piawaian bagi mengelak kemalangan atau sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Dalam hal ini, kementerian dan agensi berkaitan perlu meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan hanya gajet telekomunikasi memenuhi piawaian keselamatan saja dibawa masuk ke negara ini sebagai langkah melindungi rakyat. Adalah sukar bagi rakyat biasa untuk mengenal pasti mana satu gajet telekomunikasi tulen yang selamat digunakan atau sebaliknya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 15 April 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Apabila polis bertindak


BETUL, pasukan polis yang berfungsi menguatkuasakan undang-undang tidak boleh tergelincir daripada nilai asas, misi dan matlamatnya untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara. Dalam keadaan apa juga sekali pun ciri berkenaan perlu dipertahankan. Ini adalah cabaran paling besar dihadapi anggota dan pegawai polis zaman ini kerana tugas mereka untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara sering disalahertikan.

Hari ini tindakan mereka menenteramkan keadaan, contohnya untuk meleraikan perhimpunan ditakrif sebagai berlaku ganas, tidak berperikemanusiaan, melanggar hak asasi dan sebagainya.

Suasana ini memaksa anggota dan pegawai polis membezakan garisan sempadan nipis antara dua kumpulan yang ditakrif melanggar undang-undang – penjenayah dan mereka yang berdemonstrasi dengan niat tertentu, walaupun kedua-duanya boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada majoriti rakyat.

Senario ini tetap berlaku walaupun pasukan polis di negara ini sudah melalui proses kemajuan daripada model kepolisian tradisi kepada model kepolisian masyarakat yang sudah tentunya untuk memastikan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan.

Rakyat juga sepatutnya berubah daripada terlalu mengharapkan polis mengawal keselamatan kepada bersama-sama membantu polis untuk menjaga keamanan. Oleh itu, sewajarnya rakyat menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Betul, kerajaan tidak mahu pasukan polis bersikap kasar ketika menghadapi rakyat dalam keadaan apa sekali pun.

Ini terbukti daripada penegasan Datuk Seri Najib Razak yang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjamin keselamatan awam dan bijak menyeimbangi antara hak asasi individu dengan kepentingan masyarakat. Apa dinyatakan Perdana Menteri itu selari dengan nilai utama bidang kepolisian yang menjadi faktor penting rakyat meletakkan harapan tinggi kepada pasukan polis untuk menjaga keselamatan setiap rakyat.

Rakyat tidur lena tanpa perlu bimbang terhadap keselamatan negara atau mereka bebas ke mana saja kerana yakin keselamatan mereka terjamin. Rakyat yang rasional sepatutnya faham misi polis dan yakin anggota dan pasukan polis bersikap adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang asalkan mereka juga akur kepada peraturan dan undang-undang.

Bagi polis, mereka tahu kunci mencapai matlamat dan memenuhi misi ialah dengan menyempurnakan hasrat rakyat. Namun, setiap anggota dan pegawai polis juga ada tanggungjawab mereka terhadap golongan yang cuba menggugat keamanan. Mereka juga menilai tindakan individu dan kumpulan yang relevan atau tidak relevan dengan penguatkuasaan undang-undang.

Rakyat perlu faham, di mana-mana negara sekali pun setiap anggota dan pegawai polis dilatih mengenai cara dan taktik penyelesaian masalah ketika menghadapi senario penguatkuasaan undang-undang. Jika ditekan dengan provokasi berterusan hingga menimbulkan ketegangan, penyelesaian perlu dicari. Satu keputusan yang wajar akhirnya terpaksa juga diambil.

Walaupun sentiasa mengambil tindakan berhemah, pasukan polis juga perlu menilai keadaan semasa yang boleh berubah pada bila-bila masa. Keadaan ini mungkin memaksa pasukan polis mengikut rentak perubahan berkenaan. Dalam keadaan terdesak, macam-macam boleh berlaku.

Polis bukan saja dilatih menyelesaikan masalah tetapi juga dilatih mempertahan keselamatan diri sendiri. Paling baik. Jauhilah daripada individu atau kumpulan yang boleh mencetuskan ketenteraman awam walau apa pun sekali alasan atau motif sesuatu perhimpunan yang ada kaitannya dengan kepentingan politik.

Untuk menjamin kesejahteraan, hubungan polis dan masyarakat amat penting dan perlu wujud semua peringkat. Masing-masing perlu memahami hasrat antara satu dengan lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 14 April 2012

ISU GLOBAL : Hubungan dua hala KL, London perlu terus dipertingkat


PERSAHABATAN Malaysia dan Britain yang agak terabai selama hampir 20 tahun kini diperbaharui semula dan meneroka era baru sempena lawatan Perdana Menteri Britain, David Cameron minggu ini. Malaysia dan Britain mempunyai jalinan perhubungan yang lama, malah sejak sebelum merdeka lagi. Justeru, tiada sebab kenapa hubungan akrab itu tidak dapat diteruskan demi kepentingan kedua-dua negara.

Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Britain tahun lalu, diikuti lawatan balas rakan sejawatannya, Khamis lalu sudah tentunya dapat menjurus ke arah membetulkan hubungan baik yang agak terganggu sedikit sebelum ini. Umum mengetahui bahawa kedua-dua negara mempunyai hubungan rapat ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Britain ketika itu, Margaret Thatcher pada 1980-an dan awal 1990-an sehinggakan model dasar penswastaan yang diperkenalkan pada zaman Thatcher diguna pakai di negara ini. Dasar itu ternyata dapat mengurangkan perbelanjaan awam dan menjadikan sektor perkhidmatan utiliti lebih cekap dan berkesan.

Selain itu, Britain juga antara destinasi pengajian tinggi pilihan bagi kebanyakan pelajar Malaysia, sama ada yang ditaja kerajaan mahupun yang belajar secara persendirian. Seperti ditegaskan Perdana Menteri, kini ada kira-kira 54,000 pelajar Malaysia yang menyatakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dan mereka kini mempunyai pilihan untuk melakukan demikian di universiti serta kolej cawangan Britain di negara ini.

Dari segi hubungan ekonomi, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju untuk meningkatkan lagi perdagangan dua hala dan menggandakannya kepada lapan bilion pound (RM39 bilion) menjelang 2016. Pada tahun lalu, Britain adalah rakan dagangan keempat terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan kira-kira RM9 bilion. Oleh kerana kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan bahawa tempoh yang dianggap sebagai terabai itu sudah berlalu, usaha kini perlu ditumpukan untuk memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, termasuk dalam isu keselamatan antarabangsa dan serantau.

Britain juga bersepakat untuk menentang keganasan dan gerakan ekstremisme global demi keamanan sejagat serta menolak tanggapan segelintir pihak yang mengaitkan Islam dengan keganasan. Kita berharap dengan termeterainya keyakinan baru dalam hubungan dua hala ini, Malaysia dan Britain akan dapat bekerjasama dalam banyak lagi bidang kepentingan bersama, termasuk latihan anggota keselamatan dan mengawal jenayah merentasi sempadan. Semoga dengan perkembangan terbaru ini, hubungan dua hala antara Malaysia dengan Britain akan terus terpelihara dan tidak terabai lagi pada masa akan datang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 29 Mac 2012

ISU SOSIAL : Caruman PERKESO langkah positif lindungi individu bekerja sendiri


BANCI Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci) 2010 menunjukkan jumlah penduduk negara ini seramai 28.3 juta orang berbanding 23.3 juta pada 2000. Daripada jumlah itu, sebanyak 14.6 juta adalah lelaki, manakala 13.7 juta perempuan. Bilangan itu mungkin berubah pada tahun ini, namun daripada statistik itu menunjukkan bilangan wanita di negara ini tidak jauh berbeza dengan lelaki. Menurut Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, ketika ini hanya 46 peratus golongan wanita di negara ini yang berkerjaya, manakala bakinya sekadar menjadi tenaga kerja terpendam seperti menjadi suri rumah, pelajar dan warga emas. Namun begitu, ada dalam kalangan suri rumah ini yang menjadi usahawan kecil-kecilan, terbabit dalam perniagaan jualan langsung atau dalam talian, sekali gus memiliki pendapatan sendiri untuk menampung kehidupan seharian sama ada untuk diri sendiri atau keluarga. Bagaimanapun, mereka yang bekerja sendiri ini memang diketahui tidak menerima tanggungan insurans atau keselamatan yang sewajarnya seperti orang yang bekerja makan gaji kerana tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagi yang makan gaji, caruman KWSP setiap bulan adalah untuk simpanan hari tua bagi menjamin masa depan lebih baik selepas bersara. Potongan PERKESO pula adalah jaminan insurans untuk diri dan waris jika berlaku kemalangan kepada diri mereka sama ada ketika di tempat kerja atau dalam perjalanan pergi dan pulang tempat kerja. Justeru, cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk membolehkan suri rumah dan mereka yang bekerja sendiri membuat caruman PERKESO adalah satu langkah yang positif. Walaupun modul dan mekanisme caruman itu belum diperincikan, sekurang-kurangnya cadangan itu dapat menggalakkan rakyat, terutama yang bekerja sendiri memikirkan satu bentuk perlindungan kewangan untuk diri mereka sendiri jika berlaku perkara luar jangka atau musibah yang menimpa mereka. Isu yang mungkin timbul susulan daripada cadangan ini ialah adakah golongan ini rela membuat caruman PERKESO kerana ia membabitkan pendapatan mereka. Mungkin isu seperti ini yang perlu diambil kira pihak kementerian kerana pada prinsipnya, kita tidak mahu cadangan ini dianggap sebagai paksaan kepada rakyat untuk menyerahkan sebahagian pendapatan mereka kepada kerajaan kerana pada masa sama, ramai rakyat yang bekerja sendiri mengelak daripada membayar cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 22 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : Pelajar gagal SPM tidak harus dipinggirkan


MUNGKIN ramai yang tidak mendapat gambaran sebenar prestasi keseluruhan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, kelmarin. Dengan melihat kepada prestasi Gred Purata Nasional (GPN), kita tidak mungkin mengetahui berapa ramai calon yang tidak cemerlang, malah jauh sekali untuk mengetahui bilangan pelajar gagal. Tambahan pula boleh dikatakan semua media kelmarin hanya melaporkan pencapaian pelajar cemerlang, terutama yang memperoleh keputusan Gred Cemerlang Tertinggi A+, yang berjumlah seramai 559 pelajar daripada 468,808 calon yang menduduki peperiksaan itu. Setiap kali keputusan diumumkan, tidak kira apa juga peperiksaan, sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau SPM jarang sekali kita memberi perhatian kepada bilangan calon yang tidak cemerlang, apatah lagi mereka yang gagal. Memang tidak salah bagi mana-mana pihak untuk meraikan kejayaan calon cemerlang. Malah bagi Kementerian Pelajaran sendiri kejayaan pelajar cemerlang itu membuktikan keberkesanan sistem pendidikan kebangsaan yang dilaksanakan selama ini. Melihat kepada masa depan pelajar cemerlang, mereka sudah pasti mempunyai peluang cerah untuk mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk universiti terkenal di luar negara. Begitu juga dengan pelajar yang baik dan sederhana, walaupun peluang mereka ini tidak secerah pelajar cemerlang tetapi setidak-tidaknya mereka layak memasuki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Pelajar dalam golongan ini tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada keluarga, mahupun kerajaan.

Berbeza dengan pelajar yang tidak termasuk dalam golongan itu, terutama calon gagal. Biasanya golongan inilah yang akan menghadapi masalah mendapat tempat di institusi pengajian tinggi. Dengan keputusan SPM yang lemah, mereka juga pastinya sukar memperoleh sebarang pekerjaan. Maka, akan wujudlah masalah pengangguran, yang akhirnya mereka terjerumus ke dalam gejala sosial. Oleh itu, sesuatu harus dilakukan agar lepasan SPM yang gagal tidak terus terpinggir dan membuang masa tanpa melakukan sebarang pekerjaan pada usia muda. Kita mesti menyedarkan mereka bahawa kegagalan di peringkat SPM bukan penamat kepada segala peluang untuk meneruskan pelajaran. Tentunya ada di kalangan mereka berbakat dan cenderung dalam bidang lain seperti kemahiran, vokasional, teknikal dan pelbagai bidang lain yang turut menjanjikan masa depan yang cerah. Mereka mesti sedar bahawa bidang kemahiran kini banyak disediakan kerajaan menerusi agensinya seperti kolej di bawah MARA, kolej komuniti dan Institut Kemahiran Belia. Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak, tidak kira sama ada kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu untuk memastikan tiada pelajar tercicir hanya disebabkan tidak mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 15 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : Teknik mengajar negara maju wajar dicontohi ubah sistem pendidikan


SARANAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya sistem pendidikan negara dirombak sememangnya tepat pada masanya, seiring dengan arus perubahan dan pemodenan yang dialami negara. Sudah tentu ia sejajar dengan proses transformasi negara bagi melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dan mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran akan datang. Sistem yang ada sekarang yang mengkehendaki pelajar menghafal mata pelajaran dan mengalihkannya ke kertas peperiksaan sudah lapuk ditelan zaman.

Sistem tersebut tidak menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif seperti yang diamalkan di pusat pengajian tinggi di negara maju. Seperti pernah dikatakan bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku Aziz sistem pendidikan yang baik haruslah menerapkan tiga nilai, iaitu kebolehan menulis dan membaca (literacy), kebolehan mengira (numeracy) dan ilmu berfikir (operacy). Kita bersetuju dengan pandangan Ungku Aziz bahawa dalam usaha mengkaji semula sistem pendidikan itu, adalah wajar kita melihat pengalaman negara lain. Walaupun tidak perlu meniru sepenuhnya, namun mungkin teknik mengajar yang digunakan negara maju yang terbukti berkesan boleh ditimba sebagai contoh dalam mewujudkan daya pemikiran kreatif dalam kalangan pelajar kita.

Kita mengakui walaupun sistem pendidikan negara sudah banyak memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kejayaan Malaysia, namun dunia pada masa depan adalah berbeza dan sebagai negara membangun, kita perlu membuat persediaan ke arah itu. Oleh itu penyediaan sumber manusia ke arah pencapaian Wawasan 2020 sudah pasti memerlukan pembaharuan dalam sistem pendidikan terutama cara kita belajar dan mengajar. Seperti ditegaskan Perdana Menteri, kira-kira 70 hingga 80 peratus jenis pekerjaan pada masa depan masih belum wujud sekarang. Dalam hubungan ini kita memerlukan kaedah bagaimana untuk menggunakan ilmu pengetahuan yang ada untuk menyelesaikan masalah dan mengamalkan pemikiran di luar kotak, yang bukan amalan rutin biasa.

Justeru Projek I-Think yang dilaksanakan kerajaan untuk memupuk kemahiran pemikiran tinggi dan inovasi pada peringkat sekolah rendah dan menengah seharusnya diperluaskan lagi bagi meliputi semua sekolah dalam masa terdekat. Menerusi program seumpama, adalah diharapkan keupayaan murid untuk memahami sesuatu konsep dan mengaplikasinya dapat membantu mereka menghadapi apa jua cabaran pada masa depan dengan lebih yakin tanpa sebarang keraguan. Ia adalah permulaan penting dalam menaikkan mutu sistem pendidikan negara sejajar dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 12 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : Menambah baik profesion perguruan mampu tingkat sistem pendidikan


SISTEM pendidikan negara adalah tulang belakang kepada pembangunan sesebuah negara. Tanpanya negara pasti sukar untuk melahirkan generasi berwibawa dan paling penting modal insan berkualiti sebagai tuntutan memenuhi keperluan negara di samping menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik pada masa kini serta masa depan. Sejak Akta Pelajaran 1961 dikuatkuasakan, banyak usaha dilakukan kerajaan bagi menaik taraf dan meningkatkan mutu sistem pendidikan. Seiring dengan usaha itu, jutaan ringgit dilaburkan oleh kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan negara dapat mencapai tahap yang dikehendaki bersesuaian dengan keperluan semasa dan peredaran zaman. Terbaru, Kementerian Pelajaran mengajak semua pihak yang terbabit dalam bidang pendidikan memberi idea terbaik bagi membantu meningkatkan sistem pendidikan negara. Bagi mencapai tujuan itu, program Sesi Dialog Pendidikan Kebangsaan (SDPK) diperkenalkan dan akan dimulakan mulai bulan depan bagi membolehkan buah fikiran untuk meningkatkan sistem pendidikan dikumpulkan. Kita amat mengalu-alukan usaha itu namun pada masa sama berharap, segala isu atau masalah melanda dunia pendidikan negara, khasnya berkaitan isu perguruan dapat diselesaikan kerana dalam sistem pendidikan, aspek yang paling penting perlu diberi keutamaan ialah pembangunan kemampuan tenaga pengajar iaitu guru.

Ketika ini profesion perguruan negara diselimuti dengan pelbagai kemelut dan permasalahan yang tidak kurang besarnya seperti isu kenaikan pangkat, jawatan dan gaji di samping guru dibebani pelbagai tugas tambahan seperti terpaksa melakukan kerja perkeranian yang membebankan mereka melaksanakan amanah utama iaitu mengajar dan mendidik. Semua kelemahan ini menjadi duri dalam daging petugas perkhidmatan perguruan walaupun tidak dinafikan usaha menambahbaik perkhidmatan perguruan sering diberi tumpuan kerajaan. Justeru, bagi memperbaiki kekurangan yang wujud dalam sistem pendidikan negara ketika ini, adalah penting bagi pihak yang terbabit dalam bidang pendidikan untuk mengambil peluang mengemukakan pandangan bernas, idea yang mendahului zaman dan paling penting ia bersifat malar segar untuk tempoh jangka panjang. Ini bermakna, sebarang dasar baru yang dirangka, dirancang dan akan dilaksanakan adalah hasil daripada percambahan idea dalam SDPK demi meningkatkan mutu pendidikan negara. Oleh itu perlu dipastikan pelaksanaannya nanti bukan sekadar melepaskan batok di tangga atau hanya separuh jalan sifatnya. Kerajaan perlu menyedari bahawa rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap sistem pendidikan negara dalam melahirkan pelajar, generasi dan modal insan yang terangkum bagi memenuhi aspirasi negara menjadi negara maju menjelang 2020.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/