Selasa, 22 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : Pelajar gagal ke IPTA mampu cemerlang jika diberi peluang


SETIAP tahun ratusan ribu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memohon melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Namun, disebabkan tempat yang terhad, tidak semua pelajar ini terpilih untuk mengikuti program asasi dan diploma sebagai persediaan ke peringkat ijazah sarjana muda, walaupun mereka memenuhi kelayakan diperlukan. Tahun ini, hanya 46,698 daripada 218,931 lepasan SPM dan setaraf dengannya ditawarkan tempat program asasi dan diploma di 17 IPTA dan tiga Politeknik Premier. Dengan bilangan tempat yang terhad, ditambah pula persaingan sengit, sudah pasti ramai lepasan SPM yang tidak mendapat tawaran. Ini menyebabkan sebahagian daripada mereka terpaksa beralih kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Bagi yang kurang mampu, mengikuti pengajian Tingkatan Enam adalah satu-satunya peluang bagi mereka menyambung pelajaran. Menyedari kekangan itu, perlu ada pihak yang tampil membantu golongan ini, terutama di kalangan pelajar Melayu agar potensi yang ada tidak dipersiakan. Kita patut memuji langkah Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang menyediakan 10,000 tempat untuk program khasnya bagi pelajar terbabit. Di bawah program itu, pelajar mengikuti pengajian peringkat pradiploma, praperdagangan dan prasains selama 16 minggu di kampus cawangannya di seluruh negara. Mereka kemudian meneruskan pengajian di UiTM dan memilih bidang pengajian bersesuaian pada peringkat diploma dan ijazah selepas menamatkan program khas berkenaan.

Langkah UiTM ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu memperluaskan peluang pendidikan kepada semua pelajar berkelayakan dan berpotensi untuk berjaya agar mereka tidak ketinggalan. Seperti ditegaskan Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, kelmarin, kerajaan sedar persaingan sengit untuk memasuki IPTA. Sebenarnya pelajar luar bandar yang tercicir adalah disebabkan kekurangan kemudahan, di samping faktor lain, termasuk masalah keluarga. Usaha ini adalah sebahagian daripada program khas Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB) dengan kerjasama UiTM yang mana pelajar gagal ke IPTA dikenal pasti dengan tujuan membantu mereka melanjutkan pengajian. Usaha GDAB dan UiTM ini wajar dicontohi kerana masih ramai pelajar Melayu yang belum mendapat tempat di IPTA. Jika UiTM tidak mengambil inisiatif ini, pelajar Melayu terutama dari luar bandar tentunya tidak mampu membiayai pengajian di IPTS kerana kos pengajiannya yang terlalu tinggi. Tidak mustahil pelajar yang diberikan peluang menerusi program ini akan mencapai kejayaan cemerlang setanding pelajar lain, jika belajar bersungguh-sungguh. Apa yang penting mereka mesti diberi peluang dan pada masa sama, pelajar berkenaan harus membuktikan peluang itu tidak dipersiakan demi masa depan mereka dan keluarga.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan