Khamis, 30 September 2010

MEGAH GUNA BAHASA KEBANGSAAN


PERSATUAN Linguistik Malaysia (PLM) berkongsi pandangan dan bersetuju sepenuhnya dengan rencana Datuk Rejal Arbee dalam Berita Harian, Khamis 23 September.

Itulah juga sebenarnya pendirian PLM sejak sekian lama penubuhannya dan tanpa bermusim. Perlu diingat bahawa bahasa Melayu bukannya bahasa kebangsaan orang Melayu seperti tanggapan pihak tertentu seperti zaman sebelum merdeka tetapi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia yang sudah 53 tahun merdeka.

Sememangnya apa saja acara atau majlis peringkat kebangsaan dan membabitkan mana-mana pemimpin korporat, hatta menteri sepatutnya menghormati bahasa kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan, atur cara, buku program, bahan cetakan, pengumuman dan sebagainya.

Seperti yang pernah dinyatakan PLM menganggap sesiapa saja yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam acara rasmi di negara ini, mereka sebenarnya memang dapat dianggap tidak patriotik kerana tidak menghormati bahasa rasmi negara ini seperti dalam semangat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan tidak memiliki rasa megah akan bahasa kebangsaan berkenaan.

Jika benar mereka pemimpin menghormati dan punya rasa megah bahasa terhadap bahasa kebangsaan negara sendiri (bukan bahasa negara lain), mengapa mereka tidak gunakan dalam majlis itu, temu bual dan sebagainya?

Apakah antara unsur penting yang membentuk negara ini atau dapat dianggap jati diri negara ini, membezakan negara ini daripada negara lain selain budaya dan sebagainya?

Tentulah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi antara unsur penting berkenaan. Lima puluh tiga tahun satu tempoh sangat panjang.

Di manakah negara lain di dunia ini yang warga negaranya tidak fasih atau tidak menghormati bahasa kebangsaannya sendiri dapat kita temui?

Kita dapat menemuinya di beberapa negara termasuk di Afrika Selatan yang masih mengagungkan bahasa penjajahnya sekalipun mereka tetap terkenal sebagai negara miskin dan mundur.

Fasih berbahasa Inggeris atau bahasa lain seperti bahasa Jepun, bahasa Arab, bahasa Perancis adalah suatu kelebihan yang amat kita perlukan dan manfaatkan. Tetapi sesuatu yang tragis dan aneh sekali jika pada masa sama individu warga berkenaan tergagap-gagap atau tidak pun berusaha untuk fasih bahasa kebangsaan negara ini.

Sudah sampai masanya pemimpin kita menjadi model bahasa dan pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertindak tegas terhadap sesiapa saja yang tidak menghormati bahasa kebangsaan dalam apa-apa juga majlis rasmi di negara ini sama ada syarikat gergasi atau kecil, orang biasa atau menteri.

Jika tidak jadilah negara ini seperti dipesankan oleh pepatah Melayu dulu: sepuluh jong lalu, anjing bercawat ekor juga.

KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI,
Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Perpaduan kunci kejayaan

Oleh DR. SAODAH ABD RAHMAN

Setiap warga negara Malaysia perlu bersyukur kerana berada dalam sebuah negara Islam yang mementingkan perpaduan kaum dan keamanan. Keamanan dan perpaduan kaum serta sikap toleransi pelbagai kaum dan agama dalam negara ini merupakan satu keunikan yang tidak wujud dalam kebanyakan negara dunia ketiga masa kini.

Perkongsian kuasa yang diamalkan oleh Malaysia sukar untuk diamalkan oleh negara-negara dunia ketiga sama ada negara tersebut terdiri dari negara Islam atau bukan Islam. Peristiwa peperangan saudara dan pembunuhan sesama kaum merupakan fenomena yang lumrah dalam kebanyakan negara di dunia masa kini.

Keamanan dan perpaduan kaum merupakan asas penting kepada pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Perpaduan kaum perlu dipertingkatkan supaya setiap individu yang lahir dalam negara ini dapat memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang memberi hak dan kedudukan kepada pelbagai kaum setanding dengan umat Islam tanpa mengorbankan kedaulatan dan hak warisan yang diwartakan untuk umat Islam yang dipersetujui oleh kesemua para pemimpin kaum semasa Tanah Melayu diserahkan oleh British kepada kepimpinan tempatan.

Perkara seperti ini perlu disemat dalam dada setiap generasi baru yang lahir dalam negara ini supaya mereka mengenali sejarah dan keturunan mereka. Kejahilan dalam perkara ini menyebabkan masyarakat pelbagai kaum tidak menyedari sejauh manakah mereka perlu bersuara dan bertindak demi memenuhi hasrat dan bisikan hati mereka. Malaysia ialah sebuah negara yang bebas di mana masyarakat bukan Islam bebas untuk mengamalkan tradisi budaya dan amalan keagamaan mereka.

Konsep persahabatan pelbagai kaum yang dijalin sejak Melaka menjadi pusat perdagangan di Asia Tenggara merupakan satu corak kehidupan masyarakat majmuk yang paling unik jika dibandingkan dengan negara dunia ketiga yang lain.

Setiap individu yang dilahirkan atau berhijrah ke negara ini bebas untuk menguasai kekayaan negara jika mereka tekun dan gigih dalam kehidupan seharian mereka. Negara Islam yang mengamalkan konsep kehidupan yang berteraskan tauhid (mempercayai Tuhan yang Esa) dan keagungan Tuhan mampu membentuk jiwa masyarakat Islam untuk berkongsi kekayaan dengan orang bukan Islam.

Ini kerana prinsip dan dasar pemerintahan Islam bercirikan kepada konsep kemanusiaan sejagat iaitu dunia ini adalah hak milik Allah dan setiap manusia berhak mencari nafkah dan menikmati kekayaan negara selama mereka menghormati perundangan negara dan tidak bersikap angkuh serta menyebarkan propaganda terhadap umat Islam.

Umat Islam juga dituntut oleh Islam supaya menghormati masyarakat bukan Islam dan mengiktiraf hak dan peranan mereka dalam negara. Perkara yang digariskan oleh Islam berkaitan dengan konsep kehidupan masyarakat majmuk diamalkan oleh pemimpin dan masyarakat Islam dalam negara ini sejak merdeka.

Perpaduan dan keamanan yang wujud dalam negara ini hasil daripada sikap toleransi dan memahami di antara satu sama lain (mutual understanding) perlu diperkukuhkan, bukan diperkotak katikkan demi kepentingan diri dan perjuangan politik berunsurkan perjuangan perkauman atau bercirikan konsep komunisme yang membelakangkan tradisi masyarakat beragama.

Perjuangan berunsurkan perkauman tidak mungkin dapat membentuk satu masyarakat majmuk yang boleh menegakkan keadilan dan keamanan. Kegagalan dunia Arab menyatu padukan bangsa yang menganut agama yang sama adalah hasil daripada perjuangan ideologi yang bercirikan kepada kabilah, ideologi atau mazhab.

Kebebasan beragama yang diamalkan oleh negara Malaysia perlu dihormati supaya setiap individu dapat memahami bahawa menghindari atau mencegah sesuatu kaum daripada mengamalkan tradisi agama dan budaya mereka merupakan satu perkara yang sensitif dan boleh membangkitkan kemarahan dan mencetuskan permusuhan.

Sukar bagi sesebuah negara mengawal keamanan dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk jika para pemimpin parti politik dalam negara tersebut sering membangkitkan isu-isu yang berbau perkauman. Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan mematuhi janji terhadap orang bukan Islam. Umat Islam yang bertakwa akan berpegang kepada janji di antara mereka dengan orang bukan Islam.

Konsep kehidupan berjiran dan tetamu yang termaktub dalam akhlak Islam merupakan asas penting yang membentuk keperibadian umat Islam sehingga mereka boleh berkongsi kekayaan negara dengan masyarakat bukan Islam. Sikap toleransi yang ditonjolkan oleh umat Islam kepada masyarakat bukan Islam bukan merupakan simbol kepada kelemahan atau ketakutan tetapi ia merupakan prinsip kepimpinan dalam Islam ketika memimpin sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama.

Islam membicarakan hak-hak orang bukan Islam dalam negara Islam. Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada umat Islam jika melakukan kekejaman terhadap orang bukan Islam yang mematuhi Perlembagaan Negara. Kepimpinan Islam sering berteraskan kepada perundangan Allah dan Rasul. Oleh itu, mereka boleh bertolak ansur dengan masyarakat bukan Islam dalam hal berkaitan dengan urusan keduniaan dan kebendaan.

Masyarakat bukan Islam diberi perlindungan dalam negara Islam jika mereka menghormati dan memahami sensitiviti orang Islam dalam hal ehwal tradisi dan keagamaan. Umat Islam diharamkan menceroboh rumah ibadat orang-orang bukan Islam dan memaksa mereka mengamalkan budaya dan tradisi agama Islam. Islam mengajar manusia supaya menjadi masyarakat berilmu dan bertamadun.

Masyarakat yang bertamadun gemar mempelajari pelbagai bahasa dan ilmu pengetahuan daripada pelbagai kaum. Oleh itu, mereka tidak akan menjadikan bahasa dan tulisan bangsa lain sebagai agen yang boleh menghapuskan budaya dan tradisi mereka.

Sepatutnya, masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama menunjukkan minat dan kerjasama dalam mempelajari pelbagai bahasa untuk memperkayakan bahasa dan ilmu pengetahuan kerana ilmu-ilmu warisan dan khazanah sesuatu kaum itu hanya dapat dimiliki secara menguasai bahasa mereka. Perkara seperti ini perlu diserap dalam minda masyarakat Malaysia.

Sikap terlalu mendesak dan keras untuk mendapat hak dalam tulisan dan bahasa sehingga menghapuskan bahasa orang lain secara mendadak bukan merupakan ciri orang yang bertamadun.

Ini adalah ciri kepimpinan komunis yang menghapuskan nilai agama dan budaya secara keras dan spontan. Individu yang mempunyai pemikiran begini sukar untuk hidup bersama dengan masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Ahli-ahli politik yang terlalu gemar menggunakan isu-isu bahasa dan tulisan sebagai cara untuk membangkitkan emosi masyarakat merupakan orang yang kurang matang dalam mengendalikan urusan berkaitan dengan tamadun dan nilai keilmuan dalam kehidupan di dunia ini.

Malangnya ahli-ahli politik di negara ini sama ada beragama Islam atau bukan Islam menjadikan isu bahasa sebagai satu cara untuk membangkitkan emosi perkauman dan perpecahan.

Sedangkan, pengalaman hidup bercirikan masyarakat majmuk merupakan asas kepada kemajuan negara Malaysia yang amat unik dan sukar untuk diamalkan oleh negara-negara dunia ketiga yang lain.

Persoalan yang sering dibangkitkan masa kini ialah apakah bentuk perundangan yang perlu digariskan oleh kerajaan untuk mengekalkan perpaduan kaum dan keamanan negara?

Persoalan ini perlu dijawab oleh para pemimpin politik dalam negara ini. Jika mereka memperjuangkan keamanan dan perpaduan kaum, maka mereka perlu memahami sensitiviti kesemua kaum dalam negara ini, bukannya menunjukkan sikap bongkak dan angkuh apabila merasai diri sudah kuat dan berpengaruh.

Sikap dan tingkah laku begini mencerminkan diri mereka sebagai orang yang tidak bertamadun dan bercirikan kepemimpinan yang keras dan kejam terhadap orang bukan sebangsa dengan mereka.

Oleh itu, masyarakat perlu meneliti dalam pemilihan pemimpin mereka supaya keamanan dan perpaduan kaum dalam negara ini diperkukuhkan lagi.

Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/