Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID
PADA 23 hingga 27 Mei ini akan diadakan Program Himpunan
Jutaan Belia di Putrajaya. Program itu adalah sempena sambutan Hari Belia
Negara yang telah disambut pada 15 Mei lalu.
Pada tahun lalu, Program Himpunan Sejuta Belia telah
mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dan sambutan perhimpunan kali ini
dijangka akan lebih hebat kerana pelbagai acara dan aktiviti menarik sudah
diatur untuk mereka. Lebih daripada 500 aktiviti akan diadakan pada program
kali ini berbanding 200 aktiviti pada tahun lepas.
Statistik terkini menunjukkan golongan belia membentuk 40
peratus (11.9 juta) daripada lebih 29 juta penduduk negara ini. Sejak dulu
lagi, belia adalah golongan yang menjadi fokus dalam setiap kerangka
pembangunan nasional. Ini disebabkan golongan belia adalah pewaris dan penentu
kelangsungan masa depan negara. Mereka adalah aset penting yang menjadi
penggerak dan pemacu kepada kemajuan dan pembangunan negara.
Justeru, segala potensi dan bakat yang ada pada belia perlu
digilap dan dibangunkan secara holistik supaya negara dapat menyediakan modal
insan yang berketerampilan, kreatif dan inovatif. Ini penting agar negara
berupaya bersaing dengan penuh keyakinan di pentas antarabangsa.
Mengapa pembangunan bakat belia begitu penting kepada
negara? Ada banyak hujah yang boleh diberikan tetapi penulis ingin mengemukakan
empat sebab utama.
Pertama, belia memainkan peranan penting bagi mencapai
hasrat Wawasan 2020 iaitu menjadi sebuah negara maju setanding dengan
negara-negara maju yang lain. Hasrat Malaysia untuk mencapai status negara maju
berpendapatan tinggi (2020) hanya tinggal lapan tahun lagi. Ia banyak
bergantung kepada keupayaan rakyat, khususnya generasi muda (belia) untuk
merealisasikan hasrat itu.
Untuk menjayakannya maka negara memerlukan modal insan yang
mahir, berpengetahuan tinggi, berbakat, kreatif dan berinovasi. Sudah tentu
sebahagian besar modal insan ini harus datangnya dari tenaga belia yang
berpotensi dan berbakat.
Isunya ialah setakat ini negara hanya memiliki 25 peratus
sahaja tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Ia tidak selari
dengan keperluan ekonomi abad ke-21 yang menekankan penguasaan kemahiran yang
tinggi, penguasaan teknologi maklumat, kreativiti dan inovasi. Ia boleh
dianggap sebagai cabaran kritikal dalam menjayakan hasrat negara menjadi negara
maju berpendapatan tinggi.
Kedua, belia penting untuk menjayakan agenda transformasi
nasional, khususnya Program Transformasi Ekonomi (ETP). Transformasi ekonomi
yang memberi fokus kepada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) memerlukan
bakat-bakat muda yang dinamik untuk memenuhi pasaran kerja dalam membangunkan
NKEA terbabit. Modal insan yang diperlukan bukan sahaja berteraskan ilmu
pengetahuan tetapi mesti juga mempunyai bakat dalam aspek inovatif dan
kreativiti yang tinggi.
Ketiga, golongan belia penting untuk melonjak daya saing
negara di peringkat global. Ketika berlakunya krisis kewangan Asia tahun
1997-1998, negara telah kehilangan daya saing. Ini menyebabkan kedudukan kita
sebagai peneraju ekonomi di rantau ini terhakis. Selain itu, negara juga masih
kurang dari segi kreativiti dan inovasi, terutama inovasi dalam sektor
perindustrian. Ramai tenaga kerja mahir, berbakat dan berpengetahuan tinggi
berhijrah keluar sehingga meletakkan situasi modal insan negara berada ke tahap
yang kritikal.
Perlu diingat bahawa daya saing di pentas global bukan
sahaja mengenai soal ekonomi tetapi juga merangkumi sektor-sektor lain seperti
saingan dalam bidang sukan, industri muzik dan sebagainya. Bidang-bidang
terbabit memerlukan penyerlahan bakat golongan belia yang dinamik.
Keempat, pembangunan bakat belia penting untuk melahirkan
kepimpinan bertaraf dunia. Kelangsungan dan kekuatan negara di persada
antarabangsa amat bergantung pada kemampuan kepemimpinan untuk berpartisipasi
secara aktif di peringkat global.
Generasi yang lemah, sama ada lemah dari segi pemikiran,
lemah fizikal, lemah tindakan, lemah akal budi, buruk moral dan tidak berbakat
akan menyebabkan kepemimpinan negara menjadi lemah dan boleh menghancurkan
negara.
Nyata sekali bahawa usaha membangun potensi dan bakat belia
di negara ini menjadi begitu penting bagi menjayakan hasrat, visi dan misi
negara. Menyedari hakikat inilah maka Datuk Seri Najib Tun Razak melihat
pembangunan bakat belia menjadi elemen penting bagi menjayakan agenda
transformasi yang diperkenalkannya.
Najib melihat belia bukan sahaja perlu menguasai ilmu
pengetahuan tetapi perlu juga membangunkan bakat yang ada pada mereka secara
sistematik dan terarah. Penguasaan ilmu yang disertai dengan keterampilan bakat
akan dapat menyerlahkan potensi diri belia sama ada dari segi kepemimpinan,
menyumbang idea dan penghasilan reka cipta yang bersifat kreatif dan inovatif.
Pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan untuk memajukan belia
di negara ini. Selain pemerkasaan pendidikan, pelbagai usaha inovatif
diperkenalkan Najib untuk membantu mempertingkatkan kemahiran dan bakat belia.
Di bawah Bajet 2012 kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk program Strategic
Action for Youth (SAY 1Malaysia) bertujuan memberikan latihan dan kemahiran
kepada belia yang tidak lagi meneruskan pengajian mereka.
Untuk menggalakkan golongan muda terlibat dalam industri
kreatif, kerajaan telah menubuhkan MyCreative Venture Capital dengan peruntukan
RM200 juta.
Pada Jun 2011 kerajaan telah melancarkan Skim Latihan
1Malaysia (SLIM) yang bertujuan memberi latihan dan bimbingan kepada para
siswazah menganggur bagi menyediakan diri mereka menghadapi dunia pekerjaan.
Berdasarkan program itu, siswazah yang dipilih akan diberi
latihan dan bimbingan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selama setahun
untuk mempersiapkan mereka mencari pekerjaan. SLIM yang dikendalikan oleh
Kementerian Sumber Manusia diharap dapat membangun bakat kerjaya serta
meminimumkan peratusan siswazah menganggur di negara ini.
Penubuhan Talent Corporation (TalentCorp) seperti yang
dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) juga dapat membantu
membangun bakat yang ada pada pekerja muda di negara ini. TalentCorp akan
memberi fokus khusus kepada modal insan berkemahiran tinggi. Ia akan
bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan sektor industri bagi
memastikan negara mempunyai tenaga pekerja yang berkemahiran dan memenuhi
keperluan pasaran.
Kesimpulan, pembangunan bakat belia adalah sesuatu yang
sangat penting buat negara terutama dalam menjayakan agenda transformasi
nasional. Justeru, segala potensi dan bakat yang ada pada golongan ini perlu
dibangunkan, diasuh, dibimbing dan diberi latihan secukupnya supaya mereka
menjadi modal insan berkualiti, dinamik dan mampu menghadapi cabaran.
PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan