Ahad, 1 Mei 2011

ISU PEKERJAAN : Tekun, miliki nilai ihsan ciri-ciri pekerja berkualiti

Oleh Hasan Al-Banna Mohamed

Bertanggungjawab laksana amanah diberikan perlu ada dalam diari kehidupan

SUDAH semestinya pada era globalisasi kini, tidak dapat dinafikan pelbagai mehnah (cabaran) terpaksa ditempuh setiap individu yang dipanggil pekerja. Malah, pekerja organisasi kerajaan atau swasta sering menghadapi segala macam tribulasi di tempat kerja masing-masing.

Ada terpaksa meredah lautan, masuk keluar kampung dan desa, merentasi sungai serta bukit-bukau untuk sampai ke tempat kerja. Ada juga terpaksa menunggu berjam-jam dalam kenderaan kerana kesesakan lalu lintas di jalan raya.
Semua menjadi asam garam kehidupan pekerja. Situasi ini mungkin berbeza dengan zaman dulu dan mungkin sedikit serupa tetapi hampir tidak sama dari aspek latar belakang, suasana dan masalah. Apa pun semuanya tetap mempunyai masalah dan dugaan.
Permasalahan itu jika tidak diurus secara berkualiti dan berkesan, sudah pasti membawa kepada masalah yang lebih teruk. Contohnya, timbul tekanan menyebabkan mereka ketagih dan terjebak dengan dadah, pil ecstasy atau minuman keras.

Ada segelintir pekerja suka membuli atau gemar memarahi orang lain, menyalahi rakan sepejabat, mengalami perasaan kecewa dan lebih serius lagi kes bunuh diri.

Semua paparan masalah itu wujud jalan penyelesaian yang tuntas dan berkesan jika pekerja mengamalkan ajaran agama masing-masing.

Ajaran Islam melalui kitab suci al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW memberi teladan terbaik kepada umat manusia untuk dicontohi dalam kehidupan bekerja. Antara tuntutan sebelum melakukan kerja mestilah dimulakan dengan niat yang betul dan ikhlas.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap perbuatan itu bermula dengan niat.” Jika bekerja semata-mata untuk memperoleh ganjaran dunia, maka pampasan dunia yang sementara itulah dimilikinya.

Jika niat bekerja kerana Allah, sudah pasti segala tingkah laku akan berdasarkan budaya yang dalamnya mempunyai nilai ihsan seperti yang disarankan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Nilai ihsan adalah suatu konsep yang besar untuk dihayati sempena sambutan Hari Pekerja semalam, demi membawa transformasi lebih berkualiti dalam aspek pekerjaan seharian dan akhirnya membawa manfaat kepada organisasi, seterusnya masyarakat dan negara.

Justeru, semua pekerja semestinya menjadikan budaya kerja cemerlang sebagai diari hidupnya supaya dapat menjalankan amanah dipertanggungjawabkan sebaik mungkin. Budaya kerja cemerlang mempunyai impak besar terhadap kualiti dan kecemerlangan dalam aspek kehidupan insan.

Malah, kesempurnaan kerja sudah menjadi prinsip asas dalam ajaran Islam sebagai satu ajaran yang progresif, sarwajagat, nilai dan prinsipnya dinamik serta relevan ke arah pembentukan komuniti berkualiti dan produktif.

Tambahan pula, Islam memandang kualiti atau kesempurnaan sebagai proses membawa transformasi positif ke arah prestasi terbaik dalam semua aspek tingkah laku manusia. Bukan saja tercapai matlamat atau objektif, akan tetapi memperoleh kejayaan hakiki di dunia dan akhirat.

Sehubungan itu, Rasulullah SAW sudah lama mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda yang diriwayatkan Saidatina Aisyah: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyukai jika seseorang melakukan sesuatu perbuatan secara Itqaan atau bersungguh-sungguh (sempurna).” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Jelas budaya itqaan atau kesungguhan, ketelitian dan ketekunan dalam kerja, pasti membuahkan hasil produk atau perkhidmatan mempunyai impak besar kepada organisasi dan menyebabkan pelanggan berpuas hati dengannya.

Di samping budaya itqaan melaksanakan tanggungjawab, pekerja seharusnya menjadikan nilai ihsan sebagai amalan seharian. Nilai ihsan dalam erti kata Islam adalah suatu komitmen kualiti sesuatu tindakan semata-mata kerana Allah.

Nilai ini dijelaskan Baginda Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril melalui hadis sahih yang masyhur berkaitan dengan iman, Islam dan ihsan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ihsan adalah kamu beribadat seolah-olah kamu melihat Allah. Jika kamu tidak dapat melihat-Nya, sesungguhnya Dia (Allah) pasti melihat kamu.” (Riwayat Imam Muslim dan Bukhari)

Sebagai pekerja, marilah memperbaharui niat bagi menjayakan perancangan atau transformasi yang digubal pihak pengurusan atau kerajaan ke arah mencapai gagasan dan wawasan negara.

Seterusnya, berusaha mencapai tujuan bekerja untuk keberkatan hidup di dunia serta mendapat ganjaran di sisi Allah. Keredaan Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia termasuk kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW.

Sumber : http : //www,bharian.com.my/

ISU PEKERJAAN : Kerjaya jadi ibadah jika dilakukan ikut garis ditetapkan Islam

Oleh Mohd Ali Muhamad Don

SEGELINTIR masyarakat tidak memahami pekerjaan seharian dinilai sebagai ibadah apabila memenuhi garis panduan ditentukan syariat. Malah di situlah letaknya nilai keunikan Islam sebagai cara hidup jika difahami dengan teliti.

Pernyataan ini sekali gus menafikan pandangan serong yang cuba memisahkan agama dengan kehidupan kerana setiap gerak geri dan tindak tanduk umat Islam dinilai baik ataupun buruknya. Matlamat akhir sesuatu pekerjaan dilakukan mestilah bertujuan memperoleh keredaan Allah.

Justeru, beberapa perkara perlu diperhalusi bagi mencapai maksud dan tujuan mulia itu antaranya, niat ikhlas ketika bekerja kerana tidak dinafikan setiap orang pasti mengharapkan balasan bersifat duniawi seperti gaji dan ganjaran lain terhadap kerja yang dilakukan.
Saranan Baginda Nabi Muhammad SAW supaya pekerja dibayar upah sebelum kering peluhnya menunjukkan bagaimana Islam sangat mengambil berat persoalan ini. Lebih daripada itu, niat ikhlas ketika bekerja boleh diterjemahkan dengan tidak curi tulang atau melakukan kerja sambil lewa.

Malah ada juga yang bersungguh-sungguh bekerja ketika di depan bos lalu dianggap seorang yang berdedikasi tetapi berubah menjadi munafik apabila di belakangnya. Amalan buruk sebegini dikhuatiri memberi kesan kepada keberkatan gaji diperoleh sekalipun banyak tetapi masih tidak mencukupi.

Memilih pekerjaan yang dibenarkan syariat adalah antara syarat utama sesuatu pekerjaan dinilai ibadah. Aktiviti tidak sihat dan dilarang agama mengundang kemurkaan Allah, jadi bagaimana ia boleh diterima sebagai ibadah.

Tindakan individu yang mengaut keuntungan daripada kesusahan orang lain adalah pekerjaan yang diharamkan. Amalan buruk seperti ini boleh menjejaskan hubungan istimewa seorang Muslim dengan saudaranya yang lain.

Pembabitan masyarakat Islam dalam aktiviti tidak sihat seperti bekerja di premis menjual arak, pusat hiburan dan judi, premis yang menganjurkan maksiat seperti kelab malam dan pusat pelacuran dilarang sama sekali.

Sesibuk mana pun bekerja ia tidak seharusnya menyebabkan seseorang melalaikan tanggungjawab ibadat khususnya solat dan berpuasa di bulan Ramadan. Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengqada solat yang sengaja ditinggalkan.

Dalam hal ini, ketua jabatan yang beragama Islam boleh memainkan peranan sentiasa mengingatkan kakitangan bawahan supaya tidak mengabaikan solat lima waktu. Mesyuarat yang diadakan boleh dirancang supaya tidak menyebabkan tertinggal solat fardu.

Dalam konteks lain, suami isteri bekerja perlu memahami mereka bertanggungjawab mengurus rumah tangga dan anak dengan sempurna. Adalah tidak molek isteri hebat di pejabat tetapi suami dan anak berantakan di rumah.

Begitu pula jika suami hanya sibuk dengan perniagaan dan bermain golf selepas waktu pejabat, boleh mengundang implikasi buruk seperti isteri curang dan anak bebas tanpa perhatian ibu bapa.

Ketika bekerja, adab dan pergaulan antara bukan mahram perlu diberi perhatian serius. Elakkan perkara yang boleh mengundang fitnah sehingga merosakkan hubungan suami isteri.

Cara berpakaian segelintir wanita berkerjaya dan hubungan di tempat kerja hendaklah tidak melangkaui sempadan agama dan garis panduan ditetapkan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Wanita adalah aurat, apabila dia keluar maka syaitan akan menyambutnya.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Perbuatan kurang sopan seperti berdua-duaan dalam pejabat dan gurauan melampaui batas perlu dielakkan bagi mengelak tuduhan.

Kejayaan sebenar bekerja bukan bersandarkan gaji atau pangkat. Matlamat utama seharusnya disasarkan adalah al-falah iaitu kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Apa guna gaji dan pendapatan lumayan jika ia tidak mampu membeli syurga penuh kenikmatan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sastera Melayu subjek tunggal?

KUALA LUMPUR 1 Mei – Kesusasteraan Melayu harus dijadikan mata pelajaran tunggal dan bukannya dijadikan sebahagian daripada komponen subjek Bahasa Melayu seperti sekarang.

Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh berkata, sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran mengambil langkah yang lebih progresif untuk memperbaiki cara pelaksanaan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah.

“Kita harus sedar subjek ini (Kesusasteraan Melayu) sebenarnya bercampur dengan subjek Bahasa Malaysia yang juga mempunyai bahagian seperti tatabahasa, pemahaman dan penulisan. Jadi, seseorang guru bahasa tidak semestinya mampu menguasai seni kesusasteraan.

“Pengasingan akan mempermudah kerja mencari guru yang pakar dan mahir dalam bidang sastera untuk menumpukan perhatian sepenuhnya dalam subjek kesusasteraan. Pengkhususan dalam pengajaran bidang sastera akan melahirkan generasi muda yang lebih menguasai dan menghayati sesuatu kesusasteraan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program Bicara Sasterawan Negara Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bersama Datuk Dr. A. Samad Said dan Muhammad dengan topik Mengantarabangsakan Karya Sastera Tempatan: Isu dan Cabaran sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011, di sini hari ini.

Muhammad berkata, kerajaan harus memastikan maktab perguruan dan universiti menghasilkan lulusan yang baik dalam bidang kesusasteraan supaya bakal guru sastera merupakan mereka yang betul-betul mahir dan menguasai bidang itu dengan sepenuhnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, generasi muda harus dipupuk untuk menjiwai kesusasteraan dan bukannya menghafal laras dan teori yang diajar dalam subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah.

“Sastera Melayu tradisi merupakan satu warisan kebudayaan yang amat tinggi nilainya dan sastera Melayu terbahagi kepada dua bentuk utama iaitu dalam bentuk lisan dan tulisan.

“Generasi muda sebenarnya perlu sedar bahawa tiada siapa lagi yang dapat memikul beban untuk mempertahan dan memperkembang sastera Melayu kerana zaman Usman Awang dan sasterawan terkemuka negara yang lain telah hampir tiada dan ada yang sudah tamat perjuangan mereka,” katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PERCUKAIAN : 136,000 Memfailkan Penyata Pada Mac Akan Mendapat Bayar Balik Cukai

KUALA LUMPUR: Sebanyak 136,000 atau 92% pembayar cukai yang memfailkan penyata cukai pendapatan mereka melalui e-filing daripada 1 hingga 31 Mac lalu akan menerima pembayaran balik cukai mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar berkata, angka itu adalah daripada 147,601 pembayar cukai yang didapati layak untuk bayaran balik.

Mohd Shukor berkata, sehingga pukul 6.30 petang semalam, kira-kira 1.7 juta e-filing telah dibuat.

“Ini adalah satu peningkatan sebanyak 14% atas 1.4 juta borang diterima sehingga 30 April,” katanya pada sidang akhbar, Sabtu.

Katanya lagi, pihaknya telah berjaya menjimatkan RM11.9mil disebabkan peningkatan orang awam membayar cukai melalui sistem e-filing.

“Kos setiap set borang berharga sekitar RM7 setiap penyata cukai. Dengan penggunaan sistem e-filing kita berjaya menjimatkan RM11.9mil,” katanya.

Mohd Shukor kata, melalui sistem e-filing, yang kini pada tahun kelapan, adalah satu bentuk penjimatan masa untuk LHDN dan pembayar cukai.

“Bukan sahaja boleh kami proses lebih cepat, tetapi pembayar cukai boleh melihat lejar cukai mereka dalam talian juga. Mereka tidak perlu menunggu untuk kami menghantar kenyataan mereka,” katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/