Datuk Seri Idris Jusoh |
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan tidak akan memansuhkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh hari ini.
Beliau berkata kementerian akan
mengumumkan bentuk dan pelaksanaan sistem baharu PBS pada 1 April ini.
"Kementerian tidak akan
memansuhkan sistem ini, namun akan memperbaharui semula sistem PBS dan melihat
cara berkesan untuk penambahbaikan," katanya ketika diminta mengulas
mengenai keluhan pelbagai pihak mengenai sistem itu.
Terdahulu beliau menghadiri
pameran kejayaan penyelidikan universiti-universiti Siri 1: Penerbitan di
Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Bangunan IPPP, Universiti Malaya,
di sini.
Semalam, Ketua Pengarah
Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dilaporkan berkata guru tidak perlu
meneruskan pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian
Pendidikan dalam masa terdekat.
Menurut Khair, pihaknya akan
memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan PBS setelah Menteri
Pendidikan berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.
Mengenai acara hari ini, Idris
berkata lima universiti penyelidikan di negara ini telah mencapai kejayaan
memberangsangkan dari segi aktiviti dan output penyelidikan.
Beliau berkata dari 2008 sehingga
2012, Malaysia berjaya mengatasi negara jiran, termasuk Thailand dan Singapura
dari segi penerbitan dan kertas ilmiah.
"Kita yakin melalui produk
bermutu dihasilkan (melalui penyelidikan), ia mampu menjadi produk
komersial," katanya.
Lima universiti berstatus
universiti penyelidikan adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains
Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia
(UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Idris berkata pameran yang
diadakan bertujuan membuktikan pencapaian diraih lima universiti penyelidikan
ini dalam menghasilkan ciptaan dan inovasi membanggakan.
Acara ini akan dianjur secara
bergilir oleh setiap universiti penyelidikan dengan penekanan berbeza untuk
setiap acara, dan acara pertama ini memberi penekanan kepada penerbitan dan
kertas ilmiah. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan