Isnin, 8 Oktober 2012

SAAT YANG DINANTIKAN SEMAKIN HAMPIR.....


ISU PENDIDIKAN : Membetulkan persepsi konsep sekolah asrama


SEORANG pakar akademik pendidikan, John Beamish daripada Linden Boarding Schools menyarankan agar konsep sekolah berasrama di negara ini dinilai dengan skop yang lebih luas dan berhenti mengaitkannya dengan tanggapan lapuk.

Menurutnya, gambaran tradisi yang mengaitkan sekolah berasrama dengan aktiviti buli perlu dikikis dan masyarakat perlu menilai kewujudan sekolah berasrama dari sudut positif.

''Imej sekolah berasrama yang digambarkan sebagai tempat pelajar dibuli oleh pelajar senior perlu dibetulkan kerana aktiviti ini suatu kegiatan yang tidak baik dan perlu dihapuskan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujarnya, biarpun gejala buli sering berlaku di sekolah asrama namun keistimewaan dan kebaikan konsep sekolah berasrama tidak harus dipinggirkan malah perlu dipermoden.

''Apa yang harus dilakukan sekarang adalah kita perlu melakukan perubahan yang lebih moden terhadap sistem sekolah berasrama agar tidak lagi dilihat sebagai satu perkara tradisi.

''Hakikatnya, konsep sekolah berasrama ini banyak kebaikan berbanding keburukan jika kita melihat skop pelaksanaannya secara lebih luas," katanya.

Malah, tegasnya, kajian turut membuktikan pelajar yang tinggal dalam persekitaran sekolah berasrama lebih berdisiplin dan berwawasan tinggi.

Selain itu, ujar beliau, konsep sekolah berasrama sering disalahertikan dengan menganggap kemudahan itu disediakan khusus untuk membantu membaiki masalah disiplin dalam  kalangan pelajar bermasalah.

''Hakikatnya, banyak kelebihan jika membesarkan anak-anak di sekolah berasrama selain anggapan hanya untuk memisahkan hubungan anak dan ibu bapa serta menekankan konsep memaksa pelajar mencapai keputusan peperiksaan cemerlang," tegasnya.

Namun, kata beliau, konsep pendidikan sekolah berasrama banyak mengkhususkan kepada 'kehidupan untuk belajar' dalam kehidupan harian dan menjadikan pembelajaran sebagai budaya hidup.

''Sekolah berasrama membentuk kehidupan pelajar menjadi lebih baik malah mereka yang pernah mengikuti pembelajaran di sekolah asrama mengakui sanggup mengulangi pembelajaran secara sekolah berasrama," kata beliau.

Pada perkembangan yang sama, Beamish memberitahu, pihaknya berhasrat menganjurkan persidangan pameran menggabungkan beberapa sekolah berasrama berprestij di seluruh dunia November depan di Kuala Lumpur.

Negara yang akan terlibat dalam persidangan itu ialah Kanada, Jordan, Sweden, Switzerland dan Jerman.

Antara objektif utama penganjuran termasuklah menyedarkan masyarakat umum mengenai konsep modenisasi yang perlu diterap dalam penambahbaikan konsep sekolah berasrama.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 481,424 calon duduki PMR esok


KUALA LUMPUR - Sebanyak 481,424 calon akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula esok sehingga 16 Oktober  ini di 3,560 pusat peperiksaan di seluruh negara.
  
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran hari ini, mereka melibatkan 448,436 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 5,846 calon adalah dari sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
  
Seramai 10,051 calon lagi adalah dari sekolah menengah agama negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian dan 2,212 calon sekolah menengah agama rakyat. - BERNAMA.

ISU PENDIDIKAN : Penulisan sejarah dan sejarah Malaysia


Oleh : PROFESOR A MURAD MERICAN

PELBAGAI tafsiran dan perspektif dalam penulisan sejarah dan sejarah Malaysia seharusnya menarik perhatian kita. Sejarah sesebuah masyarakat dan negara adalah sesuatu yang dinamik. Kepelbagaian tafsiran tidak wajar dibendung dalam iklim demokrasi dan kebebasan intelektual dalam masyarakat berbilang kaum, agama, tradisi, nilai dan identiti.

Dalam konteks yang sama, komentar Profesor Datuk Dr. Sidek Baba mengenai pentingnya subjek Sejarah (24 September 2012, h. 11) perlu diberi perhatian sewajarnya. Prof. Sidek menguatkan lagi kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk memperkasakan subjek Sejarah dengan memberi perhatian kepada isu-isu berikut:

* Keperluan pendidikan sejarah
* Kurikulum dan tafsirannya
* Metodologi pengajaran-pembelajaran
* Mewajibkan Sejarah dalam sistem persekolahan

Penulis juga menyentuh mengenai jati diri dan kewatanan, tafsiran dan orientasi. Penulisan Prof. Sidek menambah kepada jalur-jalur wacana mengenai persejarahan dan sejarah di Malaysia di akhbar Utusan Malaysia, juga lain-lain suratkhabar dan majalah, terutama sekali yang berbahasa Melayu. Wacana popular sejarah Malaysia dalam media cetak Melayu yang berorientasi sentimen dan pandangan alam Melayu umumnya dianggap sebagai selari dan sebahagian daripada 'sentrik-nasional.' Begitu juga dengan wacana sedemikian dalam media berbahasa Inggeris dan media berbahasa Cina. Wacana mengenai sejarah Malaysia tersebut yang bukan hanya melalui surat khabar dan majalah, tetapi juga blog dan penulisan dalam talian, umumnya menjurai kepada perspektif yang berbeza.

Selain itu, wacana yang sama juga terpapar melalui karya-karya penulisan buku selama dua dekad kebelakangan ini - yang pada awalnya menonjolkan tokoh-tokoh Parti Komunis Malaya dan peranan mereka serta pelbagai faham Komunisme dalam perkembangan sejarah Malaysia.

Penulisan sejarah, komentar mengenai sejarah dan kurikulum sejarah Malaysia semakin menyerlah memaparkan dan menonjol peranan masyarakat dan individu dalam pembinaan negara Malaysia. Umumnya orientasi penulis dan penulisan berbeza mengikut identiti dan etnisiti mereka yang menulis. Perkara ini perlu dilihat sebagai proses percambahan naratif mengenai bangsa dan negara, dan ia akan terus berlaku. Sekurang-kurangnya wujud satu perdebatan sihat yang dapat melibatkan semua kaum dan seluruh lapisan masyarakat.

Namun tiada satu konsensus umum mengenai bila sejarah Malaysia bermula serta pengiktirafan fahaman "pribumi." Malah dalam pelbagai wacana, terutama sekali pada tahap, atau berselindung di sebalik wacana akademik, identiti pribumi dan kepribumian itu cuba dihapuskan.

Bagi menjelaskan maksud komentar ini, saya menarik perhatian kepada penerbitan buku bertajuk Malaysian Chinese and Nation-Building: Before Merdeka and Fifty year After, 2007 terbitan Centre for Malaysian Chinese Studies (Pusat Kajian Cina Malaysia) bertempat di Kuala Lumpur. Buku terbitan dua jilid itu disunting oleh Voon Phin Keong. Jilid satu merangkumi tiga bahagian, yakni pengenalan, latarbelakang sejarah dan perspektif ekonomi. Penghasilan buku ini ialah dari sebuah projek untuk meneliti sumbangan masyarakat Cina dalam sejarah dan pembinaan negara bangsa yang sekian lama dikatakan terpinggir. Pendahuluan buku itu cuba meyakinkan bahawa masyarakat Cina Malaysia "dibendung" oleh tempat kelahiran, ketaatan, dan ikatan kepada tanah tumpah darah.

Saya menyorot bab 1 dan bab 2 yang masing-masing bertajuk "State and Nation: An Overview and Malaysian Perspective" [Negara dan Bangsa: Selayang Pandang dan Perspektif Malaysia], dan "Pioneers, Entrpreneurs, and Labourers: Building the Social and Economic Foundation of Statehood [Peneroka, Usahawan dan Buruh: Membina Asas-asas Sosial dan Ekonomi Kenegaraan].

Dalam bahagian "The Malaysian State and Nation" [Bangsa dan Negara Malaysia], bab 1, penulis menyatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara bangsa menyelusuri asal usulnya kepada perkembangan pengawalan British dengan pembukaan Pulau Pinang pada 1786, seterusnya kepada penyatuan Malaya dan Wilayah Borneo British 1963. Seterusnya, bab itu menyatakan bahawa faktor utama yang memberi asas kepada kesamaan masyarakat ke atas wilayah-wilayah tersebut ialah legasi pentadbiran dan undang-undang British. Malah, bab itu menegaskan "asal usul kolonial negara ini menghasilkan masyarakat majmuk" yang bersifat pemisahan ruang dan ekonomi di kalangan kumpulan etnik yang berbeza.

Setakat apa yang diperhatikan, wacana dalam kedua bab itu mengandaikan kedudukan dan status yang sama antara orang Melayu, pribumi Sabah dan Sarawak, kaum Cina dan India serta penjajah dan pentadbir British dalam pembinaan negara bangsa.

Seterusnya, bab itu menyatakan bahawa kaitan formal kaum Cina dan Malaya (pada masa tidak ada Malaya) bermula dengan pelayaran Cheng Ho ke Melaka pada 1407. Masyarakat perdagangan Cina terus diasaskan di Malaya dan Borneo dengan meluasnya. Menurut bab tersebut, ini berlaku sebelum abad ke 16 lagi.

Di Melaka, masyarakat Cina menjadi Peranakan atau Cina kelahiran Selat yang dikenali sebagai Baba. Di Pulau Pinang pula disebut bahawa seramai 58 orang nelayan bermastautin di situ semasa Francis Light mendarat. "Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka adalah orang Cina dan dipercayai mereka telah hidup di pulau itu selama 40 tahun." Salah seorang daripada mereka yang bernama Chong Li, kemudiannya disembah oleh masyarakat Cina sebagai Ta Pek Kong, sama dengan statusnya sebagai pengasas ('founding father.")

Apa yang dapat kita tafsirkan daripada dua bab pertama buku Malaysian Chinese and Nation-Building ialah walaupun penganjur buku tersebut cuba menyatakan sejarah kaum Cina di Malaysia dari satu perspektif namun terdapat beberapa permasalahan penonjolan dan pengwajahan dalam penceritaan sejarah Malaysia.

Dalam membincangkan sifat-sifat "negara" dan "bangsa", kedua bab pertama itu membayangi beberapa penafian asas negara Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta kefahaman sejarah yang lebih luas merentasi Kepulauan dan Alam Melayu.

Dalam membincangkan "bangsa," bab pertama menganggap tanggapan dan amalan "negara bangsa" ditentukan oleh kumpulan etnik yang dominan yang terus ingin memenuhi "ideal" budaya monolitik dalam hambatan satu "utopia" yang tidak realistik. Ia memetik istilah yang digunakan oleh Leo Suryadinata sebagai "Negara Pelbagai Bangsa." Suryadinata merujuk kepada Negara-negara Asia Tenggara seperti juga Indonesia. Bab itu juga menyentuh soal bahasa. Ia menyatakan bahawa beberapa negara mempunyai satu bahasa kebangsaan, sementara yang lainnya mempunyai dua atau lebih bahasa rasmi. Ia memetik ahli sosiologi Max Weber sebagai menyatakan bahawa mempunyai satu bahasa untuk semua tidak semestinya satu keperluan muktamad kepada sesebuah negara. Berdasarkan kepada hujah-hujah yang diberi dalam Bab 1, buku itu menolak satu bahasa kebangsaan serta juga identiti kebangsaan.

Persejarahan dan sejarah pembinaan negara bangsa Malaysia bermula lebih awal dari 1786, atau dari zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ratusan politik yang wujud di Nusantara sejak 2,000 tahun dahulu meletakkan batu asas kepada nilai, budaya, struktur pentadbiran dan kerajaan negara bangsa Malaysia.

Ini dilengkap dengan agama Islam yang memperibumikan pandangan alam tamadun rantau tersebut. Orang Melayu sejak itu banyak berubah akibat daripada pertembungan dengan lain-lain tamadun dan budaya. Malah sejarah dan persejarahan Melayu telah mengiktiraf arus dan aliran mereka yang tiba dari luar rantau budaya dan bermastautin dalam kalangan masyarakat Melayu. Jika buku itu merupakan salah satu penanda aras kepada sejarah Malaysia menurut masyarakat Cina, maka kita boleh katakan bahawa ia adalah hanya satu lagi gambaran dan pengwajahan tentang sejarah Malaysia yang mana ketepatannya dapat dipersoalkan. Dan gambaran semacam itu apabila diterbitkan berkali-kali dan disebarkan kepada beribu-ribu murid di sekolah aliran Cina, apa akhirnya akan terjadi?

Saranan Prof. Sidek itu umumnya dibaca oleh pembaca surat khabar ini yang 99 peratus terdiri daripada orang Melayu. Wacana itu tidak dibaca oleh pembaca Cina. Tetapi saya yakin, mesej wacana itu akan sampai kepada golongan pendidik dan cendekiawan Cina.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas, dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Pulau Pinang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/