Rabu, 5 Mei 2010

Memerangi rasuah perlu komitmen semua sektor

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID

SEPERTI najis dadah, rasuah juga musuh utama negara yang wajib diperangi. Dalam konteks ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dan mencabar dalam memerangi rasuah di negara ini. Rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja, tidak kira dalam agensi kerajaan mahupun swasta. Rasuah ada pemberi dan penerimanya.

Ia tidak akan berlaku jika salah satu pihak menolak amalan yang menjijikkan itu. Kaedah memberi rasuah juga pelbagai dan semakin licik sifatnya. Justeru, ia bukan perkara yang mudah bagi SPRM untuk membendungnya.

Namun, dengan iltizam dan kekentalan semangat yang tinggi, SPRM bersedia mendepani segala cabaran dan rintangan untuk menjadikan Malaysia negara yang bebas dan bersih daripada gejala rasuah. Melalui aspirasi dan slogan SPRM 2010, iaitu 'Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah' yang dilancarkan oleh Ketua Pesuruhjaya, Datuk Abu Kassim Mohamed sempena ulang tahun pertama penubuhannya pada 9 Mac lalu, ia telah meningkatkan kesedaran di kalangan penjawat awam dan masyarakat tentang kesan dan bahaya rasuah.

SPRM ditubuhkan melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan mula beroperasi pada 1 Januari 2009 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Pada 26 April lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah merasmikan kempen 'Hindar Menerima, Perangi Pemberi Rasuah'. Kempen itu bertujuan mencetuskan motivasi dan meningkatkan integriti penjawat awam dengan menolak amalan rasuah, di samping melakukan perubahan minda ke arah pencapaian agenda transformasi negara.

Seperti yang disebut Mohd Sidek, mesej dan matlamat kempen itu adalah mudah, iaitu penjawat awam tidak boleh dirasuah. Kempen itu juga bertujuan menyedarkan orang awam bahawa pemberi rasuah juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang. Dalam ucapan perasmian kempen tersebut, beliau menyebut bahawa pelaksanaan dan kejayaan kempen ini banyak bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua ketua agensi.

Kesedaran yang tinggi di kalangan pegawai dan anggota perkhidmatan awam mengenai 'najis' dan jenayah rasuah akan menjadikan mereka lebih tegas dan berani menolak pujukan serta godaan pemberi rasuah. Peningkatan tahap integriti ini amat selari dengan komitmen kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu mewujudkan sebuah pentadbiran yang 'mendahulukan rakyat' dan 'mengutamakan pencapaian' seperti yang terkandung dalam gagasan '1Malaysia'.

Justeru, usaha memerangi rasuah menjadi agenda utama pentadbiran beliau supaya aspirasi dan kehendak rakyat benar-benar menjadi kenyataan.

Ini terbukti apabila usaha membanteras rasuah turut dijadikan salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diberikan perhatian penting di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Warga perkhidmatan awam dikehendaki memberi fokus kepada penyampaian perkhidmatan yang efisien dan efektif dengan menampilkan nilai etika kerja dan tahap integriti yang tinggi.

GTP yang telah dilancarkan oleh Najib pada 28 Januari lalu bertujuan membawa perubahan perkhidmatan awam ke arah menyediakan perkhidmatan yang melangkaui jangkaan semua segmen rakyat dan pelanggan. Ini membuktikan bahawa gagasan '1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' adalah gagasan serius yang menuntut warga perkhidmatan awam melakukan transformasi minda, etika kerja dan kaedah penyampaian perkhidmatan bagi mendukung agenda dan aspirasi negara.

Sektor perkhidmatan awam hari ini lebih menjurus kepada memudah dan mempercepat urusan pelanggan, sama ada urusan orang ramai ataupun sektor swasta tanpa banyak proses dan prosedur serta kerenah birokrasi. Cara ini didapati berupaya membendung berleluasanya amalan rasuah dalam perkhidmatan yang diberikan. Penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) telah berjaya membentuk kerjasama sektor awam dan sektor swasta. Melalui Pemudah, banyak proses dan prosedur lapuk dan menyukarkan telah dapat dihapuskan atau dikurangkan.

Hasilnya, tempoh masa kelulusan sesuatu permohonan itu dipendekkan apabila berurusan di jabatan dan agensi kerajaan. Keputusan perniagaan seperti pemberian kontrak, perolehan, dan sebagainya dapat dilakukan dengan lebih efisien tanpa melalui 'jalan belakang'. Hakikatnya, banyak kemajuan sudah dirasai oleh mereka yang berurusan dengan sektor awam hari ini.

Misalnya, pendaftaran perniagaan boleh selesai dalam tempoh tiga hari, permohonan pasport selesai dalam tempoh dua jam dan pendaftaran hartanah dilakukan dalam tempoh dua hari.

Begitu juga dengan penggunaan MyID untuk semua urusan individu dengan pelbagai agensi kerajaan amat memudahkan kerana kita perlu mengingati satu nombor sahaja. Penggunaan MyCOID untuk semua urusan perniagaan telah menjadikan kerajaan lebih mesra perniagaan.

Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) turut dimanfaatkan oleh kerajaan melalui talian dalam banyak urusan. Melalui Internet, pembayaran dan transaksi boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan di mana-mana. Kini, terdapat 1,277 perkhidmatan dalam talian di pelbagai agensi perkhidmatan awam bagi memudahkan urusan orang ramai menggunakannya.

Kesimpulan, pelbagai pembaharuan yang dilakukan dalam perkhidmatan awam itu mampu menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah di kalangan penjawat awam. Rakyat kini semakin yakin dengan agensi kerajaan, terutamanya agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan. Melalui peningkatan integriti ini, maka hasrat kerajaan untuk mempertingkat daya saing negara di persada antarabangsa akan menjadi realiti.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Membudayakan pencegahan jenayah tuntut kerjasama, pengorbanan

Oleh Lee Lam Thye

Program inisiatif bandar selamat selaras kehendak konsep 1Malaysia jadikan masyarakat lebih prihatin, berwaspada

SETIAP hari kita pasti akan terbaca laporan dan berita mengenai pelbagai kejadian jenayah berlaku di bandar utama di seluruh negara seperti kejadian ragut dan rompak, penyalahgunaan dadah, kes pecah rumah, kecurian kenderaan dan penculikan. Yang paling zalim dan ganas ialah jenayah keganasan seperti pembunuhan, wanita diperkosa serta yang paling jijik – sumbang mahram.

Di Malaysia, jenayah dan ketakutan terhadap ancaman jenayah mula menonjolkan kesannya seperti bangunan kediaman yang dipagari dan dipasang peralatan keselamatan, sementara rumah orang kenamaan dikawal – pengawal keselamatan. Banyak juga kawasan taman perumahan dijadikan komuniti berpagar yang dikawal melalui pondok keselamatan. Menurut sebuah laporan dikeluarkan Pusat Penempatan Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu beberapa tahun lalu, keganasan yang berlaku di bandar seluruh dunia meningkat antara tiga hingga lima peratus setahun sepanjang dua dekad lalu.

Keganasan di bandar bukanlah fenomena yang berlaku secara spontan, tetapi wujud disebabkan ketidakseimbangan dan penyisihan sosial. Usaha melindungi masyarakat bandar daripada masalah kemiskinan, pengangguran, penyalahgunaan dadah, gejala sosial dan ketidakadilan dalam integrasi sosial pastinya akan juga melindungi mereka daripada jenayah dan keganasan.

Walaupun proses urbanisasi dan kemiskinan saling berkait rapat dengan isu jenayah dan sosial, wujud faktor lain seperti kemelesetan ekonomi, pengangguran dan keruntuhan moral serta akhlak yang turut menyumbang kepada masalah itu.

Wujud banyak kesan daripada jenayah yang berlaku di bandar dan desa. Selain trauma emosi, ia turut mencetuskan rasa tidak selamat yang akan menjurus kepada terhakisnya keyakinan dan kepercayaan terhadap pihak berkuasa yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Bagi menangani jenayah dan keganasan di bandar, perkongsian kerjasama antara pihak berkuasa setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan komuniti, pihak polis dan sistem kehakiman serta pihak tertentu yang lain, perlu dijadikan sebagai sebahagian penting dalam program pencegahan jenayah negara.

Oleh itu, maka timbul konsep ‘inisiatif bandar selamat’ yang berasaskan prinsip bahawa ‘pencegahan jenayah lebih baik daripada penghapusan jenayah’. Pendekatan yang terpilih dalam tindakan pencegahan jenayah ini ialah menerusi keadaan persekitaran yang selamat dengan peluang untuk melakukan jenayah dapat dikurangkan.

Di negara kita, konsep ‘bandar selamat’ dicetuskan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) seawal 1998 lagi dan Bangsar dipilih sebagai perintis kepada pelaksanaan konsep itu dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di pusat perniagaan bandar baru. Ternyata langkah itu membuahkan hasil kerana kejadian jenayah dilaporkan menurun sehingga 12 peratus dan terus diperluaskan ke beberapa lagi kawasan di Lembah Klang dan bandar besar lain di seluruh negara.

Berikutan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) memperkenalkan konsep ‘bandar selamat’ yang mempunyai tiga ciri utama iaitu mewujudkan sebuah bandar yang bebas daripada semua ancaman fizikal, sosial dan mental; persekitaran yang sentiasa dalam keadaan paling terpelihara selain tidak menimbulkan suasana yang boleh menggalakkan kejadian mengganggu-gugat kesejahteraan setempat dan bandar selamat juga menjanjikan supaya penghuni sentiasa berada dalam keadaan paling selamat, sejahtera, sihat dan ceria.

Dalam hubungan ini, Kabinet pada Ogos 2004 menggariskan empat matlamat utama dalam mewujudkan ‘bandar selamat’ iaitu;

  • Bandar yang bebas daripada keganasan, gejala merosakkan harta benda dan nyawa seperti gejala ragut, pecah rumah, kecurian dan sebagainya;

  • Bandar yang bebas daripada kemusnahan dan mala petaka ekoran bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh;

  • Bandar yang bebas daripada kemerosotan sosial dan moral, seperti penagihan dadah, kecurian, jenayah kolar putih, rasuah, salah guna kuasa, hilang integriti dan sebagainya; dan

  • Bandar yang bebas daripada kemalangan dalam dan luar bangunan seperti kemalangan jalan raya, jatuh dari bangunan, kebakaran dan sebagainya.

    Bagi mencapai matlamat ini lima langkah segera dicadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar dilaksanakan iaitu pengasingan laluan pejalan kaki dengan jalan bermotor; penyediaan pagar; mencuci kawasan semak dan terlindung; laluan awam tidak terlindung atau terhalang daripada pandangan awam dan mencahayakan kawasan gelap yang menjadi sasaran atau tumpuan penjenayah.

    Peringkat awal pelaksanaannya bertumpu kepada program tindakan pencegahan jenayah khususnya jenayah harta benda melalui tiga strategi utama iaitu reka bentuk persekitaran fizikal, kesedaran awam dan memperkasakan kawasan sasaran yang menggariskan 23 langkah pencegahan jenayah.

    Langkah pencegahan jenayah pada dasarnya menuju ke arah pengurangan peluang untuk melakukan jenayah, iaitu dengan mewujudkan ruang yang selamat. Apa yang diperlukan ialah mewujudkan suasana persekitaran yang boleh melindungi dan mewujudkan keprihatinan serta kewaspadaan masyarakat yang diperlukan untuk pencegahan jenayah.

    Inisiatif bandar selamat adalah projek utama MCPF, bertujuan mewujudkan suasana kehidupan yang selamat dan mengurangkan peluang penjenayah melakukan jenayah. Bandar yang selamat bermaksud sebuah bandar yang bebas jenayah dengan penduduknya tidak dibelenggu dengan perasaan takut terhadap ancaman jenayah.

    Di dalam konteks ini, inisiatif itu adalah satu contoh yang baik, dengan kerajaan dan orang ramai bekerjasama dalam usaha mencegah jenayah. Pencegahan jenayah boleh dilakukan melalui perancangan dan reka bentuk alam sekitar, pembangunan masyarakat dan dengan mendidik rakyat supaya lebih berhati-hati dalam apa juga keadaan supaya mereka tidak mengundang bahaya.

    Secara ringkas, inisiatif bandar selamat adalah satu program mengandungi aktiviti yang dirancang dengan pihak polis dan orang ramai berusaha menyelesaikan masalah setempat berkaitan jenayah secara amnya dan khususnya untuk mewujudkan satu persekitaran fizikal yang boleh menangani masalah jenayah, sekali gus mencegah kegiatan jenayah.

    Dalam usaha Malaysia menuju ke arah status negara maju, program inisiatif bandar selamat menjadi satu agenda penting ke arah usaha pencegahan jenayah. Pada dasarnya 11 aktiviti akan dilakukan di dalam pelaksanaan inisiatif bandar selamat, iaitu:

    Pemilihan kawasan projek; mengenal pasti kumpulan sasar di dalam kawasan projek; menerangkan konsep (mengenai inisiatif bandar selamat) kepada kumpulan sasar; menubuhkan jawatankuasa bandar selamat untuk kawasan projek itu; mengenal pasti jenayah dan masalah oleh kumpulan sasar dan jawatankuasa bandar selamat; menyelesaikan masalah oleh kumpulan sasar; mendapat khidmat jururunding sekiranya perlu; melaksanakan cadangan terhadap pencegahan jenayah; memantau keberkesanan pelaksanaan cadangan terbabit dan membuat perubahan sekiranya perlu; merekodkan aktiviti projek serta memantau konsep bandar selamat secara berterusan dan mengambil langkah yang perlu seterusnya.

    Oleh itu, usaha mencegah jenayah harus disandang di bahu setiap orang agar ia tidak menjadi suatu usaha yang berat. Bak kata pepatah ‘yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’. Bersamalah kita membudayakan pencegahan jenayah demi mencapai matlamat komuniti selamat dengan keselamatan rakyat didahulukan dan pencegahan jenayah diutamakan, seiring konsep 1Malaysia. Adalah penting untuk ditegaskan bahawa 1Malaysia juga harus merangkumi sebuah negara yang selamat dan sejahtera dan bersatu padu.

  • Tan Sri Lee Lam Thye ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

    Sumber : http : //www.bharian .com.my/