Selasa, 22 Mei 2012

ISU SAINS & TEKNOLOGI : Ancaman siber semakin serius


KUALA LUMPUR : Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata insiden siber kini menjadi ancaman serius terhadap pembangunan sosioekonomi dan keselamatan negara.

Daripada hanya 2,123 insiden pada 2008, aduan yang diterima oleh CyberSecurity Malaysia telah meningkat kepada 8,090 pada 2010 dan 15,218 tahun lepas, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar pada Sidang Kemuncak Keselamatan Maklumat Kedua, di sini hari ini.

Beliau berkata insiden ancaman siber di Malaysia akan menjejaskan kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi negara.

Oleh itu beliau menggesa organisasi tempatan supaya bersedia menangani kebimbangan dalam keselamatan maklumat, dan pada masa yang sama menggunakan teknologi itu untuk berkembang.

"Internet dan teknologi maklumat kini merupakan gergaji dua mata, menawarkan peluang pembangunan dan pada masa yang sama, peluang untuk melakukan jenayah," katanya.

Beliau yang memberikan contoh pengkomputeran awan, berkata walaupun masa depan ekonomi Asia nampak cerah, isu keselamatan tidak ditangani dengan baik bagi membolehkan lebih banyak syarikat yakin untuk beralih kepada pengkomputeran awan.

Kebimbangan terhadap keselamatan ini menjejaskan kecerdasan dalam perniagaan dan pengurangan kos dalam organisasi, katanya.

"Oleh itu, sektor awam dan swasta perlu berhati-hati terhadap penyimpanan data semasa menggunakan pengkomputeran awan dan bekerja rapat dengan vendor bagi memastikan kehilangan data dapat dihindari.

Sementara itu, Ongkili berkata hanya 60 daripada 400 organisasi yang dikenal pasti sebagai Infrastruktur Kritikal Nasional (CNII) negara memperoleh sijil ISO/IEC 270001 Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS).

Angka itu jauh daripada memuaskan dan halangan untuk organisasi mematuhinya ialah akibat sikap endah tak endah serta sikap "tidak apa, katanya.

ISMS ialah piawaian yang diperakui di peringkat antarabangsa bagi pengurusan maklumat, yang menyamai standard pengurusan kualiti ISO. Ia merupakan inisiatif CyberSecurity menerusi Dasar Keselamatan Siber Negara yang diperkenalkan pada 2006. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan