Rabu, 11 April 2012

ISU PENDIDIKAN : RM2.12 bilion biaya pengajian


Oleh Johari Ibrahim dan Magendran Rajagopal
bhnews@bharian.com.my

Kos bagi pelajar cemerlang SPM ikuti program dalam, luar negara

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM2.12 bilion untuk membiayai kos pengajian lanjutan pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti program persediaan, Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN), tahun ini.

Ini termasuk bantuan kewangan (Bursary) secara automatik daripada Kementerian Pelajaran kepada 1,609 pelajar cemerlang SPM yang mendapat keputusan 9A+ ke atas.

Daripada jumlah itu 1,020 pelajar mendapat keputusan 9A+; 10A+ (492); 11A+ (90) dan 12A+ (7) yang akan mengikuti pengajian peringkat persediaan (prauniversiti) sebelum ditawar ke PILN atau PIDN.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemberian Bursary itu bagi mengiktiraf pelajar cemerlang SPM 2011 tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang.

“Kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan ibu bapa pelajar yang menunjukkan keputusan peperiksaan cemerlang, tetapi tidak berjaya mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran setiap kali keputusan penajaan diumumkan kerana persaingan amat sengit dan bilangan yang ramai mendapat keputusan cemerlang.

“Pada masa sama, kerajaan juga mempunyai kekangan daripada segi peruntukan kewangan berikutan kos pendidikan yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, peruntukan termasuk penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kementerian itu untuk lima kategori iaitu Program Biasiswa Nasional (PBN), Bursary, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman, PILN dan PIDN pada 2014, iaitu selepas program persediaan.

Katanya, kerajaan menetapkan 50 pelajar paling cemerlang dalam SPM 2011 atau ‘crème de la crème’ mengikut senarai Kementerian Pelajaran akan memasuki senarai PBN untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia berasaskan merit akademik.

“Calon terpilih akan ditawarkan biasiswa bermula peringkat persediaan hingga Ijazah Pertama tertakluk kepada syarat ditetapkan dan pengiktirafan bidang pilihan yang menjadi minat pelajar di universiti dalam dan luar negara seperti disenaraikan JPA,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Bagi program persediaan dalam negara ialah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di semua sekolah bantuan kerajaan; Matrikulasi iaitu program prauniversiti anjuran Kementerian Pelajaran bagi kursus persediaan jurusan Sains dan Perakaunan untuk melayakkan pelajar melanjutkan pengajian Ijazah Pertama pelbagai bidang di IPT dalam negara serta memohon IPT luar negara yang menerima kemasukan lepasan Matrikulasi.

Selain itu, program persediaan termasuk Asasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang lebih menjurus kepada pengajian di IPT tertentu dalam negara dan International Baccalaurate (IB) membabitkan program dua tahun atau A Level (12 hingga 24 bulan) yang juga program persediaan universal diterima pakai sebagai kelayakan masuk ke IPT dalam dan luar negara untuk program Ijazah Pertama.

“Bagi kemasukan ke IPT awam dalam negara, kelayakan IB dan A Level hanya terhad kepada bidang selain bidang kompetitif (perubatan, pergigian dan farmasi).

“Bagi semua program prauniversiti tersenarai, pemberian Bursary tertakluk kepada pelajar sudah ditawarkan atau ditempatkan di pusat persediaan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Semakan dan pengemaskinian profil pelajar program Busary boleh dilakukan mulai 16 April dan pelajar lepasan Bursary akan ditawarkan penajaan PILN atau PIDN mulai 2014 di bawah anjuran JPA jika mereka memenuhi syarat.

Muhyiddin berkata, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman pula membabitkan penajaan JPA kepada 300 pelajar dalam bidang kejuruteraan ke negara terbabit.

Katanya, program penajaan ke negara itu amat diperlukan Malaysia bagi menyediakan modal insan mempunyai daya cipta, kreativiti dan daya saing tinggi, selain pemindahan pengetahuan dan teknologi tinggi.

“Pelajar yang ingin mengikuti program ini perlu memohon dalam talian melalui laman web JPA dan kriteria berdasarkan empat kategori dengan mengambil kira faktor kokurikulum, latar belakang sosio ekonomi keluarga dan temu duga.

“Disebabkan syarat kelayakan masuk ke IPT di negara itu menekankan kemahiran bahasa masing-masing selain pencapaian akademik, pelajar perlu mengikuti persediaan menekankan ciri khas diperlukan berbanding kelayakan biasa seperti IB dan A Level,” katanya.

Sementara itu, katanya, penajaan PILN di bawah JPA pada 2014 juga terbuka kepada pelajar cemerlang lepasan persediaan, antaranya STPM, A Level atau IB, yang tidak ditaja di bawah Bursary dengan syarat mendapat tempat di universiti terkemuka dunia diiktiraf kerajaan.

Penajaan JPA bagi PIDN pula membabitkan 10,300 pelajar lepasan mana-mana program persediaan bagi mengikuti Ijazah Pertama dalam program diiktiraf kerajaan sama ada di IPTA atau IPTS tempatan mengikut kriteria yang telah ditetapkan kerajaan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Ikrar Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong


KUALA LUMPUR: Berikut adalah ikrar Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balairong Seri, Istana Negara, hari ini.

"BISMILLAHIRRAHMANNIRAHIM, BETA ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH SUBAHANAHU WATA'ALA KERANA DENGAN IZINNYA BETA TELAH DIPILIH MENJADI YANG DI-PERTUAN AGONG. DENGAN INI, BETA AKAN MENJALANKAN SEADIL-ADILNYA PEMERINTAHAN BAGI MALAYSIA MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN NEGARA, SERTA MEMELIHARA DENGAN SEMPURNANYA SETIAP MASA, AGAMA ISLAM, DAN BERDIRI TEGUH DI ATAS PEMERINTAHAN YANG ADIL DAN AMAN DALAM NEGARA"

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat perisytiharan bahawa Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dipilih oleh Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Najib melafazkan: "BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM BAHAWA INILAH DIMASYHURKAN KEPADA SEKALIAN ORANG SERTA PENDUDUK NEGARA MALAYSIA IAITU DULI YANG MAHA MULIA RAJA-RAJA TELAH MEMILIH ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH, DAN PADA HARI, WAKTU DAN SAAT YANG GILANG GEMILANG INI, MAKA SERI PADUKA BAGINDA DITABALKAN NAIK TAKHTA KERAJAAN MENJADI TURUS NEGARA BAGI MALAYSIA DENGAN BERGELAR SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG." - BERNAMA

ISU EKONOMI : MCKIP pemangkin pembangunan negara


OLEH AZIM ABDUL RAZAK

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari China, Wen Jiabao telah menghasilkan satu lagi langkah ke hadapan bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Pada 1 April lalu, kedua-dua Perdana Menteri secara bersama melancarkan Taman Perindustrian Qinzhou (QIP), satu projek usahasama kerajaan Malaysia-China di kawasan pantai wilayah Guangxi.

Taman QIP merupakan kawasan strategik memandangkan ia terletak dekat dengan Pelabuhan Bebas Qinzhou bertindak sebagai akses paling mudah bagi barat daya China khususnya Kunming, bandar raya terbesar di wilayah Yunnan.

Taman QIP dibina di atas kawasan seluas 55 kilometer persegi selama 15 tahun, akan memainkan peranan sebagai pintu masuk kepada produk dan syarikat Malaysia menebusi pasaran domestik China yang luas.

Berikutan kejayaan melancarkan Taman Perindustrian Qinzhou, Najib mengumumkan penubuhan sebuah taman perindustrian sekutu di Malaysia iaitu Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) yang bertapak di Gebeng, Kuantan.

"Saya ingin melihat pembangunan sama seperti itu di Malaysia," kata Najib semasa melancarkan projek QIP itu bersama rakan sejawatannya Wen Jiabao di tapak projek itu di Qinzhou, kira-kira 150km dari Nanning, China.

Memetik pepatah Cina berbunyi "Satu generasi menanam pokok, generasi lain mendapat teduh", Perdana Menteri berkata beliau percaya pembukaan QIP China-Malaysia "menandakan permulaan era baru dalam kerjasama ekonomi antara negara kita yang mana generasi seterusnya bakal mendapat hasilnya."

Perdana Menteri juga berpuas hati dengan kemajuan pesat QIP selepas idea itu mula diilhamkan semasa lawatan Perdana Menteri China ke Kuala Lumpur, April tahun lepas.

"Realisasi pesat projek ini dalam hanya masa setahun - kelajuan luar biasa dengan impian ini menjadi realiti - merupakan bukti kepada semangat dan bertenaga serta komitmen bagi kedua-dua pihak dan hubungan ekonomi yang lebih luas dan mendalam antara kedua-dua negara kita," katanya.

Oleh itu, projek MCKIP di Gebeng, hasil inisiatif kerajaan dengan kerajaan (G to G) dilaksanakan segera. MCKIP berada di dalam kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau East Coast Economic Region (ECER) dan akan membangunkan kawasan seluas 1,500 ekar atau 607 hektar.

Kuantan dipilih bagi projek ini kerana ia memiliki pelabuhan yang menghadap Laut China Selatan yang menghubungkan terus ke pelabuhan laut dalam Qinzhou. Perjalanan laut di antara Kuantan dan Qinzhou mengambil masa kira-kira tiga hari , manakala perjalanan udara tiga jam.

MCKIP diyakini akan menjadi pemangkin ekonomi kepada ECER, terutama Zon Ekonomi Khas ECER. Projek itu bukan sahaja akan menyediakan peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia dan China malah kepada syarikat-syarikat negara anggota ASEAN lain.

Ketua Pegawai Eksekutif East Coast Economic Region Development Council (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John berkata kepada StarBiz, sektor swasta akan memainkan peranan bermakna dalam MCKIP, sementara ECERDC dan kerajaan negeri Pahang menyediakan sokongan infrastruktur.

"Pelabur akan mendapat insentif yang telah kita sediakan. Ini termasuk pengecualian cukai sehingga 10 tahun, dan kami bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memberi pelabur harga tanah yang kompetitif. Idea ini untuk memberi pelabur kos efektif dalam menjalankan bisnes pada peringkat awal," kata Jebasingam.

Idea MCKIP menguntungkan penduduk sekitar dan rakyat Malaysia apabila lebih banyak peluang pekerjaan yang dapat menjana pendapatan lebih tinggi melalui kehadiran kilang-kilang dan industri perkhidmatan sokongan yang lain.

Beberapa infrastruktur akan dinaik taraf umpamanya Pelabuhan Kuantan untuk menerima kemasukan kapal-kapal lebih besar.

Menurut Jebasingam, tahun ini menjadi titik perubahan kepada komponen ECER apabila Taman Halal Gambang dan Kluster Industri Minyak Sawit akan siap. Ini sebagai tambahan kepada Taman Automotif Pekan, dan hab petrokimia dan kimia di Kawasan Industri Gebeng.

Seperti mana Taman Perindustrian Qinzhou, MCKIP juga boleh menjadi satu projek ikon, akan menyaksikan kerjasama yang semakin meningkat antara sektor awam dan swasta kedua-dua negara.

Kalau di Qinzhou projek itu akan diterajui oleh sebuah syarikat konsortium dari Malaysia dengan diketuai oleh Kumpulan Rimbunan Hijau dan Kumpulan SP Setia Bhd manakala China diwakili oleh Guangxi Beibu Gilf International Port Group dan Qinzhou Jingu Investment Company, di Kuantan pula diharap ada peluang untuk syarikat bumiputera diberi ruang dan peluang untuk beroperasi..

MCKIP akan lebih fokus kepada kerjasama dan sinergi kalangan ahli perniagaan Malaysia-China. Oleh itu penting bagi komuniti bisnes tempatan mengambil kelebihan di Gebeng.

Industri sasaran di MCKIP ialah plastik dan peralatan logam, komponen automotif, pengeluaran besi tahan karat, fibre cement board, pemprosesan makanan, carbon fibre, electrik & elektronik (E&E), tekonologi maklumat dan komunikasi, produk pengguna dan tenaga diperbaharui.

Kesan pertumbuhan dicetuskan daripada MCKIP akan membantu mewujudkan aktiviti-aktiviti ekonomi lain. Ia mendorongkan lebih banyak pembeli dan penjual barangan dan perkhidmatan di samping membantu projek Greater Kuantan. Kerana lebih banyak peluang ekonomi dan lebih ramai sumber tenaga teknikal dan berdaya saing di MCKIP maka meningkatkan potensi pekerja mahir tinggal di Kuantan.

Secara langsung atau tak langsung, kesan MCKIP akan mewujudkan lebih peluang berkembangnya kedai runcit, restoran, sekolah dan kemudahan awam disediakan.

MCKIP diyakini dapat menyediakan peluang perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menjalin kerjasama lebih rapat dengan syarikat besar dari Malaysia atau China. Hubungan ini boleh diterjemah dalam rundingan bisnes dan perdagangan produk, pelanggan baru dan pewujudan lebih banyak peluang kerja.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/