Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
KUALA LUMPUR 28 Jun - Bahasa kebangsaan akan terus
dimartabatkan sebagai lambang jati diri rakyat Malaysia sekali gus menghalang
percubaan mana-mana pihak yang mahu mendaulatkan bahasa asing di negara ini.
Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia
(Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, matlamat itu akan
dipastikan terlaksana melalui Majlis Pemantauan dan Tindakan Bahasa Kebangsaan
yang ditubuhkan selaras dengan dasar bahasa kebangsaan agar penggunaannya tidak
diketepikan di semua peringkat.
Kata beliau, majlis itu yang dianggotai 35 wakil pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) berbilang kaum akan memberi kesedaran kepada rakyat
melalui kempen-kempen supaya bahasa kebangsaan terus dihormati.
“Apa yang menjadi masalah sekarang ialah kita dengan sesuka
hati meletakkan bahasa asing sebagai bahasa utama sehingga menyinggung perasaan
rakyat Malaysia.
“Negara maju lain seperti Jerman, Korea, Jepun atau China
telah mendaulatkan bahasa mereka sedangkan kita malu untuk bercakap bahasa
Melayu, sikap negatif seperti ini perlu dihapuskan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis
perasmian Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Sistem Pendidikan
Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.
Seminar yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin itu turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Melaka,
Datuk Othman Mohamad; Ketua Pengarah DBP, Datuk Awang Sariyan dan bekas Ketua
Satu Gapena, Prof. Emeritus Tan Sri Ismail Hussin.
Seramai 250 peserta menghadiri seminar itu mewakili lebih 40
NGO selain tokoh budayawan, sasterawan dan pelajar.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan