Jumaat, 7 Januari 2011

ISU SOSIAL : Bersama jadikan 2011 tahun lebih selamat

MARILAH kita sebagai rakyat Malaysia memulakan 2011 dengan menjadikan Malaysia sebagai negara yang selamat untuk didiami bukan saja selamat daripada ancaman keganasan dan jenayah bahkan selamat daripada tragedi yang berlaku di jalan raya, di rumah, di tempat awam atau di tempat kerja yang berpunca daripada kesilapan kita sendiri.

Apa sangat membimbangkan ialah Malaysia mencatatkan rekod tertinggi kemalangan maut iaitu mencecah 6,000 hingga 7,000 angka kematian setiap tahun.

Baru-baru ini, berlaku nahas jalan raya yang terburuk di Malaysia, iaitu membabitkan perkhidmatan bas dua tingkat yang dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands yang mengorbankan 28 nyawa, kebanyakannya adalah warga Thailand.

Kemudian kita dikejutkan pula dengan tragedi bot karam berdekatan Mersing yang mengorbankan lima warga Singapura. Tragedi yang membabitkan pelancong asing seperti ini boleh menjejaskan industri pelancongan negara kerana kita boleh dianggap mengabaikan keselamatan.

Oleh itu, semua orang perlu bertanggungjawab bagi memastikan jalan raya dan lebuh raya kita lebih selamat. Tanggungjawab ini bukan saja dipikul oleh pemandu bas dan pengusaha bas, bahkan juga tanggungjawab pihak berkuasa.

Keselamatan jalan raya juga perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada agenda nasional.

Hakikatnya, tanah runtuh dan jalan mendap yang kerap berlaku menunjukkan bahawa kita gagal menjadikan budaya penyelenggaraan dan keselamatan sebagai cara hidup kita.

Kita yang bertanggungjawab apabila berlaku bangunan runtuh atau pencemaran alam sekitar serta kehilangan nyawa di tempat kerja. Kita tidak wajar menyalahkan alam sekeliling atau peralatan kerja semata-mata.

Kita perlu sedar bahawa setiap perbuatan yang mengakibatkan kemerosotan dan kemusnahan kepada alam sekitar akan mengakibatkan bencana.

Kerajaan sudah membelanjakan berbilion ringgit untuk pembangunan tetapi apa yang dikesali ialah tiada usaha penyelenggaraan.

Ini perlu diperbetulkan dan pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menerapkan budaya penyelenggaraan dan keselamatan dalam kalangan rakyat Malaysia. Apa yang lebih penting lagi ialah mereka yang bertanggungjawab tidak mengabaikan tanggungjawab mereka.

Dalam bidang politik, adalah sangat penting bagi Malaysia untuk wujud sebagai sebuah negara yang bersatu padu dan aman dengan kestabilan politik walaupun wujud percanggahan fahaman politik dan pendapat.

Kerajaan mesti terus mengorak langkah ke hadapan demi merealisasikan hasrat Perdana Menteri ke arah 1Malaysia.

Setelah mencapai 53 tahun kemerdekaan, kita tidak mempunyai pilihan lain selain daripada berusaha keras untuk sama-sama mencapai matlamat 1Malaysia.

1Malaysia seharusnya mempunyai elemen utama di dalam memahami, menghormati dan mempercayai antara satu sama lain terutama di dalam konteks negara kita yang berbilang bangsa ini.

Usaha mewujud dan mengekalkan perpaduan nasional mesti diberi keutamaan yang paling tinggi kerana perpaduan amat penting untuk memastikan kesinambungan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, aman, progresif dan bersatu-padu.

Perpaduan adalah satu hadiah yang tidak ternilai dan menjadi simbol kemanusiaan kita. Ia adalah asas yang mana kita membina hubungan, keluarga, masyarakat dan negara. Ia adalah ikatan yang mengikat dan mengukuhkan kenegaraan kita.

Langkah konkrit perlu dilaksanakan oleh barisan pemimpin politik dan perkhidmatan awam untuk merealisasikan hasrat Perdana Menteri ke arah 1Malaysia.

Rakyat Malaysia daripada segenap lapisan kaum amat berharap agar dapat melihat Kerajaan mengambil langkah yang lebih agresif untuk mengukuhkan ekonomi Malaysia di samping mengekalkan perpaduan dan keamanan serta mendukung hak seluruh rakyat Malaysia yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Keseimbangan juga perlu di antara pembangunan ekonomi dan teknologi dengan pembangunan sosial dan juga moral.

Kita perlu mendekati dengan lebih agresif mengenai isu integrasi kaum, perpaduan dan pembangunan negara di samping terpaksa menghadapi masalah jenayah, penagihan dadah dan pelbagai gejala sosial yang lain.

Bersempena dengan 2011, rata-rata rakyat Malaysia dilihat sangat mengharapkan agar pihak yang bertanggungjawab dapat mempertingkatkan lagi usaha memerangi dan mencegah jenayah serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.

Oleh itu, satu azam tahun baru perlu diadakan bagi memperkukuhkan usaha berterusan untuk memerangi jenayah dengan kerjasama seluruh masyarakat Malaysia.


TAN SRI LEE LAM THYE,
Kuala Lumpur

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Gapena pertahankan Interlok