Khamis, 19 Mei 2011

Penilaian Prestasi Kakitangan Awam : PROSPEK menggantikan PTK mulai 1 Julai

Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my


PUTRAJAYA: Kaedah penilaian baru bagi kakitangan awam untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan Januari lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan, tetapi ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat.

Panel penilai itu akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih.

Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) menggantikan PTK yang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi; memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata selain dimensi asas seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, sistem baru itu juga mengambil kira dimensi tambahan, iaitu kreativiti dan inovasi selaras penekanan kerajaan pada masa ini.

“Pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya,” katanya pada majlis menandatangani persetujuan bersama sistem baru itu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, malam tadi. CUEPACS diwakili Presidennya, Datuk Omar Osman.

Beliau berkata, penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru itu bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan awam.

Faedah pembangunan diri, termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang kakitangan serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang.

Sementara itu, faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan dalam atau luar negara.

Pegawai yang berada dalam gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred berkenaan.

“Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan dan Latihan Berteraskan Kompetensi.

“Ketua perkhidmatan dan jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.

Pengumuman pemansuhan PTK diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober 2010 berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ujian PTK diperkenalkan pada 2003 berikutan pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada Oktober 2002 menggantikan Skim Saraan Baru (SSB) yang diguna pakai bagi menilai prestasi kakitangan awam sejak 1990.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan sebuah panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Konsep baru itu akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan PTK di bawah SSM.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PERPADUAN : Tingkatkan interaksi pelajar pelbagai kaum


TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

GENERASI muda Malaysia yang berbilang kaum perlu meningkatkan usaha integrasi kaum dan perpaduan selaras dengan konsep Gagasan 1Malaysia.

Rakyat Malaysia perlu mengetepikan perbezaan antara kaum dan menghulurkan tangan persahabatan kepada kaum lain.

Perpaduan hendaklah dijadikan panduan prinsip di semua sekolah dalam menjalankan aktiviti sukan hinggalah aktiviti kokurikulum yang bertujuan untuk memupuk persefahaman antara kaum yang lebih tinggi.

Pelbagai program juga perlu diperkenalkan dan dimulakan untuk menemukan para pelajar dari sekolah yang berlainan seperti sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil untuk membolehkan mereka berinteraksi dan berkenalan berdasarkan kepentingan utama untuk membina negara.

Perpaduan dan keharmonian mesti ditanamkan dalam budaya kita dan lebih banyak peluang wajib diwujudkan untuk anak-anak dan para remaja daripada pelbagai kaum bertemu bagi menjalinkan persahabatan lebih erat dan membina pemahaman demi masa hadapan negara dan 1Malaysia.

Ibu bapa memainkan peranan sangat penting dalam memupuk semangat 1 Malaysia dengan menggalakkan anak-anak mereka bercampur gaul dan mempunyai kenalan berbilang kaum.

Sungguhpun kerajaan memainkan peranan utama memenuhi matlamat perpaduan melalui pembentukan polisi dan pelaksanaannya yang sesuai, anak- anak muda juga perlu dididik tentang perpaduan melalui penglibatan dan penyertaan ibu bapa.

Kanak-kanak adalah kanak-kanak. Mereka adalah ikhlas dan jujur dan pemikiran mereka tidak dicemari oleh isu-isu perkauman. Mereka mampu bercampur gaul dan bermain dengan satu sama lain tanpa mengira bangsa.

Ibu bapa yang dibesarkan dan bersahabat dalam suasana kepelbagaian kaum sewajarnya menggalakkan anak-anak mereka bercampur gaul. Anak-anak akan sedar betapa pentingnya keharmonian antara kaum dan antara agama.

Usaha yang berterusan perlu dilakukan terutamanya untuk menangani masalah polarisasi kaum dalam kalangan pelajar pelbagai kaum.

Dalam hal ini pengenalan Khidmat Negara adalah satu cara untuk menangani masalah polarisasi ini. Ibu bapa perlu memberi galakan kepada anak mereka untuk menyertai program Khidmat Negara kerana ia akan menerapkan semangat patriotisme, perpaduan dan kepercayaan dalam kalangan golongan muda daripada pelbagai kaum itu.

Peningkatan tahap interaksi dalam kalangan pelajar pelbagai kaum dari sekolah kebangsaan dan vernakular adalah amat penting untuk memastikan mereka membesar sebagai rakyat Malaysia yang sebenar dari segi penampilan, pemikiran dan perlakuannya.

Penerapan nilai dan harapan murni yang menjadi sandaran kepada perpaduan perlu bermula dari sekolah rendah supaya kita dapat melahirkan generasi masa hadapan Malaysia yang menyedari tanggungjawab mereka untuk membangunkan negara.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/