Khamis, 14 Jun 2012

ISU SOSIAL : Pemurnian makna perkahwinan



Oleh : DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

Berakhirnya cuti sekolah beberapa hari lalu maka berakhirlah seketika riuh-rendah kenduri-kendara perkahwinan pasangan mempelai yang diraikan. Namun bukan hanya majlis walimah pelbagai bentuk yang mewarnai musim cuti sekolah, masyarakat turut disajikan dengan pelbagai berita sensasi melingkari isu perkahwinan.

Dalam keriuhan media berpesta melaporkan kisah perkahwinan pelbagai stratifikasi golongan masyarakat ini, tanpa disedari fikrah masyarakat mengenai perkahwinan semakin dicelarukan. Perkahwinan kini seolah-olah ditanggapi  ebagai suatu wahana memperagakan kemewahan dan kekayaan diri hinggakan semacam wujudnya persaingan mengenai harga mas kahwin, nilai hantaran hatta dalam aspek penganjuran majlis walimah.

Lebih menggusarkan penulis, apabila makna dan falsafah perkahwinan sendiri semakin disongsangkan seolah-olah kebahagiaan dalam perkahwinan hanya mampu terjelma apabila pasangan adalah golongan hartawan atau model   upawan. Persoalannya apakah sebenarnya matlamat dan falsafah perkahwinan menurut Islam?

Adakah kayu ukur kebahagiaan dalam perkahwinan tergantung kepada kekayaan dan kecantikan semata-mata? Atau apakah sesuatu  perkahwinan itu sekadar memenuhi serakah nafsu manusiawi yang tidak mempunyai makna apa-apa?

Amat malang apabila masyarakat berterusan dimomokkan dengan persepsi betapa kehebatan perkahwinan diukur sejauh mana gahnya upacara keraian yang dianjurkan ataupun nilai hantaran yang disediakan.

Sebaliknya prinsip dan nilai keagamaanlah yang seharusnya mendasari perhitungan dan menerasi cita rasa umat dalam membentuk perkahwinan yang sempurna dan penuh barakah. Agama semestinya menjadi kayu ukur terpenting  dalam memperhitungkan neraca kebahagiaan perkahwinan dan berkekalan hingga ke penghujung hayat insan.

Dalam konteks perkahwinan ini, Rasulullah SAW melarang pasangan berkahwin tanpa memperhitungkan faktor agama. Baginda turut memberi amaran mengenai natijah buruk sekiranya sesuatu perkahwinan itu berteraskan ketampanan  rupa paras ataupun kekayaan harta benda semata-mata: “Janganlah kamu mengahwini perempuan sematamata kerana kejelitaannya, kerana mungkin ia akan membawa mereka kepada keburukan. Dan jangan kerana kekayaannya, kerana mungkin ia akan mendorong mereka kepada kezaliman.

Sebaliknya kahwinilah perempuan kerana agamanya” (Riwayat Ibn Majah). Dalam hadis lain, kecantikan dan kekayaan adalah sebahagian daripada empat faktor yang perlu diambil kira selain agama dan keturunan dalam memilih pasangan hidup. Namun faktor agamalah yang lebih utama dalam perkahwinan kerana kebahagiaan hakiki mampu dikecap dalam realiti hidup berkeluarga. In sejajar dengan maqasid atau matlamat perkahwinan iaitu untuk mencapai  kerahmatan dan keberkatan ALLAH sebagaimana terungkap dalam Surah Ar-Rum ayat 21.

Kesedaran bahawa perkahwinan itu anugerah ALLAH akan menumbuhkan pula rasa keterikatan dengan hukum dan nilai ketuhanan. Perkahwinan yang didirikan dengan cara yang halal berteraskan aturan agama pasti akan membawa  barakah atau keberkatan. Ulama mendefinisikan barakah sebagai nikmat ALLAH yang dikurniakan dalam dua bentuk. Pertama as-Sa’adah iaitu nilai kebahagiaan hakiki yang mampu menatijahkan ketenteraman jiwa, keharmonian  rumah tangga dan sikap bekerjasama hingga tersemai rasa kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah) antara suami isteri.

Kedua ialah az-Ziadah iaitu penambahan nikmat berterusan oleh ALLAH, hinggakan tidak pernah timbul perasaan tidak cukup atas segala rezeki pemberian ALLAH kepadanya. Barakah adalah suatu nilai yang dapat mendisiplinkan perilaku seseorang. Hanya yang halal dan berteraskan norma agama akan membawa barakah, sedang yang haram atau berlaku curang pada prinsip Islam hanya menempah padah.

Keinginan untuk mengecap barakah ALLAH akan membentuk budaya perkahwinan yang lebih kudus. Umpamanya dalam isu mas kahwin, seseorang pastilah akan bersandarkan sunnah Nabawi yang menyebut: “Sesungguhnya  sebesar-besar berkat perkahwinan ialah yang sedikit mas kahwinnya”.

Justeru tidak timbullah polemik kecelaruan nilai yang melingkari budaya perkahwinan hari ini yang kadangkala melewati batas hukum, akhlak dan tradisi. Inilah  hakikat sebenar falsafah perkahwinan yang sememangnya menjadi antara matlamat terpenting sebagaimana digariskan syarak atau disebut sebagai Maqasid  as-Syariah dalam aspek perkahwinan. Perkahwinan yang diberkati akan  menjelmakan sebuah keluarga yang sempurna sekali gus menjana pembentukan masyarakat yang kukuh dan utuh berlandaskan prinsip dan norma Islam sejat.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : 47,769 Lepaskan Status Warganegara Sejak 2002


KUALA LUMPUR : Seramai 47,769 rakyat negara ini melepaskan taraf kewarganegaraan mereka sejak 2002 hingga Mei lepas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 40,624 melepaskan status kerakyatan Malaysia untuk menjadi warga Singapura, Australia (1,906), Brunei (1,350), Amerika Syarikat (724) dan Taiwan (711).

Sebab utama mereka berbuat demikian adalah kerana telah memperoleh kewarganegaraan negara lain melalui perkahwinan dan usaha mengurangkannya adalah di luar bidang kuasa kementerian, katanya dalam jawapan bertulis kepada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) pada sidang Dewan Rakyat, Khamis.

Teck Hwa ingin tahu jumlah rakyat Malaysia yang telah melepaskan kewarganegaraan sejak 2002 hingga 2012 serta tindakan kementerian untuk mengurangkannya.

Hishammuddin berkata kementerian juga menerima 74,092 permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia antara 2008 dan Mei 2012.

Beliau berkata penganugerahan status kerakyatan kepada penduduk yang bertaraf Pemastautin Tetap, Bukan Warganegara atau warga asing dipertimbang berdasarkan syarat dan kelayakan yang termaktub dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan.

"Setiap permohonan yang diterima akan diteliti dan diberi pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira faktor-faktor lain berkaitan pembangunan, kesejahteraan dan keselamatan negara," katanya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : 580 PATI Warga Afrika Ditahan Di Bawah Penguatkuasaan Program 6P



PUTRAJAYA : Sejumlah 580 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Afrika telah ditahan di bawah penguatkuasaan Program 6P sejak 20 Oktober tahun lalu hingga Rabu, dengan Nigeria mencatatkan statistik tertinggi iaitu seramai 530 orang.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata ini diikuti oleh Uganda sebanyak 22 orang, Botswana (enam), empat masing-masing bagi Sudan, Zimbabwe dan Cameroon, Zambia (dua) dan masing-masing satu bagi D'Ivory Coast, Eritheria, Guinea dan Algeria.

"Sejumlah 100,109 PATI telah diperiksa melalui 4,773 operasi melibatkan 25,802 anggota penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan dibantu oleh agensi-agensi lain di bawah kementerian di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Abdul Rahim berkata menerusi siri operasi tersebut, seramai 15,384 PATI dan 364 majikan telah ditangkap dan dikenakan pelbagai tindakan iaitu 64 majikan dan 2,412 PATI telah didakwa di mahkamah, 128 majikan dan 1,020 PATI dikenakan kompaun dan 2,359 PATI telah diusir keluar.

Beliau berkata kes bagi 36 majikan dan 4,205 PATI masih dalam siasatan, manakala baki 136 majikan dan 5,234 PATI telah dibebaskan berikutan tiada kes manakala 154 PATI adalah mangsa pemerdagangan manusia.

Beliau berkata Terengganu mendahului jumlah bilangan penguatkuasaan yang dijalankan dengan 774 operasi, diikuti Perak (721), Negeri Sembilan (414), Johor (385), Pulau Pinang (355), Sabah (344) dan Selangor (320).

KDN juga ingin mengingatkan orang ramai terutamanya para majikan supaya memastikan setiap pekerja asing yang diambil bekerja mempunyai permit kerja serta dokumen yang sah dan operasi penguatkuasaan akan dilakukan dari masa ke masa demi untuk menangani masalah PATI di negara ini, katanya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Awas jerat cinta maya si 'Awang Hitam'


Oleh : Nor Sobah Hussain

MENDENGARKAN nama 'Awang Hitam' sahaja sudah cukup membuatkan kita berasa gerun apatah lagi terjebak ke dalam permainan 'cinta alam maya' mereka. Inilah perkara yang paling ditakuti oleh wanita di negara ini. Sememangnya perkara begini seringkali dikhabarkan di media-media massa namun masih ramai yang tidak mengambil iktibar daripadanya.

Sikap terlalu mudah percaya menjerumuskan mangsa-mangsa ke dalam kancah penipuan Awang Hitam. Malah, percaya atau tidak, warga-warga Afrika ini sebenarnya dilatih di 'sekolah khas' untuk mendalami ilmu memperdaya mangsa-mangsa mereka sebelum mereka dihantar ke negara-negara tertentu untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral ini.

Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan kes seorang ibu tunggal berusia 63 tahun yang kehilangan RM5 juta setelah ditipu sindiket warga Afrika. Akibat angau bercinta kononnya dengan seorang 'Jeneral Tentera Amerika Syarikat' yang dikenalinya menerusi sebuah laman sosial, wanita itu sanggup menjual harta bendanya dan menyerahkan wang kepada kekasihnya yang sebenarnya menjadi dalang dalam sindiket cinta alam maya tersebut.

Walaupun tidak pernah bertemu sejak berkenalan, mangsa mudah diperdaya dengan hanya melihat foto-foto lelaki kulit putih yang kacak oleh sindiket penipuan terbabit.

Kes sebegini selalunya berlaku kepada wanita tempatan kerana begitu mudah mempercayai orang yang baru dikenali dan ini sekali gus memungkinkan mereka menjadi mangsa. Sasaran mereka adalah ibu-ibu tunggal dan golongan andartu yang kesunyian. Berbekalkan ayat-ayat manis dan romantis, lama- kelamaan hati mangsa mula terpaut. Sikap mesra yang penuh kasih-sayang yang ditunjukkan walaupun hanya dalam dunia maya, namun, bagi mangsa mereka tidak kisah asalkan tahu ada seseorang menyintai diri mereka.

Perkenalan dari alam maya ini membibitkan rasa sayang lantas nombor telefon diminta dengan alasan untuk menguatkan perhubungan tersebut. Mangsa yang mabuk cinta si Awang Hitam ini akan tunduk kepada kata-kata manis warga Afrika tersebut dan memberikan nombor mereka tanpa berfikir panjang.

Malahan, dek  terlalu percayakan sang kekasih, ada sesetengah mangsa memberikan nombor akaun bank mereka tanpa perasaan ragu. Setelah itu, sindiket ini akan memulakan taktik mereka dengan memberi pelbagai alasan supaya mangsa percaya dan selanjutnya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tertentu.

Antara alasan yang sering digunakan adalah menawarkan peluang pelaburan di luar negara dengan pulangan berlipat ganda, tidak mempunyai cukup modal untuk menjalankan perniagaan, malah ada yang mengatakan mereka memerlukan wang untuk datang ke negara mangsa bagi bertemu dengan kekasih yang dicintai sejak bertemu di alam maya. Sejurus wang dimasukkan, mereka akan terus lesap tanpa meninggalkan kesan sama sekali.

Kecanggihan teknologi turut menjadi penyumbang kepada masalah yang semakin serius ini. Dengan kewujudan laman sosial bahkan laman sembang dunia maya sangat memungkinkan seseorang itu terjerat ke dalam kes ini. Malahan, kelicikan warga kulit hitam ini juga semakin menjadi-jadi apabila mereka cuba memperdaya mangsa menerusi laman sosial tersebut bagi menjadikan mangsa sebagai 'keldai dadah'.

Kadang-kala di atas desakan hidup, mangsa akan terus bersetuju untuk melakukan tugasan tersebut. Mereka akan dijadikan keldai dadah untuk dihantar ke negara-negara tertentu supaya dadah-dadah tersebut sampai ke destinasinya.

Namun, jika tertangkap, mangsa yang akan menanggung sendiri akibatnya kerana sindiket Awang Hitam akan terus lesap dan tidak mungkin akan bertanggungjawab.

Menurut mangsa keldai dadah yang merupakan seorang wanita beragama Islam, keadaan amat perit apabila berada dalam tahanan negara lain. Malah, mereka juga memberikan makanan tidak halal walaupun mengetahui tahanan beragama Islam. Malah, mangsa turut diajukan dengan pelbagai soalan walaupun hanya meminta kain telekung untuk menunaikan solat.

Walaupun pelbagai amaran bahkan peringatan diberikan, ternyata masih ramai yang belum serik dan tidak mengambil pengajaran daripada kes-kes sebelum ini. Bagi sindiket ini, untuk memastikan misi mereka berjaya, mereka akan terus menakluki alam maya agar lebih ramai dapat direkrut untuk menjadi keldai dadah.

Ini adalah supaya mereka terus di ulit kemewahan tanpa perlu bersusah payah bekerja. Mungkin ada antara kita yang tidak sedar bahawa kita juga sebenarnya dalam pemerhatian si Awang Hitam untuk dijadikan keldai dadah.

Kita sebenarnya terdedah kepada bahaya alam siber memandangkan kita sememangnya mengunakan laman sosial untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang ramai. Sehubungan itu, sikap berhati-hati wajar diambil supaya kita tidak menjadi mangsa sindiket ini.

Dalam kes-kes tertentu, si mangsa tidak mengetahui mereka sebenarnya dijadikan keldai dadah. Setibanya masa pemeriksaan di lapangan terbang, mangsa terkejut dan tidak menyangka bahawa dadah telah dimasukkan terlebih awal ke dalam bagasinya.

Ini pastinya menimbulkan ketakutan dan kekeliruan kepada mangsa kerana pada mulanya mereka hanya diminta untuk membawa barang tetapi tidak tahu barang tersebut adalah dadah.

Tuntasnya, kita haruslah berwaspada dan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku agar kita tidak menjadi mangsa. Jangan mudah memberikan nombor telefon apalagi nombor akaun bank kepada sesiapa yang tidak dikenali.

Sikap mudah mempercayai orang baru yang dikenali juga perlu dikikis oleh rakyat di negara ini supaya tidak menjadi mangsa sindiket jerat cinta si Awang Hitam.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam.