KES dua warga Malaysia, Azizul
Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal (suami isteri, ibu dan bapa kepada 4
kanak-kanak) yang kini sedang berlangsung di Mahkamah Daerah Solna, Sweden
telah menimbulkan kembali persoalan lama iaitu apakah perbuatan seorang bapa
atau ibu memukul anaknya yang masih kecil itu satu tindakan mendisplin atau
satu penderaan kanak-kanak yang menyalahi undang-undang?
Mengikut kes pasukan pendakwaan
Sweden, kedua ibu bapa itu telah mendera anak mereka (memukul mereka dengan
menggunakan tali pinggang dan rotan) sejak tahun 2010 sehingga Disember 2013.
Mereka ditahan sehingga sekarang, sementara perbicaraan berjalan. Jika sabit
kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun.
Memukul anak di rumah dan di sekolah
Mengikut portal Wikipedia,
perbuatan memukul anak (disebut "parental or domestic corporal
punishment") masih dibenarkan (tidak dilarang atau diharamkan) di 49
negeri di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, ia diharamkan di Delaware sejak 2012.
Perbuatan menghukum (memukul)
anak di rumah oleh ibu bapa telah dilarang (diharamkan) di 34 negara, manakala
perbuatan memukul anak-anak di sekolah (misalnya oleh guru disiplin) telah
diharamkan (dilarang) di Kanada, Kenya, Korea, Afrika Selatan, New Zealand dan
hampir kesemua negeri di Eropah.
Di Amerika, perbuatan menghukum
(memukul) murid sekolah masih dibenarkan di 19 negeri, tetapi diharamkan di New
Jersey dan Iowa. Di Malaysia belum ada undang-undang khas yang melarang ibu
bapa memukul anak di rumah (dengan tujuan mendisplin mereka).
Andainya perbuatan memukul anak
itu melampaui tahap yang munasabah, serius sehingga mendera dan mencederakan
mereka, dan nyata bukan lagi boleh dianggap sebagai langkah mendisplin anak,
perbuatan sedemikian itu menyalahi undang-undang negara, misalnya Akta
Kanak-Kanak 2001 dan Kanun Keseksaan.
Sweden negara terawal
Sweden merupakan negara terawal
membuat undang-undangnya pada 1979 mengharamkan segala bentuk corporal
punishment melibatkan kanak-kanak. Peruntukan berkaitan, yang terkandung dalam Swedish
Parental Code yang baru diluluskan pada tahun itu berbunyi - "Children are entitled to care,
security and a good upbringing. Children are to be treated with respect for
their person and individuality and may not be subjected to corporal punishment or
any other humiliating treatment."
Selain Sweden, ada 33 negara lain
yang mengharamkan tindakan memukul anak (corporal punishment) di rumah,
manakala tindakan serupa di sekolah diharamkan atau dilarang di 117 negara. Ini
bermakna ia masih lagi diamalkan (tidak dilarang atau diharamkan) di 164 negara
(memukul anak di rumah) dan 81 negara (hukuman serupa di sekolah).
Di Kanada, ibu atau bapa boleh
memukul anak mereka (berumur antara 2 tahun hingga 12 tahun), tetapi hanya
dengan menggunakan tapak tangan. Penggunaan benda lain seperti tali pinggang,
rotan dan sebagainya tidak dibenarkan sama sekali. Di United Kingdom, ibu atau
bapa boleh mendisplin anak dengan memukul anak kecil mereka tapi dengan syarat
perbuatan itu tidak meninggalkan kesan atau bekas pada badan atau anggota
kanak-kanak itu.
Undang-undang antarabangsa
Di peringkat undang-undang
antarabangsa, usaha mula dijalankan sejak awal kurun ke-20 untuk memelihara hak
asasi kanak-kanak. Pada 1923, Proklamasi Hak Kanak-Kanak dibuat, yang kemudian
dipanggil Piagam Kebajikan Kanak-Kanak Sedunia oleh League of Nations pada
1924.
Pada 1959, Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Perisytiharan Hak Kanak-Kanak PBB,
mengandungi 10 perkara, tetapi perisytiharan ini tidak ada kuasa mengikat
mana-mana negara. Apabila PBB akhirnya meluluskan Konvensyen Hak Kanak PBB
1989, barulah wujud satu undang-undang antarabangsa yang menghendaki semua
negara yang menjadi ahli konvensyen itu mematuhinya.
Mengandungi 54 Perkara,
konvensyen itu ada menyebutkan secara jelas sekali dalam Perkara 19.1 bahawa
semua negara yang menjadi ahli (telah meratifikasi) konvensyen ini hendaklah
mengambil segala langkah untuk melindungi kanak-kanak dari segala bentuk
keganasan. Dalam teks asalnya dalam bahasa Inggeris ia berbunyi seperti berikut
-
"States Parties shall take all appropriate legislative,
administrative, social and educational measures to protect the child from all
forms of physical or mental violence, injury or abuse, neglect or negligent
treatment, maltreatment or exploitation . . . ."
Jika kita perhatikan peruntukan
di atas, ternyata ia begitu umum sekali. Perbuatan seorang ayah atau ibu
memukul anak mereka dengan tangan atau rotan boleh ditafsirkan sebagai salah
satu bentuk keganasan fizikal.
Laporan akhbar Sweden
Mengikut laporan sebuah akhbar
tempatan Sweden, "The Local"
(berbahasa Inggeris), kedua ibu bapa warga Malaysia itu dituduh melakukan "gross violation of their childrens
integrity (grov fridskränkning) and for assault" (pelanggaran teruk integriti
anak-anak dan serang-sentuh).
Apabila si bapa disoal siasat,
dia menjawab dia memukul anaknya sebanyak dua kali, dan itupun kerana mereka
melakukan kesalahan dan perlu disiplin.
Walau bagaimanapun, kenyataan
anak-anak mereka ketika disoal siasat menunjukkan bahawa si ibu memukul mereka
beberapa kali. Kata seorang anak mereka, "Saya dah lali kena pukul oleh
emak" dan disebabkan sudah selalu sangat, sudah tak rasa sakit lagi .
Mengikut anak-anak mereka lagi,
ibu mereka telah memukul mereka selama beberapa tahun, dengan menggunakan tali
pinggang, penyangkut baju, dan sebatang kayu. Si ibu menafikan semua itu,
sambil menyatakan dia hanya ada memukul seorang anak sekali sahaja.
Si ibu menghadapi pertuduhan
melanggar integriti kesemua empat anaknya. Si bapa dituduh melakukan kesalahan
yang sama terhadap tiga orang anak, dan melakukan kesalahan serang sentuh
(assault) terhadap anak yang keempat.
Mengikut Kementerian Luar Sweden,
kedua-dua tertuduh tidak didaftarkan sebagai diplomat, dan yang demikian mereka
tidak menikmati kekebalan diplomatik.
Mengikut Kristofer Stahre,
peguambela si ibu, kes ini merupakan natijah satu "pertembungan
budaya". Dalam masa sama ada pihak lain yang menganggap kes ini sebagai
kes biasa penderaan anak yang dilarang undang-undang. Sama-samalah kita tunggu
kesudahannya, kerana ia sudah menjadi sub judice, kita tidak boleh membuat
sebarang ramalan.
PENULIS ialah Penganalisis Undang-undang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan