Rabu, 23 Februari 2011

Kemerosotan keputusan STPM 2010 akan dikaji

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kementerian Pelajaran akan mengkaji punca kemerosotan peratusan lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 di seluruh negara yang diumumkan semalam.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian akan menyediakan analisis bagi mengenal pasti punca penurunan peratusan lulus penuh itu sebelum tindakan seterusnya diambil.

Selain itu, kata beliau, tindakan menempatkan guru berpengalaman dan berkualiti di luar bandar tidak semestinya langkah tepat untuk merapatkan jurang prestasi antara calon bandar dan luar bandar.

"Kebanyakan sekolah di luar bandar mahupun di kawasan pedalaman mempunyai guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada lima tahun dan bukanlah hanya dipenuhi dengan guru baru lepasan maktab sahaja.

"Masih banyak perkara yang perlu dikaji sebelum mengambil tindakan bagi memastikan ia benar-benar berkesan dan memastikan keputusan lulus penuh dapat ditingkatkan semula," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seramai 50,576 calon menduduki STPM tahun lalu dan hanya 46,780 atau 92.49 peratus calon lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga menunjukkan penurunan iaitu dari 47.72 peratus atau 25,001 calon yang dicatatkan pada 2009 berbanding 46.41 peratus (23,473 calon) tahun lalu.

Selain itu, 11 lagi mata pelajaran turut menunjukkan penurunan prestasi iaitu Bahasa Malaysia, Pengajian Am, Seni Visual, Perakaunan, Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Inggeris, Geografi, Biologi, Ekonomi, Matematik S dan Bahasa Arab.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, kajian tersebut perlu dilakukan secara menyeluruh meskipun terdapat sesetengah pihak beranggapan ia tidak serius.

Katanya, jika perkara tersebut tidak ditangani segera, dibimbangi pelajar lepasan STPM tidak mampu bersaing dengan penuntut program matrikulasi mahupun diploma.

Tegasnya, lebih serius peratus lulus bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia turut menunjukkan penurunan pada tahun lalu.

"Penurunan tersebut perlu dikaji dengan teliti bagi mengenal pasti sama ada pendekatan memartabatkan bahasa kebangsaan itu masih rendah dan tidak menonjol.

"Kesan pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik juga perlu dikaji sama ada turut menjadi punca penurunan bagi mata pelajaran tersebut," katanya.

Jelas Mohamad Ali, kementerian perlu mengesan penurunan keputusan STPM 2010 dan mencari langkah terbaik mengatasinya yang juga merangkumi langkah jangka pendek, pertengahan dan panjang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN :IPT perlu proaktif cungkil idea penyelidikan

Oleh Dr Norhafezah Yusof

PENYELIDIKAN adalah usaha mengenal pasti permasalahan sesuatu fenomena. Selaras dengan kehendak masyarakat, penyelidikan perlu dilihat mampu menghasilkan sesuatu penambahbaikan terhadap pembentukan dasar dari aspek akademik dan permasalahan praktikal. Ia mendasari keperluan pembentukan sesuatu polisi terutama yang berimpak tinggi dalam masyarakat dan negara.

Bertepatan dengan idea itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, dalam Amanat Tahun Baru 2011 baru-baru ini di Putrajaya menekankan perihal pentingnya peranan penyelidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dengan menggariskan beberapa isu berkenaan dengan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) dan peranan universiti dalam menggembleng tenaga untuk kemajuan penyelidikan.

Masyarakat Malaysia yang peka dengan perkembangan institusi pengajian tinggi mungkin memahami dengan jelas mengenai klasifikasi universiti di negara ini. Perkara yang ingin disentuh di sini ialah mengenai keghairahan universiti dalam mencapai status Universiti Penyelidikan.

Umum mengetahui mengenai perkembangan terkini yang mana Kementerian Pengajian Tinggi telah mengiktiraf beberapa IPTA sebagai Universiti Penyelidikan seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan yang terkini Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Manakala Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf sebagai Universiti APEX.

Perkara pokok mendasari perkembangan kesemua IPT ini ialah budaya penyelidikan yang menjadi antara tunjang yang perlu diperhebatkan pihak pengurusan tertinggi IPT berkenaan. Justeru, mengapa pembudayaan dan perkembangan penyelidikan dilihat sebagai aspek penting dalam pembangunan sesebuah IPT?

Berteraskan kepada falsafah ‘Pengajian Tinggi ke arah Transformasi Negara’, penyelidikan yang dijadikan agenda keempat dalam Dasar Pengajian Tinggi dianggap mampu menyumbang kepada kesinambungan cabaran global yang mendepani masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Berbalik kepada persoalan yang dinyatakan sebelum ini apakah impak penyelidikan di IPT terhadap kesejahteraan hidup masyarakat negara ini? Ada tiga pemeringkatan yang dapat ditangani sesuatu penyelidikan untuk konteks penyelidikan di Malaysia. Pertamanya, penyelidikan yang cuba menangani permasalahan yang telah berlaku. Contohnya, seperti isu banjir di Kedah baru-baru ini.

Kedua, permasalahan yang sedang berlaku, contohnya, masalah sosial remaja di Malaysia yang saban hari menjadi isu hangat seperti dipaparkan dalam media perdana. Ketiga, permasalahan yang akan berlaku. Contohnya, isu pembinaan loji nuklear di Malaysia dan bagaimana cara terbaik menangani sisa nuklear itu jika negara perlu mewujudkan pusat nuklear bagi mengatasi krisis keperluan tenaga elektrik untuk jangka masa yang panjang.

Rangkaian penyelidik perlu diperkemas dan diperkasa untuk menyahut cabaran ini. Tidak ketinggalan juga IPT lain yang juga berhasrat menjadi Universiti Penyeli-dikan seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan lain-lain perlu bersama-sama menggembleng tenaga dan melihat penyelidikan sebagai agenda pembangunan masyarakat.

Sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengiktiraf enam HICoE yang diberikan dana lumayan menerajui penyelidikan bercorak kritikal dan kreatif yang bersifat ‘multidisciplinary’ dan mempunyai rangkaian antarabangsa yang kukuh.

Umumnya, pusat kecemerlangan perlu memenuhi tujuh kriteria yang digariskan oleh pihak kementerian iaitu kualiti dan kuantiti penyelidik, kualiti dan kuantiti penyelidikan, kualiti dan kuantiti pasca siswazah, inovasi, khidmat profesional dan hadiah/pemberian, rangkaian dan perhubungan, akhir sekali sistem dan sumber fizikal.

Mari kita meneliti keenam-enam pusat kecemerlangan yang berjaya memperoleh pengiktirafan dari Kementerian Pengajian Tinggi. Berdasarkan keunikan tersendiri, kesemua pusat kecemerlangan menerajui bidang kepakaran yang mempunyai impak tinggi terhadap masyarakat.

Senarai pusat kecemerlangan adalah seperti berikut; UM Centre of Research for Power Electronics, Drives, Automation & Control (UMPEDAC), UKM medical molecular biology institute (UMBI), Institute for Research in Molecular Medicine (INFORMM) USM, Institute of Bioscience (IBS) UPM, Centre for Drug Research (CDR) USM dan Accounting Research Institute (ARI), UiTM.

Bidang penyelidikan yang diterajui semua Pusat Kecemerlangan ini adalah bersifat cross-disciplinary yang mana pemberatan falsafah ilmu sains dan sains sosial adalah saling bergantungan. Contohnya, untuk mengkaji mengenai permasalahan krisis tenaga, antara perkara pokok yang perlu diambil kira penyelidik ialah impak harga tenaga elektrik terhadap cara hidup masyarakat kini.

Semua pusat kecemerlangan ini dituntut memperhebatkan kajian dan penghasilan produk/modul untuk melestarikan pembangunan masyarakat dalam mendepani masa depan yang mencabar. Bertepatan dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi memperkasakan penyelidikan dan mentransformasikan pengajian tinggi, pihak pengurusan IPT disaran lebih proaktif dalam mencungkil idea penyelidikan kreatif setanding dengan penyelidikan antarabangsa.

Bagaimanapun penyelidik juga perlu peka kepada etika penyelidikan kerana kita tidak mahu menghasilkan penyelidikan yang hebat tetapi impaknya terhadap masyarakat kurang bermakna seperti penghasilan bom atom atau virus komputer.

Kini adalah masa untuk bekerjasama dan bukan melihat siapa jaguh dalam arena penyelidikan kerana impak yang dihasilkan akan dikongsi bersama demi masyarakat.

Penulis ialah Karyawan Tamu Kementerian Pengajian Tinggi

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Bunuh diri dan gangguan mental

GEJALA bunuh diri yang berlaku dalam masyarakat negara ini semakin berleluasa pada masa ini. Ia seperti satu fenomena yang sudah biasa berlaku, sama seperti kejadian bunuh diri yang berlaku di negara-negara luar, di mana masyarakatnya sudah biasa, lali atau masak dengan kejadian seperti itu.

Umpamanya, di negara China yang merupakan sebuah negara di mana rakyatnya paling ramai membunuh diri. Dianggarkan setiap tahun, lebih daripada 300,000 penduduk China membunuh diri, lebih 10 kali ganda dari jumlah bunuh diri tahunan di Amerika Syarikat. Negara-negara lain yang mencatat kejadian bunuh diri yang tinggi termasuklah Jepun dan Venezuela.

Gejala yang sama turut menunjukkan trend yang mengejutkan di negara ini. Data dari Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM-National Suicide Registry Malaysia) mendapati sekurang-kurangnya dua orang membunuh diri setiap hari dengan kadar purata 60 orang dalam sebulan. Ia satu trend yang didapati menyamai trend bunuh diri di negara Amerika. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati setiap tahun, satu juta orang akan meninggal dunia kerana membunuh diri, dengan anggaran purata sebanyak 3,000 kejadian setiap hari.

Peningkatan gejala bunuh diri yang berlaku di negara ini menimbulkan banyak persoalan yang memerlukan kajian mendalam dan agresif dilakukan, di samping merangka pelan pencegahan dan pemulihan yang komprehensif. Berdasarkan trend yang ada, ia seperti menggambarkan wujudnya satu penularan dalam kejadian seperti ini. Gejala yang berlaku di negara-negara luar didapati sudah merebak dan menjangkiti pemikiran dan tingkahlaku rakyat negara ini untuk melakukan perbuatan yang sama. Ini bukan sesuatu yang menghairankan. Memang gejala ini berjangkit dalam masyarakat, tidak kira di mana mereka berada, terutamanya dari segi kaedah dan cara bunuh diri itu dilakukan. Malah gejala bunuh diri lebih mudah berjangkit atau berlaku di kalangan mereka yang tidak stabil tahap kesihatan mentalnya, berbanding dengan individu yang sihat dan mempunyai tahap pemikiran yang waras.

Apakah bunuh diri? Secara umumnya, bunuh diri merupakan satu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang dengan sengaja dan secara sedar dengan tujuan memusnahkan diri sendiri atau bagi mengakhiri kehidupan sendiri sehingga menemui kematian. Dalam kebanyakan kes bunuh diri, ia berlaku akibat ketidakmampuan seseorang individu itu menghadapi tekanan dalam kehidupan yang dialami. Mereka berasa bahawa langkah untuk meneruskan kehidupan bukan satu idea yang baik, sebaliknya lebih menambah kesengsaraan.

Terdapat juga mereka yang terlibat itu merasakan diri mereka disisihkan, berasa sunyi dan tidak dipedulikan, serta berasa kecewa dan dihantui masalah kemurungan. Gejala bunuh diri juga sering berlaku dalam kalangan pesakit mental kronik seperti skizofrenia, kecelaruan personaliti, dan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol. Individu yang pernah mengalami trauma sebagai mangsa buli dan keganasan juga didapati berisiko tinggi untuk membunuh diri akibat tidak mahu berterusan dibuli atau dipermainkan serta dikasari.

Walaupun gejala bunuh diri sering dikaitkan dengan penyakit mental kronik seperti kemurungan dan ketagihan dadah, namun trend seperti ini mula dipertikaikan. Pendekatan teori psikiatri Barat mendapati kemurungan merupakan punca utama gejala bunuh diri, walaupun ia juga boleh berlaku akibat daripada faktor ketagihan dadah dan gangguan mental yang lain. Di Amerika, kadar bunuh diri yang tinggi berpunca daripada kesan penyakit kemurungan dan ketagihan dadah serta alkohol yang sememangnya tinggi. Namun dalam konteks negara China, perkara ini tidak sedemikian.

Fakta yang wujud apabila mengambil kira terhadap situasi yang berlaku di negara China ialah apabila kajian mendapati peningkatan kes bunuh diri yang berlaku secara luar biasa, menandingi kadar di negara Amerika khususnya, sedangkan kadar penyakit kemurungan kronik dan ketagihan dadah adalah lebih rendah daripada kadar yang berlaku di Amerika. Ini menunjukkan ada perkara atau faktor lain di sebalik penyakit-penyakit mental tersebut yang dikatakan berperanan terhadap kejadian bunuh diri yang tinggi di China.

Ada kemungkinan ia terjadi akibat daripada kesan kadar pengangguran yang tinggi, tahap sistem sokongan sosial dalam masyarakat yang rendah dan bersikap individualistik, kurang kepintaran dalam menyelesaikan masalah atau tekanan budaya dari luar. Pokoknya, ia tidak lari dari faktor sosio-psikologikal dalam menyumbang kepada kes bunuh diri.

Berdasarkan penelitian terhadap fenomena ini, suatu perkara yang jelas ialah kes bunuh diri sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada tekanan atau stres dan juga kestabilan pemikiran individu dalam menjalani kehidupan yang banyak cabaran. Dari segi fakta, tiada mana-mana individu yang sihat dan berasa seronok menjalani kehidupan mereka sanggup membunuh diri sendiri, melainkan apabila keadaan menjadi sebaliknya, atau sistem sokongan dalam masyarakat bagi mencegahnya tidak wujud atau lemah fungsinya.

Namun apabila situasi menjadi lebih buruk, membunuh diri dilihat sebagai satu-satunya cara yang ada bagi menyelamatkan keadaan, ia menggambarkan sesuatu yang tidak kena pada diri individu terbabit, khususnya berkaitan dengan cara mereka berfikir atau menyelesaikan masalah yang ada. Secara tidak langsung, ia berkaitan dengan cara pemikiran mereka yang terjejas, mungkin akibat daripada sindrom kegagalan fungsi otak psikogenik. Pemikiran yang terjejas pula merupakan ciri-ciri kesihatan mental individu yang tidak stabil yang akhirnya membawa kepada pelbagai gejala gangguan mental dan tingkahlaku, termasuklah bunuh diri.

Selain gejala bunuh diri, terdapat satu lagi kategori yang berkaitan iaitu cubaan membunuh diri. Cubaan bunuh diri difahami sebagai satu tindakan bagi membunuh diri, atau cubaan untuk mendatangkan kematian bagi diri sendiri tetapi tidak semestinya berjaya. Dalam peringkat ini, individu terbabit berkemungkinan akan terus berusaha mencapai hasratnya sehinggalah kematian itu diperoleh, atau mereka akan berpatah balik untuk menjalani kehidupan seterusnya secara normal. Bagi keadaan ini, rawatan awal dan tindakan pencegahan mesti diberikan. Walau apapun keadaan dan alasan, bunuh diri tetap satu perbuatan yang dilarang keras dalam Islam dan merupakan satu dosa yang amat besar.

PENULIS ialah Fellow IKIM

Sumber : http : //www.utusan.com.my/