SEORANG pakar akademik
pendidikan, John Beamish daripada Linden Boarding Schools menyarankan agar
konsep sekolah berasrama di negara ini dinilai dengan skop yang lebih luas dan
berhenti mengaitkannya dengan tanggapan lapuk.
Menurutnya, gambaran tradisi yang
mengaitkan sekolah berasrama dengan aktiviti buli perlu dikikis dan masyarakat
perlu menilai kewujudan sekolah berasrama dari sudut positif.
''Imej sekolah berasrama yang
digambarkan sebagai tempat pelajar dibuli oleh pelajar senior perlu dibetulkan
kerana aktiviti ini suatu kegiatan yang tidak baik dan perlu dihapuskan,"
katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bukit Damansara, Kuala Lumpur
baru-baru ini.
Ujarnya, biarpun gejala buli
sering berlaku di sekolah asrama namun keistimewaan dan kebaikan konsep sekolah
berasrama tidak harus dipinggirkan malah perlu dipermoden.
''Apa yang harus dilakukan
sekarang adalah kita perlu melakukan perubahan yang lebih moden terhadap sistem
sekolah berasrama agar tidak lagi dilihat sebagai satu perkara tradisi.
''Hakikatnya, konsep sekolah
berasrama ini banyak kebaikan berbanding keburukan jika kita melihat skop
pelaksanaannya secara lebih luas," katanya.
Malah, tegasnya, kajian turut
membuktikan pelajar yang tinggal dalam persekitaran sekolah berasrama lebih
berdisiplin dan berwawasan tinggi.
Selain itu, ujar beliau, konsep sekolah
berasrama sering disalahertikan dengan menganggap kemudahan itu disediakan
khusus untuk membantu membaiki masalah disiplin dalam kalangan pelajar bermasalah.
''Hakikatnya, banyak kelebihan
jika membesarkan anak-anak di sekolah berasrama selain anggapan hanya untuk
memisahkan hubungan anak dan ibu bapa serta menekankan konsep memaksa pelajar
mencapai keputusan peperiksaan cemerlang," tegasnya.
Namun, kata beliau, konsep
pendidikan sekolah berasrama banyak mengkhususkan kepada 'kehidupan untuk
belajar' dalam kehidupan harian dan menjadikan pembelajaran sebagai budaya
hidup.
''Sekolah berasrama membentuk
kehidupan pelajar menjadi lebih baik malah mereka yang pernah mengikuti
pembelajaran di sekolah asrama mengakui sanggup mengulangi pembelajaran secara
sekolah berasrama," kata beliau.
Pada perkembangan yang sama,
Beamish memberitahu, pihaknya berhasrat menganjurkan persidangan pameran
menggabungkan beberapa sekolah berasrama berprestij di seluruh dunia November
depan di Kuala Lumpur.
Negara yang akan terlibat dalam
persidangan itu ialah Kanada, Jordan, Sweden, Switzerland dan Jerman.
Antara objektif utama penganjuran
termasuklah menyedarkan masyarakat umum mengenai konsep modenisasi yang perlu
diterap dalam penambahbaikan konsep sekolah berasrama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan