Sabtu, 19 Mac 2011

ISU TSUNAMI DI JEPUN : Bumi berubah

Oleh Hazirah Che Sab zeehan@bharian.com.my

Gempa Jepun ubah landskap, diramal cetus Zaman Ais baru

BELUM pun igauan ngeri tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 terhapus sepenuhnya, kita dikejutkan sekali lagi kehadiran bencana yang melumpuhkan Jepun dalam sekelip mata, minggu lalu.

Bermula dengan gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter jam 2.46 petang waktu tempatan, tsunami pula menyerang dengan kelajuan kira-kira 800 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencecah 10 meter. Malah ketika rencana ini ditulis, selain berdepan ancaman gempa susulan, Jepun turut dihimpit krisis mengawal kebocoran radiasinya apabila tahapnya 10 kali ganda lebih tinggi daripada biasa, berikutan impak gempa bumi kategori mega itu. Lebih menyayat hati, harapan menemui mangsa yang terselamat terus pudar dengan angka korban dan mereka yang hilang, lebih 12,000 orang.

Namun, hakikatnya, gempa bumi terbesar di Jepun dan kelima terbesar dalam sejarah dunia itu bukan hanya menambah fakta mengenai bencana tetapi turut mengubah landskap dan perjalanan bumi ini.

Di Jepun saja, gempa itu menyebabkan Kepulauan Honshu, yang juga bahagian paling besar di negara itu, berganjak sehingga 2.4 meter.

Tidak cukup itu, paksi bumi pula menyendeng 25 sentimeter dan mempercepatkan kadar putaran bumi lebih sejuta mikro saat.

Perubahan lain termasuk sejumlah kerak bumi jatuh menjunam ke dalam retakan atau rekahan sepanjang 402 kilometer yang membuka jurang seluas 9.6 kilometer di bawah Lautan Pasifik. Impak ini seperti diakui saintis Itali dan Amerika Syarikat sebagai lebih besar berbanding gempa bumi yang melanda Sumatera, sebelum ini.
Pakar fizik di City College of New York di Amerika Syarikat, Michio Kaku, pula melontarkan andaian kemungkinan gempa kuat yang mengubah paksi bumi boleh menjadi punca berlakunya Zaman Ais.

“Impak gempa bumi 9.0 dalam kategori mega itu turut menyebabkan pengagihan semula sejumlah besar kerak bumi, memendekkan hari, selain mengubah paksi bumi dan mempercepatkan pusingan.

“Namun, ketika kepantasan putaran bumi dijangka tidak memberi kesan jangka sederhana atau panjang, perubahan paksi mungkin ada impaknya, termasuk menjadi punca pembentukan Zaman Ais.

“Masih ada perdebatan saintifik mengenai apa yang menyebabkan zaman itu tetapi teori utama ialah gangguan kecil pada paksi bumi ketika ia mengelilingi matahari. Perubahan kecil ini yang menggoyangkan paksi dan mungkin menyebabkan Zaman Ais,” kata Kaku yang dipetik media antarabangsa, baru-baru ini.

Zaman Ais atau tempoh glasier ini berlaku secara tidak tetap sejak lebih dua bilion tahun. Pada zaman Ais, lapisan ais terbentuk di sebahagian besar benua atau muka bumi ini dan biarpun punca sebenar perubahan dunia itu tidak diketahui, ada saintis yang mengaitkannya dengan perubahan putaran bumi.

Selain itu, pakar geofizik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Richard Goss, pula berkata, perubahan yang menyebabkan putaran bumi pada kadar 1.8 juta setiap saat atau 1.8 mikrosaat, adalah satu isu kekal yang perlu dihadapi manusia sejagat.

Saintis Britain, Bethan Harris, sebaliknya menyifatkan impak itu sememangnya ada tetapi amat minimum.

“Ia kedengaran banyak tetapi kecil berbanding saiz bumi. Perubahan satu darjah paksi bumi bermakna ia bergerak kira-kira 110 kilometer.

“Bagaimanapun, ia tidak berhenti di situ. Bentuk muka bumi Jepun bergerak sebanyak empat meter. Selepas gempa bumi itu, berkemungkinan hari yang kita lalui 1.8 juta sesaat lebih pendek disebabkan perubahan itu.

“Kita dapat melihat perubahan itu dalam purata panjang hari disebabkan perubahan lain di bumi dan atmosfera,” katanya.

Seorang lagi pakar geofizik Barat, Richard Gross, pula berkata paksi Bumi tidak sama dengan paksi utara-selatan di ruang angkasa yang berputar sekali sehari pada kelajuan kira-kira 1,604 kilometer sejam.

Hakikatnya, ini bukan kali pertama gempa bumi besar mengubah tempoh sehari bumi iaitu 24 jam. Malah ia semakin pendek disebabkan gegaran kuat sebelum ini. Buktinya, gempa bumi berukuran 8.8 pada skala Richter di Chile tahun lalu turut meningkatkan putaran bumi dan memendekkan hari kepada 1.26 mikrosaat manakala gempa bumi 9.1 pada skala Richter di Sumatera pada tahun 2004 memendekkan hari kepada 6.8 mikrosaat.

Apa yang membimbangkan, ada kalangan saintis ini turut mendakwa impak gempa bumi di Jepun itu mungkin belum lengkap sepenuhnya kerana gegaran susulan yang lemah turut berupaya mengubah panjang hari. Sekurang-kurangnya 20 gegaran susulan berukuran antara 6.0 pada skala Richter atau lebih dilaporkan berlaku.

Pakar gempa bumi Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat, Dr Daniel McNamara, juga memberi amaran gegaran itu menenggelamkan paras bentuk muka bumi Jepun dan menjadikan sebahagian negara itu kekal di bawah paras laut.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

LIMA BANDAR ZON GEMPA

Gempa bumi Jepun minggu lalu turut mendedahkan risiko yang boleh dialami bandar berpenduduk padat terutama di kawasan berisiko tinggi seperti di sepanjang garisan gelinciran.

Berikut lima bandar raya paling berisiko dilanda musibah dahsyat disebabkan kedudukannya yang mana tiga daripadanya di Amerika Syarikat.

  • Tokyo, Jepun
    Wujud betul-betul di persimpangan tiga plat tektonik iatu Plat Amerika Utara, Plat Filipina dan Plat Pasifik. Sejarah panjang ibu negara Jepun itu dan biasa dilanda gempa bumi mendorong bandar raya berkenaan membina perlindungan tektonik ke paras maksimum. Ia juga dikatakan bandar raya paling bersedia di dunia untuk berdepan musibah gempa bumi.

  • Istanbul, Turki
    Gelinciran Anatolian Utara adalah terpanjang di dunia tetapi bandar raya yang menempatkan prasarana lama dan moden itu mendedahkan 13 juta penduduknya dalam risiko tinggi.

    Gegaran berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda Izmit, 101 kilometer dari Istanbul pada 1999 menjadikan bangunan abad ke-20 yang selalunya dibina dengan konkrit bercampur air masin selain tidak menghiraukan kod bangunan, rebah menyembah bumi yang meragut kira-kira 18,000 nyawa.

  • Seattle, Amerika Syarikat
    Berdepan ancaman gempa bumi besar dan letusan gunung berapi Rainier. Ia terletak di atas sempadan tektonik aktif di sepanjang Plat Amerika Utara, Plat Pasifik dan Plat Juan de Fuca. Pemandangan menakjubkan Gunung Rainier sekadar memberi peringatan yang ia adalah gunung berapi ‘tidur’ atau senyap yang boleh mengatasi Gunung St Helen pada bila-bila masa.

  • Los Angeles, Amerika Syarikat
    Sejak lebih 700 tahun lalu, gempa bumi kuat melanda wilayah berkenaan setiap 45 hingga 144 tahun. Gempa bumi besar terakhir berukuran 7.9 pada skala Richter berlaku 153 tahun lalu. Dalam erti kata lain, Los Angeles cuma menanti masa untuk digegarkan dengan satu lagi gempa besar. Gempa bumi seterusnya akan memberi impak buruk, termasuk memberi kesan kepada keseluruhan California Selatan yang didiami penduduk sekitar 37 juta. Bencana alam besar boleh membunuh antara 2,000 dan 50,000 penduduk dan menyebabkan kemusnahan bernilai berbilion dolar.

  • San Francisco, Amerika
    Mempunyai cuma 800,000 penduduk, San Francisco ialah satu lagi bandar raya besar di sepanjang pantai barat Amerika Syarikat yang boleh musnah akibat gempa bumi dan tsunami besar. Ia terletak berhampiran bahagian utara Gelinciran San Andreas. Ada beberapa gelinciran kecil yang terletak di seluruh bandar raya itu, meningkatkan kemungkinan gempa bumi dahsyat akan berlaku.

    INFO: Definisi

  • Gempa bumi: Fenomena gegaran bumi yang berlaku akibat gerakan bumi yang mengalami gelinciran di garis sesaran bumi ataupun disebabkan oleh aktiviti gunung berapi.

  • Tsunami: Perkataan Jepun bermaksud ‘ombak pelabuhan.’ Ia adalah satu fenomena ombak besar yang melanda pantai disebabkan kejadian gempa bumi di dasar laut. Aktiviti di dasar laut seperti tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan serta hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami.

  • Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    ISU PENGEKALAN NOVEL SPM : Interlok selesai...

    Oleh BISIK AWANG SELAMAT

    Kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran dijangka membuat keputusan berhubung kemelut isu Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein dalam masa terdekat.

    Difahamkan, laporan lengkap daripada panel bebas yang dibentuk bagi mengkaji pindaan novel itu, sudah siap.

    Novel tersebut mencetuskan kontroversi kerana mempunyai perkataan paria yang tidak disenangi sebahagian masyarakat India.

    Awang yakin panel tersebut akan mencari jalan keluar terbaik bagi menyelesaikan kemelut itu.

    Ia mungkin tidak dapat memuaskan hati semua pihak tetapi keputusan perlu dibuat agar isu itu tidak berpanjangan, yang akhirnya boleh merugikan semua. Sesungguhnya kita tidak boleh berlarutan terperangkap dalam isu Interlok. Walaupun ia karya yang hebat, namun realitinya Interlok bukan cerminan kepada segala-galanya. Banyak cabaran dan kompleksiti yang perlu ditangani masa kini. Terlalu banyak perkara demi kepentingan rakyat dan negara,yang menuntut tumpuan dan pelaksanaan.

    Awang secara peribadi berpendapat Interlok hanyalah sebuah karya sastera dan tidak sedikitpun mempunyai unsur rasis atau penghinaan kaum. Terasa cukup terguris kerana novel itu menjadi mangsa prasangka liar dan politiking.

    Tetapi apa yang kita sebagai individu fikir, tidak penting. Yang lebih utama dan sangat mendesak ialah mendahulukan kepentingan negara.

    Memandangkan Interlok menjadi buku teks sastera di sekolah, kita juga harus terbuka kepada maklum balas berasaskan sensitiviti kaum India.

    Awang percaya sebarang pindaan kepada perkataan yang sensitif, tidak akan mengurangkan apatah lagi menghilangkan nilai kesusasteraan pada Interlok. Banyak elemen kekuatan ada pada novel itu biarpun tanpa beberapa perkataan yang dianggap sensitif.

    Hakikatnya, Interlok tetap istimewa dan akan terus menjadi buku teks untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sejarah tidak akan mencalarkan kehebatan Abdullah Hussein sebagai sasterawan. Bahkan, ia akan menjadikan beliau lebih diingati.

    Awang berharap semua pihak akan menerima apa sahaja keputusan Kementerian Pelajaran dengan hati terbuka. Tiada pihak yang menang mahupun kalah dalam isu ini. Yang menang adalah kebijaksanaan dan permuafakatan.

    Fahami isu ini dalam konteks gambaran yang lebih meluas dengan mengambil kira realiti politik, keharmonian dan kestabilan.

    Dalam falsafah pemikiran, diharuskan mengambil keputusan yang kurang mudarat berbanding yang lebih mudarat. Banyak hikmah yang tersembunyi daripada isu Interlok ini. Renungkanlah.

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/

    ISU PENGEKALAN NOVEL SPM : Harap kontroversi Interlok berakhir

    SHAH ALAM – Kontroversi melanda novel Interlok edisi murid sejak 15 Disember tahun lalu diharap berakhir susulan keputusan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkannya sebagai rujukan.

    Isteri penulisnya, Datin Siti Saroja Basri berkata, beliau harap sekiranya berlaku sebarang masalah membabitkan novel itu, ia perlu diselesaikan menggunakan pendekatan terbaik daripada semua pihak.

    “Walaupun masih ada sedikit kontroversi melanda, saya harap ia tidak sehebat dulu.

    “Keprihatinan kerajaan termasuk kementerian terlibat yang tidak putus asa menghadapi perkara ini amat bererti buat saya dan suami,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

    Bercakap sebagai mewakili suaminya, isteri Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain menunjukkan rasa lega setelah kontroversi melanda sebelum ini semakin ‘sejuk’ dan mampu membuatkan suaminya ‘tidur lena’.

    “Alhamdulillah, beliau kini semakin ceria, tiada apa lagi yang mengusutkan fikirannya buat masa ini.

    “Tiada masalah sebenarnya, malah keputusan membenarkan ia digunakan sebagai komponen rujukan pelajar tingkatan lima telah lama diputuskan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

    Saroja berkata, pelajar diharap bukan sahaja menjadikan novel Interlok sebagai bahan rujukan akademik, malah sebagai medium menghayati dan memahami konsep perpaduan antara kaum di negara ini.

    “Bagi pelajar, hayatilah isinya yang mengetengahkan perpaduan termasuk kandungan mengenai falsafah hidup yang menjadikan perpaduan sebagai pegangan utama dalam kalangan semua kaum di Malaysia,” katanya.

    Kelmarin, Muhyiddin mengumumkan novel :Interlok: kekal digunakan sebagai komponen kesusasteraan tingkatan lima bagi pelajar Zon 2, iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.


    Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

    ISU BAHASA : Ketegasan kerajaan elak penggunaan bahasa Melayu diperlekeh


    SELEPAS begitu lama pejuang bahasa mendesak kerajaan bertindak terhadap golongan yang berterusan memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu, akhirnya kerajaan memutuskan untuk menilai tahap penggunaan pihak awam dan swasta.

    Penilaian saja tidak memadai. Perlu ada satu bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap golongan yang memandang rendah terhadap penggunaan bahasa Melayu.

    Tanpa tindakan setimpal, tiada jaminan golongan berkenaan akan mengendahkan peraturan itu dan terus tidak menghormati bahasa di negara mereka sendiri.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika melancarkan program Pembudayaan Bahasa anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kelmarin berkata penilaian tahap pencapaian dalam penggunaan bahasa Melayu itu termasuk urusan surat-menyurat, pengendalian mesyuarat, ucapan dan perbincangan selain mengutamakan dalam risalah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat bagi tujuan promosi dan publisiti.

    Kita hanya boleh berharap tidak berlaku lagi usaha memperlekehkan penggunaan bahasa Melayu, seperti kita hanya dapat berharap tidak wujud lagi keghairahan sesetengah pemaju perumahan mengeluarkan risalah hanya dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

    Tanpa tindakan yang boleh diambil terhadap golongan ini, sikap mereka terhadap bahasa Melayu akan berterusan tanpa sebarang perubahan.

    REJAL ARBEE,
    Shah Alam

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    ISU BAHASA : 1Malaysia 1Bahasa

    SAYA berasa sangat sedih apabila membaca secarik berita yang disiarkan akhbar The Star dengan tajuk ‘Public wants signage in Chinese and Tamil’ yang mana berita ini menerangkan mengenai tanda arah yang terdapat di Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS) adalah mengelirukan dan ramai warga tua dan pelancong menghadapi masalah untuk membaca tanda arah tersebut kerana ia ditulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

    Justeru, lahirlah cadangan agar tanda arah di terminal ini perlu juga diletakkan dalam bahasa Cina dan Tamil untuk membantu mereka memahaminya.

    Apabila kita menerima konsep 1Malaysia maka adalah wajar kita menggunakan satu bahasa sebagai bahasa perhubungan semua bangsa iaitu bahasa Melayu.

    Amat menyedihkan sekiranya rakyat Malaysia sendiri tidak boleh bertutur dan membaca papan tanda dalam bahasa Melayu.

    Jika tindakan meletakkan bahasa Cina dan Tamil dalam tanda arah tersebut dipersetujui, maka kedudukan bahasa Melayu akan menjadi biasa. Mohon keprihatinan seluruh rakyat Malaysia untuk menjiwai kedudukan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ iaitu Bahasa Melayu.

    ZARA

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/

    ISU BAHASA : Nilai semula penggunaan bahasa Melayu di sektor awam, swasta

    Muhyiddin Yassin, Dr. Rais Yatim, Datuk Maglin Dcruz (kiri), Joseph Salang Gandum dan Kamaruddin Siaraf memegang bola kaca semasa merasmikan Pembudayaan Bahasa di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur.

    KUALA LUMPUR 17 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu kaedah perlu dirangka bagi menilai tahap pencapaian dalam penggunaan bahasa Melayu di kalangan sektor awam dan swasta untuk satu jangka masa yang telah ditetapkan.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan segala dasar dan perancangan pembangunan negara tercapai dengan optimum dalam era kepimpinan negara yang menekankan kepada Indeks Prestasi Utama (KPI).

    Penilaian itu, jelas beliau, menjurus kepada tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara dengan diberi keutamaan dan status yang sewajarnya.

    "Sebagai contoh dalam urusan surat menyurat, pengendalian mesyuarat, ucapan dan perbincangan.

    ''Selain itu, risalah dalam menyampaikan maklumat organisasi kepada masyarakat bagi tujuan promosi dan publisiti juga sewajarnya mendahulukan bahasa Melayu," katanya.

    Beliau berucap merasmikan Program Pembudayaan Bahasa anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan di Kompleks Kraf Tangan, hari ini.

    Hadir sama, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf.

    Muhyiddin menambah, bahasa Melayu amat penting kerana ia menjadi benteng bagi memperteguh jati diri bangsa.

    Ini kerana menurut beliau, suasana dan persekitaran yang mewujudkan bahasa Melayu ditunjangi dengan nilai kesantunan yang tinggi dan budaya ketimuran.

    "Terdapat banyak nilai baik di dalamnya yang boleh kita jadikan panduan dan pedoman," katanya.

    Muhyiddin berkata, globalisasi dan ledakan teknologi maklumat hari ini telah melahirkan dunia tanpa sempadan dan sekatan.

    Interaksi manusia, jelas beliau, menjadi semakin luas dan pantas melalui bukan sahaja secara bersemuka, atas talian malah di alam siber.

    "Kita juga seharusnya tidak ketinggalan dan perlu seiringan dengan perubahan yang berlaku dan jangan sesekali berundur ke belakang," katanya.

    Menurut Muhyiddin, situasi hari ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi penggunaan bahasa Melayu yang mana unsur-unsur keunikan serta keagungannya menjadi longgar, rapuh dan mudah dicemari kerana dicampur aduk penggunaannya dengan bahasa-bahasa lain sewenang-sewenangnya.

    Pencemaran bahasa itu, katanya, sedikit sebanyak telah menghakis identiti asli bahasa Melayu dan rasa hormat terhadap bahasa Melayu turut pudar kerana dicampur aduk mengikut selera dan kehendak hati.

    "Ledakan ini telah menjadikan bahasa Melayu semacam berada di belakang berbanding bahasa-bahasa lain," katanya.

    Akibatnya kata Muhyiddin, kelangsungan bahasa Melayu mendepani zaman sekarang melalui saat yang sangat getir.

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/