Rabu, 5 Mac 2014

ISU BAHASA : Kegagalan Menguasai Bahasa Melayu tidak patut berlaku selepas 57 tahun merdeka


Oleh : Profesor Teo Kok Seong

Masyarakat Cina perlu insafi nilai bahasa Melayu kepada bangsa, negara

Pelonggaran syarat kepujian dalam Bahasa Melayu pada Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, kepada hanya kelulusan, untuk tujuan pengambilan kakitangan dalam perkhidmatan kerajaan, perlu dihemati sedalam-dalamnya.

Ia bukan sahaja akan menjejaskan  nilai  bahasa Melayu sebagai bahasa negara dalam sistem negara, antaranya pentadbiran dan juga institusi negara, seperti perkhidmatan awam. Ia ikut akan menjejaskan perlambangannya daripada beberapa dimensi nasional.

Antaranya kedaulatan negara dan jati diri kebangsaan. Hal ini akan berlaku apabila kepentingannya dikompromikan. Dengan penyesuaian daripada kelulusan tahap tinggi kepada yang rendah, etos kita sebagai bangsa dan negara yang terasnya Melayu, tidak dapat dipertahan lagi dalam bentuk yang utuh dan unggul.

PDRM turun kelayakan

Bagaimanapun, langkah yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menurunkan kelayakan bahasa negara kita, daripada peringkat kepujian kepada kelulusan sahaja, bagi menarik lebih ramai kaum Cina menyertai pasukan PDRM, khususnya dalam pengambilan permulaan anggota pangkat rendah, didapati berasas. Salah satu daripadanya ialah rata-rata calon Cina yang pernah memohon, tidak mempunyai kepujian dalam Bahasa Melayu, selain tidak fasih dalamnya.

Keperluan PDRM mempunyai anggota Cina untuk menjadi perantara bagi melancarkan kerja kepolisan apabila berkaitan dengan masyarakat Cina, yang rata-ratanya tidak fasih berbahasa Melayu, mempunyai asas lain. Yang lain ialah keanggotaan kaum Cina hampir dua peratus dalam pasukan PDRM, bukan saja kecil malah ia tidak mencerminkan komposisi kaum Cina sekitar 30 peratus dalam demografi negara.

Meskipun asas ini semuanya mempunyai kebenaran, masalah kaum Cina tidak fasih bahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini, tidak boleh selalunya diselesai dengan cara ini. Dalam hal ini, kaum Cina tidak pernah cuba mempelajarinya dengan lebih tekun.

Kalau adapun, ia bersifat instrumental, misalnya untuk memperolehi markah tinggi. Mereka juga tidak memperlihat sikap serius untuk memperoleh pengetahuan lebih baik terhadap bahasa Melayu untuk tujuan integratif. Ini penting untuk menjadikan mereka sebahagian komuniti bahasa Melayu.

Sebenarnya masalah bahasa ini tidak banyak dan boleh dikatakan langsung tidak dibincangkan oleh pemimpin Cina, walaupun ia adalah isu serius dihadapi kaum Cina dalam komunikasi  rasmi dengan pihak kerajaan.

Malah ia cuba diatasi dalam sektor perubatan  dengan pesakit di hospital kerajaan, dengan komuniti Cina setempat mengambil inisiatif untuk mengajar bahasa Mandarin kepada kakitangan perubatan bukan Cina. Cara ini mungkin boleh diterima sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.

Wajib kuasai bahasa Melayu

Untuk jangka panjang, kaum Cina bukan saja perlu, tetapi wajib menguasai bahasa Melayu pada tahap baik, yang melampaui bentuk jelik yang dikenali bahasa pasar. Selepas 57 tahun merdeka, perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku lagi.

Malangnya ia bukan sahaja wujud, malah keadaannya bertambah buruk. Ini terbukti dengan bilangan kaum Cina, daripada golongan muda pula, yang boleh dikategorikan tidak boleh berbahasa Melayu langsung. Ini sesuatu yang boleh memalukan negara di mata dunia kerana ada warga negara yang masih tidak mengetahui bahasa negaranya.

Yang amat memalukan lagi sikap kaum Cina sendiri. Mereka tidak mengendahkan kewajipan untuk bersifat nasional sebagai warga negara, antaranya dengan mengetahui bahasa negara pada tahap yang baik.

Secara perbandingan, ini tidak berlaku pada kaum Cina di Indonesia dan Thailand. Sudah tiba masanya, kaum Cina bukan saja mempertimbang hal ini secara serius. Mereka juga perlu memperbaiki keadaan ini dengan mengambil langkah pertama, iaitu mula mengetahui untuk menyedari dan menginsafi nilai bahasa negara kepada bangsa dan negara.

Ini perlu dilakukan secara terancang oleh pemimpin Cina dari semua lapisan dan sektor, dengan bantuan pertubuhan persuratan Melayu, selain Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai ejen pengembangan bahasa Melayu.

Ini penting untuk kaum Cina sebagai warga negara Malaysia pada mata kaum lain di negara ini, dan lebih-lebih lagi oleh masyarakat luar, antaranya pelancong dalam lawatan singkat ke Malaysia, yang sempat memerhati bahawa rakyat Malaysia keturunan Cina, tidak boleh berbahasa negara mereka. Keadaan ini perlu ditangani dengan penuh keinsafan oleh kaum Cina.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen