Ahad, 10 Julai 2011

ISU BAHASA : Tolonglah martabatkan bahasa Melayu

PERJUANGAN memartabatkan bahasa Melayu di negara ini masih belum difahami dengan mendalam oleh banyak pihak.

Walaupun bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia) adalah bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan, tetapi dari segi perjuangan kebahasaan, banyak yang tidak dapat melihatnya dalam konteks bahasa rasmi bagi sebuah negara.

Adalah suatu yang sangat malang apabila pihak yang tidak faham perjuangan kebahasaan ini terdiri daripada kalangan pembuat dan pelaksana dasar.

Mereka sepatutnya lebih faham kedudukan bahasa Melayu kerana kefahaman mereka itulah yang akan melaksanakan dasar bahasa di negara ini.

Satu contoh terdekat yang masih segar dalam ingatan kita adalah sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakan bahasa Inggeris pada papan tanda sebuah premis pelancongan di Kuala Kangsar, Perak.

Pihak PBT berkenaan mempertahankan tindakan menggunakan bahasa Inggeris. Kononnya untuk memberi kemudahan kepada pelancong luar negara.

Maknanya tindakan tersebut dibuat ada sebabnya yang pada sudut pandangan PBT berkenaan adalah wajar.

Padahal tindakan menggunakan bahasa Inggeris itu melanggar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam perkara ini, kefahamaan kebahasaan dalam hubungannya dengan Perlembagaan agak kurang.

Tindakan atau keputusan berkaitan bahasa Melayu dibuat berdasarkan pada munasabah akal tetapi bukan kerana perjuangan kebahasaan.

Perkara ini banyak berlaku dalam kalangan pembuat dan pelaksana dasar yang diharapkan memartabatkan bahasa Melayu, tetapi malangnya mereka pula yang merendahkan bahasa Melayu.

Bagaimanapun pihak berkenaan tidak sedar merendahkan bahasa Melayu kerana kefahaman mereka tentang kedudukan bahasa Melayu sangat sedikit.

Persoalan yang sering dibangkitkan seperti ada kalangan pemimpin yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul pada acara rasmi tidak dianggap serius oleh kalangan yang kurang kefahaman tentang kedudukan bahasa Melayu.

Dalam majlis yang dihadiri oleh seorang atau dua kalangan tetamu asing, majlis berkenaan dilangsungkan dalam bahasa Inggeris bukan suatu perkara yang luar biasa.

Ada kalangan orang Melayu sendiri yang lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris dalam acara rasmi kerana menganggap bahasa Inggeris adalah lambang status.

Tetapi mereka tidak tahu banyak kalangan pejuang bahasa Melayu adalah orang yang berpendidikan Inggeris dan menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Cuma bezanya pemikiran mereka ini tidak dijajah kononnya bahasa Inggeris adalah lambang status.

Satu lagi, janganlah sama sekali dasar bahasa Melayu diubahsuai kononnya untuk keperluan keilmuan.

Kalau buat juga, ini adalah kedunguan yang tidak dapat dimaafkan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : JPA Tawar 12 Calon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Program biasiswa Yang di-Pertuan Agong tahun ini menawarkan 12 calon cemerlang mengikuti pengajian bidang sains dan teknoloji, ekonomi dan undang-undang pada peringkat sarjana dan kedoktoran (PhD).

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata tawaran biasiswa itu masing-masing membabitkan enam pada peringkat sarjana dan PhD.

Dalam kenyataan di sini, JPA berkata pemohon mesti seorang warga negara dan berumur tidak lebih 30 tahun pada tahun pengajian dan memiliki ijazah sarjana muda atau sarjana yang diktiraf oleh kerajaan.

Selain itu, pemohon perlu mempunyai pencapaian Purata Mata Gred Kumulatif (CGPA) minium 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya.

Permohonan untuk biasiswa berkenaan dibuka mulai 11 hingga 18 Julai ini di mana ia boleh dibuat secara talian di portal www.jpa.gov.my atau http://esila.jpa.gov.my.

Maklumat lanjut tawaran biasiswa itu boleh diperolehi dengan melayari portal tersebut atau menghubungi hotline di talian 03-88853436/3892/3564 atau dengan mengunjungi kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan di Aras 5, JPA dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari dan dari pukul 2 petang hingga 5 petang.

Program biasiswa yang diperkenalkan pada 2006 adalah khusus kepada calon yang memiliki prestasi akademik dan bukan akademik (kokurikulum) cemerlang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan PhD sama ada di dalam atau luar negara.

"Keutamaan adalah kepada calon yang mendapat keputusan akademik yang amat cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana dan mempunyai keupayaan yang luar biasa seperti penguasaan pelbagai bahasa, kebolehan yang istimewa, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif serta mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam tempatan atau di universiti terkemuka dunia," menurut kenyataan itu.

Calon yang layak dan berjaya disenarai pendek akan melalui proses pemilihan termasuk temuduga, kata JPA.

JPA turut menyatakan penerima biasiswa berkenaan adalah terikat untuk berkhidmat di Malaysia untuk tempoh tidak kurang dari lima tahun.

Pakej tawaran biasiswa Yang di-Pertuan Agong menawarkan kadar pembiayaan yang lebih tinggi berbanding biasiswa Persekutuan sedia ada.

Misalnya, kadar bulanan Elaun Sara Hidup (ESH) bagi biasiswa berkenaan di New Zealand bernilai NZ$2,174 (RM5,420) berbanding biasiswa persekutuan sebanyak NZ$1,449 (RM3,612) manakala di Australia biasiswa berkenaan bernilai AUD$2,070 (RM6,662) berbanding biasiswa persekutuan yang bernilai AUD$1,380 (RM4,430).

Di Malaysia, biasiswa berkenaan bernilai RM1,760 untuk sarjana dan RM2,500 untuk PhD manakala biasiswa persekutuan hanya bernilai RM900 sahaja.

Selain jumlah tajaan berkenaan, calon yang berjaya juga akan dibayar elaun-elaun lain yang berkaitan manakala yuran pengajian akan dibayar terus kepada universiti, kata JPA.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/