Sabtu, 24 Disember 2011

ISU PENDIDIKAN : 2,214 tempat di SBP untuk anak miskin


PUTRAJAYA 24 Dis.- Kementerian Pelajaran memperuntukkan sebanyak 2,214 daripada 7,400 tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk pelajar lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daripada keluarga miskin dan luar bandar yang berdaftar dengan program e-Kasih.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, daripada jumlah tersebut seramai 360 pelajar mendapat keputusan 3A, 660 pula memperoleh 4A dan bakinya memperoleh 5A.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana mengambil kira tentang cabaran mereka dari segi tekanan kehidupan dan kekurangan kemudahan untuk belajar.

"Kita sediakan 7,400 tempat Tingkat 1 di SBP pada sesi persekolahan tahun depan sedangkan yang mendapat keputusan 5A adalah seramai 46,000 pelajar.

"Jadi, memang ada persaingan tetapi oleh kerana kita ada projek membantu pelajar miskin dan luar bandar, maka kita menyediakan 2,214 tempat untuk mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam, kelengkapan sekolah dan yuran persekolahan kepada seramai 57 pelajar miskin di sini, hari ini.

Program anjuran Yayasan Pendidikan Pelajar Melayu (YPPM) itu melibatkan 48 pelajar dari Rumah Amal Peribadi Mulia, Kajang dan sembilan pelajar dari Rumah Anak-anak Solehah, Cheras.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan syarat baru kelayakan minimum kemasukan Tingkatan 1 ke SBP iaitu keputusan UPSR 3A,2B bagi murid keluarga miskin dan 4A,1B bagi murid luar bandar mulai tahun depan.

Muhyiddin berkata, syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP.

Bagaimanapun, Dr. Puad berkata, bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula, kementerian masih meneliti permohonan pelajar miskin yang ingin memasuki SBP untuk sesi persekolahan tahun depan.

Buat masa ini, beliau menambah, syarat minimum untuk pelajar miskin memasuki SBP adalah 6A, 2B.

"Kita memperuntukan 5,500 tempat sahaja walaupun jumlah mereka yang memperolehi keputusan 8A adalah 34,000 orang," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Sastera 2011 penuh kontroversi


Oleh S.M. ZAKIR

Tahun 2011 mengisi dunia sastera dengan banyak catatan sejarah, termasuk sejarah penting negara. Antaranya ialah dua sejarah besar dunia sastera dan bahasa Melayu ialah isu novel Interlok dan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Isu novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Husain tercetus apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA) mencetuskan kontroversi perkataan 'Paria' yang terdapat di dalamnya.

Novel Interlok dikatakan mengandungi unsur sensitif kepada masyarakat India kerana memaparkan sejarah susur galur kedatangan India ke Tanah Melayu. Keadaan menjadi buruk apabila Interlok digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu, dengan memancing emosi masyarakat. Hujah secara intelektual dan faktual oleh para ilmuwan ditolak serta dikalahkan oleh sentimen melulu. Akhirnya Interlok dipinda. Namun ia tidak berakhir di situ apabila keputusan terbaru mengatakan Interlok ditarik daripada dijadikan teks Komsas.

Isu kedua ialah PPSMI, yang ditamatkan pelaksanaannya dan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMBI). Namun keputusan untuk menamatkan PPSMI dibantah keras oleh golongan yang diketuai oleh PAGE. Pelbagai kempen dan tindakan dilakukan oleh PAGE dan penyokongnya sehingga memaksa kerajaan mengambil pendekatan lunak dalam menamatkan PPSMI.

Walau bagaimanapun, isu PPSMI tidak berakhir di situ apabila PAGE dan penyokong -penyokong terus bertindak memaksa kerajaan menarik balik keputusan agar PPSMI dapat terus dilaksanakan. Isu Interlok dan PPSMI memperlihatkan tindakan berkompromi hanya mengalah kepada tuntutan yang lebih bermain dengan sentimen dan andaian. Walaupun PPSMI tidak menyentuh secara langsung dengan dunia sastera kebangsaan, namun sebagai sastera yang mendokong nilai kebangsaan dan berdiri atas dasar bahasa Melayu, sebarang tindakan yang melemahkan bahasa Melayu akan turut memberikan kesan kepada dunia sastera kebangsaan.

Selain dua isu yang menyentuh jiwa dunia sastera kebangsaan tersebut, terdapat juga isu lain yang muncul bersangkutan dengan dunia sastera baik secara langsung atau tidak. Isu pemilihan dan kaedah pembayaran royalti teks Komsas juga menimbulkan banyak tanda tanya. Pemilihan teks Komsas yang baharu menimbulkan banyak kritikan termasuklah kaedah pemilihan yang tidak telus dan banyak diselubungi kabut, selain daripada pemilihan beberapa teks sastera yang lemah dan tidak sesuai untuk dijadikan bahan pendidikan di bilik darjah.

Lebih menyedihkan apabila kaedah pembayaran yang memberikan kuasa penuh kepada penerbit dan menentukan jumlah bayaran. Ini memberikan ruang kepada penerbit-penerbit yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dan menindas hak penulis. Malah tiada ketetapan yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran ke atas jumlah royalti yang perlu dibayar kepada penulis. Keputusan jumlah royalti bergantung sepenuhnya ke atas penerbit dan terpulanglah kepada penerbit untuk membayar sesuka hati mereka.

Dalam perkembangan lain, pergolakan antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan syarikat konsesinya iaitu Dawama tidak dapat dijernihkan lagi. Kini tiba kepada titik noktahnya apabila DBP menamatkan kontraknya dengan Dawama. Konflik DBP-Dawama ini sebenarnya banyak memberi kesan kepada penulis khususnya dan dunia sastera umumnya. Penerbitan dan pemasaran buku yang sepatutnya berjalan lancar melalui pelaksanaan dasar pemberian konsesi ini tetapi tidak sebagaimana yang diharapkan. Pemasaran buku terbitan DBP di bawah Dawama bukan sahaja lembap malah statik, sehingga banyak buku yang diterbitkan berlonggok di stor.

Dunia sastera pada tahun 2011 juga menyaksikan kehilangan tokoh-tokoh besar dunia sastera dan bahasa Melayu. Antara tokoh yang pergi menyahut seruan Illahi dan meninggalkan jasa serta kenangan abadi ialah Hassan Ahmad, Azizi Haji Abdullah, Amirul Fakir, dan Anas K Hadimaja. Pemergian Hassan Ahmad memberikan kesan yang besar terhadap perjuangan bahasa Melayu terutamanya menentang PPSMI. Begitu juga dengan pemergian Azizi menyaksikan kehilangan besar dalam dunia sastera. Apatah lagi pemergian Allahyarham Azizi diratap dengan rasa terkilan warga sastera untuk menyaksikan Allahyarham dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Sasterawan

Sepanjang tahun 2011 dunia sastera juga menyaksikan sejarah pencapaian yang gemilang. Dr. Ahmad Kamal Abdullah telah diumumkan sebagai Sasterawan Negara yang ke-11, menjadikan beliau penyair keempat menerima Anugerah Sastera Negara. Pencapaian lain juga menyaksikan Shahnon Ahmad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Mastera keempat dan S.M. Zakir sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award) 2011. Dalam perkembangan lain dunia sastera terus bergemerlapan dengan sayembara dan anugerah. Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) terus menjadi anugerah berprestij yang paling konsisten dalam perkembangan dunia sastera tanah air. HSKU yang kini berkerjasama dengan ExxonMobil telah memasuki tahun ke-26, dan menyaksikan ratusan penulis berbobot yang lahir daripada penganjuran yang berterusan ini. Keintiman Kumpulan Utusan dengan dunia sastera menyaksikan penglibatannya dengan pelbagai penganjuran acara sastera termasuklah Malam Puisi Utusan, sayembara penulisan novel cereka sains dan terbaharu ialah Hadiah Sako yang memasuki sayembara yang ketiga. Setelah hampir sepuluh tahun tertunda, kali ini Hadiah Sako dimenangi oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan dengan novel Penyeberang Sempadan.

Sementara PENA menyambut ulang tahun ke-50 dengan sambutan jubli emas yang gilang gemilang dan mencipta sejarah apabila dirasmikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Abdul Razak pada 16 Disember lalu. Sambutan 50 tahun yang mendapat dokongan penuh Institut Terjemahan Negara (ITNM) menyaksikan keprihatinan Perdana Menteri terhadap warga sastera terutamanya dalam melihat pembangunan generasi pelapis iaitu para penulis muda. Perdana Menteri telah memberikan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk tujuan penerbitan buku dan bahan sastera yang akan dilaksanakan secara bersama oleh ITNM, Percetakan Nasional Malaysia Berhad dan juga PENA. Dalam pada Perdana Menteri juga bermurah hati menyumbangkan RM1 juta kepada PENA demi membangunkan prasarana dan menyemarakkan dunia sastera.

Tahun 2012 tentunya akan memberikan ruang yang lebih mencabar kepada dunia sastera. Selain berdepan dengan gelombang komersialisme yang membunuh mutu dan sifat autentik karya sastera, dunia sastera juga berdepan dengan mitos tentang pupusnya industri perbukuan oleh perkembangan teknologi. Namun dunia sastera sepertimana kehidupan manusia itu sendiri sentiasa berjaya menyerap dan menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan. Ini adalah kerana sastera ialah bahasa, seni dan fikiran. Selagi manusia menggunakan bahasa, seni dan fikiran maka selagi itulah sastera akan terus wujud dalam kehidupan manusia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/