Ahad, 29 November 2009

Keganasan kartun lebih teruk, mudah ditiru kanak-kanak

Oleh Azrul Affandi Sobry

Ibu bapa kena bijak rancang aktiviti berfaedah untuk anak isi masa lapang daripada dibiar terlalu banyak tonton televisyen

"GAIA, Gaia, Gaia!" - Itulah ayat pertama yang terlontar daripada mulut anak kecil penulis yang baru berusia setahun lebih sejurus bangun tidur, menandakan dia mahu televisyen di bilik dipasang filem Ultraman segera. Jika lambat memenuhi kehendaknya, meraunglah jawabnya.

Kuat sungguh pengaruh Ultraman kepadanya sehinggakan ketika dia baru mula pandai bertutur sepatah dua perkataan, nama beberapa watak dalam filem itu sudah boleh disebut dengan lancar selain sekadar boleh memanggil 'mummy, daddy, atuk, nenek, opah dan abang'.

Malah, antara reaksi paling kerap dilakukannya setiap kali menonton filem itu sama ada di televisyen atau laman web youtube ialah menyilang tangan sambil menjerit 'ciah,ciah' iaitu satu daripada adegan ditiru daripada babak pertarungan Ultraman menentang raksasa.

Bagi kebanyakan orang, tingkah laku itu menggelikan hati walaupun ada ketikanya dia terlebih kasar sehingga menumbuk abangnya sendiri ketika melihat aksi di filem itu dan kerap juga bertindak melebihi batasan dengan menumbuk dinding serta menyepak apa saja yang ada di depannya.

Namun, jika diamati secara mendalam, tingkah itu sebenarnya merisaukan kerana dia kini tidak lagi suka menonton filem lain dan saban masa meminta filem Ultraman ditayangkan tak kira di mana saja berada sama ada di rumah atau ketika di dalam kereta yang turut dilengkapi televisyen kecil di alat penghadang cahaya.

Kronik juga melihat tingkah laku dia dan abangnya, bagaikan sudah kemaruk dan ketagih dengan aksi Ultraman sekali gus mendatangkan kerisauan sama ada ia bakal mempengaruhi minda kanak-kanak sekecil itu sehingga mampu menjejaskan disiplinnya ketika remaja nanti.

Mungkin bagi semua orang, ia perkara biasa kerana kanak-kanak memang sukakan aksi sebegitu tetapi memikirkan kanak-kanak adalah golongan yang suka meniru apa yang dilihat, apatah lagi ditonton setiap hari, mana tahu ia juga boleh mempengaruhi pembentukan sahsiah dan emosinya pada masa akan datang.

Ibu bapa pula, mungkin suka memilih jalan mudah melekakan anak supaya tidak mengganggu mereka dengan menyediakan rutin harian, menayangkan filem sedemikian sehingga ia terus menusuk ke jiwa anak kecil itu untuk terus meminati dan mempraktikkan apa yang ditonton.

Terbaru, Kementerian Pelajaran pula menyatakan kerisauan lantaran mereka sudah mengenal pasti pengaruh filem menerusi wayang dan permainan video menjadi antara penyumbang kepada peningkatan masalah disiplin murid sekolah rendah sepanjang Januari hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pelajar seawal usia muda itu semakin terdedah kepada keganasan menerusi kedua-dua media berkenaan yang mendorong mereka melakukan kesalahan disiplin di sekolah.

Beliau mengambil contoh filem Terminator sebagai salah satu filem aksi ganas yang memaparkan banyak aksi pergaduhan yang katanya boleh mempengaruhi kanak-kanak tanpa sedar.

Realitinya, tak payah mengambil contoh filem berat sebegitu kerana berapa kerat sangat kanak-kanak yang dibawa ke panggung wayang menonton filem seumpamanya dan tak ramai pula ibu bapa yang ada masa untuk melayan kemahuan anak menonton wayang.

Tak payah juga terlalu kritikal mengambil contoh drama bersiri berunsur ganas seperti CSI dan pelbagai lagi di televisyen kerana tidak semua kanak-kanak gemar menonton drama yang kurang mempunyai elemen khayalan sebegitu.

Mungkin ramai tidak sedar atau sengaja buat tak perasan bahawa banyak sangat rancangan kartun di televisyen memaparkan aksi ganas dalam bentuk lebih kejam dan lebih cepat menular dalam jiwa kanak-kanak.

Ultraman, Ben 10, Dragon Ball, Naruto dan Samurai adalah antara rancangan televisyen kegemaran kanak-kanak yang boleh dikatakan setiap hari disiarkan, malah antara rancangan paling popular dalam saluran 'Cartoon Networks' di Astro.

Pakar motivasi kekeluargaan, Dr Rubiah K Hamzah, berkata rancangan kartun yang menyelitkan unsur pergaduhan sebenarnya lebih ganas dan tidak ada had kerana semua kelakuan dan aksi yang berlaku akan dilebih-lebihkan untuk menonjolkan sesuatu yang di luar kebiasaan.

Beliau berkata, ramai ibu bapa tak sedar bahawa kanak-kanak pada peringkat usia dua hingga 10 tahun sedang dalam proses mempelajari dan meniru apa yang mereka lihat dan menyimpannya sebagai memori yang akan dilepaskan apabila usianya memasuki 12 tahun.

"Kerana itulah kebanyakan kanak-kanak akan menunjukkan sikap tidak baik ketika memasuki usia 12 tahun kerana ia adalah tempoh mereka melepaskan apa yang dipendam sejak kecil hasil pembelajaran secara tak langsung daripada apa yang dilihat.

"Ketika kecil, apa saja yang dipertontonkan tak kira bahan itu ringan atau berat akan mempengaruhi minda dan emosi mereka. Bagi ibu bapa, kartun mungkin satu elemen hiburan biasa, tetapi mereka tak sedar bahawa keganasan dalam kartun lebih teruk dan lebih mudah ditiru kanak-kanak.

"Dalam kartun, pergaduhan digambarkan secara berlebihan. Potong tangan, kepala, teruk dipukul pun boleh bangun melawan semula. Kanak-kanak hanya faham apa yang dilihat. Mereka akan beranggapan, sakit macam mana sekalipun masih boleh bangun. Mereka akan praktikkan semua itu," katanya.

Justeru, katanya, ibu bapa yang bertanggungjawab menyebabkan anak meniru apa yang ditonton dan secara tak langsung melatih anak menjadi ganas dengan kerap membenarkan mereka menonton rancangan sebegitu.

Katanya, kesan rancangan kartun itu boleh dilihat secara jelas apabila kanak-kanak itu suka menendang barang dan berlagak seperti hero dalam rancangan yang ditonton.

"Ibu bapa selalu berfikiran mudah. Bagi mereka itu sekadar kartun tetapi bagi kanak-kanak, ia realiti. Benar-benar berlaku. Lebih teruk lagi, selalunya televisyen kerap memaparkan sedutan aksi paling ganas dalam sesebuah rancangan sebagai promosi dan sinopsis itu akan lebih mudah melekat dalam minda kanak-kanak.

"Silapnya ialah kerana sejak kecil kanak-kanak sudah didedahkan dengan semua itu menyebabkan mereka tak mahu lagi terima rancangan lain sedangkan banyak lagi rancangan kartun yang berfaedah dan banyak nilai positif," katanya lagi.

Justeru, katanya, bagi mengimbangi jiwa kanak-kanak dan supaya mereka tidak terus dipengaruhi dengan semua keganasan dalam rancangan kartun, ibu bapa sewajarnya memenuhi masa terluang dalam hidup anak masing-masing dengan aktiviti yang boleh melekakan mereka dalam bentuk lebih positif.

Sebagai contoh, katanya, ibu bapa boleh menyediakan banyak aktiviti seperti mainan yang boleh mengasah minda, permainan untuk meningkatkan kemahiran psikomotor dan pelbagai lagi.

"Jangan sibuk memikirkan apa anak nak makan hari ini. Ibu bapa juga perlu sibuk fikirkan apa yang anak nak buat hari ini. Jangan benarkan masa lapang mereka sekadar dipenuhkan dengan menonton kartun. Beri mereka buat aktiviti yang lebih berfaedah tetapi menarik minat mereka.

"Nak dikatakan selama ini ibu bapa silap, tak juga tetapi mereka sebenarnya tak ada perancangan atau salah mengatur hidup anak-anak. Mereka tak pandai memikirkan alternatif terbaik mengisi masa anak mereka. Itu mungkin kelemahan ketara ramai ibu bapa," katanya.

Justeru, bagi mengelakkan kanak-kanak sekarang terus membesar dengan jiwa ganas dan merosakkan masa depan mereka, adalah sewajarnya ibu bapa buka mata dan bertindak sebagai pemantau serta menapis bahan yang ditonton anak mereka seterusnya menyediakan mereka dengan aktiviti lebih berfaedah. Jangan nanti, kerosakan hidup mereka adalah berpunca daripada kesilapan dan kealpaan kita sendiri.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/