Rabu, 5 Mac 2014

ISU BAHASA : Kegagalan Menguasai Bahasa Melayu tidak patut berlaku selepas 57 tahun merdeka


Oleh : Profesor Teo Kok Seong

Masyarakat Cina perlu insafi nilai bahasa Melayu kepada bangsa, negara

Pelonggaran syarat kepujian dalam Bahasa Melayu pada Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, kepada hanya kelulusan, untuk tujuan pengambilan kakitangan dalam perkhidmatan kerajaan, perlu dihemati sedalam-dalamnya.

Ia bukan sahaja akan menjejaskan  nilai  bahasa Melayu sebagai bahasa negara dalam sistem negara, antaranya pentadbiran dan juga institusi negara, seperti perkhidmatan awam. Ia ikut akan menjejaskan perlambangannya daripada beberapa dimensi nasional.

Antaranya kedaulatan negara dan jati diri kebangsaan. Hal ini akan berlaku apabila kepentingannya dikompromikan. Dengan penyesuaian daripada kelulusan tahap tinggi kepada yang rendah, etos kita sebagai bangsa dan negara yang terasnya Melayu, tidak dapat dipertahan lagi dalam bentuk yang utuh dan unggul.

PDRM turun kelayakan

Bagaimanapun, langkah yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menurunkan kelayakan bahasa negara kita, daripada peringkat kepujian kepada kelulusan sahaja, bagi menarik lebih ramai kaum Cina menyertai pasukan PDRM, khususnya dalam pengambilan permulaan anggota pangkat rendah, didapati berasas. Salah satu daripadanya ialah rata-rata calon Cina yang pernah memohon, tidak mempunyai kepujian dalam Bahasa Melayu, selain tidak fasih dalamnya.

Keperluan PDRM mempunyai anggota Cina untuk menjadi perantara bagi melancarkan kerja kepolisan apabila berkaitan dengan masyarakat Cina, yang rata-ratanya tidak fasih berbahasa Melayu, mempunyai asas lain. Yang lain ialah keanggotaan kaum Cina hampir dua peratus dalam pasukan PDRM, bukan saja kecil malah ia tidak mencerminkan komposisi kaum Cina sekitar 30 peratus dalam demografi negara.

Meskipun asas ini semuanya mempunyai kebenaran, masalah kaum Cina tidak fasih bahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini, tidak boleh selalunya diselesai dengan cara ini. Dalam hal ini, kaum Cina tidak pernah cuba mempelajarinya dengan lebih tekun.

Kalau adapun, ia bersifat instrumental, misalnya untuk memperolehi markah tinggi. Mereka juga tidak memperlihat sikap serius untuk memperoleh pengetahuan lebih baik terhadap bahasa Melayu untuk tujuan integratif. Ini penting untuk menjadikan mereka sebahagian komuniti bahasa Melayu.

Sebenarnya masalah bahasa ini tidak banyak dan boleh dikatakan langsung tidak dibincangkan oleh pemimpin Cina, walaupun ia adalah isu serius dihadapi kaum Cina dalam komunikasi  rasmi dengan pihak kerajaan.

Malah ia cuba diatasi dalam sektor perubatan  dengan pesakit di hospital kerajaan, dengan komuniti Cina setempat mengambil inisiatif untuk mengajar bahasa Mandarin kepada kakitangan perubatan bukan Cina. Cara ini mungkin boleh diterima sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.

Wajib kuasai bahasa Melayu

Untuk jangka panjang, kaum Cina bukan saja perlu, tetapi wajib menguasai bahasa Melayu pada tahap baik, yang melampaui bentuk jelik yang dikenali bahasa pasar. Selepas 57 tahun merdeka, perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku lagi.

Malangnya ia bukan sahaja wujud, malah keadaannya bertambah buruk. Ini terbukti dengan bilangan kaum Cina, daripada golongan muda pula, yang boleh dikategorikan tidak boleh berbahasa Melayu langsung. Ini sesuatu yang boleh memalukan negara di mata dunia kerana ada warga negara yang masih tidak mengetahui bahasa negaranya.

Yang amat memalukan lagi sikap kaum Cina sendiri. Mereka tidak mengendahkan kewajipan untuk bersifat nasional sebagai warga negara, antaranya dengan mengetahui bahasa negara pada tahap yang baik.

Secara perbandingan, ini tidak berlaku pada kaum Cina di Indonesia dan Thailand. Sudah tiba masanya, kaum Cina bukan saja mempertimbang hal ini secara serius. Mereka juga perlu memperbaiki keadaan ini dengan mengambil langkah pertama, iaitu mula mengetahui untuk menyedari dan menginsafi nilai bahasa negara kepada bangsa dan negara.

Ini perlu dilakukan secara terancang oleh pemimpin Cina dari semua lapisan dan sektor, dengan bantuan pertubuhan persuratan Melayu, selain Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai ejen pengembangan bahasa Melayu.

Ini penting untuk kaum Cina sebagai warga negara Malaysia pada mata kaum lain di negara ini, dan lebih-lebih lagi oleh masyarakat luar, antaranya pelancong dalam lawatan singkat ke Malaysia, yang sempat memerhati bahawa rakyat Malaysia keturunan Cina, tidak boleh berbahasa negara mereka. Keadaan ini perlu ditangani dengan penuh keinsafan oleh kaum Cina.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Rakyat Malaysia kini 30 juta orang


Oleh : Johan Jaafar

Sewaktu rencana ini mula ditulis pada jam 10.55 malam, 2 Mac 2014, penduduk Malaysia berjumlah 30,075,276 orang. Itu kiraan yang dibuat oleh website Population Clock. Sebanyak 1,192 orang lagi bertambah hari itu. Dalam masa 61 hari tahun 2014, Malaysia mencatatkan pertambahan 101,599 orang dengan 23,761 kematian. Ini bermakna secara purata 1,600 rakyat Malaysia lahir dan 389 mati setiap hari.

Pada hari bersejarah Tunku Abdul Rahman Putera mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, rakyat Malaya hanya 6.3 juta orang. Sepuluh tahun kemudian (Sabah dan Sarawak sudah menjadi sebahagian daripada Malaysia) jumlah penduduk menjadi 10.1 juta. Angka itu menjadi 12.7 juta orang pada tahun 1977 dan 16.7 juta pada tahun 1987. Sepuluh tahun selepas itu, angkanya mencecah 21.8 juta (1987). Pada tahun 2007, jumlahnya ialah 26.8 juta orang.

Tidak banyak yang menyedari bahawa pada 27 Februari 2014, rakyat Malaysia yang ke-30 juta telah lahir ke dunia. Dalam masa tujuh tahun terakhir ini berlaku peningkatan 3.2 juta penduduk, jumlah yang kecil jikalau dibandingkan dengan banyak negara lain. Dalam masa tujuh tahun kita hanya mampu menambah penduduk yang seramai rakyat Singapura.

65 juta orang pada 2100

Dijangka penduduk Malaysia akan mencecah 30.6 juta pada tahun 2040 dan 65 juta pada tahun 2100. Pada tahun 2040 jumlah orang Melayu dijangka 20.9 juta orang atau 54 peratus jumlah penduduk. Kaum Cina diramalkan akan menjadi 7.1 juta orang atau 18 peratus penduduk.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menggemparkan negara apabila menyebut dasar 70 juta penduduk pada tahun 1984. Pada masa itu beliau baru saja empat tahun memegang tampuk pemerintahan. Penduduk Malaysia masih 15.3 juta orang. Tidak banyak orang yang percaya Malaysia boleh mencapai sasaran 70 juta penduduk menjelang 2100. Berdasarkan ramalan, mungkin kita terkurang lima juta orang sahaja daripada sasaran Tun Mahathir itu.

Lagi pula daripada segi kepadatan penduduk, kita masih selesa dengan 89 orang bagi setiap kilometer persegi. Kadar pertambahan penduduk kita adalah di sekitar 2.4 peratus setahun, relatif kecil berbanding banyak negara lain.

Apakah makna pertambahan penduduk bagi sesebuah negara? Sudah tentulah keperluan lebih banyak pada pelbagai sumber daripada makanan, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Bilangan penduduk yang banyak juga bermakna pasaran domestik lebih besar. Kebangkitan China sebagai kuasa baru ekonomi ada kaitan dengan jumlah penduduknya. Memang benar China pernah memenjara dirinya daripada luar. Tetapi, apabila  Negara tersebut membuka dirinya pada tahun 1979, kesannya cukup luar biasa.

China takluk ekonomi dunia

China hari ini mempunyai penduduk melebihi 1.3 bilion orang. Ia bukan sahaja memberi peluang niaga yang lebih besar pada rakyatnya tetapi juga keupayaan menakluk dunia dengan kuasa ekonomi.

India yang kini mempunyai 1.2 bilion penduduk dipercayai akan mengalahkan China dalam waktu terdekat daripada segi jumlah penduduk. Tetapi ekonomi India tidak ditadbir dengan baik berbanding China. Indonesia kini mempunyai 250 juta penduduk. Sekiranya negara itu mengamalkan dasar yang betul, ia akan menjadi kuasa ekonomi yang penting di rantau ini.

Jumlah kelas menengah di China, India dan Indonesia cukup luar biasa. Bagi Indonesia sahaja, sekiranya hanya satu peratus rakyatnya tergolong dalam kategori ‘terkaya’ jumlah itu ialah 2.5 juta orang. Bayangkan jikalau 20 peratus rakyat India dikategorikan sebagai ‘kelas menengah.’ Jumlahnya ialah 240 juta orang, hampir sama dengan seluruh rakyat Indonesia atau lapan kali jumlah penduduk kita.

Kita perlukan jumlah, tetapi bukan mudah untuk menangani bilangan yang besar. Ekonomi yang dirancang dengan baik akan mendapat suntikan daripada bilangan rakyat yang besar. Banyak negara ramai penduduk, tetapi sarat dengan masalah seperti makanan, tempat tinggal, pengangguran dan lain-lain.

Pada abad yang ke-18, seorang ahli ekonomi Inggeris bernama Thomas Robert Malthus menulis eseinya tentang prinsip kependudukan.

Beliau meramalkan bahawa dunia tidak dapat menampung pertumbuhan penduduk kerana sumber makanan yang terjejas dan penyakit. Teori Malthus tidak sepenuhnya benar. Ternyata dunia masih boleh menampung tujuh bilion manusia. Apa yang penting ialah kualiti hidup manusia itu sendiri.

Dalam konteks kita, jumlah penduduk pada akhirnya tidak penting sekiranya negara ditadbir dengan baik dan sistem ekonomi dapat menampung keperluan rakyat. Dalam masa 57 tahun semenjak merdeka telah berlaku peningkatan 23.7 juta penduduk. Insya–Allah, negara ini pasti boleh menampung 70 juta orang satu hari nanti.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Menyelamat mangsa pemerdagangan


Oleh  : Salleh Buang

PADA 21 Februari lalu, Utusan Malaysia menyiarkan berita mengenai tindakan pihak berkuasa kita menyelamatkan empat lelaki Myanmar yang menjadi mangsa jenayah pemerdagangan orang. Mangsa telah dikurung dan dirantai di sebuah rumah usang di Jalan Pasar, Sungai Petani, Kedah. Ketika diselamatkan, mereka dalam keadaan lesu kerana dipercayai tidak diberi makan sudah tiga hari.

Mengikut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya, setelah menerima laporan daripada penduduk setempat, sepasukan polis telah menyerbu premis berkenaan, yang terletak di belakang sebuah hotel.

Hasil siasatan mendedahkan mangsa telah dikurung untuk maksud memeras wang tebusan daripada keluarga mereka di Myanmar. Seorang mangsa memaklumkan bahawa mereka dibawa masuk ke negara ini sudah sembilan hari sebelum ditempatkan di rumah tersebut. Kesemua mangsa tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Pada 12 Februari lalu, polis menahan tiga suspek ketika cuba menyeludup lapan warga Myanmar ke Pantai Timur. Mengikut Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Abdul Manab Bahrum, suspek dan warga Myanmar itu ditahan dalam kereta Proton Saga kira-kira pukul 7 pagi berhampiran Kampung Sira Panas, dekat Gerik, Perak. Suspek dipercayai dalam perjalanan ke Kelantan dan diberkas di Kilometer 8, Jalan Raya Timur Barat.

Mengikut Abdul Manab, modus operandi penjenayah pemerdagangan orang ini ialah menggunakan Lebuh Raya Timur Barat sebagai laluan untuk menyeludup warga asing terutamanya warga Myanmar.

Beberapa hari sebelumnya, pada 7 Februari, polis Pulau Pinang menyelamatkan 11 wanita warga asing iaitu dua dari Kemboja dan selebihnya dari Indonesia, yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan oleh sebuah syarikat agensi pekerjaan dalam satu serbuan di Bandar Baru Farlim.

Mengikut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, dalam serbuan yang dijalankan pukul 6.45 petang, polis menemui warga asing itu dikurung di premis berkenaan. Mangsa berumur antara 21 hingga 41 tahun. Empat daripadanya bekerja di negeri itu sebagai pembantu rumah sudah sebulan tetapi tidak dibayar gaji. Tujuh mangsa lain baru tiba lima hari, setelah dijanjikan kerja sebagai pembantu rumah di negara ini.

Siasatan polis mendedahkan bahawa mangsa masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial. Mereka dikurung oleh pemilik agensi pekerjaan dan tidak diberi makan secara teratur. Polis menemui semua pasport milik mangsa.

ERTI PEMERDAGANGAN ORANG

Mengikut Seksyen 2, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670), istilah pemerdagangan orang bermakna merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, membekalkan atau menerima orang bagi maksud eksploitasi.

Istilah eksploitasi pula ditakrif dalam seksyen yang sama sebagai ‘semua bentuk eksploitasi seksual, kerja atau khidmat paksa, perhambaan atau amalan yang serupa perhambaan, apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia’.

Mana-mana orang yang disabitkan kesalahan memperdagangkan orang (bukan kanak-kanak) bagi maksud eksploitasi boleh dihukum, jika sabit kesalahan, dengan penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda (Seksyen 12).

Jika perbuatan memperdagangkan orang lain (bukan kanak-kanak) bagi maksud eksploitasi itu dilakukan oleh seorang dengan menggunakan mana-mana satu unsur berikut (ancaman, kekerasan atau bentuk paksaan yang lain, pemelarian, penipuan, perdayaan, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya), dia boleh dihukum jika sabit kesalahan, dengan penjara tiga hingga 20 tahun dan denda (Seksyen 13).

Jika perbuatan  memperdagangkan orang itu melibatkan mangsa kanak-kanak, orang itu boleh dihukum dengan penjara antara tiga hingga 20 tahun dan denda (Seksyen 14).

Dalam satu pendakwaan bagi kesalahan di bawah Seksyen 12, 13 atau 14, persetujuan atau kerelaan mangsa yang diperdagangkan itu bukan satu pembelaan bagi ahli sindiket yang melakukan jenayah ini (Seksyen 16).

Jenayah pemerdagangan orang merentasi sempadan negara. Ia satu jenayah global yang serius, menduduki tahap kedua selepas jenayah pengedaran dadah. Ia adalah jenayah perhambaan moden, dianggarkan memberi keuntungan tahunan kepada sindiket sebanyak AS$31 bilion. Malaysia berusaha bersungguh-sungguh membanteras jenayah ini, namun masih belum berjaya sepenuhnya.

Malaysia kini menjadi negara transit dan destinasi jenayah ini. Ada tanda-tanda menunjukkan ia juga boleh menjadi negara sumber, walaupun masih di tahap rendah.

Mengikut Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO), kesedaran masyarakat di negara ini mengenai isu pemerdagangan manusia masih rendah dan ramai yang samar-samar atau tidak faham tentang skop jenayah ini (http://mapo.bernama.com/news.php?id=574797). Ramai juga masih keliru (atau tidak sedar) perbezaan antara kesalahan pemerdagangan orang dan kesalahan penyeludupan migran.

Undang-undang asal kita, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (Akta 670) telah dipinda dan diluaskan skopnya pada 15 November 2010 dan kini dikenali dengan nama barunya, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran. Antara matlamat pindaan adalah memerangi sindiket penjenayah antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit pemerdagangan dan penyeludupan manusia untuk membawa mangsa ke negara ketiga. Kebanyakan mangsa yang dibawa ke negara ini adalah dari Afghanistan, Pakistan dan Myanmar, dengan tujuan dibawa ke Indonesia dan akhirnya ke Australia.

Untuk memastikan tindakan membanteras jenayah ini terus tersusun rapi dan berkesan, pada 31 Mac 2010 kerajaan Malaysia telah merangka Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang bagi tempoh lima tahun (2010-2015).

USAHA MEMBANTERAS JENAYAH

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan Unit Antipemerdagangan Orang (Unit ATIP) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Tugas utama unit ini adalah mengenal pasti kes-kes pemerdagangan orang, mengumpul maklumat dan risikan serta menjalankan penguatkuasaan di premis yang berkaitan dengan kesalahan ini.

PDRM memberi penekanan kepada jenis eksploitasi yang disebutkan dalam Akta 670 itu, yang merangkumi eksploitasi seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan dan pengabdian, pemindahan organ manusia atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang.

Akta 670 mula dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008. Dari tarikh itu hingga 27 Jun 2010, sebanyak 165 kes pemerdagangan orang melibatkan eksploitasi seks dicatatkan. Daripada 808 mangsa pemerdagangan orang yang diselamatkan kerana eksploitasi seks, kesemuanya warga asing. Daripada jumlah itu, 42 kanak-kanak (http://repo.uum.edu.my/3162/1/s1.pdf).

MENJAGA KEBAJIKAN MANGSA

Menurut MAPO, dari tarikh akta dikuatkuasakan pada 28 Februari 2008 hingga 21 Disember 2010, sebanyak 304 kes dilaporkan manakala 434 orang ditahan kerana terbabit dalam jenayah ini. Dalam tempoh sama, 1,930 mangsa telah diberi perintah perlindungan sementara (IPO) manakala 708 lagi perintah perlindungan. Kebanyakan mangsa terlibat dalam eksploitasi seks (189 mangsa), perkhidmatan paksa (58), penyeludupan manusia (24) dan penjualan bayi (11).

Mengikut laporan terkini oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, Malaysia adalah negara destinasi dan transit (lihat Trafficking in Persons Report 2013, di portal http://www.state.gov/j/tip/rls/tiprpt/2013). Mangsa pemerdagangan terdiri daripada pekerja asing berdokumen dan pekerja asing tanpa dokumen di negara ini. Mereka ialah migran yang datang secara sukarela dari Indonesia, Nepal, India, Thailand, China, Filipina, Burma, Kemboja, Laos, Bangladesh, Pakistan dan Vietnam untuk mencari pekerjaan dah peluang ekonomi yang sukar diperolehi di negara mereka tetapi akhirnya menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Mengikut laporan itu lagi, dalam tahun 2012, kerajaan Malaysia berjaya mendapatkan sabitan 11 kes pemerdagangan seks dan 20 kes pemerdagaganan pekerja. Polis, Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja menjalankan siasatan ke atas 190 kes pemerdagangan orang dalam tahun itu dan memulakan pendakwaan dalam 63 kes.

Sambil mengakui bahawa kerajaan Malaysia ada memberi latihan kepada pegawai-pegawainya bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang, laporan itu menyatakan tahap kefahaman isu pemerdagangan ini masih rendah dalam kalangan pegawai kerajaan di barisan hadapan termasuk polis dan imigresen.

Walaupun tidak menafikan usaha menyelamatkan mangsa dari premis penjenayah sentiasa dijalankan, laporan itu tetap mengatakan kerajaan Malaysia masih gagal melakukan apa-apa penambahbaikan yang signifikan dalam menjaga kebajikan mangsa dalam tempoh laporan ini. Mangsa jenayah ini terus ditempatkan dalam tahanan government facilities, di mana pergerakan mereka terus disekat dalam tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah - ada antara tiga hingga enam bulan, malah melebihi setahun.

Laporan ini juga menyatakan sukar bagi mangsa mendapatkan akses kepada pengamal undang-undang atau pakar psikologi(http://www.state.gov/documents/organization/210740.pdf). Malaysia kekal diletakkan dalam Tier 2 Watch List Jabatan Negara Amerika Syarikat. Dalam bahasa mudah, tindakan menyelamatkan mangsa jenayah pemerdagangan orang perlu disusuli dengan langkah-langkah lebih baik serta konsisten bagi menjaga kebajikan mereka, seperti dihasratkan dalam Laporan 2013 di atas itu tadi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Kesiapsiagaan hadapi musim kemarau


Oleh :  DR. JESSICA ONG HAI LIAW

PELBAGAI reaksi diterima apabila air menjadi topik utama sejak kebelakangan ini. Sana-sini semua bercerita tentang air.

Sesetengah pihak menyuarakan rasa terkilan kerana tidak cukup air dan ada pula yang menyuarakan rasa kesal dan kecewa kerana air tidak bersih dan macam-macam respons akibat musim kemarau.

Kita sedia maklum air sangat penting di muka bumi ini kerana semua jenis hidupan bergantung kepada air untuk terus hidup.

Tubuh manusia terdiri daripada 70 peratus air. Otak pula mengandungi 80 peratus air, komposisi darah terdiri daripada 90 peratus air.

Dalam pada itu, musim kemarau yang berpanjangan semakin membimbangkan kerana kurangnya air akan mengakibatkan banyak kesan buruk.

Lihat sahaja tanaman di rumah kita, semuanya kering-kontang. Jika dilihat ke sawah padi lagilah nampak kering termasuk hutan-belantara yang terbakar akibat cuaca panas.

Kejadian kebakaran hutan kerap kali berlaku. Hukum alam memanglah tidak dapat dikawal tetapi sikap manusia yang membakar hutan dalam keadaan musim kering ini harus dipersalahkan. Akibat tindakan mereka menyebabkan jerebu kembali menghantui kehidupan harian kita. Beberapa lokasi hutan dilaporkan terbakar termasuk hutan di Ukay Perdana, hutan simpan Universiti Putra Malaysia (UPM) pun terbakar.

Kebakaran ini menyebabkan persekitaran hutan simpan yang terletak bersebelahan lebuh raya Besraya susur ke Lebuh Silikon, UPM dilitupi asap tebal dan jalan raya sesak teruk.

Terbaharu kes kebakaran kawasan hutan seluas 80 hektar di Bukit Peteri berhampiran Hutan Simpan Papulut, Perak.

Sebelum ini, hampir 40 hektar kawasan hutan di Gerik membabitkan empat lokasi berasingan terbakar dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran tidak terkawal.

Musim kemarau yang melanda perlu persediaan dari awal kerana hukum alam akan berlaku bila-bila masa bak kata pepatah "Harapkan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari".

Siap-siaga kerajaan negeri seperti menyediakan segala keperluan pencegahan dan langkah-langkah mengatasi masalah ini.

Hukuman kepada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab juga mencemarkan alam semulajadi.

Baru-baru ini berlaku kes menyayat hati yang menimpa lapan sahabat yang cuba menyelamatkan salah seorang daripada mereka dan berakhir dengan kematian. Cuaca yang panas menyebabkan air sungai menjadi cetek sehingga terbentuknya teluk dan beting pasir jerlus.

Insiden berlaku di tengah sungai pasir jerlus di Sungai Muar dekat Buloh Kasap, Johor itu seperti ‘menyedut’, mangsa satu persatu apabila terpijak dasar sungai itu.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk So’iman Jahid menyatakan, lokasi mempunyai kedalaman lebih berbanding tempat lain dan pasir jerlus juga disebabkan kegiatan mengorek pasir dilakukan di kawasan itu.

Itu adalah kesalahan manusia yang tidak bertanggungjawab dan sepatutnya mereka yang cuai ini diambil tindakan undang-undang kerana menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, aspek kesihatan juga perlu dipandang serius kerana cuaca panas menyebabkan kesihatan seseorang terjejas terutama orang tua dan kanak-kanak.

Pesakit asma perlu berhati-hati dengan pencemaran udara yang berlaku dengan memakai penutup muka.

Keadaan yang kering menyebabkan kulit menjadi alergi dan kemerah-merahan di samping bibir merekah, sakit tekak, demam, mual, muntah dan batuk berpanjangan.

Apabila kesihatan tidak mengizinkan maka ramai yang cepat naik darah, keliru, sensitif, marah dan sebagainya yang akhirnya kualiti kerja juga terganggu. Jika cuaca meningkat ke tahap yang serius boleh menyebabkan maut akibat strok haba.

Catuan air menerima pelbagai reaksi daripada rakyat yang terkilan kerana tidak dimaklumkan awal dan kelewatan kerajaan melaksanakan catuan air.

Persediaan awal perlu ada supaya rakyat tidak terpinga-pinga mencari tong air yang memerlukan kos membeli juga dengan notis pendek yang diterima.

Loji-loji perlu memenuhi keperluan rakyat begitu juga dengan penambahan empangan-empangan yang perlu disediakan dengan awal dan dirancang rapi semasa menghadapi cuaca panas ini.

Air bersih yang diberi sangat penting kerana jika air yang digunakan terutama dalam makanan tidak bersih boleh menyebabkan penyakit kolera dan keracunan.

Pembiakan nyamuk aedes berada di mana-mana ketika cuaca semakin kering begitu juga kadar pencemaran semakin tinggi.

Dari segi ekonomi pula, cuaca yang panas menyebabkan ramai yang perlu menggunakan pendingin hawa yang menyebabkan bil elektrik meningkat.

Maklumlah, tidak boleh tidur sehingga berpeluh-peluh maka alternatif dicari seperti membeli pendingin hawa atau menambah bilangan kipas.

Gelombang panas yang teruk juga dikenal pasti sebagai penyebab kematian akibat hyperthermia selain punca gangguan bekalan tenaga kerana peningkatan penggunaan alat penyaman udara.

Kesiapsiagaan yang saya maksudkan bukan sahaja daripada pihak kerajaan namun kita sebagai rakyat perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku terutama bencana hukum alam.

Musim kemarau sedang melanda dan mungkin nanti musim banjir tiba dan segala bencana kini sukar diduga. Maka, semua ini harus dijadikan iktibar bersama.

Strategi perlu direncanakan dari awal oleh pihak kerajaan kerana rakyat harus diutamakan dalam segala perlindungan.

Ini akan menjamin kesejahteraan masyarakat Malaysia kerana rakyat yang sihat dan cemerlang penting seiring dengan pembangunan negara.

Salam perpaduan dan salam 1Hati.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Universiti   Pertahanan  Nasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : 10 Pelajar Sekolah Maut Akibat Denggi


Oleh :  KANG SOON CHEN

PUTRAJAYA : Seramai 10 pelajar sekolah maut akibat demam denggi sejak sesi persekolahan dibuka pada Januari lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran II P. Kamalanathan berkata, daripada 18,165 kes demam denggi yang dilaporkan sejak Januari hingga 2 Mac, sebanyak 3,571 (19.6 peratus) kes melibatkan pelajar sekolah.

"Kementerian melihat jumlah itu sesuatu yang membimbangkan dalam peningkatan kes denggi yang serius. Oleh itu kami sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan keadaan terkawal," katanya selepas merasmikan Program Patrol Denggi 2014 pada hari Rabu.

Beliau berkata, selain mengekalkan kebersihan di dalam kawasan sekolah, kawasan sekitar di luar sekolah juga perlu sentiasa bersih daripada tempat pembiakan denggi.

Daripada 10 kematian denggi yang melibatkan pelajar sekolah, empat terdiri daripada murid sekolah rendah manakala selebihnya pelajar sekolah menengah.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/