Sabtu, 13 Oktober 2012

ISU KEPENGGUNAAN : Boikot peniaga, pengusaha tamak


Oleh NURUL ANUAR KARI

SUKAR dipercayai satu ketika dahulu harga kuih-muih serendah lima sen sahaja tetapi kini sekurang- kurangnya 40 sen, sementara saiznya pula lebih kecil.

Melihat kemelesetan ekonomi dunia pada 1990-an dan sekitar 2007, mungkin fenomena kenaikan harga tidak boleh dibendung terutama apabila nilai mata wang ringgit jatuh mendadak ketika itu.

Namun, tidak kurang juga kes-kes peniaga, peruncit dan orang tengah yang tamak menaikkan harga dengan pelbagai alasan tidak munasabah atau tidak berkaitan langsung dengan produk atau perkhidmatan mereka.

Ekoran pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini, trend itu dilihat muncul semula dengan menggunakan alasan pemberian imbuhan oleh kerajaan, bonus mahupun harga gula naik selepas subsidi dikurangkan.

Trend itu sebenarnya sudah bertahun-tahun berulang setiap kali pembentangan bajet, pengumuman kenaikan imbuhan, pemberian bonus, kenaikan harga minyak, pilihan raya dan bermacam faktor lain yang boleh dijadikan alasan.

Tidak cukup mengaut untung besar dengan menggunakan pekerja asing yang dibayar gaji rendah, peluang memerah setiap sen daripada pelanggan tidak akan dilepaskan.

Walaupun peniaga, peruncit mahupun orang tengah yang mengamalkan trend keji itu adalah kumpulan minoriti yang tamak, namun jumlahnya kini semakin meningkat sehinggakan ramai pengguna terpaksa menanggung beban.

Mereka inilah yang paling bising apabila kerajaan menggerakkan pelbagai program rakyat seperti kedai runcit, kedai ikan, kedai kain, kedai buku, klinik rakyat, rumah mahupun menu rakyat bagi menyekat tindakan mengaut untung mudah.

Boleh dikatakan semua benda mahu dinaikkan harganya. Namun begitu, kenaikan harga makanan sama ada yang sudah dimasak di kedai dan restoran atau bahan basah di pasar menjadi contoh terbaik kerana secara langsung kenaikan itu memberi kesan kepada pengguna setiap hari.

Mengambil contoh mudah, air kosong (tanpa ais) yang sepatutnya diberi percuma dikenakan bayaran 20 sen dan di sesetengah kedai dicaj sehingga RM1.50 atau lebih, kononnya atas dasar kedai makan eksklusif, sedangkan cuma kedai mamak biasa sahaja.

Apabila kerajaan mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram, perlukah harga air minuman dinaikkan 20 sen juga bagi setiap gelas atau cawan? Adakah segelas atau secawan minuman manis diisi dengan sekilo gula?

Tidak kurang juga harga makanan seperti lauk-pauk dinaikkan atas alasan serupa tetapi kebiasaannya dalam gandaan 50 sen bagi memudahkan kiraan.

Jika harga minyak RON97 dinaikkan juga, semua harga barang mahu dinaikkan lagi kononnya kos pengangkutan meningkat, sedangkan lori-lori menggunakan diesel.

Apa pula keperluan menaikkan harga jika gaji ditingkatkan atau bonus diumumkan? Adakah pengumuman itu juga 'menambah kos' perniagaan?

Itu belum lagi ditambah dengan perbuatan menyorokkan bekalan bagi meningkatkan harga di pasaran.

Secara logiknya, tidak ada sebab untuk menaikkan harga barang disebabkan pengurangan subsidi, bonus, gaji mahupun kenaikan harga minyak yang hanya meningkatkan kos kepada tauke-tauke yang memandu kereta mewah.

Alasan tidak mampu menampung kos juga umpama penipuan jelas kerana jika benar tidak mampu sudah tentu syarikat atau pengusaha akan gulung tikar dan bukannya menambah lagi cawangan di seluruh negara.

Dalam hal ini, bukan semua peniaga itu tamak haloba dan gemar menaikkan harga sesuka hati tetapi komuniti peniaga juga perlu bekerjasama dalam memantau peniaga lain yang memilih jalan keji untuk mengumpul kekayaan.

Orang ramai pula seperti sudah malas untuk mengadu kerana tidak nampak tindakan tegas diambil tetapi secara diam, ramai yang memboikot peniaga-peniaga yang tamak itu.

Peniaga yang jujur boleh mengambil kesempatan trend itu dengan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka yang tidak dinaikkan harga bagi menarik pelanggan dan memberi alternatif yang lebih besar kepada orang ramai.

Hakikatnya, perbuatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan sesuka hati umpama menggali kubur sendiri kerana pengguna kini lebih peka dan tahu hak mereka.

Jika tamak dan tidak sabar mengumpul kekayaan dengan memerah orang lain, lambat-laun peniaga, peruncit mahupun orang tengah yang pentingkan diri ini akan ditinggalkan kerana pengguna akan mencari produk atau perkhidmatan serupa di tempat lain.

Ditambah dengan pelbagai kemudahan baru disediakan kerajaan, golongan peniaga tamak mungkin dapat dihapuskan jika mendapat kerjasama rakyat dan komuniti peniaga.

Pihak berkuasa pula jangan tunggu sehingga banyak laporan diterima, bergeraklah secara proaktif dan siasat setiap kes yang dilaporkan atau sekurang-kurangnya dedahkan peniaga manakah yang tamak haloba itu agar rakyat dapat bersatu memulaukannya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/