Isnin, 24 Februari 2014

ISU PENDIDIKAN : Sistem PBS Tidak Akan Dimansuhkan

Datuk Seri Idris Jusoh

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan tidak akan memansuhkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh hari ini.

Beliau berkata kementerian akan mengumumkan bentuk dan pelaksanaan sistem baharu PBS pada 1 April ini.

"Kementerian tidak akan memansuhkan sistem ini, namun akan memperbaharui semula sistem PBS dan melihat cara berkesan untuk penambahbaikan," katanya ketika diminta mengulas mengenai keluhan pelbagai pihak mengenai sistem itu.

Terdahulu beliau menghadiri pameran kejayaan penyelidikan universiti-universiti Siri 1: Penerbitan di Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Bangunan IPPP, Universiti Malaya, di sini.

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dilaporkan berkata guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.   

Menurut Khair, pihaknya akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan PBS setelah Menteri Pendidikan berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.

Mengenai acara hari ini, Idris berkata lima universiti penyelidikan di negara ini telah mencapai kejayaan memberangsangkan dari segi aktiviti dan output penyelidikan.

Beliau berkata dari 2008 sehingga 2012, Malaysia berjaya mengatasi negara jiran, termasuk Thailand dan Singapura dari segi penerbitan dan kertas ilmiah.

"Kita yakin melalui produk bermutu dihasilkan (melalui penyelidikan), ia mampu menjadi produk komersial," katanya.

Lima universiti berstatus universiti penyelidikan adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Idris berkata pameran yang diadakan bertujuan membuktikan pencapaian diraih lima universiti penyelidikan ini dalam menghasilkan ciptaan dan inovasi membanggakan.

Acara ini akan dianjur secara bergilir oleh setiap universiti penyelidikan dengan penekanan berbeza untuk setiap acara, dan acara pertama ini memberi penekanan kepada penerbitan dan kertas ilmiah. - Bernama