Jumaat, 20 Mei 2011

ISU PENDIDIKAN : Sabarlah cikgu!

TPM janji usul kenaikan gred guru akan diselesaikan

BALING: Keluhan kira-kira 400,000 guru yang mendakwa tercicir daripada kenaikan gred atau pangkat bermula 1 Januari tahun depan seperti diumumkan Datuk Seri Najib Razak, Isnin lalu, sememangnya dalam perhatian Kementerian Pelajaran untuk diselesaikan.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta mereka bersabar kerana beliau akan membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, menerima aduan, SMS dan tuntutan beberapa kesatuan guru yang mahukan kerajaan memberi perhatian terhadap perkara itu.

"Saya akan teruskan usaha berbincang dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah JPA yang akan memutuskan cara untuk me-menuhi tuntutan berkenaan.

“Kita kena ambil kira keupayaan kerajaan kerana dalam keadaan sekarang kita nak jimat perbelanjaan, nak kurangkan defisit negara... dan kalau kita buat keputusan kena ambil kira keupayaan kerajaan menampung kos tambahan disebabkan kenaikan gaji dan elaun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Pejabat Pelajaran Daerah Baling/Sik, di sini, semalam.

Beliau berkata, guru terbabit tidak perlu bimbang kerana kerajaan masih mempunyai masa enam bulan lagi untuk meneliti perkara itu sebelum ia berkuat kuasa Januari tahun depan.

Sebelum ini, beberapa kesatuan dalam perkhidmatan perguruan menyatakan kekecewaan mereka kerana enam tuntutan mereka tidak diberi perhatian, termasuk kenaikan gred guru besar di sekolah kurang murid (SKM).

Selain itu, mereka menuntut kerajaan mewujudkan jawatan baru gred DG40 iaitu gred tertinggi dalam Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD), selain memperluaskan gred DGA38 kepada semua guru besar dan pengelola kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) gagal dilaksanakan.

Mereka juga berharap tuntutan gred jawatan pegawai pelajaran daerah di 139 PPD membabitkan gred DG52 serta pelaksanaan nisbah seorang guru dengan tujuh murid, khususnya bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah diberi perhatian.

Muhyiddin berkata: "Kita masih ada masa enam bulan dan dalam tempoh itu kita tidak tahu apa akan berlaku... apa ada dalam fikiran Perdana Menteri pun saya tidak tahu tetapi yakin beliau tahu situasi perkhidmatan awam dan kos hidup yang tinggi.

"Bersabarlah... kerana bila Perdana Menteri umum tarikh kuat kuasa 1 Januari 2012, kita ada masa dan saya harap bila sampai Januari nanti dia (Perdana Menteri) akan tokok sikitlah."

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran diarah mengkaji insentif dan pengiktirafan kepada guru yang menjadi pengurus pasukan dan pegawai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bagi menghargai sumbangan mereka dalam meningkatkan prestasi serta pencapaian atlet dan sukan di sekolah.

Beliau berkata pengiktirafan kepada guru terbabit adalah sama seperti yang diberi kepada atlet yang cemerlang dalam bidang sukan.

“Guru terbabit juga perlu diberi pendedahan supaya kewujudan mereka sebagai pegawai kejohanan diterima di persada antarabangsa.

"Atlet yang berjaya dan mempunyai potensi tinggi dalam bidang sukan tertentu harus dilatih secara intensif sebelum menghadapi kejohanan peringkat antarabangsa.

“Begitu juga dengan pegawai kejohanan, pendedahan harus diberi kepada mereka supaya kewujudan pegawai kejohanan ini diterima di peringkat antarabangsa seperti atlet," katanya ketika merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang MSSM Ke-53 2011 di Stadium Perak di sini, malam tadi.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Berhemah didik anak degil

DALAM sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu suci dan bersih, maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya bersikap seperti Yahudi, Nasrani atau Majusi."

Hadis ini jelas membuktikan ibu dan bapa mempunyai tanggungjawab besar untuk membentuk keperibadian dan sikap anak-anak. Terdapat tiga perkara utama yang perlu diusahakan dalam membentuk keperibadian anak-anak iaitu dengan melaksanakan komunikasi unggul, menunjukkan teladan yang baik dan paling penting, utamakan solat dan berdoa.

Komunikasi unggul

Ramai ibu bapa menganggap disiplin anak-anak akan dibentuk melalui kekerasan. Hakikatnya, peribadi mulia anak-anak akan wujud hasil daripada komunikasi unggul antara ibu bapa dan anak.

Ibu bapa perlu sentiasa berdampingan dengan anak-anak, bercakap dengan mereka, mengambil berat mengenai setiap kehendak mereka dan jangan sampai anak-anak merasakan mereka tersisih.

Sikap degil dan keras kepala si anak boleh wujud hasil daripada rasa tidak puas hati yang wujud dalam diri anak tersebut. Mereka bersikap degil sebagai tanda protes dan memberontak agar mereka diberi perhatian.

Anak perlukan kasih sayang dan belaian. Manjakan anak-anak tetapi jangan berlebihan. Belajar untuk katakan 'tidak' apabila perlu dan tepat pada masa serta keadaannya.

Jika anak bersalah, jangan terus menengking marah kepadanya. Praktikkan untuk menegur terlebih dahulu, jelaskan kesilapannya dan kemudian berpesan supaya jangan ulangi kesilapan tersebut.

Pakar psikologi menjelaskan, seorang anak kecil perlu ditegur dan diingatkan mengenai sesuatu perkara sekurang-kurangnya 200 kali. Selepas 200 kali teguran diberi, barulah anak tersebut boleh dimarahi.

Marah yang berpada-pada, jangan gunakan kata-kata kesat dan keras. Jiwa anak-anak terlalu lembut dan mudah untuk mengingati sesuatu yang melukakan hati. Mereka juga terlalu payah untuk melupakannya malah dalam banyak kes, segala keperitan dan kepedihan yang dialami ketika kecil diingati hingga mereka dewasa. Paling membimbangkan, sikap tersebut diwarisi kepada anak-anaknya pula.

Jangan biasakan memukul anak hanya kerana perkara kecil. Pukulan hanya langkah terakhir apabila teguran berulang kali diberikan dan pemulauan anak-anak dilaksanakan.

Pemulauan bermaksud, pinggirkan anak tersebut seketika dengan tidak melayan kehendaknya atau tidak dibawa bersembang sama. Tindakan itu menjelaskan bahawa anda merajuk hati dengan sikap tidak pedulinya terhadap teguran anda.

Setelah teguran dan pemulauan dilakukan, barulah pukulan boleh dilaksanakan. Itupun hanya dengan tujuan mengajar. Gunakan rotan yang sederhana, tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil.

Pukulan dibuat dengan keadaan lengan rapat ke tubuh dan dihayun rotan tersebut ke bahagian tubuh yang terlindung. Tempat terbaik ialah di tapak kaki. Untuk makluman, pakar kesihatan mengakui, pukulan di tapak kaki membantu pengaliran darah yang sudah semestinya baik untuk kesihatan.

Teladan yang baik

Ramai ibu bapa yang bersikap seperti ketam, menyuruh si anak berjalan betul tetapi diri sendiri gagal berjalan betul. Ibu bapa sepatutnya bersikap walk the talk iaitu menunjukkan sikap yang baik untuk anak-anak agar anak-anak boleh meneladaninya.

Jika tidak suka anak-anak lewat mandi, ibu bapa seharusnya mandi awal pagi. Jika tidak suka anak-anak bercakap keras dan kasar, ibu bapa perlu bercakap baik dan berhemah.

Jangan sesekali mengelirukan anak-anak dengan arahan. Sebagai contoh, si ibu menegur kesilapan si anak tetapi si bapa pula memarahi si ibu. Anak akan keliru, mana satu yang betul sebenarnya?

Jangan tonjolkan sikap buruk yang telah menjadi tabiat anda kepada anak-anak. Anda tentu tahu, anak anda diajar di sekolah tentang tabiat merokok itu tidak elok untuk kesihatan.

Jika anda merokok di depan anak, mereka akan keliru dengan ajaran guru sekali gus tidak hormatkan guru. Lebih sadis apabila mereka gagal untuk hormati anda sebagai ibu atau bapa.

Penting! Jika ada perselisihan faham antara anda dan pasangan anda, elakkan bermasam muka atau bertengkar di hadapan anak. Sikap keras anda akan mudah diteladani mereka.

Utamakan solat dan berdoa

Sebagai individu Muslim, anda perlu mendidik agar anak anda mengutamakan solat lima waktu. Solat bukan semata-mata ibadat dan tanda syukur kepada Allah, malah ia satu pembentukan akhlak dan disiplin yang baik.

Ajar anak-anak mengaji Muqaddam atau al-Quran sejak kecil, seboleh-bolehnya ketika anak sudah mula berkata-kata. Ajarkan juga anak bersolat. Biarpun tidak betul pergerakannya, melatih mereka sejak usia muda akan membentuk kebiasaan agar solat bukan lagi menjadi satu bebanan.

Jiwa yang menghayati solat akan terhindar daripada perkara tidak baik seterusnya melahirkan akhlak yang terpuji, Insya-Allah!

Sebagai ibu bapa, sentiasa praktikkan untuk mendoakan yang terbaik untuk anak-anak. Jangan biasakan kata-kata kesat dan negatif kerana ia mudah menjadi doa untuk anak anda.

Ingatlah, jika anak anda hidup dalam kekasaran, dia akan belajar melawan orang lain.

Jika anak anda hidup dalam kritikan, dia akan belajar menyalahkan orang lain.

Jika anak anda hidup dalam ketakutan, dia akan belajar jadi pengecut.

Jika anak anda hidup dalam iri hati, dia akan belajar berasa bersalah.

Jika anak anda hidup dalam kesabaran, dia akan belajar menjadi penyabar.

Jika anak anda hidup dalam galakan, dia akan belajar menjadi yakin.

Jika anak anda hidup dalam pujian, dia akan belajar menghargai.

Jika anak anda hidup dalam persetujuan, dia akan belajar menyayangi diri sendiri;

Jika anak anda hidup dalam kejujuran, dia akan belajar memahami kebenaran.

Jika anak anda hidup dalam keadilan, dia akan belajar menjadi adil.

Jika anak anda hidup dalam keselamatan, dia akan belajar menyayangi diri dan orang lain.

Jika anak anda hidup dalam kemesraan, dia akan belajar untuk menyayangi masyarakat.

Sumber :http : //www.kosmo.com.my/