Rabu, 20 Mac 2013

TIP MENJELANG PENGUMUMAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SPM 2012


"Semoga ibu bapa redha dengan keputusan anak-anak esok dalam SPM dan membanyakkan bersyukur dan membuang sifat riyaa, ujub dan takabur. Fokus kepada akidah, ibadah dan akhlak anak-anak bukan hanya pencapaian di dunia. Semoga dengan keputusan yang diperoleh membolehkan anak-anak memberi manfaat dalam mengejar makna kehidupan. Jika keputusan tidak seperti yang kita mahukan, kita mesti yakin bahawa kesemuanya  Allah sudah takdirkan . Yang penting apa yang kita pelajari daripada  keputusan itu dan bagaimana kita mendekatkan diri dengan Allah. Jangan sekali-kali kita memandang rendah atau marah kepada anak jika keputusan tidak cemerlang. Akademik bukan segala-galanya. Jom redha dan syukur sentiasa dan fokus kepada solusi bukan masalah."

(Prof Dr Muhaya Muhammad)

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI : Pengukuhan Keselamatan ICT Jabatan Kerajaan Dalam Mencegah Penggodaman


Oleh : MUHAMMAD IQBAL IKHWANDI MAT ZIN

‘Maklumat di hujung jari’ adalah frasa yang diguna pakai untuk menggambarkan fenomena masa ini.

Kita tidak dapat lari daripada mengaitkan frasa ini dengan alam siber atau lebih spesifik lagi Internet.

Bagi merealisasikan objektif ‘maklumat di hujung jari’ ini, maklumat-maklumat yang dahulunya disimpan secara konvensional kini telah berubah wajah, apabila atas nama ‘peredaran zaman’ maklumat-maklumat pada masa ini banyak di simpan secara ‘atas talian’ ataupun online.

Fenomena ini turut disokong oleh dasar-dasar kerajaan melalui kementerian, jabatan mahupun agensi-agensi kerajaan.

Dalam konteks ini, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) adalah pemangkin kepada perkara ini dengan menerajui polisi Kerajaan Tanpa Kertas.

Intipati bagi polisi Kerajaan Tanpa Kertas ini adalah pewujudan sistem pengurusan dokumen secara digital serta urusan antara agensi kerajaan seperti surat/memo, jemputan, pekeliling dan minit mesyuarat dijalankan secara atas talian.

Perkara ini adalah satu usaha murni sejajar dengan salah satu bidang di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) iaitu Komunikasi Kandungan dan Infrastuktur (CCI).

Berbekalkan semangat ‘kaizen’ ataupun penambahbaikan berterusan, polisi Kerajaan Tanpa Kertas yang dijuarai oleh MAMPU ini wajar dilihat dari perspektif keselamatan maklumat.

Insiden penggodaman terhadap dua sistem atas talian milik Jabatan Penerangan Malaysia iaitu sistem e-Press dan e-Akhbar pada 18 Februari 2013 wajar dijadikan iktibar oleh semua pihak.

Ini bukan kali pertama kes laman web rasmi jabatan kerajaan digodam oleh individu dan golongan yang tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, terdapat beberapa lagi laman web jabatan kerajaan lain yang turut menjadi mangsa kerakusan penggodam untuk mencapai kepuasan peribadi mereka.

Saranan yang wajar diberikan bagi membendung dan mencegah perkara ini daripada terus berlaku pada masa hadapan ialah dengan mempertingkatkan tahap keselamatan Komunikasi Maklumat dan Teknologi (ICT) dalam setiap jabatan kerajaan.

Peruntukan tahunan tambahan wajar diberikan kepada setiap jabatan khusus untuk mempertingkatkan tahap keselamatan ICT oleh para pemegang taruh (stakeholder).

Peruntukan tambahan ini antara lain tujuannya boleh digunakan untuk memperkukuhkan sistem ‘firewall’ di setiap jabatan bagi mencegah sebarang pencerobohan dan penggodaman daripada terus berlaku.

Soal keselamatan ICT tidak harus sama sekali dipandang ‘enteng’ kerana terdapat antara maklumat-maklumat yang dimuatnaik, disimpan dan disalurkan melalui atas talian adalah melibatkan maklumat-maklumat terperingkat iaitu sama ada 'Rahsia Besar', 'Rahsia', 'Sulit' dan 'Terhad'.

Oleh yang sedemikian jabatan-jabatan kerajaan seperti Ketua Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Malaysia (CGSO), MAMPU, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan lain-lain yang berkaitan boleh duduk semeja dalam mencari satu titik persetujuan dalam perkara ini.

Hasil muafakat bersama pastinya mampu mencapai satu jalan penyelesaian yang tuntas demi menjaga kestabilan dan keselamatan negara.

Selain daripada impak terhadap maklumat-maklumat terperingkat dan keselamatan negara, penggodaman berterusan ke atas laman-laman web rasmi jabatan kerajaan juga memberi imej yang negatif kepada Kerajaan sendiri.

Oleh yang sedemikian, persetujuan untuk memperuntukkan peruntukan tambahan khusus bagi mempertingkatkan keselamatan ICT jabatan-jabatan kerajaan adalah dilihat sebagai satu langkah yang amat wajar dan proaktif, bak kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

Di Malaysia, aktiviti penggodaman adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Jenayah Komputer 1997.

Perkara ini juga harus diambil perhatian oleh rakyat Malaysia agar tidak ada yang menjadi suspek tanpa disedari kerana tidak peka terhadap peruntukkan undang-undang yang sedia ada akibat terlalu ghairah mengejar kepuasan peribadi.

Psikologi para penggodam juga boleh difahami iaitu majoriti daripada mereka menggodam dengan tujuan ‘suka-suka’ selain daripada menguji tahap kemahiran masing-masing.

Namun, perkara ini tidak akan melepaskan mereka daripada tindakan penguatkuasaan yang akan diambil  atas salah laku mereka itu.

* Penulis ialah bekas PTD.

Sumber :  http : //www.mstar.com.my/

ISU EKONOMI : Transformasi untuk semua

PM menyampaikan Laporan Program Transformasi Negara
 di Auditorium Perdana Angkasapuri, malam tadi. 

PADA malam ini saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan bagi pihak diri saya selaku ketua kerajaan dan bagi pihak rakan-rakan dalam Jemaah Menteri bagi membentangkan hasil perkembangan prakarsa Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP.

Kedua-dua prakarsa bermula masing-masing pada tahun 2010 dan 2011 adalah bersama-sama dengan Program Transformasi Politik atau PTP dan Program Transformasi Sosial atau PTS. Ia membentuk Dasar Transformasi Nasional bagi memacu Malaysia ke arah pencapaian wawasan kebangsaan, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, menjelang tahun 2020.

Alhamdullilah, suka saya melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa dengan berkat kerjasama dan usaha gigih semua pihak sama ada rakyat terbanyak, pihak swasta, penjawat awam mahupun anggota pentadbiran, sebahagian besar matlamat yang telah dirancang berjaya dicapai. Kesannya, taraf dan kualiti hidup rakyat semakin baik, ekonomi negara semakin makmur manakala keadaan kewangan kerajaan terus bugar.

Perancangan dan pelaksanaan ETP dan GTP bukan sahaja membuktikan iltizam kerajaan terhadap falsafah pemandu negara 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, tetapi ia juga merupakan eksperimen paling berani yang pernah dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan di dunia dalam mengamalkan prinsip ketelusan dan kepertanggungjawaban.

Rakyat terbanyak serta semua pihak yang berkepentingan boleh, melalui proses perundingan dibuat menyumbang melalui makmal-makmal yang diadakan dalam proses pembentukan GTP dan ETP. Mereka juga mampu menilai pencapaian kedua-dua prakarsa ini melalui laporan tahunan dan laporan berkala yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana rojak kependekan ini mampu menyentuh kehidupan kita? GTP, ETP, NKRA, NKEA, EPP? Apa hubungkaitnya dengan tuan-tuan dan puan-puan sekelian? Jawapannya ialah, semuanya dirangka serta digubal bagi meningkatkan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia secara terancang.

Sesungguhnya lagi, semua prakarsa ini, tidak lain dan tidak bukan, ialah langkah kerajaan untuk membolehkan setiap rakyat Malaysia mendapat akses kepada yang terbaik dalam kehidupan. Pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal di mana, semakin tinggi kemahiran dan kepakaran yang dimiliki, semakin tinggi pula ganjarannya.

Pendidikan yang bermutu bermula dari prasekolah lagi, untuk mengoptimumkan potensi diri, perkhidmatan kesihatan yang terbaik, prasarana awam yang mencukupi dan pemilikan rumah yang selesa serta berkemampuan untuk berlindung dan membesarkan anak-anak.

Jelasnya, kerajaan ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab. Kerajaan ini ialah kerajaan yang menepati janji. Kerajaan ini ialah kerajaan yang meletakkan maslahah serta kesejahteraan rakyat di atas segala-galanya. Sebab itulah sebelum berjanji kepada rakyat, kita telah mengkaji, pertamanya, adakah janji yang diberikan kepada rakyat itu akan mendatangkan faedah dan tidak memudaratkan, sama ada untuk jangka pendek, sederhana atau panjang. Keduanya, adakah janji yang dibuat tersebut mampu untuk kita tunaikan? Bukannya janji sekadar janji.

Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat teramailah yang menentukan parti mana yang dipercayai untuk membentuk sebuah kerajaan. Realitinya, bukan semua kerajaan sama berkemampuan. Ya, betul, jangkaan oleh rakyat kepada setiap kerajaan sama, namun, prestasi setiap kerajaan adalah berbeza. Pastinya, ada kerajaan yang berkesan dan ada kerajaan yang lemah serta gagal menunaikan amanah yang diberi.

Sebab itulah ada negara yang berjaya meningkatkan taraf daripada status mundur, kepada status membangun dan kemudiannya maju. Ada negara pula, tidak berubah statusnya, terus terperangkap sama ada dalam kemunduran atau membangun. Apa yang lebih teruk, ada juga negara bersifat regresif hingga jatuh tarafnya daripada negara membangun menjadi negara mundur.

Kita amat bersyukur bahawa Malaysia hari ini ialah manifestasi sebuah negara yang berjaya. Hasil perancangan teliti dan rapi serta pelaksanaan dasar-dasar pembangunan berkesan, Malaysia telah berubah daripada status negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.

Ternyata, kita ialah bukti dan contoh sebuah negara yang amat progresif. Semenjak kemerdekaan dan pada dekad-dekad awal, kerajaan telah menjadikan agenda membasmi kemiskinan, reformasi tanah, keadilan sosial, meningkatkan akses kepada setiap tahap pendidikan, perkhidmatan kesihatan untuk semua dan penjanaan kekayaan nasional sebagai agenda negara.

Dalam aspek ini, hasil kejayaan negara boleh disaksikan daripada peningkatan Pendapatan Negara Kasar atau PNK per kapita daripada AS$257 pada tahun 1957 kepada AS$9,970 pada tahun 2012. Ini merupakan peningkatan hampir 4,000 peratus (%) dalam tempoh lebih lima dekad.

Peningkatan taraf hidup ini diperjelaskan lagi melalui angka-angka, hasil daripada Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR). PPIR 2012 menunjukkan bahawa isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia meningkat daripada RM4,025 pada tahun 2009 kepada RM5,000 pada tahun 2012. Ini adalah peningkatan lebih daripada 1,200%, sejak Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dimulakan pada tahun 1974.

Manakala, kadar kemiskinan pula terus menurun daripada lebih 60% pada awal kemerdekaan kepada 1.7 % pada tahun 2012. Jurang pendapatan dalam kalangan rakyat Malaysia juga bertambah baik dengan kadar Pekali Gini menurun kepada 0.431 pada tahun 2012. Kadar inflasi negara juga kekal berada di paras yang rendah iaitu 1.2 % pada Disember 2012. Kadar ini adalah antara yang terendah di rantau ini.

Setelah tiga tahun kerajaan memulakan inisiatif GTP, maka pada kesempatan ini saya ingin melaporkan pencapaian-pencapaian yang berjaya dizahirkan di bawah tujuh bidang-bidang keberhasilan utama seperti berikut:

NKRA PERTAMA, MENANGANI KOS SARA HIDUP RAKYAT

NKRA Menangani Kos Sara Hidup Rakyat yang diperkenalkan, telah berjaya membawa manfaat kepada kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah. Di bawah NKRA ini, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif antaranya:

Pertama, dalam rangka memastikan subsidi benar-benar memanfaatkan kumpulan sasar, kerajaan telah mengambil keputusan untuk melanjutkan program Bantuan Rakyat 1Malaysia dan memperluas lagi skop program ini kepada individu bujang. Ini melibatkan peruntukan sejumlah lebih RM2.34 bilion dan memanfaatkan lebih 6 juta rakyat Malaysia.

Pemberian Bantuan Persekolahan RM100 atau Baucer Sekolah 1Malaysia kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah. Sejumlah RM524 juta telah diperuntukkan dan usaha ini memberi manfaat kepada lebih 5.24 juta murid.

Bagi pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat tinggi di universiti serta kolej pula pemberian RM250 sebagai Baucer Buku 1Malaysia memanfaatkan seramai lebih 390,000 pelajar dengan peruntukkan lebih RM97.5 juta.

Sebagai bukti keprihatinan terhadap permasalahan rakyat dalam menanggung kos kehidupan seharian yang semakin meningkat, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM37.8 bilion bagi membiayai pelbagai bentuk pemberian di mana sebanyak RM22.3 bilion adalah untuk subsidi, RM873.5 juta untuk insentif dan RM14.6 bilion bagi bantuan.

Di samping itu, melalui inisiatif Jenama 1Malaysia, rakyat kini mempunyai alternatif dalam mendapatkan barangan keperluan harian dan perkhidmatan dengan kos yang secara puratanya 20 hingga 40% lebih rendah daripada harga pasaran. Melalui inisiatif ini, kerajaan telah memperluaskan lagi pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia menjadi 85 buah semuanya. Sejumlah 168 Klinik 1Malaysia pula sedang memberi rawatan kepada lebih 6 juta rakyat Malaysia dengan kos hanya RM1.

Selain itu, kita juga sedang melaksanakan inisiatif-inisiatif Kedai Buku 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Projek Perumahan 1Malaysia atau PR1MA, Bantuan Tayar 1Malaysia, Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA serta Menu Rakyat 1Malaysia. Sesungguhnya dan sememangnya segala ikhtiar ini dan semua yang dilakukan ini demi kepentingan serta kesejahteraan segenap rakyat Malaysia tercinta.

NKRA KEDUA, MEMPERTINGKATKAN TARAF KEHIDUPAN ISI RUMAH BERPENDAPATAN RENDAH

Sungguhpun kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan kepada 1.7% dan meletakkan kemiskinan tegar dalam lipatan sejarah, namun usaha untuk meningkatkan taraf hidup mereka yang berpendapatan rendah bukan sahaja akan diteruskan, malah akan ditingkatkan lagi.

Untuk itu, melalui program Akhiri Zaman Miskin atau 1AZAM seramai 106,967 telah berjaya didaftarkan di bawah program-program Azam Kerja, Azam Niaga, Azam Khidmat dan Azam Tani. Ribuan rakyat telah menerima pembiayaan mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional dan Yayasan Usaha Maju.

Di bawah program e-Kasih pula, sebanyak 89% atau lebih 100,000 mereka yang berdaftar telah berjaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan dalam tempoh hanya 3 tahun.

Dalam rangka memastikan isi rumah berpendapatan rendah mendapat akses kepada kediaman pula, pelbagai inisiatif sedang dan telah dilaksanakan oleh beberapa agensi kerajaan antaranya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Syarikat Perumahan Negara Berhad. Bagi usaha ini, kerajaan telah menawarkan, lebih 100,000 unit kediaman mampu milik.

NKRA KETIGA, MEMPERTINGKATKAN INFRASTRUKTUR ASAS LUAR BANDAR

Kerajaan akan terus memastikan rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan luar bandar tidak terpisah daripada arus perdana pembangunan. Komitmen kerajaan ini telah dizahirkan melalui program infrastruktur luar bandar. Di bawah inisiatif ini, lebih 3,300 kilometer jalan raya telah dibina, lebih 1.4 juta isi rumah dibekalkan air bersih dan lebih 470,000 isi rumah mendapat akses elektrik yang terjamin.

Di samping itu, kerajaan juga telah membina dan membaik pulih 53,000 rumah bagi penduduk miskin luar bandar. Ini melibatkan lebih 266,000 isi rumah atau hampir sejuta orang. Sesungguhnya, kesemua inisiatif di bawah NKRA ini telah menambah baik kesejahteraan hidup hampir 4 juta rakyat Malaysia yang tinggal di luar bandar.

NKRA KEEMPAT, MEMPERTINGKATKAN PENCAPAIAN PELAJAR

Menyedari bahawa anak-anak adalah pewaris dan masa hadapan negara, kerajaan beriltizam untuk memastikan bahawa setiap anak Malaysia akan mendapat permulaan pemelajaran seawalnya dalam hidup mereka. Melalui usaha-usaha yang telah dilaksanakan di bawah NKRA Mempertingkat Pencapaian Pelajar, enrolmen prasekolah telah berjaya ditingkatkan jumlahnya kepada hampir 770,000 pada 2012 atau 80% kohort umur berkenaan. Ini merupakan satu peningkatan jika dibandingkan dengan angka pada tahun 2009, di mana hanya 67% kohort umur tersebut berpeluang mendapat pendidikan prasekolah.

Pada tahun 2012, kita juga telah berjaya mengeluarkan 164 atau lebih 40% sekolah-sekolah daripada kumpulan berprestasi rendah atau apa yang dikelaskan sebagai jaluran 6 dan 7 kepada jaluran yang lebih baik yakni jaluran 1 hingga 5.

NKRA KELIMA, MEMPERTINGKATKAN PENGANGKUTAN AWAM BANDAR

Kerajaan kini sedang giat untuk menambah baik pengangkutan awam bandar. Rakyat boleh melihat bukti usaha ini melalui kerja-kerja pembinaan yang sedang dilaksanakan khususnya projek penyambungan LRT dan MRT. Kerajaan berharap rakyat dapat bersabar sedikit terhadap kesulitan dan kesesakan lalu lintas yang sedang dialami. Ini adalah fenomena yang sementara. Insya-Allah, apabila semua projek ini siap, rakyat Malaysia kelak akan menikmati pengangkutan awam yang cekap dan antara yang terbaik di rantau ini.

Antara inisiatif yang telah pun dilaksanakan ialah penambahan tren enam gerabak bagi perkhidmatan tren Komuter KTM, perkhidmatan bas GoKL yang menawarkan perjalanan percuma serta pelaksanaan Sistem Maklumat Penumpang agar pengguna mempunyai gambaran yang lebih baik tentang masa menunggu sebelum ketibaan bas.

Menjejaki masa depan pula, rakyat boleh menjangkakan sistem kereta api laju yang akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam masa 90 minit, jajaran MRT fasa kedua, landasan kereta api elektrik berkembar Ipoh-Padang Besar dan pembinaan Lebuhraya Pantai Barat. Pada analisis akhirnya, ini semua akan meningkatkan kualiti pengangkutan awam bandar seterusnya gaya hidup rakyat.

NKRA KEENAM, MERUJUK INISIATIF MEMBANTERAS RASUAH

Rasuah mampu menghancurkan negara dan melemahkan integriti institusi nasional serta menjadi penghalang besar kepada wawasan negara. Menyedari hakikat ini, kerajaan tegas memulakan perang terhadap rasuah semenjak tahun 1967 apabila tertubuhnya Badan Pencegah Rasuah dan kini diperkukuhkan lagi dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM.

Hari ini, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai Penunjuk Prestasi Utama atau KPI negara.

Inisiatif NKRA Membanteras Rasuah telah menunjukkan keberkesanan apabila kedudukan Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International negara telah bertambah baik enam anak tangga kepada kedudukan 54 pada tahun 2012 dan berada pada kedudukan ketiga dalam kalangan negara ASEAN.

Melalui penubuhan 14 Mahkamah Sesyen Khas dalam tempoh tiga tahun yang lalu, lebih 400 kes rasuah telah dibicarakan dan daripada itu hampir 260 kes telah berjaya diselesaikan pada akhir tahun 2012.

Selanjutnya, dalam usaha untuk meningkatkan ketelusan dan integriti proses pilihan raya, saya selaku Pengerusi Barisan Nasional telah menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya bagi memastikan PRU-13 bebas dan telus. Untuk itu, saya menyeru kepada semua parti politik supaya walk the talk dan mempunyai keberanian moral untuk menandatangani ikrar yang sama.

NKRA KETUJUH, MENGURANGKAN JENAYAH

Bagi memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, kerajaan telah melaksanakan prakarsa membanteras jenayah. Saya ingin melaporkan bahawa kita telah berjaya mengurangkan kadar jenayah sehingga 27% dalam tempoh tiga tahun. Kerajaan akan memastikan Polis DiRaja Malaysia akan ditingkat upaya dan distruktur sesuai dengan keperluan memerangi jenayah moden.

Pasukan polis akan ditransformasi daripada hanya sebuah pasukan keselamatan kepada sebuah perkhidmatan kepolisan yang berorientasikan masyarakat. Jelasnya, perkhidmatan polis tidak akan berjaya tanpa sokongan rakyat.

Maka, saya ingin menggesa seluruh rakyat untuk berganding bahu dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang berkenaan kerana keselamatan dan keamanan negara merupakan tanggungjawab bersama.

Seperti mana yang saya sebutkan pada tahun lepas, hubung kait antara Model Baru Ekonomi, Prakarsa Pembaharuan Strategik, Program Transformasi Ekonomi, 12 NKEA dan 152 EPP bolehlah diumpamakan dalam analogi berikut:

Model Baru Ekonomi dan Prakarsa Pembaharuan Strategik bolehlah diibaratkan sebagai lebuh raya. Manakala ETP merupakan kenderaan yang akan menggunakan lebuh raya membawa kita ke destinasi akhir, iaitu sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 12 NKEA di bawah ETP ialah bahagian-bahagian enjin kepada kenderaan tersebut.

Manakala EPP ialah bahan api atau fuel yang akan menggerakkan kenderaan ini. Untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju, kesemua komponen termasuk kenderaan, enjin, bahan api dan lebuh raya hendaklah berada dalam keadaan yang terbaik.

Dari segi pencapaian Program Transformasi Ekonomi pula, saya berbesar hati dan berasa bangga menyaksikan sektor swasta memainkan peranan yang penting, sejajar dengan aspirasi dan harapan kita.

Sejak pelancaran ETP pada lewat tahun 2010, kadar pertumbuhan pelaburan swasta telah berkembang lebih tiga kali ganda, mencatat peningkatan sebanyak 22% pada tahun 2012. Selari dengan matlamat ETP di mana sektor swasta memainkan peranan utama sebagai pemacu ekonomi negara, nisbah pertumbuhan pelaburan swasta terus mengalami peningkatan konsisten. Jika pada tahun 2009 jumlah pelaburan swasta hanya merangkumi 52%, angka ini telah meningkat kepada 58% pada tahun 2012.

Ini adalah bukti keyakinan sektor swasta yang semakin meningkat terhadap inisiatif transformasi nasional. Angka menunjukkan, pada tahun 2012, pelaburan swasta telah mengatasi sasaran dengan mencapai jumlah RM139.5 bilion, dipacu oleh perbelanjaan modal yang tinggi dalam sektor pengilangan, perkhidmatan dan perlombongan.

Pelaburan swasta penting kerana ia mempengaruhi kadar pertumbuhan ekonomi negara. Kerancakkan pelaburan swasta yang lebih besar berkadar langsung dengan kadar pertumbuhan ekonomi negara yang lebih tinggi. Pertumbuhan akan menjana kekayaan nasional. Kekayaan yang terhasil ini akan membolehkan kerajaan menjayakan lebih banyak inisiatif yang memanfaatkan rakyat.

Di antara pencapaian-pencapaian Bidang Ekonomi Utama Negara atau NKEA adalah:

Pertama, bagi sektor pelancongan, bagi tahun 2011 dan 2012, jumlah pelancong yang melawat Malaysia ialah hampir 50 juta orang dengan jumlah PNK bernilai hampir RM100 bilion.

Kedua, dalam pembangunan Greater Kuala Lumpur, setakat 31 Disember 2012, projek My Rapid Transit atau MRT telah menawarkan 48 pakej kontrak berjumlah RM19.8 bilion dan 45% atau RM8.9 bilion daripada jumlah keseluruhan telah diberi kepada kontraktor bumiputera.

Ketiga, bagi sektor minyak dan gas, projek RAPID di Pengerang bakal mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada 4,000 orang dan kerja-kerja pembinaan kepada 20,000 orang.

Keempat, dalam sektor minyak sawit pula, kita telah berjaya menanam semula seluas kira-kira 113,000 hektar kelapa sawit.

Kelima, bagi sektor kandungan dan infrastruktur komunikasi dan industri kreatif, sebanyak RM547 juta, keluaran kreatif telah dieksport dan 157,000 jam kandungan kreatif telah terhasil. Di antaranya adalah pembikinan filem bertajuk Life of Pi, telah berjaya meraih empat kemenangan daripada 11 pencalonan di Academy Awards baru-baru ini yang melibatkan kepakaran kreatif anak tempatan.

Keenam, untuk tempoh 2011 dan 2012, seramai 1,087 pemilik kedai runcit telah mendapat manfaat daripada penyertaan program Transformasi Kedai Runcit atau TUKAR. Kedai-kedai yang menyertai program ini telah menyaksikan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan selepas pelaksanaannya, purata jualan meningkat sebanyak 30 peratus.

Di atas angka-angka yang meningkat ini adalah keyakinan positif oleh pelabur-pelabur swasta kepada ekonomi negara kita. Ia diterjemahkan di dalam bentuk penciptaan peluang-peluang pekerjaan bernilai tinggi, peluang-peluang perniagaan kepada usahawan serta projek-projek komersial yang mampu memberi limpahan faedah kepada rakyat amnya.

Hasilnya, Pendapatan Negara Kasar per kapita negara telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Jika kita imbau, sebelum inisiatif ETP bermula, PNK per kapita pada tahun 2009 ialah AS$6,700. Pada tahun 2012, angka ini telah meningkat sebanyak 49% kepada AS$9,970. Trend ini akan menyaksikan Malaysia mencapai status sebuah negara berpendapatan tinggi mengikut takrifan Bank Dunia lebih awal daripada yang dijangkakan.

Kejayaan meningkatkan taraf hidup ini perlu dilihat daripada konteks bahawa pada tahun 1957 apabila negara mencapai kemerdekaan, PNK per kapita negara hanya AS$257. PNK ialah ukuran utama yang digunakan di peringkat global bagi mengukur kemajuan atau kemunduran taraf hidup rakyat sesebuah negara.

Kadar PNK yang tinggi, berkadar langsung dengan taraf hidup yang juga tinggi. Begitu juga dengan PNK yang rendah. Selain daripada PNK, mekanisma lain yang digunakan untuk menilai taraf hidup rakyat sesebuah negara ialah Per Capita Purchasing Power Parity atau Pendapatan Per Kapita Berasaskan Kuasa Beli. Waima, mengikut kaedah ini pun, kuasa beli rakyat Malaysia adalah hampir dua kali ganda pendapatan per kapita yang ada.

Kesan langsung daripada peningkatan angka-angka ini boleh dilihat dan dirasai melalui perubahan gaya hidup rakyat. Sebagai contoh, kemampuan rakyat teramai untuk pergi melancong, mengerjakan umrah, memiliki lebih daripada satu kenderaan dan telefon pintar, pelaburan dalam unit amanah dan hartanah serta pelbagai lagi.

Sehubungan ini juga, sehingga 31 Disember 2012, 149 projek telah diumumkan di bawah ETP sejak tahun 2010, dengan jumlah terkumpul sebanyak RM211.34 bilion dalam pelaburan yang telah dimeterai. Hasil pencapaian ini, sumbangan PNK pada tahun 2020 dijangka mencecah RM135.64 bilion dan sejumlah lebih 400,000 pekerjaan dijangka dapat diwujudkan.

Atas dasar inilah, maka kerajaan telah mengenal pasti enam Prakarsa Pembaharuan Strategik untuk memangkin daya saing negara. Dalam bidang Modal Insan, Piawaian Antarabangsa dan Liberalisasi, mahupun dalam usaha merapatkan jurang, khususnya dari segi penglibatan bumiputera dalam ekonomi. Kerajaan menyasarkan agar rakyat Malaysia seluruhnya menjiwai kepentingan daya saing dalam usaha memartabatkan negara.

Prakarsa Pembaharuan Strategik berkaitan Persaingan, Standard dan Liberalisasi, bertujuan membangunkan persekitaran perniagaan yang cekap dan berdaya saing di Malaysia. Antara pencapaian penting SRI pada tahun 2012 ialah penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 dan kes pertamanya telah pun diselesaikan.

Manakala liberalisasi 17 subsektor telah berjaya dilaksanakan dan susulan daripada itu, subsektor ke-18, iaitu subsektor ukur bahan bakal diliberalisasikan pada tahun 2013 dan beberapa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan telah diapung dan dijual pada tahun 2012 bagi mengurangkan peranan kerajaan dalam perniagaan. Mustahaknya, kesemua inisiatif ini akan membuka peluang dan mempermudahkan urusan perniagaan.

Kita berasa syukur kerana Malaysia terus mengukuhkan pelbagai tangga kedudukan di peringkat antarabangsa. Antara pengiktirafan yang telah diterima daripada institusi bertaraf dunia adalah seperti berikut:

Pertama, mengikut World Bank Ease of Doing Business Report 2013, secara keseluruhannya Malaysia merupakan negara ke-12 paling mesra perniagaan di dunia. Menurut laporan yang sama juga, Malaysia menduduki tangga pertama dari segi akses kepada kemudahan kredit.

Kedua, menurut Institute of Management Development di dalam laporan World Competitiveness Yearbook 2012/2013, Malaysia adalah negara ke-14 paling berdaya saing di dunia. Kedua-dua agensi tersebut juga meletakkan Malaysia di tangga keempat di dunia yang paling melindungi pelabur.

Perunding pengurusan global AT Kearney mengeluarkan beberapa indeks yang menunjukkan pencapaian Malaysia sebagai negara ke-10 bagi Destinasi Menarik Pelaburan Langsung Asing dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing 2012. Malaysia turut diiktiraf sebagai negara ketiga di dunia bagi Lokasi Menarik bagi Destinasi Penyumberan Luar 2011 selepas India dan China.

Globe Shopper Index oleh Economist Intelligence Unit menunjukkan Kuala Lumpur sebagai pusat bandar membeli-belah kedua terbaik di Asia Pasifik.

International Living Magazine melaporkan Malaysia sebagai negara ketiga terbaik untuk persaraan bagi tahun 2013.

Manakala, dalam pasaran modal pula, indeks KLCI Bursa Malaysia mencatat angka tertinggi iaitu 1,688 mata pada 31 Disember 2012. Ia telah menyaksikan kenaikan market capitalisation daripada RM999 bilion pada Disember 2009 kepada RM1.47 trilion atau peningkatan sebanyak 47%. Ini bererti, sebanyak RM466 bilion kekayaan telah berjaya dijana sejak semua inisiatif transformasi dimulakan. Sebagai peneraju kewangan Islam di dunia dan sebagai pemacu utama sukuk global pula, Malaysia juga telah menerbitkan sukuk yang bernilai AS$97.1 bilion pada tahun 2012.

Sesungguhnya, pengiktirafan-pengiktirafan global kepada Malaysia ini adalah satu testimoni kejayaan kepada prakarsa-prakarsa GTP dan ETP sejak ia dilaksanakan. Ia juga adalah testimoni bahawa kita berada di landasan yang betul.

Sehubungan itu, saya bagi pihak kerajaan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam, pihak swasta dan rakyat Malaysia sekalian yang telah bertungkus-lumus menjayakan agenda besar transformasi untuk semua ini.

Alhamdullilah ceritera Malaysia ialah cerita kejayaan. Ia cerita harapan yang mengatasi nujum kemusnahan. Namun kejayaan ini tidak mungkin tercipta tanpa gebar keselamatan serta kestabilan yang dihasilkan oleh Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan negara.

Insiden kaganasan di Lahad Datu menjadi semboyan peringatan bahawa kita sekali-kali tidak mampu mengambil mudah soal keselamatan. Keamanan dan kestabilan yang berpanjangan tidak harus menjadi sebab ketumpulan tahap kita berwaspada.

Tragedi ini telah pun mengorbankan nyawa sepuluh orang anggota pasukan keselamatan negara. Lapan orang daripada pasukan Polis DiRaja Malaysia dan mutakhir dua anggota tentera yakni Koperal Ahmad Hurairah Ismail yang berasal dari Pasir Mas dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan dari Kota Bharu.

Kita menginsafi bahawa hasil pengorbanan pahlawan-pahlawan negara ini sepertimana pada era darurat dan insurgensi telah memungkinkan kemajuan dan kemakmuran kita nikmati hingga hari ini. Pengorbanan mereka bukan sia-sia, pengorbanan mereka bukan kecil, pengorbanan mereka bukan untuk diperlekehkan.

Oleh yang demikian, kepada pihak-pihak yang cuba untuk memperkecilkan sumbangan anggota keselamatan ini, saya ingin mengingatkan kepada mereka, belajarlah mengenang budi. Sewajarnya kita semua berterima kasih di atas jasa dan bakti mereka yang telah berjuang demi tanah air tercinta ini. Kenanglah ibu bapa yang meniti hari tua tanpa mereka lagi di sisi, kenangilah isteri-isteri yang menjadi balu serta anak-anak yang kehilangan belai manja bapanya. Kepada mereka kita berjanji bahawa negara ini akan sentiasa memuliakan bakti serta pengorbanan tersebut.

Di sini juga saya ingin menegaskan bahawa negeri Sabah selama-lamanya merupakan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. Rakyat Sabah ialah warganegara Malaysia. Untuk itu kita akan tetap mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta keutuhan wilayah Malaysia daripada sebarang pencerobohan. Kita tidak akan membenarkan barang seinci pun bumi Malaysia dirampas oleh sesiapa. Inilah komitmen kerajaan yang ada hari ini.

Mencapai status negara maju berpendapatan tinggi adalah matlamat kita. Apa yang mustahak, kita mahu menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan kita sendiri, di mana kebahagiaan individu, keluarga dan masyarakat menjadi asas utama bukan semata-mata angka tunjuk ekonomi. Oleh kerana itulah, Dasar Transformasi Negara digubal dan dilaksana bagi memastikan setiap rakyat Malaysia akan merasai nikmat kemajuan yang diusahakan.

Saya bagi pihak kerajaan telah pun membentangkan laporan tentang perjalanan yang telah dilalui semenjak tiga tahun lalu. Saya yakin bahawa rakyat telah pun, bukan sekadar dapat melihat, mendengar dan menilai apa yang telah berlaku, tetapi juga merasai kesannya.

Maka, kini saatnya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan tentang hala tuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang. Pilihan ini ialah tentang kebolehpercayaan, tentang harapan, tentang masa depan, tentang kelangsungan ceritera kejayaan Malaysia dan tentang janji ditepati.

Dari itu, rakyat Malaysia perlu memilih antara kerajaan hari ini yang telah membuktikan bahawa ia sebuah kerajaan yang boleh dipercayai, kerajaan yang mendokong harapan, kerajaan yang berusaha gigih mencipta masa depan yang lebih baik untuk anak-anak Malaysia, kerajaan yang akan meneruskan dasar-dasar yang terbukti berjaya atau pihak sebelah sana yang, apabila bercakap ibarat lidah tidak bertulang, apabila diberi amanah pula mereka mengambil mudah.

Kita juga bukan seperti mereka, apabila musim pilihan raya menerbitkan manifesto tetapi setelah menjadi kerajaan janji-janji itu dimungkiri. Sudahlah manifesto yang dibuat tidak ditunaikan, diterbitkan pula janji baru dalam bentuk Buku Jingga yang ternyata tidak dikaji dengan baik kemampuannya dan kesan kepada kewangan negara. Tidak cukup setakat itu, nampaknya belum pun kering dakwat dokumen Buku Jingga, dikeluarkan pula manifesto baru.

Pucuk pangkalnya, jika janji lama dimungkiri, janji baru yang dibuat hampir mustahil untuk ditunaikan, maka, bolehkah rakyat berpegang kepada janji-janji baru mereka? Adakah sebenarnya mereka boleh dipercayai? Mampukah kita mempertaruhkan harapan masa depan anak cucu kita kepada mereka? Walhal dengan rekod yang buruk, adakah kita yakin mereka mampu mencipta masa depan yang lebih baik?

Oleh yang demikian, pilihlah kerajaan yang transformatif. Janganlah pilih kerajaan yang memusnah. Janganlah memilih kerajaan yang akan meruntuhkan masa depan kita dan anak-anak kita. Janganlah sesekali bereksperimen dengan masa depan kerana amat sukar untuk bangkit dan pulih dari kepunahan sekiranya ia melanda akibat pilihan yang salah.

Hakikatnya, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang menjunjung kesejahteraan rakyat. Salah satu contoh terbaik iltizam ini ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia. BR1M 1.0 dan 2.0 yang kerajaan berikan, telah sampai langsung ke tangan rakyat. Ia satu inisiatif yang mendatangkan manfaat yang besar kerana dapat membantu meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah.

Sehubungan dengan itu, sukacita saya mengumumkan kerajaan akan menjadikan dan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia sebagai inisiatif tahunan.

Marilah kita bina masa depan yang gemilang untuk semua, marilah kita bina masa depan yang menjanjikan pulangan adil kepada yang bekerja keras, yang berkreativiti, yang berinovasi dan yang sanggup mengambil risiko. Marilah kita bina sebuah Malaysia yang menjanjikan taman kebahagiaan untuk semua.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU EKONOMI : Ekonomi tahun ini dijangka terus berada pada landasan kukuh, stabil



KUALA LUMPUR : Ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh dan stabil pada tahun ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

"Prestasi ekonomi yang lebih baik ini adalah hasil daripada penyusunan semula ekonomi sepanjang sedekad yang lalu, sektor kewangan yang berdaya tahan dan potensi dasar yang fleksibel."

"Susulan penyusunan semula ekonomi, permintaan dalam negeri semakin menyerlah sebagai pemacu pertumbuhan," katanya dalam Perutusan Gabenor sempena Laporan Tahunan BNM yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, pertumbuhan itu, pada asasnya, disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh, dan yang terkini oleh peningkatan yang ketara dalam pelaburan swasta.

"Sumber pertumbuhan ekonomi juga menjadi lebih pelbagai dan seimbang dalam semua sektor ekonomi dan rakan perdagangan. Yang lebih penting ialah peranan sektor swasta yang semakin meningkat," katanya.

Menurut Zeti, prestasi ekonomi Malaysia disokong kukuh terutamanya oleh sektor kewangan yang berdaya tahan.

"Meskipun terdapat peningkatan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan dalam negeri berikutan perkembangan ekonomi dan sistem kewangan global, pengantaraan kewangan dalam negeri telah berfungsi tanpa gangguan," katanya.

Sistem perbankan yang kukuh dan pasaran bon domestik yang lebih maju bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan yang berterusan kepada ekonomi, tetapi juga berperanan mengelakkan penumpuan risiko dalam sistem kewangan.

Selain itu, liberalisasi secara berperingkat-peringkat dan kehadiran lebih banyak peserta asing bukan sahaja meningkatkan persaingan dalam sistem kewangan, bahkan menyumbang kepada peningkatan aliran modal dua hala dan seterusnya keadaan pasaran yang teratur, katanya.

Melangkah ke hadapan, Gabenor itu berkata reformasi dan perkembangan kewangan yang berterusan akan disasarkan pada usaha mempertingkat daya tahan sektor kewangan dan memastikan sektor kewangan akan terus memberikan sokongan yang terbaik kepada ekonomi.

Selain itu, potensi dasar makroekonomi dalam negeri yang fleksibel juga memainkan peranan yang sama penting untuk menyokong ekonomi, terutamanya dalam persekitaran yang semakin kompleks dan mencabar, katanya.

"Bank sentiasa bersikap pragmatik dalam pembentukan dan pelaksanaan dasarnya, dengan bergantung pada satu set langkah yang menyeluruh demi mencapai matlamat yang dikehendaki.

"Meskipun dasar monetari kekal sebagai alat dasar yang utama, namun langkah pelengkap lain seperti dasar kehematan makro turut dilaksanakan untuk menangani risiko dalam segmen khusus sistem kewangan dan ekonomi, lantas meningkatkan keupayaan dasar dan mengelak daripada terlalu bergantung pada dasar monetari," katanya.

Zeti berkata, penyelarasan dengan dasar fiskal turut mempertingkat impak dan keberkesanan dasar bagi mempengaruhi ekonomi.

Walau pun inflasi mencatat trend menurun sehingga serendah 1.3 peratus pada permulaan 2013, fokus dasar monetari pada 2013 adalah pada pengurusan risiko kenaikan harga di samping menyokong pertumbuhan ekonomi dalam negeri yang mampan, katanya.

Zeti berkata, berasaskan penilaian tentang keadaan prospek ekonomi dalam negeri dan global, inflasi dijangka kekal sederhana.

Bank akan terus memandang ke hadapan dan mengambil perspektif jangka sederhana kerana dasar monetari amat berkesan apabila dilaksanakan sebagai langkah awalan, katanya.

Beliau berkata, pertimbangan juga akan diambil untuk mengelak peningkatan ketidakseimbangan kewangan yang boleh memberikan kesan buruk kepada kestabilan makroekonomi dan kewangan dalam jangka sederhana.

Pengajaran boleh diambil dari ekonomi yang dilanda krisis akibat peningkatan yang berlebihan dalam keberhutangan isi rumah yang akhirnya memberikan kesan buruk dan berpanjangan terhadap penggunaan, ekonomi yang lebih meluas dan kestabilan kewangan, katanya.

"Meski pun penilaian telah menunjukkan keberhutangan isi rumah di Malaysia dan risiko terhadap kestabilan kewangan terus dibendung, namun beberapa langkah telah pun dilaksanakan sebagai langkah awalan untuk mengelak daripada menjadi satu masalah."

"Data terkini menunjukkan pertumbuhan kredit bagi isi rumah mula menjadi sederhana. Di samping itu, pertumbuhan kredit bagi isi rumah disokong oleh infrastruktur yang komprehensif dan lebih maju untuk menguruskan risiko," katanya.

Dari perspektif jangka sederhana, katanya cabaran utama Malaysia adalah untuk mengurus dengan jayanya peralihan negara ke arah ekonomi bernilai tambah tinggi, iaitu ekonomi yang pertumbuhannya didorong oleh sektor swasta dan dicirikan oleh produktiviti dan inovasi yang lebih tinggi, pada masa yang sama bersifat mampan dan inklusif.

Inisiatif pembaharuan struktur yang penting kini sedang dilaksanakan bagi mencapai transformasi itu, di samping mengambil kira keadaan dalam negeri dan persekitaran global yang lebih dinamik.

Katanya, dalam hal ini, dasar makroekonomi berperanan untuk memastikan kestabilan dan menyediakan insentif yang sesuai kepada sektor swasta untuk menyumbang kepada proses transformasi ekonomi negara.

Sebagai sebahagian daripada transformasi itu, beliau berkata sektor kewangan dijangka memainkan peranan penting dalam pengantaraan dana yang cekap, bukan sahaja di Malaysia malah di rantau ini dan di negara-negara sedang pesat membangun yang lain.

Ini memerlukan produk dan perkhidmatan kewangan yang baru untuk memenuhi kehendak ekonomi dalam negeri yang lebih berintensif pengetahuan dan inovasi, selain infrastruktur kewangan yang akan menyokong pengantaraan dana serantau untuk tujuan produktif. - BERNAMA