Jumaat, 15 Julai 2011

41, 267 Calon Ditawarkan Tempat Di IPTA

PUTRAJAYA: Seramai 41,267 calon ditawarkan tempat untuk mengikuti Program Ijazah Pertama bagi sesi akademik 2011/2012 di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kata Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa.

Beliau berkata jumlah calon yang berjaya mendapat tempat ke IPTA itu adalah daripada 64,703 calon yang memohon dan daripada 53,216 calon yang layak iaitu peningkatan sebanyak 1.9 peratus berbanding sesi akademik 2010/2011 sebanyak 40,506 calon.

Seperti tahun sebelumnya, bilangan pelajar perempuan mengatasi bilangan pelajar lelaki, di mana 27,001 calon perempuan iaitu 65.4 peratus berjaya mendapat tempat di IPTA, berbanding 14,266 atau 34.6 peratus pelajar lelaki, kata Dr Rujhan.

"Dari segi calon yang ditawarkan tempat mengikut kaum, seramai 29,838 daripada 39,998 calon atau 74.6 peratus adalah Bumiputera, 9,457 daripada 10,677 calon atau 88.6 peratus adalah Cina, 1,511 daripada 1,813 calon atau 83.3 peratus India dan 461 daripada 728 calon atau 63.3 peratus dari kaum-kaum lain.

"Dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan ke IPTA bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Matrikulasi/Setaraf (Ijazah Pertama) adalah berasaskan prinsip meritokrasi dengan mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulam untuk menentukan nilai merit seseorang calon," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Dr Rujhan berkata, daripada 41,267 calon yang berjaya, seramai 21, 954 (53.2 peratus) adalah calon aliran Sains dan 19,313 (46.8 peratus) adalah calon aliran Sastera.

Menurutnya, sebanyak 6,294 calon cemerlang ditawarkan untuk mengikuti lapan kursus kompetitif iaitu Perubatan seramai 983 calon (Melayu-581, Cina- 339, India-50 dan kaum-kaum lain-13), Pergigian sebanyak 174 calon (Melayu-91, Cina-77, India-4, kaum-kaum lain-2), Farmasi sebanyak 283 calon (Melayu-151, Cina-125, India-7), Kejuruteraan Kimia sebanyak 919 calon (Melayu-648, Cina-217, India-45, kaum-kaum lain-9).

Kejuruteraan Elektrik & Elektronik sebanyak 1,163 calon (Melayu-923, Cina- 209, India-18, kaum-kaum lain-13), Kejuruteraan Mekanikal sebanyak 1,601 calon (Melayu-1,251, Cina-311, India-20, kaum-kaum lain-19), Undang-undang sebanyak 367 calon (Melayu-221, Cina-105, India-37, kaum-kaum lain- 4) dan Perakaunan sebanyak 804 calon (Melayu-509, Cina-269, India-18, kaum-kaum lain- 8).

Sementara itu, Dr Rujhan berkata seramai 38 Orang Asli, 49 Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 990 atlet negeri dan negara turut ditawarkan tempat di IPTA selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan graduan holistik yang mampu merealisasikan agenda dan wawasan negara.

Beliau berkata, 3,018 calon cemerlang yang mempunyai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0, sudahpun ditempatkan di 20 IPTA, iaitu seramai 2,045 calon di 19 IPTA manakala bakinya di Universiti Sains Malaysia (USM) yang merupakan universiti APEX.

Dr Ruhjan berkata calon boleh menyemak keputusan tawaran ke IPTA mulai 12 tengah hari ini dan IPTA akan mengeluarkan surat tawaran secara rasmi mulai esok (16 Julai).

Semakan boleh dibuat melalui laman web http:upu.mohe.gov.my, http://www.mohe.gov.my, http://ipt.uum.edu.my dan http://www.ipt.utm.my atau di talian hotline 03-8883 5858,Helpline 03-8883 5848 dan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS); UPU RESULT (no KP) dan SMS ke 15888.

Katanya semua calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan setuju terima tawaran oleh IPTA dalam tempoh tujuh hari iaitu pada atau sebelum 22 Julai.

Calon yang gagal menerima sebarang tawaran boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 10 hari selepas keputusan rasmi diumumkan melalui e-rayuan di laman web http://upu.mohe.gov.my.

Tarikh tutup permohonan e-rayuan ialah pada 24 Julai.

Dr Rujhan berkata tarikh pendaftaran pelajar baru ke IPTA ialah pada minggu pertama September.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Formula 1:3:7 tangani isu disiplin murid

Oleh Syuhada Choo Abdullah

choo@bharian.com.my

Kes disiplin pelajar wajib selesai dalam seminggu di semua peringkat

KUALA LUMPUR: Berikutan kelewatan menangani beberapa kes disiplin di sekolah sejak kebelakangan ini, Kementerian Pelajaran menetapkan supaya kes disiplin murid wajib diselesaikan dalam tempoh tujuh hari pada semua peringkat.


Tempoh itu bagi penyelesaian kes dalam bidang kuasa pentadbiran sekolah, pejabat pelajaran daerah (PPD) dan jabatan pelajaran negeri (JPN), di bawah pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 (hari pertama, ketiga, ketujuh) Pelaporan Dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.

Penyelesaian itu termasuk tindakan perlu diambil mahu pun hukuman atau penyelesaian lain yang sudah dilakukan selain memaksimumkan kepuasan hati pihak terbabit.

Bagaimanapun jika kes itu membabitkan pihak berkuasa lain seperti pendakwaan di mahkamah, maka tempoh proses terbabit tidak dikira dalam pelaksanaan SOP berkenaan.

Berdasarkan SOP itu, insiden yang memerlukan kesegeraan dihantar kepada Kementerian Pelajaran pada hari pertama meliputi kes berunsur jenayah, kelucahan melampau, keracunan makanan, kemalangan serius, bencana, buli, pergaduhan, isu perkauman, pandemik (contohnya H1N1), histeria atau isu lain yang perlu dilaporkan segera pada pandangan pengetua atau guru besar.

Panduan pelaksanaan SOP itu terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2011 bertarikh 28 Jun lalu yang ditandatangani Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, serta dimuat naik dalam laman web Kementerian Pelajaran sejak Selasa lalu.

Abd Ghafar berkata, ada kes disiplin murid yang berlaku di sekolah lambat ditangani sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dan menjejaskan reputasi serta prestasi sesebuah sekolah, malah kementerian.

“Selain itu, ada juga kes atau insiden yang hanya dilaporkan kepada kementerian selepas beberapa hari berlaku atau selepas diminta kementerian.

“Hal ini menggambarkan kelemahan pengurusan semua peringkat dalam menangani isu ini,” katanya dalam surat pekeliling ikhtisas itu.

Sejak kebelakangan ini, ada isu disiplin murid yang disiarkan di media massa terlebih dulu, membuktikan kelewatan JPN/PPD melaporkan kes itu kepada kementerian.

“Sikap sesetengah pentadbir sekolah yang gagal bertindak segera menghubungi Kementerian Pelajaran amat dikesali dan perlu diperbetulkan,” katanya.


Pelaksanaan SOP itu juga untuk menilai prestasi sesebuah sekolah, PPD dan JPN dengan mengambil kira pematuhan tahap kesegeraan tindakan bagi menangani masalah disiplin murid.

Mengikut SOP itu, laporan mengenai insiden disiplin murid hendaklah disampaikan segera oleh JPN kepada kementerian, iaitu pada hari kejadian jika berlaku di sekolah; pada hari kes tersebar melalui media massa jika berlaku di luar sekolah, ketika cuti atau di luar pengetahuan pihak sekolah; dan jika berlaku di luar sekolah atau ketika cuti di mana pihak sekolah mengetahuinya, maka hendaklah segera menyampaikan maklumat atau laporan kepada JPN.

Enam langkah yang mesti diambil sebagai tindakan dan penyelesaian kes disiplin iaitu:

Langkah pertama (membabitkan sekolah) - siasat kes, ambil tindakan awal, buat laporan awal ke PPD atau terus ke JPN (bagi negeri tiada PPD), manakala bagi kes atau insiden serius, sekolah perlu terus lapor ke JPN.

Langkah kedua (PPD) - menyemak maklumat daripada sekolah dan siasat, menghantar laporan awal ke JPN berserta ulasan dan pandangan awal PPD, membantu sekolah menyelesaikan masalah termasuk tindakan wajar, sementara bagi kes atau insiden serius, PPD boleh lapor terus kepada JPN atau kementerian.

Langkah ketiga (JPN) - menyemak maklumat daripada PPD dan siasat jika perlu, serta menghantar laporan awal ke kementerian berserta ulasan dan pandangan awal JPN.

Langkah keempat (JPN) - menjalankan siasatan selanjutnya dan menghantar laporan penuh kepada kementerian, termasuk tindakan yang sedang, akan atau sudah diambil oleh pihak terbabit.

Langkah kelima (kementerian melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian/BPSH) - membuat ulasan dan pandangan terhadap laporan JPN, membawa laporan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, jika perlu tindakan lanjut maklumkan kepada JPN untuk dibuat, dan JPN melaporkan semula kepada BPSH.

Langkah keenam (BPSH) - mengkaji laporan akhir JPN serta menentukan tindakan dari segi dasar operasi kementerian.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Keputusan ke IPTA bagi lulusan STPM diumumkan hari ini

PUTRAJAYA 15 Julai - Status keputusan permohonan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi program pengajian lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf bagi sesi akademik 2011/2012 boleh disemak bermula pukul 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa berkata, semakan itu boleh dibuat di laman web kementerian atau di http://upu.mohe.gov.my.

Beliau berkata, sebanyak 41,267 tempat ditawarkan untuk mengikuti program ijazah pertama pada tahun ini.

Sumber : http : //www. utusan.com.my/