PENDIRIAN tegas kerajaan untuk terus memperkasa bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara adalah
satu jaminan untuk membela, memelihara serta memartabatkan bahasa Melayu,
sesuai dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan. Dalam mengharungi era
globalisasi, bahasa Melayu berdepan pelbagai cabaran bagi menghalangnya menjadi
bahasa ilmu. Pelbagai bentuk pencemaran bahasa akibat ledakan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) memburukkan lagi keadaan, sekali gus menuntut
usaha bersepadu semua pihak bagi menjadikan bahasa Melayu terus relevan sebagai
bahasa ilmu seiring perkembangan semasa. Walaupun kedudukan bahasa Melayu
dijamin Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan, usaha memastikan bahasa Melayu
digunakan secara ilmiah di samping dapat menggambarkan citra Melayu perlu
diperkukuhkan. Toleransi dalam bertutur menggunakan bahasa ibunda mengikut kaum
di negara ini memang sudah sebati, namun alangkah lebih manis jika semua kaum
di negara ini menjadikan bahasa Melayu sebagai medium utama dalam berkomunikasi
tanpa sebarang prejudis. Komitmen ditunjukkan kerajaan untuk mempertahan bahasa
Melayu tidak sepatutnya dipandang serong atau diiringi dengan perasaan perkauman
kerana bahasa lain juga bebas dituturkan di negara ini.
Selepas 57 tahun Malaysia merdeka, rakyat sepatutnya tidak
lagi memandang negatif terhadap kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu
tinggi seperti digunakan secara meluas dalam bidang sains, teknologi dan
perundangan termasuk digunakan dalam dokumen perjanjian serta surat-menyurat.
Hakikat sebenar yang mungkin kurang diketahui umum ialah kita sebenarnya
mempunyai ribuan istilah dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi di
dalam kamus serta glosari yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Panduan penggunaan bahasa kebangsaan yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam
(JPA) dalam pekelilingnya adalah antara formaliti yang harus dikekalkan,
manakala kelemahan yang masih wujud adalah satu isu yang harus ditangani dengan
berkesan. Namun demikian, usaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa
tinggi akan terkubur sekiranya rakyat sendiri tidak peka ke arah itu. Sekiranya
bahasa Melayu tinggi dipraktikkan dengan meluas dalam kalangan rakyat, maka
amalan itu akan meningkatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
dan bahasa rasmi negara. Amalan penggunaan bahasa Melayu rendah, seperti bahasa
khidmat pesanan ringkas (SMS) dan bahasa rojak wajar dihindarkan dengan harapan
martabat bahasa Melayu terus terpelihara. Sebagai rakyat yang terdedah dengan
bahasa Melayu, semua pihak perlu bersikap positif untuk menggunakan bahasa
Melayu tinggi dalam semua urusan tanpa mengira status atau keturunan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan